Penulis memang peminat filem klasik, tidak kira dari Hollywood, Jalan Ampas, Kowloon Tong, atau Mumbai. Namun, minat itu hanya untuk menonton, bukan untuk main wayang atau mereka poster wayang. Maka, jangan dianggap tajuk
posting ini untuk main wayang atau menarik perhatian kerana ada kebenaran disebalik tajuk. Nama dan legasi Tun Abdul Razak sudah disalahgunakan oleh pentadbiran Pak Lah, hanya kuburnya sahaja belum digeledah dan mayatnya di curi.
Persepsi Kembali Ke Era Tun Abdul Razak
Sejak Pak Lah naik menjadi Perdana Menteri, tidak habis disebut-sebut Tun Abdul Razak seolah-olah dialah protégé Tun Abdul Razak. Sebenarnya dia adalah hanya pegawai dan kemudiannya Pengarah Belia saja, satu peranan sokongan dalam organisasi kerajaan.Bila dia mahu berbalik kepada polisi pertanian, dia sebutkan Tun Abdul Razak. Bila dia menyebut Agenda Melayu di Perhimpunan Agong UMNO, seolah ianya senada dengan Dasar Ekonomi Baru Tun Abdul Razak. Tahun berikutnya Khairy pula meluahkan slogannya Semangat DEB.
Bila dia meleka hingga tidak menyedari kedudukkan Melayu, Islam dan hak keistimewaan dipersoal bertubi-tubi, Khairy hanya diam sahaja dan Pak Lah bercakap seolah-olah menyanyikan lagu “Muhibbah” yang sering kedengaran masa zaman Tun Abdul Razak.
Terkini adalah mengubah penjenamaan bahasa Melayu balik kepada bahasa Malaysia. Tun Abdul Razaklah yang menaikkan mertabat Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan.
Tidak habis-habis Tun Abdul Razak. Hanya mengeledah dan ambil mayat Tun Abdul Razak di makam pahlawan saja yang belum Pak Lah dan balacinya buat.
Betulkah mereka sungguh menyayangi Tun Abdul Razak? Betulkah mereka benar mahu kesinambungan legasi Tun Abdul Razak?Realiti Disebalik Persepsi
Jika kita lihat intipatinya, ini semua hanya mainan wayang. Ianya lebih hebat dari mainan wayang seorang
blogger.
Polisi pertanian sesuai dimasa itu untuk menyelamatkan masyarakat luar bandar dari kemiskinan. Semasa itu, ekonomi kita masih ekonomi
agrarian dan
subsistence. Tun Abdul Razak juga menyediakan tapak awal untuk perindustrian. Orang yang diberi tugas mendalaminya adalah Tun Dr Mahathir. Tun Musa Hitam, Tengku Tan Sri Razaleigh dan banyak yang lain diberi tugasan dalam sektor tertentu.
Apabila Pak Lah mahu kembalikan orang Melayu kepada pertanian, sedarkah dia berapa peratus sumbangan sektor pertanian kepada GDP negara sekarang? Sedarkah dia bahawa kita sudah meningkatkan ekonomi ke fasa industeri dan menuju ke fasa perkhidmatan?
Adakah ini membawa kembali Melayu kepada kemiskinan yang berkait rapat dnegan sektor pertanian?Dalam dia melambung-lambungkan istilah DEB, secara rasmi DEB sudah berakhir dan betul Khairy katakan keperluan kesinambungan semangat DEB. Dalam tiga tahun, cuba kita lihat pencapaian Pak Lah dalam kesinambungan DEB.
Polisi mereformasikan GLC melihat beribu-ribu pekerja dan professional Melayu diberhentikan. Ah! Mungkin itu maksudnya
pembangunan modal insan ia-itu meruntuhkan modal yang sudah berpengalaman dan berpakaran dan bangunkan yang baru. Kita lihat
entiti kerajaan seperti Proton dan MAS yang merupakan apparatus kerajaan untuk membangunkan sektor-sektor tertentu dihancurkan untuk mengkayakan AP King dan Tony Fernandez dengan entah siapa pula dibelakangnya.
Kalau kita sedari, pembangunan modal insan zaman Pak Lah tidak ada pengisian lain dari program-program pelajaran dan pendidikan. Hairannya,
mengapa dizaman Pak Lah, sekolah-sekolah sudah “reverse gear” dari peranan untuk membawa perpaduan kaum dan sosial mobiliti? Penyata Razak, dengan lulusan kabinat Pak Lah, dikatakan ketinggalan zaman. Integrasi kaum tidak bertambah baik disekolah-sekolah.
Timbul fenomena pendidikkan untuk kelas elit. Lain pula masaalah mutu pendidikkan .
Mengapa Dato Hishamuddin, anak saudara dan anak salah satu panglima Tun Abdul Razak, dipaksa menjadi alat mengundurkan usaha-usaha Tun Abdul Razak? Penulis adalah hasil produk usaha Tun Abdul Razak dalam bidang ini dan sentiasa teramat terima kasih kepada Allahyarham dalam usaha ini. Sedih rasanya melihat perkara ini berlaku.
Satu perkara yang menjadi kehairanan penulis ia-lah
dimana semangat nasionalisma Pak Lah sekarang? Adakah sudah hilang ditenggelami pragmatisma seperti Tun Musa Hitam?Mengapa diam saja apabila sosial kontrak dipersoalkan bertubi-tubi? Mungkinkah semasa itu, dia sedang asyik mengkhayalkan Jeanne, bakal isterinya. Perkara-perkara kontrak sosial, yang sepatutnya dipersetujui penerimaan oleh kaum pendatang yang inginkan kewarganegaraan, dipersoalkan. Bukankah perkara-perkara in terlindung dalam Akta Hasutan? Terlinding juga isu mempersoalkan kewarganegaraan kaum bukan Bumiputera.
