Monday, November 15, 2010

P Ramlee tidak dihargai di akhir hayatnya


Khazanah bernama P. Ramlee

Siti Ruqaiyah Hashim*
Utusan Malaysia, November 11hb, 2010

Beberapa tahun lalu dalam ulasan Muzikal P. Ramlee (dalam majalah Pentas) saya merakam rasa terkilan kerana walaupun P. Ramlee seorang bintang tersohor dalam industri filem kita, tetapi belum ada sekerat pun penghargaan kepada beliau di layar perak.

Selepas menonton dokumentari P. Ramlee terbitan Pesona Pictures di History Channel Astro, sambil menitiskan air mata saya menghantar khidmat pesanan ringkas kepada Shuhaimi Baba menyatakan terima kasih dan tahniah saya kerana beliau telah melakukan keadilan kepada P. Ramlee dan ini sesuatu yang amat bermakna dan bersejarah dalam industri filem (lebih kepada industri seni sebenarnya) kita.

Selepas program Soal & Jawab di TV3, saya juga menghantar khidmat pesanan ringkas kepada Datuk Ahmad A.Talib mengucapkan terima kasih kerana melakukan keadilan kepada Shuhaimi Baba dengan membawa pengarah wanita berwibawa dengan kredibiliti yang tidak sedikit dan bukan pengejar glamor ini ke kaca televisyen untuk bercakap dengan jujur tanpa merasa takut tentang dokumentari beliau mengenai khazanah Malaysia yang bernama P. Ramlee.

Semenjak tahun 1998 sewaktu Saloma masih hidup, Shuhaimi telah menyimpan keinginan untuk membuat filem tentang P. Ramlee. Kata Shuhaimi kepada saya, beliau merasa cukup lega selepas selesai membuat dokumentari ini kerana pernah berjanji kepada Allahyarham Nasir anak P. Ramlee untuk membuat filem atau dokumentari tentang seniman agung ini semenjak tahun 2000.

Kekurangan dana menyebabkan Shuhaimi tidak dapat memfilemkan kisah P. Ramlee lebih awal, walaupun ada hikmahnya saya kira kerana dokumentari ini mendapat slot di History Channel yang memastikan lebih ramai manusia di seluruh dunia menontonnya.

Cuma sayang, Nasir juga telah tiada untuk menonton filem tentang bapanya. Begitu rupanya hati budi orang-orang tertentu dalam menjaga khazanah berharga kita! Beberapa bulan yang lalu semasa Shuhaimi Baba dalam proses membuat dokumentari ini saya dijemput ke majlis makan malam di Saloma Bistro untuk mengutip dana untuk waris-waris P. Ramlee.

Ekoran daripada itu, beberapa minggu kemudian ada berita bahawa Universiti Lim Kok Wing telah menganugerahkan biasiswa kepada dua orang cucu P. Ramlee yang menuntut di situ.

Alhamdullilah, ada insan yang terasa, ada hati nurani yang terketuk, ada conscience yang cukup berasa perlu melakukan sesuatu untuk waris-waris yang masih hidup.

Belum ada seorang insan seni Melayu yang begitu hebat dominasinya dalam seni yang bukan saja terkenal di Singapura dan Malaysia, tetapi juga di Nusantara.

Idris Sardi penggesek biola tersohor Indonesia pernah mengakui kepada saya, beliau cukup senang bila memainkan lagu-lagu P. Ramlee dan tidak pernah merasakan keasingannya sebagai seorang komposer Melayu.

Mas Idris merasakan 'kesebatian' lagu-lagu ciptaan P. Ramlee dengan dirinya di mana juga beliau menggesek biola sama ada di New York, London, Paris, Prague atau lain-lain lokasi.

Hubungan emosi dan psikologi antara Idris Sardi dengan P. Ramlee ini cukup dalam malah sesiapa juga yang menonton beliau menggesek biola akan merasakan keistimewaan serta kuasa 'elektrik' yang terkandung di dalamnya.

Ramai yang berkata Idris Sardi akan menitiskan air mata P. Ramlee kalau beliau masih hidup dan mendengar lagunya Getaran Jiwa dimainkan dengan begitu kyusuk dan bertenaga sekali oleh Idris Sardi. Ia satu fenomena sebenarnya.

