Thursday, October 21, 2010

Muhyiddin mengingatkan kembali perjuangan asal UMNO


Ucapan Tan Sri Muhyiddin Yasin, Timbalan Presiden UMNO di pembukaan Perhimpunan Agung Sayap-Sayap UMNO semalam pada Oktober 20hb, 2010

1. Marilah kita dahului dengan sembah tahmid kesyukuran ke hadrat Allah s.w.t. atas nikmat kurniaan-Nya bagi membolehkan kita bersama-sama untuk menyempurnakan Majlis Perasmian Serentak Persidangan Perwakilan Wanita, Pemuda dan Puteri Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO) bagi tahun 2010 pada malam ini.

2. Inilah kemuncak pertemuan para perwakilan daripada tiga sayap penting parti UMNO dari seluruh pelusuk tanah air bagi menzahirkan suara akar umbi, yang mahu melihat bangsa dimartabatkan, Islam didaulatkan, negara dipertahankan dan perjuangan parti berkelangsungan. Inilah perhimpunan yang mewakili suara rakyat - suara keramat. Inilah perhimpunan yang mempasakkan muafakat perjuangan.
Pisang sesikat sayur sebelanga
Tanda muafakat makan bersama

Gunung yang tinggi sama didaki
Lurah yang dalam sama dituruni

Hati gajah sama dilapah
Hati kuman sama dicicah

Alang-alang menyeluk pekasam
Biar sampai ke pangkal lengan
3. Setahun yang lalu saya berdiri di sini di hadapan saudara dan saudari membicarakan tentang kepentingan wahdah atau kesatuan dalam usaha kita untuk menggalas tuntutan perubahan. Kita mulakan langkah perubahan dengan wahdatul fikr (kesatuan minda) untuk memahami aspirasi orang Melayu dan rakyat seluruhnya, dalam suasana landskap politik yang sedang berubah; kita perkukuhkan wahdatul qalb (kesatuan hati) untuk bersama-sama menghayati nilai politik luhur yang disanjung oleh rakyat; kita perteguhkan wahdatul amal (kesatuan tindakan) untuk melaksanakan gerakerja mendekati rakyat secara kolektif; dan kita bulatkan wahdatul hadaf (kesatuan matlamat) untuk menjayakan hijrah jiwa dan sikap bagi melahirkan para pejuang UMNO yang kukuh iman dan taqwanya, utuh nilai moral dan etikanya.

4. Alhamdulillah, hari ini UMNO telah mula berubah. Telah wujud kesedaran baru dalam minda kepimpinan dan ahli-ahli parti, baik dari segi psikologi dan gerakerja. Telah berlaku perubahan dalam gaya kepimpinan, pindaan terhadap perlembagaan parti, transformasi dalam kerajaan yang diterajui, pendekatan baru pengurusan ekonomi pertiwi dan kesedaran baru tentang hubungan kaum melalui Barisan Nasional.

5. Dalam nafas semangat kesatuan dan perubahan ini juga, marilah kita menjengah kembali bagi menghayati matlamat asal perjuangan UMNO seperti yang termaktub dalam perlembagaan parti. Fasal 3 Perlembagaan UMNO menegaskan bahawa “UMNO adalah sebuah parti politik yang berjuang mendukung cita-cita Kebangsaan Melayu demi mengekalkan maruah dan martabat bangsa, agama dan negara”.

Ini termasuklah:
(i) mempertahankan kemerdekaan dan kedaulatan negara;
(ii) mendukung dan mempertahankan Perlembagaan Negara, Perlembagaan Negeri-Negeri dan Raja Berperlembagaan;
(iii) menegak, mempertahan dan mengembangkan Islam, agama rasmi negara serta menghormati prinsip kebebasan beragama;
(iv) mempertahankan kedaulatan rakyat dan keadilan sosial demi mengamalkan sistem Pemerintahan Demokrasi Berparlimen serta memajukan ekonomi rakyat Melayu dan Bumiputera khasnya dan rakyat Malaysia amnya;
(v) menjamin kedudukan Bahasa Kebangsaan (Bahasa Melayu) sebagai bahasa rasmi yang tunggal dan Kebudayaan Kebangsaan yang berteraskan Kebudayaan Melayu; dan
(vi) mewujudkan kerjasama antara kaum bagi melahirkan satu bangsa Malaysia yang kuat dan bersatu berasaskan kepada hak-hak asasi manusia dan hak-hak istimewa orang Melayu dan Bumiputera.
6. Merenung kembali asas penubuhan parti ini, akan membolehkan kita membuat penegasan semula, dan mengingatkan ahli-ahli dan seluruh warga, khususnya generasi muda, bahawa UMNO adalah sebuah wadah politik yang mempunyai prinsip perjuangan dan idealisme yang murni, namun tetap pragmatik dalam pendekatannya. Meskipun UMNO sebuah parti yang besar dan bertunjang kepada kebangsaan Melayu-Islam, namun sifat keadilan, akomodatif dan inklusif Melayu itu, tidak pernah mengkhianati atau menzalimi kaum atau agama lain yang bernaung di bawah politik Melayu.