Penulis sebenarnya tidak gemar istilah
kontrak sosial yang dipopularkan oleh Khairy. Istilah, yang dimulakan oleh Roesseau, falsafah revolutioner Perancis bermaksud “gentlemen agreement” antara kelas memerintah dan yang diperintah. Ianya lebih kepada perjanjian mitos antara Demang Lebar Daun dan Sang Sapurba.
“Gentlemen agreement” boleh dirunding kembali. Mungkin itu maksud disebaliknya?
Padahal, kerakyatan kaum pendatang bukan “kontrak sosial” kerana tidak boleh dirunding kembali. Malah, kerakyatan mereka adalah anugerah raja-raja Melayu bersama rakyat Melayu dan penerimaan dan syarat mereka itu telah dinobatkan di dalam Perlembagaan. Negeri-negeri Melayu tidak ditakluk tetapi secara teknikal undang-undang, British hanya penasihat atau trustee untuk mentadbir.
Bukankah Tun Abdul Razak yang telah mengoperasikan kesemua-semua hak-hak orang Melayu ini dan bukan hanya perhiasan seperti Artikel 152 Perlembagaan Singapura?
Mengapa Pemuda UMNO diam menikus dan Pak Lah berdiam saja kepada persoalan-persoalan ini? Mengapa apabila Dr Kua Kia Soong melakukan pembohongan sejarah, Pak Lah dan jentera UMNO berdiam saja dan membiarkan pembohongan sejarah? Inikah semangat mengingati Tun Abdul Razak?!
Inilah sahaja yang pemerintahan Pak Lah tahu. Ambil yang lama, diubah suai (kadang hingga ranap) dan dibungkus dan jenama balik sebagai jenamanya. Tidak ada yang di bina dan buat. Sedih, apabila tiada kesinambungan dalam satu-satu usaha baik.
Malah sekarang, sesuatu bersejarah yang tiada ternilai pun mahu diambil. Nasib baik Stadium Merdeka masih belum diroboh. Mana mungkin Hong Leong boleh masuk cadangan membangunkan tanah Universiti Malaya, kalau tidak ada persetujuan dahulu untuk memasukkan cadangan?
Kata lawak seorang penggiat politik lama, Aspan Alias, nasib baik Pak Lah bukan Perdana Menteri Saudi Arabia. Harus dipindahkan Kaabah ke Taif kerana harga tanah di Mekah sudah mahal dan baik dibangunkan shoping complex. Bandar Mekah dan Taif boleh ditukar jenama menjadi bandar Pak Lah I and II.
Konspirasi Di Sebalik Seminar
Hari ini bermulalah kononnya Seminar Legasi Tun Abdul Razak Kepada Pembangunan Negara anjuran Akademi Pemuda dengan kerjasama Alumni Yayasan Tun Razak. Ianya akan dibuka oleh anak Allahyarham Tun, Dato Seri Mohd Najib.
Ramailah akan membentangkan kertas kerja mengenai polisi pelajaran, politik, kemasyarakatan, perpaduan kaum, pembangunan dan hal ehwal antarabangsa semasa zaman Tun ABdul Razak. Petang ini Tengku Tan Sri Razaleigh Hamzah diberi satu sesi pada pukul 5 petang, semasa peserta dah selalunya berkurangan.
Penulis berterus terang kata mesti ada “udang disebalik batu”. Sebelum ini, penulis telah bongkar usaha menjatuhkan legasi Dr Mahathir untuk menaikkan Pak Lah di
sini. Kali ini, mungkin sekali beberapa perkara akan berlaku.
Memburukkan Tun Dr Mahathir itu sudah pasti tetapi mungkin sekali ia akan juga
mencuri atau merosakkan jenama Tun Abdul Razak dari Dato Seri Seri Mohd Najib dan Tengku Tan Sri Razaleigh Hamzah. Sekiranya diperhati dari kenyataan Khairy Jamaluddin semalam bahawa Seminar ini adalah untuk mengenalpasti dan memperbaiki kelemahan disebalik polisi Tun Abdul Razak, maka
kemungkinan besar, ianya untuk melukiskan Pak Lah sebagai Tun Abdul Razak baru.Kebenarannya jauh dari yang akan orang ramai lihat dari media. Penulis menyedut tulisan rakan karib dan rakan blog
Biggum Dogmannsteinberg berkenaan jawapan Pak Lah kepada satu soalan wartawan semalam di Majlis Makan Malam Kelab Perniagaan Kuala Lumpur:
Perdana Menteri Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi bersetuju bahawa Wilayah Pembangunan Iskandar (WPI) adalah merupakan model dan peluang terbaik untuk dimansuhkan dan proses meleraikan Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang dikatakan ‘membelengu’ pertumbuhan positif ekonomi pasaran bebas Negara.
Untuk pengetahuan pembaca, Pak Lah tidak menghadhirkan diri pun ke Seminar ini.
Penulis serahkan sahaja kepada anak-anak muda yang bijak tidak boleh di tegur dan di bimbing di Pusat Konvensyen Sime Darby di Bukit Kiara. Celik atau buta mata hati mereka kepada perkara sekeliling?
Adakah mereka tahu dan faham apa objektif UMNO yang sudah tertera dalam Perlembagaan UMNO? Jangan pula selesai perjuangan Tun Abdul Razak.
Buat Allahyarham Tun Abdul Razak, penulis mengajak pembaca membacakan
Al Fatihah sebagai doa untuknya.
Al Fatihah.