Saya sependapat dengan Shuhaimi bahawa kita menanggung beban rasa bersalah yang amat sangat terhadap P. Ramlee hingga ke hari ini kerana di akhir-akhir hayatnya, beliau terlantar, terbiar, 'dikhianati' dalam kemiskinan dan kekecewaan oleh orang-orang yang mahu 'mengecilkan' dirinya yang menjadi terlalu popular dan terlalu 'besar' kerana bakat seni yang dipunyainya.

Suatu ironi kehidupan yang sering dilalui oleh sesiapa juga yang merupakan figure larger than life seperti P. Ramlee. Dan hanya mereka yang pernah melalui perkara sebegini yang tahu bagaimana rasanya.

Lebih ironis, Shaw Brothers yang menaikkannya, menatang bagai minyak yang penuh dan memerah segala keringat dan kreativiti beliau tetapi menjatuhkannya sehingga kehilangan keyakinan, harga diri, depresif dan serangan penyakit jantung di umur 44 tahun.

Dan seperti kata Datuk Dr. Ahmad Nawab, ramai orang yang boleh membantu P. Ramlee untuk beliau terus berkarya, tetapi tidak siapa pun yang mahu menolongnya walaupun Sarimah dan HM Shah teman-teman rapatnya berusaha mengeluarkan modal tetapi segalanya telah terlambat.

Mungkin bukan saya seorang yang terkilan dan berjuta-juta rakyat Malaysia yang turut merasakannya, tetapi keterkilanan saya adalah kerana jauh di sudut hati apa yang berlaku kepada P. Ramlee sebenarnya tidak lebih daripada manifestasi situasi 'bumi dipijak milik orang!'

Dan betapa pun besar P. Ramlee itu, dominasi komersialisme dan ekonomi meletakkan orang seperti beliau di akhir hayatnya makan nasi berlaukkan telur goreng dan hanya Saloma yang mendapat tempat di RTM dan diberikan slot program hiburan bagi menampung kehidupan mereka.

Kisah hidup dan kemelaratan P. Ramlee serta keluarganya bukanlah kes terpencil dan satu-satunya berlaku di kalangan aktivis seni kita.

R. Azmi serta beberapa orang lain juga melalui perkara yang sama dan segalanya hanya menunjukkan fakta bahawa kita belum cukup pandai menghargai karyawan seni dan artis kita.

Mungkin kerana hampir semua orang memikirkan bahawa filem, lagu, teater itu hanya untuk hiburan dan tidak lebih daripada itu. Kesedaran kita tentang memanfaatkan seni untuk pembinaan jati-diri, pemikiran dan pengisian minda, emosi dan spiritual yang cukup perlu dalam pengembangan diri manusia masih belum cukup tinggi dan diyakini.

Pun begitu kitalah yang terus ketawa terbahak-bahak melihat parodi, metafora dan kesinisan P. Ramlee dalam Bujang Lapuk, Tiga Abdul dan Madu Tiga.

Lebih sepuluh tahun lalu Shuhaimi Baba membentangkan kertas kerja untuk Majlis Tindakan Ekonomi Negara dan meletakkan anggaran RM100 juta untuk pengembangan industri filem kita. Sejak tiga tahun lalu, dana serta bajet untuk kegiatan seni telah berlipat ganda diberikan.

Pada tahun 2009, RM100 juta diperuntukan, diikuti RM200 juta bagi tahun 2010 dan tahun hadapan juga diperuntukan RM200 juta. Jumlah yang cukup besar dan pasti penggiat seni negara ini berpuas hati dengan komitmen kerajaan terhadap mereka.

Pun begitu, tidak bolehkah kita ikhtiarkan sesuatu yang lebih terjamin, berjangka panjang, sistematik dan khusus untuk menjaga kebajikan artis? Ketepikanlah RM10 juta untuk apa juga skim yang sesuai untuk menjaga kebajikan mereka. Biarlah tragedi yang menimpa P. Ramlee menjadi yang terakhir dan diingati sampai bila-bila bersama kemashyuran serta kesenimanannya.

Malah masih banyak yang boleh dilakukan untuk waris dan keluarga beliau yang tinggal. Kita mungkin tidak akan dapat berbuat apa-apa tentang hak cipta filem-filem beliau yang masih menjadi harta Shaw Brothers, tetapi lain-lain bentuk bantuan dan kemudahan untuk menyenangkan kehidupan ahli keluarga beliau serta artis-artis lain pasti lebih bermakna.