7. Ini berbeza dengan sikap parti-parti pembangkang. Mereka tidak mempunyai landasan perjuangan. Sebab itulah, setiap kali mendengar dentuman guruh politik di langit, maka tiap kali itulah juga mereka bergegas membuang air di tempayan, merubah citra dan pendekatan, sehingga melupakan matlamat asal parti masing-masing. Mereka caca marba, seperti sesumpah yang kerap bertukar warna, sanggup menjadi penglipur lara, yang mendongengkan cerita. Matlamatnya mudah, semata-mata untuk mendapatkan laba politik yang sementara sifatnya, hingga sanggup menggadai maruah negara, menjadi pengkhianat di pentas antarabangsa, dan mencerca sesama bangsa. Kepada mereka kita ingatkan pesanan Pak Hamka:
Berapa pula penjual negeri
Mengharap emas perak bertimba
Untuk keuntungan diri sendiri
Biarlah bangsa menjadi hamba
8. Ada di kalangan mereka yang segan silu untuk berbicara mengenai matlamat parti mereka. Takut kalau-kalau hilang sokongan rakan dan penyokong yang baru. Malah mereka sanggup berdolak dalih. Kepada penyokong setia berkata lain, kepada rakan baru berkata lain. Walaupun berbeza pandangan dan prinsip dalam banyak perkara, mereka sanggup berdiam diri dan mengalah saja. Malah mereka memberikan pelbagai alasan untuk membela rakan-rakan bersekedudukan. Dulu musuh ketat, dituduh kafir dan keparat, kini jadi sahabat, dipeluk rapat-rapat. Berlumba-lumba mereka membongkar korpus-korpus perbendaharan politik Islam bagi menghalalkan tahalluf siasiy– persefahaman politik sementara bagi mencapai matlamat sebenar; menggunakan kaedah sirr – merahsiakan niat sebenar dan matlamat perjuangan; serta prinsip maslahah siasah – melakukan sesuatu demi kepentingan politik. Ada pula yang sanggup berpegang kepada konsep taqiyyah - berpura-pura bagi menyembunyikan matlamat utama yang hendak dicapai. Tindakan mereka ini tidak ubah seperti pepat di luar runcing di dalam.

9. Mengapakah perkara ini boleh terjadi? Apakah rakan-rakan baru mereka sudah berubah prinsip? Apakah rakan-rakan baru ini sudah mula menyokong matlamat parti mereka? Apakah rakan-rakan baru ini benar-benar ikhlas untuk bersahabat? Jawapannya kita semua tahu – tidak sama sekali. Jauh panggang dari api. Rakan-rakan baru ini masih memusuhi matlamat yang mereka dokong dahulu; masih tegar menolak syariat Islam; masih kuat memusuhi negara Islam; masih alergik dengan perkataan dakwah Islam; masih tebal faham sekularisme; masih sarat dengan cauvinisme yang mewujudkan kebencian sesama umat. Tetapi mengapakah mereka sanggup bersekongkol dengan rakan-rakan baru ini? Jawapannya mudah. Kuasa. Bagi mereka kuasa politik adalah segala-galanya.

10. Permainan politik ini tidak akan membawa apa-apa keuntungan. Kuasa yang diperolehi cuma sedikit sahaja. Malah mereka tidak boleh berbuat apa-apa pun untuk melaksanakan agenda parti, kerana kelangsungan kuasa mereka bergantung kepada sokongan orang lain. Lama-kelamaan penyokong sendiri sedar bahawa parti yang mereka sokong, pemimpin yang mereka dokong, tidak boleh melaksanakan cita-cita mereka. Parti itu menjadi lemah kerana penyokong tidak lagi bersama mereka. Untuk mempertahankan kuasa yang sedikit, mereka semakin bergantung kepada sokongan parti lain. Tiada lagi roh perjuangan. Yang ada cuma sekelumit kuasa yang kehilangan makna. Pokoknya, parti ini menjadi hamba kepada kuasa.

11. UMNO tidak begitu. UMNO tetap istiqamah dengan sumpah perjuangan. UMNO tidak pernah tergelincir daripada landasannya. Benar, perubahan politik membawa pembaharuan dalam pendekatan; tetapi ianya sama sekali tidak mencabut roh perjuangan dari jasad dan sanubari UMNO. Roh perjuangan tetap mekar dalam sanubari UMNO; dan terpancar dalam setiap tindakan dan pendirian parti. Bagi UMNO, kuasa hanyalah alat untuk mencapai matlamat perjuangan parti yang murni.

