Monday, May 12, 2008

Adakah Helah Disebalik Laporan Polis Terhadap Karpal Singh?


Tindakan Karpal Singh membangkang permintaan Tuanku Sultan Perak untuk melantik semula Dato Jamry Sury sebagai Pengarah Jabatan Agama Islam Perak telah menaikkan kemarahan orang Melayu.

Dalam beberapa hari selepas Dato’ Shafee Abdullah menyatakan Karpal Singh boleh dihadapkan ke mahkamah atas kesalahan di bawah Akta Hasutan, Pak Lah telah mengarahkan Dato’ Tengku Adnan untuk membuat laporan polis pada hari Jumaat lepas.

Arahan itu agak ganjil kerana lazimnya arahan atau rancangan sedemikian tidak dikatakan secara terbuka tetapi dilakukan senyap-senyap dan dilaksanakan terus oleh orang ramai atau akar umbi.

Ini tentu menimbulkan sangkaan bahawa Pak Lah mempunyai motif untuk mengeluarkan arahan tersebut. Mengapa pula Pak Lah ingin meludah ke langit?

Bukankah dia sendiri melakukan kesalahan yang sama jika dipetik kata-kata Dato Shafee, “menimbulkan pergeseran antara istana dan rakyat”, semasa enggan menerima penolakkan istana kepada perlantikan semula Dato Idris Jusoh sebagai Menteri Besar Terengganu?

Mutakhir ini, mudah disimpulkan sebarang tindak tanduk Pak Lah adalah hanya untuk menguatkan kedudokan politiknya yang sudah goyang menunggu rebah.

Walaupun tekanan lompat parti dan politik dalaman UMNO sudah reda sedikit, mungkinkah Pak Lah masih risau dengan kuasa Raja sebagaimana dalam satu peruntukkan di dalam Perlembagaan Persekutuan?

Karpal Singh dan Mulutnya

Selepas prestasi yang sunggoh menakjubkan DAP di dalam PRU12, sedikit demi sedikit DAP telah dilihat menunjukkan "tocang".

Kenyataan pertama Ketua Menteri baru Pulau Pinang mahu menghentikan polisi-polisi yang berkaitan dengan DEB. DAP Perak menuntut jawatan Menteri Besar. Walaupun ia telah memohon maaf, Lim Kit Siang membangkang pemberiaan jawatan Menteri Besar kepada PAS oleh istana. Di Selangor, pentadbiran negeri dilihat seolah-olah dikuasai oleh Ronnie Liew dan Teresa Kok.

Di dalam episod ini, tindakan kasar Karpal Singh mula melukakan hati orang Melayu apabila memberi amaran kepada PAS untuk menghentikan impian mendirikan negara Islam. Walaupun ia adalah agenda PAS dan mungkin tidak dikongsi sepenuhnya oleh penyokong UMNO, orang UMNO mungkin tersentuh kerana UMNO telah menginterpretasikan Perlembagaan sebagai Malaysia adalah negara Islam.

Pertelagahan terbaru Karpal Singh dengan Raja-Raja (dan orang Melayu) bermula apabila ia membantah apabila Tengku Mahkota Kelantan, Tengku Mohamad Faris Petra mengulang pendirian status negara Islam di pembukaan Perhimpunan Badan Bertindak Melayu di PWTC pada April 12hb, 2008.

Karpal Singh dilihat memperlekehkan upacara mengangkat ikrar permulaan Parlimen dalam membahas titah ucapan DYMM Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong. Ini telah menimbulkan pertelingkahan baru dengan YB Dato Ibrahim Ali, ahli Parlimen bebas dari Pasir Mas.

Perasaan meluat orang ramai bertambah lagi melihat kerapnya Karpal Singh mengganggu perjalanan Parlimen dalam siaran langsung Parlimen di RTM 1.

Tindakan Karpal Singh mempersoalkan Sultan Perak, yang sebagai bekas President Mahkamah Persekutuan pasti fasih dalam hal-hal perundangan, dilihat orang Melayu sebagai biadap dan “kurang ajar”. Orang Melayu di dalam Pakatan Rakyat pun cuba menjauhkan diri dari kontroversi.

Walaupun pelbagai suara ramai dan laporan polis telah dibuat, Karpal Singh enggan meminta maaf dan menganggap kenyataannya tidak salah. Padanya, ia hanya menjelaskan isu perundangan.

Populariti Raja

Perarakan besar-besaran Gelombang Kuning/Bersih pada bulan 10 November 2007 telah meningkatkan populariti rakyat berbilang kaum terhadap Institusi Raja-Raja Melayu.

Pengaruh Institusi Raja mula berkurangan sejak krisis perlembagaan pada tahun 1983. Pada tahun itu, beberapa peristiwa telah mengakibatkan pergeseran antara rakyat dan Raja-raja Melayu, yang berakhir dengan beberapa pindaan Perlembagaan yang melibatkan kuasa Raja-Raja Melayu.