Walaupun skim bantuan untuk artis yang memerlukan ada tetapi apakah RM10,000 mencukupi untuk meringankan beban artis dan karyawan seni yang dalam keadaan daif, ditimpa bencana dan keuzuran. Saya mencadangkan satu yayasan dibentuk untuk tujuan ini dan tidak keterlaluan kalau ia dinamakan Yayasan P. Ramlee.

* Penulis ialah ahli Persatuan Penulis Selangor - kerabat Gabungan Persatuan Penulis Nasional (Gapena).

Blogger ini turut menitiskan airmata mengikuti dokumentari P Ramlee yang disiarkan di Astro History Channel.

Masyarakat Melayu sering melakukan kesilapan untuk tidak menghargai khazanah-khazanah insan tatakala mereka masih hidup. Ketika mati baru kita menghargai dan menghormati mereka setelah mereka pergi untuk selama-lamanya.

Sepatutnya kita hargai, dan pinta nasihat dan buah fikiran mereka semasa mereka masih hidup lagi. Pengalaman, pengetahuan dan intelek khazanah-khazanah insan negara harus sentiasa dimanafaatkan negara.

Sering kali disebabkan permainan kuasa, cemburu dan khianat, bukan saja buah fikiran mereka tidak dipinta, mereka diketepikan dan sering kali dicemuh. Perbuatan ini hanya memutuskan kesinambungan kecemerlangan dari yang lepas dan membawa kecacatan pada rancangan kemaskini.

Lagi teruk, kepimpinan negara sebelum ini dan sedikit sebanyak yang sekarang, lebih mengagung-agungkan orang muda yang masih belum merasa garam, belum cukup diperam, dan terbukti beberapa tahun lepas melihat mereka membawa jahanam.

Kita memberi peluang kepada yang belum bersedia. Mereka yang patut dibimbing mahu pula mengajar dan memerintah. Tidak cukup peluang untuk memulakan hidup, mereka menuntut hak untuk menjadi kepala terus.

Ini satu kesilapan yang mengulangi dosa terhadap P Ramlee. Sebagaimana terlepas kita peluang membina industeri filem kerana menyisihkan P Ramlee, kita akan terlepas peluang untuk membina pelbagai perkara kerana keangkuhan dan kesombongan terhadap khazanah insan negara
.

Yang tua dihormati, Yang muda disayangi.

25 comments:

  1. Ahmad2:49 PM

    Salam & terima kasih atas ingatan & artikel ini. Moga Allah membalas budi .

    ReplyDelete
  2. Tok Mudim3:44 PM

    Saya pun menonton program astro pasal P.Ramlee ini ( 2 kali lagi )

    bila mereka menceritakan bagaimana di akhir hayatnya (sekitar hujung 60an dan awal 70an) konsert P.Ramlee yang di buat di dewan DBP dan juga UM telah diejek oleh penonton ( yg ramai para pelajar universiti ketika itu ). Ini belum lagi di kira sabotaj terhadap karier filemnya dan karya seninya.

    Pada zaman itu golongan pelajar universiti ini lah yang akan menyerap dan menyebarkan serta mempengaruhi golongan muda melayu segala budaya liberal US seperti flower power @ hippies, muzik rock, student power, women rights (tak pakai bra), dadah dan seks bebas dan segala macam kebebasan yang termasuk kedalam minda mereka.

    Golongan pelajar universiti ketika itu di kira amat moden dan pintar walaupun mereka cuma mengambil kursus pengajian melayu.

    Golongan pelajar universiti ini lah juga yang mengatakan bahawa cara kehidupan dan adat resam melayu sebelum merdeka di kira sudah kolot dan ketingalan zaman dan harus di ubah.

    Di zaman itu lah muncul para pemimpin pelajar yang liberal dan radikal yang gilakan demonstrasi jalanan seperti anwar ibrahim, hishamudin rais dan ramai lagi yang mempengaruhi cara hidup anak muda ketika itu baik di bandar mahupun di kampung.

    Di zaman ini jugaklah muncul gerakan dakwah darul arqam bagi membendung kebebasan dan kelalaian golongan muda ketika itu.

    Salah seorang dari mangsa kegilaan idea liberalisma ini adalah P.Ramlee yang mana aura dan bakatnya di katakan telah ketinggalan zaman sehinggakan dia bukan sahaja di pinggir, bahkan di hina seperti yang di katakan oleh sahabat rapatnya dalam dokumentari itu.