12. Kuasa tidak bermakna jika jiwa perjuangan tercabut dari jasad dan sanubari parti. Apabila UMNO menegaskan tentang kepentingan mempertahankan kuasa politik, ianya tidak lain dan tidak bukan semata-mata untuk menegakkan perjuangan parti. Yakinlah, bahawa UMNO tidak akan berganjak daripada landasan perjuangannya yang asal, yang difahami oleh keluarga besar Barisan Nasional. Kita tidak mahu menjadi parti yang lemah semata-mata kerana terpaksa tunduk kepada kehendak orang lain. Bagi UMNO, mempertahankan perjuangan membela agama, bangsa dan negara adalah prinsip awlawiyat (keutamaan) yang paling besar. Pokoknya, UMNO tidak pernah dan tidak akan menjadi hamba kepada kuasa.

UMNO Cerita Kejayaan

Saudara dan Saudari,

13. Sepanjang usianya, UMNO tidak pernah diam sebagai parti politik yang statik dan jumud. UMNO telah melalui proses perkembangan dan kematangan sebagai sebuah wadah politik yang sentiasa relevan dengan semangat zaman dan citra rakyat. Sebagai parti yang menerajui pemerintahan, UMNO telah berjaya membawa Malaysia melalui pelbagai fasa pembangunan sosio-ekonomi yang telah memberi manfaat besar kepada rakyat. Sejarah 53 tahun UMNO menerajui negara sarat dengan bukti-bukti kejayaan. Dari segi pembangunan ekonomi, Malaysia telah bangkit daripada sebuah negara bekas jajahan yang berteraskan ekonomi pertanian untuk berdiri megah sebagai negara perindustrian yang berkembang pesat. Kini, kita telah bersedia untuk mengorak langkah menuju ke ambang negara maju. Bukankah ini satu kejayaan?

14. Berkat kegigihan dan wawasan jauh kepimpinan UMNO, Malaysia juga telah berjaya mengatasi masalah kemiskinan tegar dan mewujudkan golongan kelas menengah yang besar. Anak-anak desa yang dahulunya dibelenggu kemiskinan, kini menetap di kota-kota besar dengan pendapatan yang lumayan. Anak-anak mereka hari ini tidak lagi dibelenggu kemiskinan malah mendapat peluang pendidikan dan ekonomi yang jauh lebih baik berbanding apa yang mereka terima dahulu. Bukankah ini satu kejayaan? UMNO juga telah berjaya mengekalkan kestabilan politik dan keharmonian kaum di Malaysia. Di beberapa buah negara majmuk yang lain, konflik kaum mudah meletus dan biasanya berakhir dengan pertumpahan darah. Namun, Alhamdulillah, berkat kebijaksanaan pimpinan UMNO dan parti-parti komponen Barisan Nasional dalam mengurus perbezaan, kita telah menerima perbezaan ras, budaya dan agama sebagai sumber kekuatan, bukan kelemahan. Bukankah ini juga satu kejayaan?

15. Pencapaian ini bukanlah ibarat “yang pipis datang melayang, yang bulat datang bergolek”. Ianya adalah hasil kesediaan UMNO untuk menerima taklif kepimpinan negara sebagai satu pertanggungjawaban yang besar. Dalam sebuah negara pelbagai kaum, tanggungjawab UMNO yang paling utama ialah untuk memastikan formula politik yang diamalkan dapat menjamin kestabilan, keamanan dan perpaduan yang berkekalan.

Politik Melayu Inklusif

16. Atas dasar ini, UMNO sejak dari awal lagi telah memilih landasan perjuangan sebagai parti nasionalis Melayu yang inklusif. UMNO menerima hakikat kepelbagaian ras sebagai sesuatu yang fitrah dan sahih. UMNO mengakui bahawa dalam sebuah negara majmuk, kerukunan hidup hanya boleh dicapai sekiranya semua kaum mendapat jaminan hak yang sah dan berpeluang mengecap nikmat kemakmuran secara adil. Justeru itu, UMNO berjuang membela nasib bangsa Melayu dan memartabatkan agama Islam tanpa mengabaikan hak dan kepentingan kaum-kaum lain. Melalui Jawatankuasa Perhubungan Kaum (Community Liaison Committe) yang ditubuhkan sebelum merdeka, para pemimpin UMNO terdahulu, bersama dengan pemimpin MCA dan MIC, telah berunding untuk menentukan hak dan kedudukan kaum-kaum di negara ini selepas merdeka. Mereka berbincang secara jujur dan telus dengan satu tujuan iaitu untuk mencapai kesepakatan dalam membina sebuah negara majmuk yang merdeka dan bersatu padu.

17. Hasil daripada kesepakatan inilah maka terbentuk terma-terma kemerdekaan yang menjamin kedudukan istimewa orang Melayu dan hak-hak yang sah bagi kaum-kaum lain. Terma-terma ini, yang dirujuk oleh Allahyarham Profesor Tan Sri Ahmad Ibrahim sebagai “kontrak sosial dan perjanjian keamanan” antara kaum, adalah hasil kesepakatan dan jiwa besar pemimpin-pemimpin terdahulu untuk membentuk formula politik kerjasama kaum yang inklusif. Hak dan kepentingan kaum diperjuangkan dalam kerangka kefahaman bahawa semua kaum akan mendapat jaminan hak dan layanan yang adil dalam sebuah negara yang merdeka.

