Monday, May 28, 2007

Buku “May 13”, Singapura dan Neo-Kolonialisma

Tulisan dan rumusan Husin Lempoyang, blogger satira yang bisa marah di blog 13 Mei: Dari Kacamata Melayu mengenai pertalian buku kontroversi "May 13" dengan Singapura dan kuasa Neo-Kolonialisma adalah satu peringatan baik memandangkan senario keakraban pentadbiran Abdullah Ahmad Badawi dengan Singapura sekarang. Ikuti tulisan beliau seterusnya.

Buku "May 13" agak berlainan dari proses ilmiah biasa. Ianya seolah-olah tulisan yang mempunyai pre-set rumusan dan kesimpulan [1], serta mempunyai niat provokasi [2]. Bila diambilkira latarbelakang penulis Dr Kua Kia Soong [3] dan senario semasa, kehadiran buku ini bukan secara kebetulan.

Kesunyian media Melayu terhadap buku ini memusykilkan. Adakah tiada langsung yang terbuka ijab dan mata hati untuk menyedari konspirasi ini? Adakah tiada langsung suara hati yang prihatin kepada kesejahteraan antara kaum? Mungkinkah "elegant silence" untuk menutupi kepincangan diri seseorang telah dipaksa ke atas yang lain?

Pencemaran Sejarah

Buku tersebut memajukan hipotesis bahawa Tun Abdul Razak ("Tun") merancang rusuhan kaum agar darurat diisytiharkan untuk rampasan kuasa kononnya bagi mengetengahkan kepentingan kelas kapitalis Melayu baru.

Asas hipotesis bagaikan konspirasi kerjasama antarabangsa bila diamati sumber rujukan yang merupakan laporan berita wartawan asing, dispatch rahsia kedutaan asing, dan tumpuan rujukkan kepada yang sehaluan pemikiran. Sumber rasmi dan maklumat dari orang Melayu yang digunapakai sebagai rujukan amat sedikit.

Penggunaan terma-terma seperti "class struggle", "capitalist class", "state capitalism" dan "state apparatus" memberi gambaran Dr Kua mengambil pendekatan Marxisma [4]. Adakah pendekatan tersebut sesuai untuk masyarakat dan sejarah tempatan? Bukankah penumpuan Tun kepada pembangunan luar bandar jelas untuk membasmi kemiskinan?

Buku ini hanya mengadudombakan Tunku Abdul Rahman ("Tunku") dengan Tun dalam sejarah [5]. Siapa tidak sedar Tunku telah di ikonkan oleh pihak tertentu sebagai lambang dan conscience kesamarataan antara kaum. Tuduhan coup d’etat akan menggambarkan Tun sebagai kapitalis yang tamak dan rasis.

Tuduhan terhadap Melayu begitu ketara – pemimpin Melayu, askar Melayu, polis Melayu, dan "gangster" Melayu kononnya [6]. Intipatinya Melayu saja yang salah.

Bagi menjana tuduhan, buku ini hanya mengambilkira persekitaran dua tiga hari sebelum dan beberapa bulan selepas peristiwa [7]. Padahal sejarah perhubongan kaum di Tanah Melayu bermula dengan immigrasi abad ke 19. Dr Kua sengaja in-denial kepada perkembangan politik beberapa tahun sebelum itu.

Singapura Dalang 13 Mei 1969

Dari tahun sebelum kemerdekaan hingga 1962, semangat kerjasama kaum perikatanisma telah diterima baik oleh rakyat. Keadaan mula berubah dengan kehadiran Singapura yang menjadi ahli Persekutuan Malaysia pada September 1963 atas syor Tunku.

Kehadiran Lee Kuan Yew ("LKY") dan PAP dengan slogan "Malaysian Malaysia" dalam politik Malaysia meniup api perkauman [8], kononnya memperjuangkan kesamarataan kaum. Perkara taboo berkaitan orang Melayu dilanggar. LKY melampaui hingga mempersoalkan status Melayu sebagai kaum asal Tanah Melayu di Parlimen.

Padahal perkara-perkara ini telah dipersetujui dalam tawar menawar untuk menerima kaum immigren yang bermastautin sebagai warganegara. Ini menimbulkan reaksi marah dari orang Melayu yang begitu kekurangan serba serbi dan menganggap kaum immigren memungkiri janji yang telah dinobatkan dalam Perlembagaan.

Sejak kehadiran Singapura, perhubongan antara kaum menjadi tegang [9] dan rusuhan antara kaum mula berlaku. Sebelum 13 Mei 1969, dua peristiwa yang ketara - rusuhan kaum Singapura pada Julai 1964 dan peristiwa hartal Pulau Pinang pada November 1967 [10].

Pada Mei 1965, Singapura menjadi tuan rumah mesyuarat pertama gabungan "Malaysian Solidarity Convention". Konvensyen itu menyatupadukan parti-parti pembangkang dari kaum tertentu di bawah slogan "Malaysian Malaysia."

Tun Tan Siew Sin dilaporkan Utusan Melayu bulan Julai 1965 mengkritik "Malaysian Malaysia" sebagai usaha menjadi "juara orang Cina" dengan membangkitkan kemarahan keatas orang Melayu. Menyedari bahaya kehadiran LKY dan PAP, Tunku berpatah dari keputusannya dan menendang Singapura keluar pada tahun Ogos 9hb, 1965.