    Dan anak muda generasi liberal (lewat 60an dan awal 70an )itulah kini membesar menjadi pemimpin di malaysia dan masih lagi mengamalkan gaya liberalisma ala amerika

    dan orang melayu jangan terkejut jika anda semua akan di layan oleh segelintir pemimpin ini sepertimana P.Ramlee di hina di akhir hayatnya.

    ReplyDelete
  3. P Ramlee kekuatan nama nya di pangkal 'P' salah satu maksudnya 'Personality'.
    P. Ramlee di hormati di Singapura dan Indonesia tapi dihina dan dipinggirkan oleh Bangsanya di negara tumpah darah nya apabila beliu membuat keputusan kembali ke Tanah Air nys untuk menabur bakti. Ironicaly, dan ganjilnya Cina dan India menyukai nya.
    Didalam dokumentari hebat Suhaimi Baba, semasa di tunjukan babak pengembumian P Ramle, kelihatan Saloma seperti 'tersenyum' sedikit. Adakah senyuman nya melambangkan kekesalan terhadap masyarakat yang kembali mengenali P Ramlee sesudah beliau pergi untuk selama lama nya atau leganya Saloma apabila begitu ramai orang hadir di kuburnya dan terjawab soalan yang selalu bermain di fikiran P Ramlee 'Adakah beliu sudah dilupai'. Wallahualam.
    Saya terkilan kerana Senator Jin Samsudin tidak ditemuramah. Saya percaya dokumentari itu lebih dari 2 jam harap Pihak Astro dapat menyiarkan sepenuh nya secara bersiri. Kisah P Ramle adalah amat menyedihkan lebih sedih dari Tragedi Natrah.

    ReplyDelete
  4. Anonymous7:47 PM

    Lihatlah bagaimana BEKAS-BEKAS PEMIMPIN NEGARA DILAYAN,cth,Tun Ghafar Baba,Tun Mahathir,Senu,Tunku dan lain-lain.Inilah BUDAYA BURUK MELAYU?

    ReplyDelete
  5. Anonymous8:20 PM

    Bro,

    Cakap dah berbuih-buih dah pasal nak membela masyarakat dalam industri seni ni. Si Rais tu manalah paham jerih orang seni ni. Semua duit yang ada bagi je kat KRU. Tiga beradik tu je yang kenyang. Macamlah orang lain semua bangsat. Dia orang je yang pandai. Cubalah check peruntukan semua pegi mana bro kalau tak kat KRU.

    ReplyDelete
  6. Anonymous3:59 AM

    Tuan,
    P. Ramli tidak dihina ketika itu. Cuma konsertnya tidak mendapat sambutan masyarakat sahaja. Seniman tersohor adalah hasil karyanya sehingga kini dinilai dan diminati oleh kebanyakan rakyat. Dimana kan ku cari ganti. He3..

    ReplyDelete
  7. Anonymous10:08 AM

    Malaysian mmg tak pernah merhargai penat lelah rakan senegara mereka sendiri.
    instead of memberikan lebih dorongan, mereka prefer untuk mengutuk dan memboikot.
    contoh yang berlaku sekarang, PROTON.
    sesetengah rakyat Malaysia lebih senang membeli kereta dari Korea dan RPC, yg kualiti tidak lebih tinggi dari PROTON.
    bagaimana pula dengan bijak pandai dan produk tempatan yang lainnya?...

    ReplyDelete
    Replies
    1. Anonymous11:29 PM

      Betul tu kalau stkt kereta buatan korea tu tk beli pun tkpa baik proton dgn perodua lagi...tapi kalau buatan jepun tk boleh nafi la kereta jepun lg bagus

      Delete
  8. Anonymous4:39 PM

    Namun, pemergian Allahyarham P. Ramlee membuka lembaran baru kepada industri seni negara..kesedaran terhadap masa depan artis, hak cipta, kebajikan karyawan semakin meningkat..

    ReplyDelete
  9. Anonymous7:19 PM

    askm tuan,
    saya berkesempatan menonton program astro tersebut, bagi ramai orang seperti saya yang tidak mengetahui cerita sebenar akan terkejut dengan kisah yang dipaparkan, sedih pilu rasanya bila mengenangkan saat-saat akhir Seniman P.Ramlee dia hidup melarat dan tersisih. Menitis airmata saya diakhir program tersebut. Pada Suhaimi Baba, terimakasih saya ucapkan. Semoga Allah mencucuri rahmat keatas roh P.Ramlee hendaknya. Amin

    Azman

    ReplyDelete
  10. Anonymous10:36 AM

    Saya mengikuti hari-hari getir P.ramlee sebelum meninggal dunia - bagaimana dia diperalatkan sewaktu studio Perfima di Jln Ampang dan sebagainya.