18. Dalam konteks ini, politik berasaskan kaum yang diamalkan oleh UMNO bukanlah satu bentuk politik perkauman atau politik rasis. Politik rasis bermaksud kita hanya mengutamakan kepentingan kaum sendiri dan menzalimi kaum-kaum lain. Parti yang mendakwa tidak berasaskan kaum boleh jadi amat rasis jika ianya zalim kepada kaum lain. Hakikatnya, sepanjang sejarah perjuangan UMNO, parti keramat orang Melayu ini tidak pernah menjadi parti yang rasis. UMNO sentiasa istiqamah dalam memperjuangkan hak Melayu sepertimana yang telah termaktub dalam Perlembagaan dan pada masa yang sama menghormati hak dan kepentingan kaum-kaum lain. UMNO tidak pernah membolot kekuasaan politik dan nikmat ekonomi untuk kaum Melayu sahaja. Pemimpin-pemimpin UMNO sedar bahawa berkongsi kuasa politik dan nikmat ekonomi dengan kaum-kaum lain adalah jalan terbaik untuk mewujudkan kemakmuran dan keamanan dalam sebuah negara majmuk.

19. Ini berbeza sekali dengan andaian pelbagai pihak luar dan dalam negara sejurus selepas merdeka, yang telah meramalkan kehancuran negara kita akibat kepelbagaian kaum, agama dan taraf ekonomi. Berkat kepemimpinan UMNO yang dinamik dan toleran, ramalan buruk ini tidak menjadi kenyataan. Sebaliknya, negara-negara jiran yang tidak semajmuk kita telah mengalami dan masih mengalami ketegangan kaum dan agama yang membawa kepada pertumpahan darah. Salah satu punca kejayaan kita ialah kita menyedari bahawa kesejahteraan ekonomi memainkan peranan penting untuk menjamin keamanan. Inilah yang dilakukan oleh pemimpin-pemimpin besar UMNO apabila mereka mengilhamkan Dasar Ekonomi Baru bagi memecahkan belenggu ekonomi penjajah. DEB berupa dasar pembangunan ekonomi yang menggabungkan penciptaan kekayaan dan pembahagian yang adil.

20. Berteraskan falsafah dan nilai politik Melayu yang inklusif ini, UMNO telah mencipta kejayaan besar dengan membawa negara kita keluar daripada belenggu ekonomi kolonial yang mencengkam masyarakat pribumi, kepada ekonomi nasional yang mementingkan pembangunan yang mapan dan pengagihan yang adil untuk semua kaum. Sejak dari awal lagi, pemimpin UMNO mengakui bahawa kejayaan Malaysia sebagai sebuah negara majmuk amat bergantung kepada kewujudan satu model pembangunan ekonomi yang inklusif di mana semua kaum dapat menikmati limpahan rahmat kemakmuran secara adil. Malah, pemenang Anugerah Nobel, Joseph Stiglitz dalam bukunya “Making Globalization Work” telah mengiktiraf bahawa kejayaan Malaysia mengekalkan keharmonian kaum selama ini adalah hasil kewujudan model pembangunan ekonomi yang komprehensif di mana semua kaum mendapat jaminan hak ekonomi yang adil.

21. Lantaran itu, kita tidak perlu apologetik apabila memperjuangkan hak dan kepentingan Melayu dan Bumiputera. Sejarah menjadi saksi bahawa apabila UMNO memimpin, bukan sahaja orang Melayu yang mendapat nikmat, malah semua kaum beroleh manfaat. Kita juga tidak perlu apologetik untuk mempertahankan identiti bangsa Melayu, bangga menjadi seorang Melayu, menjunjung adab dan tatasusila Melayu, mempertahankan warisan budaya Melayu, selagi mana kita berlaku adil kepada semua. Firman Allah s.w.t dalam surah Al-Hujrat, Ayat 13:
يَـٰٓأَيُّہَا ٱلنَّاسُ إِنَّا خَلَقۡنَـٰكُم مِّن ذَكَرٍ۬ وَأُنثَىٰ وَجَعَلۡنَـٰكُمۡ شُعُوبً۬ا وَقَبَآٮِٕلَ لِتَعَارَفُوٓاْ‌ۚ إِنَّ أَڪۡرَمَكُمۡ عِندَ ٱللَّهِ أَتۡقَٮٰكُمۡ‌ۚ إِنَّ ٱللَّهَ عَلِيمٌ خَبِيرٌ۬

