Setelah selesai dibaca, fikir dan analisa isi yang tersurat dan tersirat disebalik berita-berita dan ulasan-ulasan ini berkenaan Forum MyKMU pada hari Selasa lepas, tiga perkara begitu jelas boleh disimpulkan dari perbincangan ilmu yang bertenaga voltan tinggi ini - Pak Lah harus berundur dengan hormat, ahli-ahli UMNO perlu berani, dan pemilihan jawatan harus dihidupkan kembali untuk menghidupkan kembali semangat demokrasi.
Liputan Forum MyKMU pada hari Selasa baru-baru ini di Hotel Singgahsana, Petaling Jaya boleh dibaca di blog Tunku dan MyKMU sendiri untuk membaca kompilasi berita dan ulasan. Blog PAS Pemuda PAS sini mempunyai sepenuh video syarahan Dr Mahathir dari MalaysiaKini.com.
Undur Lah
Alasan-alasan dan jawapan-jawapan yang didengar untuk membalas kepada tuntutan pengunduran Pak Lah yang sering diberi adalah supaya tidak emosi, mengajak bersikap positif, memberi tumpuan untuk menguatkan parti, ianya bukan sahaja faktor, dan lain-lain.
Tidak dinafikan alasan-alasan dan jawapan-jawapan ini mempunyai asasnya, tetapi harus disedari yang masih mempertahankan hanyalah segelintir yang sedang memegang jawatan.
Mengapa sunyi sepi Pendekar Bukit Gantang, Dato Nazri Aziz dan Laksamana Tupang Sekaki, Dato Seri Ali Rastam? Usahlah diberi kredibiliti untuk disebut Ketua Penerangan UMNO dan mantan Menteri Penerangan yang tertinggal zaman IT yang bersuara dengan argumen murah untuk menembak pembawa utusan dan mainan kanak-kanak "kau pun serupa" yang tidak menjawab persoalan sekarang.
Perlu disedari bahawa antara yang menjawab itu, berlapik membawa suatu mesej dalam memperkatakan perlunya kepimpinan yang kuat dan berani.
Bagi menjawab kembali, blogger ini ada menulis di ruang komentar blog seorang YB UMNO yang berani untuk menjelaskan bahawa tuntutan pengunduran Pak Lah bukan kerana emosi.
Di dalam bidang pengurusan strategik, tiga elemen penting yang perlu ada semua untuk menjayakan implimentasi mana-mana rancangan ia-itu strategi dan taktik, organisasi dan sumber manusia, dan kepimpinan. Jelas sekali, kepimpinan adalah ramuan penting, jika tidak terpenting. Strategi dan taktik yang disusuan dan organisasi dan sumber manusia perlukan kepimpinan untuk dapat bergerak .
Ciri-ciri kepimpinan yang perlu ada adalah sebagaimana sifat Rasululllah itu sendiri - Siddeq (benar), Amanah, Tabligh (menyampaikan), dan Fatanah (bijaksana). Sebagai pemimpin, Pak Lah sudah hilang ciri-ciri ini. Bukan sahaja dia tidak menunjukkan fatanah (kebijaksanaan), kebolehan intelek dan mantiq (lojik) pun tidak menyakinkan. Kehebatan yang dilihat selama ini hanyalah usaha orang lain dan dibesar-besrkan dengan permainan putar belit media Kalimullah dan pantauan biadap Kamal Khalid.
Contoh kepimpinan di dalam Islam adalah cara pemilehan imam untuk jemaah sembahyang.
Walau bagaimana hebat kebolehan seseorang, dia perlu penerimaan makmum untuk mengimamkan sembahyang jamaah. Tanpa menghurai senarai statistik, Imam Hadhari sudah tidak boleh diterima oleh jamaah rakyat dan ahli-ahli UMNO diakar umbi. Hanya Jawatankuasa Masjid sahaja yang masih berdegil tidak menerima kenyataan.
Raja-raja Melayu sebagai pemegang simbol kedaulatan negara dan penyampai suara rakyat jelas tidak percaya lagi dengan pentadbirannya.
Takut Apa?
Perkara kedua yang boleh disimpulkan di Forum MyMu adalah perlunya membuang sifat takut. Sudah masanya ahli-ahli UMNO melakukan sesuatu yang berani demi memastikan UMNO boleh terus releven untuk diterima rakyat untuk memperjuangkan bangsa, agama dan negara.
Tiada ertinya berhujah dan melontar perkataan perjuangan, jika ahli-ahli UMNO takut untuk bersuara menentang kekalutan di dalam parti dan pemimpin. Malah, tiada erti untuk melibatkan diri di dalam parti politik hanya untuk setia membabi buta kepada pemimpin dan bukan perjuangan!
Selagi kita tidak berani menghadapi risiko untuk menegakkan hak dan menentang kemungkaran, usah kita kotorkan parti UMNO ini dengan kehadhiran kita.
Untuk menghidupkan kembali, UMNO perlu melakukan reformasi dan perubahan yang mendadak. UMNO perlu berani menghayati pengorbanan di dalam perjuangan. Suatu pembersihan besar-besaran harus dilakukan. Pemimpin-pemimpin yang tidak dan tidak berani bertangungjawab tidak harus dikekalkan.
Jangan lagi takut-takut untuk menghumban jauh mereka-mereka yang menerajui parti hanya untuk peribadi - kekayaan, kuasa dan pengaruh - dan melakukan perkara-perkara yang bertentangan dengan perjuangan parti, kepentingan alif ba ta, dan prinsip nilai yang baik.
Pemilehan Menghidupkan Demokrasi
Dengan demikian, perbincangan ini menjurus kepada perkara ketiga ia-itu harus diadakan pemilehan untuk semua jawatan agar ahli-ahli mempunyai pilihan untuk menentukan masa depan parti. Tun Dr Mahathir yang bertanggungjawab memperkenalkan undi kuota pun memperakui ianya menjadi pengekang demokrasi di dalam UMNO.
Ahli perlu membuka minda untuk memileh mereka yang berani, sedia berkorban dan punya kebolehan. Bukannya kerana nama, gelaran, harta dan kemurahan memberi sahaja. Untuk melakukan perubahan, beranikan diri untuk menawarkan diri bagi memastikan mereka yang tidak layak tidak lagi menjadi pemimpin parti.
Demokrasi yang matang harus dihidupkan kembali dalam UMNO. Sebarang pendapat yang menggunakan alasan-alasan cetek dan berkepentingan untuk menyekat proses demokrasi dalam pemilihan jawatan parti, mengekang hak bersuara ahli-ahli dan menahan penglibatan sesiapa sahaja umat Melayu yang layak ke dalam UMNO harus ditentang habis-habisan.
Sudah masa suatu perubahan perlu dilakukan. Jika sayangkan parti, jangan takut untuk lakukan. Tandingkan semua jawatan, kehadapan untuk bertanding bagi yang layak dan sama-sama hidupkan demokrasi yang matang dan bijak.
Ini semua demi menghidupkan perjuangan!
No comments:
Post a Comment
Plainly state opinion. Only mature and sensible views welcome.
Hostile, insulting and bad language comments NOT RELEASED.