    Mereka yang celik tidak perlu diperingatkan oleh doku shuhaimi baba atau lain-lain kerana keadaan seniman agung itu begitu ketara disenja kehidupannya.

    Apalah guna menganugerahkan allahyarham ijazah kehormat kedoktoran dan gelaran tan sri selepas dia dah tiada?

    Apa kata dianugerahkan wang dan pencen kepada anaknya sazali yg begitu gigih, tekun dan ikhlas menjadi buruh majlis bandaran?

    -pak wan selampit-

    ReplyDelete
  11. Anonymous1:11 PM

    Saya amat terkejut apabila melihat dokumentari P Ramlee dalam Astro. Kehidupannya sangat merana di akhir hayatnya.

    Sebelum ini tidak ada berita/rencana mengenai kedudukan sebenar kehidupan P Ramlee.

    Melalui dokumentari baru baru ini dari Astro, dapat kita ketahui bagaimana sifat hasad dengki, sombong dan bongkak dunia artis dahulu telah merosakkan karier seniman ulung kita.

    Amat menyedihkan, mengikut cerita dari Aziz Satar apabila P. Ramlee menhadiri majlis Filem antarabangsa di luar negeri, dia tidak mendapat tempat duduk di kalangan artis tempatan tetapi bersama/kalangan artis Singapura bersebalahan Aziz Satar.

    Nasib P.Ramlee agaknya tidak seburuk yang berlaku sekiranya dia masih kekal di Singapura bersama-sama dengan Shamsudin dan Aziz Satar.

    Cerita P Ramlee patut dijadikan teladan. Walaupun jasanya begitu begitu tinggi kepada negara namun sumbangannya tidak dihargai dan dibiarkan merana. Banyak juga artis artis dahulu yang senasib dengan beliau.

    Memang patutlah industri filem negara ini pada tahap yang buruk dan lembab untuk maju kerana orang kita tidak dapat menilai antara intan dan permata.

    Melihat rencana di Astro, terasa sedih bercampur dangan marah. Orang yang diberikan pangkat dan title seniman negara rupa-rupanya hidup dalam keadaan dhaif sekali dan tidak dihargai semasa hayatnya.


    Orang KL

    ReplyDelete
  12. Motorhead9:07 PM

    Well said Tok Mudim...well said..

    ReplyDelete
  13. Anonymous7:47 PM

    Kepada Anonymous 10:08am

    Janganlah disamakan PROTON dengan Seniman Negara Tan Sri P Ramlee. Itu kerja bodoh namanya.

    Ada ke P Ramlee ambik duit rakyat (pelaburan kerajaan) untuk buat filem? Ada ke P Ramlee mendapat kelebihan di pawagam melalui cukai lebih tinggi kepada filem asing?

    PROTON itu menggunakan wang cukai anda untuk menghasilkan kenderaan yang walaupun selepas 25 tahun masih ditakuk lama. Yang selepas 25tahun kembali memerlukan teknologu dan rekacipta asing untuk memberikan model baru mereka yang digahkan rakyat.

    P Ramlee itu menggunakan segala titik peluhnya untuk menghasilkan sesuatu yang lebih daripada 25 tahun kemudian masih memaksa kita terbahak ketawa atau tersedu menangis.

    PROTON dikritik kerana rakyat semakin sedar "protectionsm" membawa kepada keuntungan dan kebaikan sementara dan "competitiveness" yang akan memastikan kemampanan prestasi.

    Jangan taksub sangat kepada istilah patriotisme sehingga yang didukung itu walau tiada sehiris nilai keaslian tetatpi tetap digahkan sebagai kekuasaan tempatan.

    NAP

    ReplyDelete
  14. Anonymous11:22 PM

    Kepada Anonymous 10.08,

    Agak pelik rasanya kalau nak bandingkan PROTON dengan P.Ramlee.

    Sebenarnya, melalui dokumentari Astro, kejatuhan P Ramlee kerana tidak mendapat sokongan ditambahkan pula dikritik oleh wartawan-wartawan akhbar dahulu.