Tindakan Tunku tidak meredakan keadaan kerana isu perkauman sudah ada momentum hingga menjadi tajuk hangat kempen pilihanraya 1969. Akibat sentimen ini, prestasi MCA dan penguasaan Perikatan dalam Parlimen dan Dewan-Dewan Undangan Negeri terjejas selepas pilihanraya tahun 1969.

Pembangkang menjadi "mabuk kemenangan" hingga meraikan perarakkan dengan menghina orang Melayu. Inilah pencetus reaksi amuk dari orang Melayu, bukannya konon komplot UMNO [11] [12].

Kalau mahu ikhlas membicarakan sejarah, janganlah berpileh-pileh. Sejarah tidak boleh diputarbelit (spin) [13] [14] kerana ia berasaskan kebenaran. Peristiwa Mei 13 jelas bukan peristiwa berasingan seperti yang diunjurkan oleh Dr Kua tetapi berpunca dari perasaan tidak puas hati yang dikipas untuk membakar dan merebak. Peranan Singapura di sebalik tabir tidak boleh dinafikan.

Dendam Singapura dan Anasir Neo-Kolonialisma

Tun Dr Mahathir ada berpesan dan penulis sedut dari karangan beliau berjodol "Cermin Perjuangan Bangsa Malaysia" dalam buku "Patriotisme Malaysia, Penangkis Neo-kolonialisme (2005)" di bawah:

Neoimperialisme menjelma dalam pelbagai bentuk dan rupa. Ia boleh menjelma dalam membentuk "aggression" dan peperangan secara terus-menerus. Ia juga boleh menjelma dalam membentuk "subversion" yang halus dan secara tidak langsung. Sebab itulah dunia hari ini sedang menyaksikan berbagai-bagai percubaan oleh segolongan bangsa Eropah untuk menakluki sesebuah negara, secara langsung atau tidak langsung. Oleh itu, kalaulah bangsa Eropah tidak mencerobohi negara kita dengan kekerasan, ini tidak bermakna mereka tidak berusaha meracuni pemikiran kita, melunturkan budaya kita, mencemarkan agama kita dan mengadudombakan lain-lain aspek kehidupan yang membabitkan keselamatan, keamanan dan kesejahteraan bangsa Malaysia.
Dendam Singapura terhadap Malaysia tidak pernah luput. Kini mereka lebih kuat dan kuasa neo-kolonialis barat yang bias terhadap Islam menyebelahi mereka. "Barbarian" sudah menunggu di pintu gerbang dan kuda "trojan" sudah masuk kota. Tinggal menunggu masa sahaja.

Beberapa persamaan antara tahun 1969 dan keadaan sekarang telah timbul. Isu-isu mengenai orang Melayu – hak keistimewaan, bahasa, pendidikkan, agama, tindakan afirmatif dan lain-lain – kini hebat dipersoalkan. Pengaruh luar dilihat memainkan peranan dengan bantuan disalur dari dana, Yayasan dan NGO tertentu.

Orang Melayu, khususnya kaum menengah dan peniaga, mengeluh dengan pentadbiran sekarang yang lemah serta mengamalkan polisi-polisi reform dan pengurusan ekonomi yang regresif. Kalau dahulu LKY menggelar Tunku sebagai "…silly old man" kerana sikap baik hati dan adilnya, pemimpin kini benar-benar demikian. Ia begitu cuai dan naif hingga dimanipulasi oleh kaum muda sekelilingnya yang bertuan yang lain.

Mereka serta orang-orang tertentu berperanan untuk mempertingkatkan hubungan baik dengan Singapura. Kini pengaruh Singapura dalam ekonomi, pentadbiran, politik, dan media sudah dirasai. Hanya menunggu pelaburan Singapura untuk mengukuhkan.

Padahal negara-negara jiran lain sudah menyedari reputasi Singapura sebagai jiran yang opportunis dan memperjuangkan kepentingan barat. Yang anih juga, sebahagian kaum bukan Melayu menyambut kemasukkan mereka. Ada dikalangan orang Melayu membisu takut walaupun menyedari bahayanya.

Rumusan

Kehadiran buku "May 13" dan banyak buku-buku yang mahu mengubah sejarah mutakhir ini tumbuh bagaikan cendawan. Buku-buku ini memberi gambaran yang baik akan pendekatan pemerintahan dan pendirian Singapura. Yang nyata, buku ini boleh mengipaskan perasaan tidak puas hati dikalangan kaum bukan Melayu dan cuba meraih simpati dari orang dan anak Melayu berpendidikkan barat yang agak liberal [15] [16].

Apakah reaksi orang Melayu terhadap serangan-serangan kepada kedudukkan mereka? Adakah orang bukan Melayu termakan dengan dakyah sedemikian? Adakah pertempuran kaum akan berulang kembali? Muga kewarasan fikiran mendahului.

1 comment:

  1. Anonymous4:08 PM

    The 13th May actually brought a lot of peace and security to our country. The extremist was exterminated whoever they are.

    At the rate of racial polarization taking place and increasing demands to take away the Malay priviledges, I smell trouble brewing. UMNO appears to just let things happens.

    ReplyDelete

Plainly state opinion. Only mature and sensible views welcome.

Hostile, insulting and bad language comments NOT RELEASED.