Sejak beberapa tahun kebelakangan, terutama tahun lepas, suara Raja-Raja Melayu mula mendapat tempat di hati rakyat dengan kelantangan Tengku Mahkota Perak, Raja Nazrin menegur dan menyuarakan isu-isu yang berkaitan rapat dengan kenegaraan, sistem kehakiman dan kumpulan “special interest”.

Setelah dilihat teguran Tun Dr Mahathir diketepikan dengan biadap oleh pucuk kepimpinan kerajaan, rakyat mula diyakinkan oleh aktivis-aktivis tertentu bahawa tinggal Raja-Raja Melayu saja pilihan untuk membawa perubahan kepada pentadbiran cuai dan lemah Abdullah Badawi.

Mereka berjaya meyakinkan orang ramai bahawa perarakkan Gelombang Kuning mendapat restu Raja-Raja Melayu. Malah, mereka percaya Raja-Raja Melayu tidak selesa dengan halatuju kerajaan pimpinan Pak Lah dan memberi kepercayaan kepada Raja-Raja Melayu untuk melakukan sesuatu.

Selepas PRU12, Raja-Raja Melayu telah memainkan peranan yang menyerlah dalam perlantikkkan Ketua-Ketua kerajaan negeri. Tindakan Raja-Raja Melayu ini begitu popular kepada kebanyakkan rakyat biasa.

Kuasa Agong Memecat

Walaupun tuntutan rakyat dan akar umbi UMNO begitu jelas telah menolak Pak Lah, beliau masih jelas berdegil ingin mempertahankan kedudokkannya sebagai Presiden UMNO dan Perdana Menteri.

Usaha berkempen dengan pendekatan memujuk telah dimulakan secara besar-besaran untuk memenuhi tuntutan kumpulan "special interest" dan rakyat bukan Melayu, dan menjemput ketua-ketua cawangan UMNO ke Kuala Lumpur untuk beramah mesra.

Seiring dengan itu, taktik kotor sedang dimainkan melalui media dan cara “kepong mengepong” dan menenggelamkan suara tuntutan perubahan di Majlis rasmi UMNO dan mungkin sekali dalam mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO, untuk memberi tanggapan Pak Lah sedang diterima kembali.

Namun, kenyataan Dato Anifah Aman untuk tidak menyokong undang-undang lompat parti memberi suatu petunjuk kelemahan kedudokkan Pak Lah adalah di Parlimen. Mungkin sekali, Pak Lah menyedari ruang kuasa DYMM Seri Paduka Baginda Agong untuk memecatnya. Sila lihat klausa Perlembagaan Persekutuan berikut:

43(4) If the Prime Minister ceases to command the confidence of the majority of the Members of the House of Representatives, then unless at his request the Yang Dipertuan Agong dissolves parliament, the Prime Minister shall tender the resignation of the Cabinet.
Arahan Pak Lah boleh dianggap ramai sebagai untuk mempopularkan diri dari kemarahan orang ramai, khususnya orang Melayu, terhadap Karpal Singh.

Namun, mungkinkah Pak Lah sedang memujuk Sultan Perak, yang merupakan antara Sultan yang paling senior sekali, agar kluasa di atas tidak digunapakai jika berlaku sebarang penentangan terhadapnya di Parlimen?

Jangan lupa bahawa Pak Lah telah memperlihatkan kononnya sedia akur pada permintaan Tuanku Sultan Perak untuk mereformasikan badan kehakiman.

1 comment:

  1. Anonymous2:10 AM

    Negeri Perak menggunakan gelaran Raja Muda, bukan Tengku Mahkota.

    Agak malang kerana kita masih termakan umpan singh yang tidak pakai serban dan melupakan isu pokok yang lebih kritikal iaitu untuk terus memberi tekanan kepada pucuk pimpinan umno dan kerajaan supaya berhenti serta merta. Singh yang tidak pakai serban itu memperalatkan dirinya untuk memberi talian hayat kepada pak lah dengan mengalihkan perhatian orang Melayu khususnya dan rakyat umumnya dengan kenyataan2 yang kontroversi yang menyentuh teras ketuanan Melayu itu sendiri iaitu Raja-raja Melayu. Kalau petikan Perlembagaan itu menyatakan tentang hak Agong untuk memecat PM, apakah pula yang Perlembagaan nyatakan mengenai seorang yang mempersoalkan siapa yang menulis titah ucapan perasmian persidangan Dewan Rakyat? Mungkinkah boleh dilucutkan kerakyatan atau dihukum mati kerana menderhaka sebagaimana saudara-saudara kita yang terlibat dengan peristiwa Bukit Jenalek.

    Biarkanlah Undang-undang menentukan tindakan yang wajar ke atas singh yang tidak pakai serban itu serta orang-orang lain yang tidak menghormati institusi Raja namun tumpuan tidak harus beralih daripada usaha untuk menurunkan pucuk pimpinan umno/bn dan kerajaan yang ada sekarang dengan seberapa segera.

    ReplyDelete

Plainly state opinion. Only mature and sensible views welcome.

Hostile, insulting and bad language comments NOT RELEASED.