    Semasa di Singapura,(Jln Ampas) terdapat peralatan filem yang canggih dan terdapat juga sokongan moral dan juga idea daripada sekeliling tetapi tidak ada di KL.

    Persoalannya, bagaimana seorang yang begitu "gifted" dalam mengarang lagu dan juga membuat filem mendapat kesudahan sedemikian. Besar kemungkinan, masyarakat kita tidak bijak menilai ketinggian mutu seni beliau pada ketika itu.

    Sebenarnya, bukan sahaja beliau, Isterinya Saloma juga bakatnya menyanyi begitu tinggi sekali.


    Orang KL

    ReplyDelete
  15. Have to reject one anon comment. It got nothing to do with the plight of p ramlee. Stay focus dude.

    ReplyDelete
  16. Anonymous9:59 PM

    Nasihat untuk artis, penulis, penyanyi, pelakon dll di bidang seni. Tentukan anda:
    1. ada kontrak dengan majikan
    2. ada royalti untuk semua karya, filem dan lagu selama-lamanya. Misalnya keluarga Elvis Presley masih menerima royalty walaupun dia dah lama mati.
    3. ada pembayaran percentage bagi tiap-tiap karya, filem dan lagu
    4. ada manager dan peguam peribadi
    5. popularity artis memang tak tahan lama. Dari itu jangan lupa daratan. Buat harta dan invest utk masa depan.

    Kalau tidak, kalian akan ditipu macam P Ramlee. Shaw Bros & EMI are still laughing all the way to the bank.

    ReplyDelete
  17. Yasmin10:34 PM

    Thank you for your post on the late Tan Sri P Ramli. I just stumbled on your blog today. Now I know I was not the only one with tears running down my cheeks while watching the touching documentary on the legend's sad end.

    He virtually died a destitute due to lack of support and appreciation of his talent.

    How did the situation emerge? Could there be jealousy of his achievement and popularity? Could it be due to his failure to reinvent himself to suit the changing time in musical taste, for example? Could it be due to his inability to adjust to the working of a new environment which is quite different from his times in Singapore where even his financial matters were being looked after by that Chinese gentleman?

    Please don't get me wrong I love Tan Sri P Ramli and I am happy that Shuhaimi Baba has made the documentary on him but I thought the documentary would be lessons learnt had those who have something else to say were sought for their views like in a compare and contrast format so that P Ramli could be portrayed as a talented person but not without human frailties.

    But I suppose nobody would dare to come forward because it is not our culture to speak ill of the dead so we will never learn what actually transpired leading to the sad end.

    All said, whenever I hear his song " Dimana kan ku cari ganti..." there is something heavy tugging at my heartstrings. His loss is irreplaceable. May Allah swt bless his soul.

    ReplyDelete
  18. Dear Brick in the wall
    Thank you for hosting discussions on P Ramlee docu. Yes there's been views, warts and all about P Ramlee and we have to use our judgement to understand the kind of emotion and anger that this documentary will and had stirred up. One of your commentators wanted warts and all. I guarantee that you cannot stomach it. We want truth but we cant stomach truth , we know it only too well.When someone is down
    and out in P Ramlee's time , would he be able to get a quick loan? Maaf , tukar kepada bahasa melayu.
    Masa tu, kalau desperate , mana nak dapat loan? Siapa nak beri? Bank? Tentu kita semua tau - pajak gadai jadi tempat pinjam .Was it demeaning for P Ramlee? Yes. Cuba bayangkan, Hati dia hancur bila terpaksa sampai peringkat itu. Kalau masukan semua cerita ni memang sedap di dengar tapi pasti menimbulkan kemarahan dan lagi rasa bersalah.Banyak lagi kisah P Ramlee yang tak dapt nak di ceritakan. Takat itu pun , banyak kali rayu lembaga penapis jangan potong.

    Sesuatu berlaku dan di lakukan pada P Ramlee kerana artis ketika itu dan seni kreatif berbahasa Melayu di pandang rendah oleh Melayu 'elitis' masa tu. Yang memegang kuasa tak faham tekanan dan manipulasi yang berlaku pada dunia filem Melayu tika itu. Sebab itu hak seorang seniman sehebat P Ramlee tidak dilindungi. Dulu.

    Tapi hari ni masalah sama masih tidak terjawab. Why? Tangan yang boleh mengubah nasib karyawan dan seniman kedekut nak berfikir , sukar nak bayangkan bagaimana harta kreatif itu boleh menjadi potensi ekonomi masa depan seorang artis dan karywan. Apa platfom nya? Ramai yang tanya kalau P Ramlee masih hidup tentu dia jadi kaya? Tidak.