Yang bermaksud: Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih takwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam PengetahuanNya (akan keadaan dan amalan kamu).
22. Jelas dalam ayat ini manusia itu secara fitrahnya dijadikan berbagai keturunan dan berbangsa-bangsa. Tetapi ukuran sebenar kemuliaan seorang insan bukanlah ketaksuban kepada bangsanya, tetapi ketakwaan kepada Allah s.w.t. Dan sesungguhnya, berlaku adil kepada semua adalah tanda ketakwaan bagi orang-orang yang beriman. Firman Allah s.w.t. dalam Surah Al-Ma’idah, Ayat 8:
يَـٰٓأَيُّہَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ كُونُواْ قَوَّٲمِينَ لِلَّهِ شُہَدَآءَ بِٱلۡقِسۡطِ‌ۖ وَلَا يَجۡرِمَنَّڪُمۡ شَنَـَٔانُ قَوۡمٍ عَلَىٰٓ أَلَّا تَعۡدِلُواْ‌ۚ ٱعۡدِلُواْ هُوَ أَقۡرَبُ لِلتَّقۡوَىٰ‌ۖ وَٱتَّقُواْ ٱللَّهَ‌ۚ إِنَّ ٱللَّهَ خَبِيرُۢ بِمَا تَعۡمَلُونَ (٨)

Yang bermaksud: Wahai orang-orang yang beriman, hendaklah kamu semua sentiasa menjadi orang-orang yang menegakkan keadilan kerana Allah, lagi menerangkan kebenaran dan jangan sekali-kali kebencian kamu terhadap sesuatu kaum itu mendorong kamu kepada tidak melakukan keadilan. Hendaklah kamu berlaku adil (kepada sesiapa jua) kerana sikap adil itu lebih hampir kepada takwa dan bertakwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui dengan mendalam akan apa yang kamu lakukan.

23. Alhamdulillah, berkat wawasan kepimpinan UMNO selama ini, Malaysia bukan sahaja telah mengukir sejarah sebagai negara yang berjaya mengekalkan keharmonian kaum, kestabilan politik dan keamanan negara, tetapi juga telah berada dalam kelompok teratas dalam kalangan negara berpendapatan sederhana tinggi. Hari ini, di bawah kepimpinan YAB Presiden selaku Perdana Menteri, Malaysia sedang tekun meletakkan asas-asas yang kukuh untuk melangkah ke era baru kemajuan ekonomi, iaitu untuk muncul sebagai negara maju yang berpendapatan tinggi menjelang tahun 2020. Berdasarkan pencapaian inilah rakyat telah memberikan mandat kepada UMNO dan Barisan Nasional untuk memerintah. Dengan mandat ini juga, UMNO telah berjaya meneruskan agenda perjuangan politik inklusif yang menjadi kunci kepada kestabilan, kemanan dan kemakmuran negara.

Memperkukuhkan Perpaduan

Saudara dan saudari,

24. Cabaran yang dihadapi oleh UMNO seterusnya ialah bagaimana untuk mengekalkan kejayaan dan memperkukuhkan perpaduan. Kunci kepada kejayaan UMNO selama ini ialah kebijaksanaannya dalam mengurus hubungan kaum dan mengekalkan kestabilan politik. Namun hakikatnya, kita tidak pernah sunyi daripada berhadapan dengan isu-isu yang menyentuh sensitiviti kaum. Walaupun secara umumnya hubungan kaum di Malaysia berada di tahap yang baik, namun masih kedengaran suara-suara yang mempersoalkan hak-hak keistimewaan Melayu dan Bumiputera, serta hak-hak yang sah bagi kaum-kaum lain. Sekiranya tidak diurus dengan baik, keadaan ini akan menimbulkan persepsi dalam kalangan masyarakat pelbagai kaum bahawa kedudukan dan hak mereka yang dijamin oleh Perlembagaan semakin terhakis.

25. Debat perkauman dalam masyarakat juga semakin merumitkan keadaan. Perdebatan tentang isu perkauman tanpa batasan boleh menimbulkan provokasi yang membakar sentimen perkauman. Kita tentu sekali tidak mahu percikan api kemarahan akhirnya menjadi letusan yang memusnahkan segala nikmat keamanan, kemakmuran dan perpaduan yang telah kita bina. Sanggupkah kita menggadaikan segala nikmat yang kita kecapi semata-mata kerana amarah perkauman? Hakikatnya, tiada siapa yang beruntung sekiranya perbalahan bermaharajalela. Kalah jadi abu, menang jadi arang.

26. Justeru, perasaan curiga antara kaum mesti dibendung segera. Debat perkauman mesti dihentikan, bukan esok atau lusa, tetapi sekarang. Jangan ada mana-mana kumpulan yang mempersoalkan hak keistimewaan Melayu dan Bumiputera, serta hak-hak yang sah bagi kaum-kaum lain, seperti yang termaktub dalam Perlembagaan. Hormatilah dan terimalah keluhuran Perlembagaan yang telah meletakkan asas-asas bagi negara kita. Saya yakin dan percaya, bahawa rasa curiga antara kaum akan dapat diatasi sekiranya semua kaum mendapat jaminan bahawa hak-hak mereka yang telah termaktub dalam Perlembagaan akan dipertahan dan dihormati dalam apa jua keadaan sekalipun.

27. Kepada orang Melayu dan Bumiputera, saya menegaskan bahawa UMNO sebagai parti teras Melayu, akan terus mempertahankan hak-hak keistimewaan Melayu dan Bumiputera, kedudukan agama Islam, kemuliaan institusi Raja-Raja Melayu, kedudukan Bahasa Melayu dan memastikan orang Melayu dan Bumiputera mendapat pembelaan sosial dan ekonomi yang seadil-adilnya.

28. Kepada kaum-kaum lain, UMNO sebagai parti teras kenegaraan tetap mengormati hak kaum-kaum lain sepertimana yang termaktub dalam Perlembagaan. Sebagai sebuah parti politik Melayu yang inklusif, dan berdasarkan rekod perjuangan UMNO selama ini, UMNO akan terus memastikan bahawa, di bawah teraju UMNO, tidak ada satu kaum pun yang akan ketinggalan dalam menikmati rahmat pembangunan dan kemajuan negara.

29. Saya sedar, ada pihak yang menjanjikan bulan dan bintang kepada kaum-kaum di negara ini. Mereka hanya berjanji. Sedangkan UMNO telah mengotakan janji. Kita telah buktikan selama ini bahawa di bawah teraju UMNO, semua kaum mendapat jaminan hak yang adil. Di banyak negara bekas tanah jajahan, bangsa majoriti mendominasi kaum minoriti dengan memaksa mereka mengasimilasi, di mana mereka tidak dibenarkan mengamalkan bahasa, budaya dan agama mereka. Sebaliknya, di Malaysia, melalui UMNO, para pengasas negara kita telah memilih dasar yang inklusif, yang menerima dan memberi layanan yang adil kepada semua kaum. Inilah bukti keadilan dan keterangkuman UMNO.

Gagasan 1Malaysia

30. Selaras dengan pendirian inilah, kita menjunjung Gagasan 1Malaysia yang dicetuskan oleh YAB Presiden sebagai satu gagasan perpaduan yang memberi jaminan hak kepada semua wargenagara berlandaskan prinsip-prinsip Perlembagaan dan Rukunegara. Gagasan ini akan mencetuskan kekuatan kita sebagai sebuah masyarakat majmuk yang bersatu padu. Dalam konteks ini, Gagasan 1Malaysia tidak menolak fitrah kepelbagaian identiti dan budaya kaum yang ada di negara kita, malah menegaskan kepentingan untuk menerima kepelbagaian sebagai sumber kekuatan. Gagasan 1Malaysia yang berlandaskan Perlembagaan dan prinsip penerimaan ini tidak membawa maksud penghakisan identiti atau hak mana-mana kaum, tetapi merupakan satu penegasan terhadap pengukuhan rasa kebersamaan dalam kalangan masyarakat majmuk dengan menerima kepelbagaian sebagai satu fitrah yang murni. Saya yakin dan percaya, gagasan berpandangan jauh YAB Presiden ini akan menangkap imaginasi rakyat pelbagai kaum dan membawa kita ke hadapan sebagai sebuah negara majmuk yang maju dan bersatu padu.

31. Kita juga sedar bahawa perpaduan Melayu adalah prasyarat kestabilan politik Malaysia. Perpaduan Melayu tidak boleh dilihat secara terpisah daripada perpaduan nasional. Perpaduan Melayu itu sendiri merupakan teras perpaduan nasional. Untuk itu, UMNO akan terus menerajui perjuangan untuk menyatupadukan bangsa Melayu dan umat Islam. UMNO akan berganding bahu dengan mana-mana pertubuhan bukan kerajaan Melayu dan Islam untuk memperkukuhkan perpaduan, menyemarakkan syi’ar Islam dan memastikan kestabilan politik terus terjamin.

Melangkah Ke Hadapan Dengan Keyakinan

32. Melangkah ke hadapan, orang Melayu juga perlu mengatasi segala kelemahan yang ada. Manakala UMNO tetap membela hak dan keistimewaan orang Melayu dan Bumiputera, generasi Melayu dan Bumiputera hari ini dan masa hadapan tidak lagi boleh bergantung semata-mata kepada jaminan politik dan perundangan untuk maju. Ini kerana landskap politik dan ekonomi dunia sudah berubah. Ledakan maklumat dan teknologi komunikasi telah meruntuhkan sempadan politik dan ekonomi, dan menjadikan dunia semakin global. Dalam dunia yang semakin kompetitif hari ini, kesejahteraan ekonomi, sosial dan politik bangsa Melayu amat bergantung kepada kemampuan diri untuk bersaing dalam dunia tanpa sempadan. Transformasi ekonomi yang lebih terbuka bukanlah satu proses yang boleh diundur. Mahu tidak mahu, bangsa Melayu perlu lebih dinamis dan bersedia untuk melakukan anjakan minda yang signifikan. Bangsa Melayu mesti bermujahadah untuk meningkatkan kemampuan diri.

33. Dalam menghadapi realiti ekonomi berasaskan pengetahuan, yang dipacu oleh kekuatan modal insan, pembinaan modal insan Melayu yang berilmu dan berkemahiran tinggi adalah satu tuntutan. Gerakan kesedaran pendidikan di kalangan orang Melayu dan Bumiputera mesti diperhebatkan. Hanya dengan pendidikan orang Melayu dapat mengasah minda dan menggarap kemahiran untuk bersaing dalam dunia yang semakin mencabar hari ini. Pembudayaan ilmu akan menjadi kunci kepada kejayaan orang Melayu hari ini dan masa depan.

34. Tindakan afirmatif akan diteruskan dalam pelaksanaan Model Baru Ekonomi dan Program Transformasi Ekonomi untuk memastikan orang Melayu dan Bumiputera mempunyai tempat dalam proses transformasi negara ke arah menjadi negara berpendapatan tinggi. UMNO tidak akan berpaling daripada landasan perjuangannya untuk memajukan ekonomi Melayu dan Bumiputera. UMNO tidak akan ragu dan apologetik untuk memperjuangkan pengagihan ekonomi yang adil untuk orang Melayu dan Bumiputera. Namun saya tegaskan bahawa dimensi baru dasar tindakan afirmatif yang dilaksanakan adalah berteraskan kepada keperluan dan kelayakan. Hanya mereka yang benar-benar layak dan memerlukan sahaja akan dibantu. Begitu juga, peluang-peluang ekonomi akan terbuka luas buat mereka yang gigih berusaha. Sebaliknya, tidak ada ruang buat pengamal rent-seeking yang haloba untuk mengaut laba yang sementara.

35. Kita juga sedar bahawa perubahan landskap politik telah meletakkan nilai dan etika politik di suatu tempat yang amat disanjung tinggi oleh rakyat. Rakyat amat berharap agar pemimpin dapat mengamalkan nilai-nilai politik luhur seperti kejujuran, keihlasan, kebertanggungjawaban dan kesungguhan dalam melaksanakan amanah kepemimpinan. Bahkan, masa depan sesuatu organisasi politik akan ditentukan oleh sejauhmana nilai-nilai yang baik ini dapat diamalkan oleh para pemimpin dan ahli-ahlinya. Justeru, selaras dengan tekad kita untuk melakukan perubahan dan pembaharuan, dan untuk melangkah ke hadapan dengan penuh keyakinan, marilah kita pupuk dan suburkan nilai-nilai luhur ini dalam perjuangan politik kita, dan marilah kita lahirkan pemimpin-pemimpin yang berketerampilan, beretika dan berakhlak mulia. Saya pasti, jika setiap lapisan pemimpin dan ahli UMNO menjunjung nilai-nilai murni ini, UMNO akan dipandang mulia dan disanjung tinggi oleh rakyat. Ayuhlah:
Kita junjung amanah kepemimpinan
Kita selusuri haluan perjuangan
Kita tekad melakukan perubahan
Kita bawa sinar harapan
Peranan Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri

Saudara dan saudari,

37. Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO adalah sayap-sayap parti yang sentiasa setia kepada perjuangan parti, sentiasa bersedia untuk berkhidmat kepada parti. Saudara dan saudari tidak pernah jemu menjulang panji-panji parti di setiap medan perjuangan. Dalam setiap pilihanraya, dalam setiap program parti, saudara dan saudari sentiasa menjadi jentera penggerak utama. Pemuda dengan Jelajah One Malaysianya; Wanita dengan Jalinan Rakyatnya; Puteri dengan Voguenya; kesemua program ini telah digerakkan di atas kudrat dan iltizam saudara dan saudari. Untuk itu, tidak sempurna ucapan saya jika saya tidak mengucapkan syabas dan tahniah di atas kejituan semangat dan daya juang saudara saudari sekalian.

37. Saya juga percaya, dengan jumlah melebihi 2 juta orang, atau dua pertiga daripada ahli UMNO, Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri adalah sumber kekuatan parti yang mesti diakui. Dengan jumlah sebesar ini, saudari dan saudari adalah masa depan parti yang menjadi harapan rakyat. Justeru, di samping melaksanakan tugas-tugas tradisi dan rutin dalam parti, saudara-saudari mesti lebih agresif dalam mengisi harapan rakyat yang lebih besar. Ini termasuklah harapan rakyat dalam bidang ekonomi, pendidikan, agama, kebudayaan, kesukanan, khidmat sosial, pembangunan keluarga, pemeliharaan alam sekitar dan hubungan kaum. Memang benar, selama ini saudara saudari telah melaksanakan sedikit sebanyak aktiviti dan bakti dalam bidang-bidang tersebut. Begitu juga, memang benar, ini adalah tanggungjawab kerajaan yang sedang pun dilaksanakan. Tetapi rakyat hari ini mahukan sentuhan parti dalam bidang-bidang tersebut. Inilah yang menyebabkan kita harus meningkatkan penglibatan sebagai pemimpin akar umbi dalam bidang-bidang ini.

Kad Skor

38. Untuk memastikan sentuhan parti dalam bidang-bidang ini dapat dirasai oleh masyarakat, maka ia perlu dilaksanakan dengan lebih tersusun dan sistematik. Lebih daripada itu, ia perlu dinilai untuk memastikan impaknya yang sebenar. Oleh yang demikian saya mencadangkan satu sistem Kad Skor diperkenalkan untuk menilai prestasi setiap lapisan kepemimpinan Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri. Kad Skor ini akan menilai keterlibatan dan prestasi saudara saudari dalam bidang-bidang utama yang saya sebutkan tadi.

39. Dengan adanya Kad Skor ini, setiap pemimpin akan dapat dinilai prestasi masing-masing untuk tempoh dua tahun yang akan datang. Mereka yang menunjukkan prestasi tinggi akan diberikan pengiktirafan dan penghargaan yang sewajarnya. Anggaplah inisiatif ini sebagai salah satu daripada usaha ikhlas kita untuk meningkatkan imej parti dan memperkukuhkan keyakinan rakyat terhadap parti.

40. Saya yakin sekiranya sistem ini dilaksanakan sepenuhnya, kita akan menyaksikan satu lonjakan baru dalam tahap keaktifan dan keberkesanan gerakerja saudara saudari. Saya yakin apabila ini berlaku, bukan sahaja sayap-sayap yang akan mengalami lonjakan, malah keseluruhan parti akan menerima kesan yang positif. Dan saya yakin saudara saudari mampu melaksanakannya!

41. Sesungguhnya, sayap-sayap parti mesti memainkan peranan yang lebih aktif dalam mendokong perjuangan parti. Lebih-lebih lagi, dalam suasana politik yang semakin mencabar hari ini, peranan sayap-sayap parti menjadi lebih penting lagi. Isu-isu dan segala tanggapan negatif yang dilemparkan terhadap UMNO perlu segera ditangkis. Malah, sayap-sayap parti mesti sentiasa berperanan secara lebih agresif untuk memperkukuhkan UMNO, dan membentuk pandangan positif rakyat terhadap UMNO. Saudara saudari bukan sekadar berada di barisan pertahanan, tetapi di barisan hadapan perjuangan parti.

42. Tugas kita besar dan cabarannya pun banyak. Pastinya, tugas besar ini boleh dilaksanakan dengan mudah dan berkesan jika kita semua bersatu hati dan berpadu tenaga dalam wadah yang utuh.
Kalau ke bukit sama mendaki
Kalau ke laut sama berenang
Kalau kita bersatu hati
Kerja yang berat menjadi senang
43. Justeru, saya menyeru kepada saudara saudari supaya merapatkan saf dan memperkukuhkan sayap-sayap parti. Jangan ada walau sekelumit perasaan amarah sesama kita. Jangan ada walau sedikit perasaan iri yang membinasakan. Jangan ada walau setitik perasaan dendam yang memusnahkan.

44. Yakinlah, bahawa saudara saudari berada pada landasan perjuangan yang benar. Yakinlah bahawa orang Melayu dan Bumiputera menaruh harapan yang tinggi kepada saudara saudari sebagai pelopor perjuangan UMNO. Yakinlah dengan sumpah setia kita bahawa UMNO tidak akan berganjak daripada landasan perjuangan membela agama, bangsa dan negara. InsyaAllah, jika kita terus istiqamah berada pada landasan perjuangan ini, kita akan sentiasa diberikan kekuatan oleh Allah s.w.t. untuk terus menjulang misi perjuangan suci UMNO.

45. Marilah kita memperkukuhkan kesatuan hati, memperteguhkan kesatuan minda, memperkuatkan kesatuan amal dan membulatkan kesatuan matlamat dalam wadah perjuangan suci UMNO. Marilah kita memberikan sokongan padu kepada YAB Presiden untuk menjayakan pembaharuan di dalam parti dan kerajaan. Marilah kita berikan keyakinan, kepercayaan dan kesetiaan yang tidak berbelah bahagi kepada YAB Presiden untuk memperkukuhkan parti dan mengangkat martabat perjuangan UMNO.

46. Saya menyeru saudara dan saudari:
Bangkitlah pertahankan parti!
Bangkitlah menjulang idealisme kita yang murni!
Bangkitlah memerangi segala fitnah dan pembohongan keji yang dilemparkan kepada parti!
47. Maralah ke barisan hadapan perjuangan! Julanglah panji-panji parti dengan penuh kemegahan dan keazaman! Jangan takut, jangan gentar. Allah bersama kita. La takhaf wa la tahzan, innaLlaha ma’ana.

Nota: Kenapa RTM, TV3 dan lain-lain TV tidak memberi siaran langsung kepada Timbalan Presiden UMNO? Rais ... ?

No comments:

Post a Comment

Plainly state opinion. Only mature and sensible views welcome.

Hostile, insulting and bad language comments NOT RELEASED.