    Hak karya P Ramlee masih tidak terbela. Undang undang berkaitan hiburan dan harta intelektual di Malaysia masih jauh ketinggalan sebab 'its not driven' by those who undertand the demands of a creative industry that is fast becoming borderless.

    Arrogance is reflected by recent incident when those who minted P Ramlee souvenir coins thot it was alright not to acknowledge the right of P Ramlee's daughter in law (wife of the late Nasir P Ramlee) and grandson - when the coins were launched. It was taken lightly because she has no social standing.

    orang Melayu yang sabotaj P Ramlee dan hari ni orang melayu juga yang membenarkan hak seniman melayu di sabotaj serta hak karyawan di ceroboh.

    Pengarah filem.

    ReplyDelete
  19. Jins shamsuddin yang aniaya p.ramlee. korang semua tak ada yg nak dedahkan pasal menda ni

    ReplyDelete
  20. Anonymous2:06 AM

    saya peminat setia p.ramlee. sejak kecil lagi dibesarkan dgn filem2 beliau. up to this day, saya x pernah jemu tgk filem2 beliau, apatah lagi mendengar dendangan lagu beliau. apa yg terjadi pd beliau semasa di Malaysia adalah sangat menyedihkan, dan hasrat beliau untuk mengarah filem berwarna pada ketika itu terkubur begitu sahaja. walaubagaimana pun, selepas menonton dokumentari beliau di History Channel, saya tersenyum lebar. at last, ada juga insan-insan yg berhati mulia menceritakan kisah2 beliau sebelum,semasa dan selepas zaman kegemilangan arwahyarham Tan Sri P.Ramlee, dan dokumentari tersebut diharap dpt memberi peringatan kepada rkyat Malaysia agar tidak mengulangi perbuatan 'memberi pengiktirafan hanya selepas kematian seorang seniman' yg begitu besar bakatnya dan tidak ada tolok bandingan.

    ReplyDelete
  21. Anonymous12:21 PM

    SAYA JUGA SALAH SEORANG PEMINAT PRAMLEE.KETIKA UMUR SAYA 12 TAHUN, SAYA DAH MEMBACA BIOGRAFI PRAMLEE.. TETAPI TIDAK DICERITAKAN ZAMAN KEJATUHAN P RAMLEE.. HANYA DICERITA KAN ZAMAN KEGEMILANGAN P RAMLEE.. RUPANYA KISAH HIDUP PRAMLEE SANGAT MENYEDIHKAN.. PALING YG MENYEDIHKAN .. BELIAU JATUH PADA NEGERI SENDIRI, BANGSANYA SENDIRI.. KLU LAH BELIAU TINGGAL DI SINGAPURA MUNGKIN NASIB BELIAU TERBELA KERANA PEMINAT DI SINGAPURA SGT MENGHORMATI BELIAU.. YA BELIAU MEMANG KHAZANAH NEGARA YG TIDAK TERNILAI.. NAMUN MASYARAKAT PADA MASA ITU BUTA MENILAI PERMATA.. SEJUJURNYA, SAYA SYG P RAMLEE.. KERANA BELIAU BAPA BANGSA MELAYU.. YG BKAN SHJ MENAIKKAN INDUSTRI PERFILEMAN DI MALAYSIA, NAMUN BELIAU JUGA MEMERTABATKAN BANGSA MELAYU.. TAK AKAN DAPAT DIGANTI BELIAU.. WALAUPUN WUJUD BERATUS PENGARAH YG TERBAIK.. SBB BELIAU HANYA SEORANG.. PRAMLEE DLAM DUNIA..

    ReplyDelete
  22. siapa sebenarnya yang mengkhianat P.Ramlee??

    ReplyDelete
    Replies
    1. Jins shamsudin dan pakatan artis2 muda singapura bersama para wartawan mass itu. Kisah yg di dampaikan oleh ahmad nawab agak berlainan,.. Malah teman rapatnya ini mnegaskn pkatan2 itulah yg mngekang pramlee darpida berkarya. Pramlee tidak miskin sprti yg d gambar kn. Dia tidak miskin sprti yg diperkatakan, malah kisah2 sprti ini djaja ksna kmari drpda mereka yg pura2 mgnali pramlee, seniman ahmad mahmud juga prnah mbri tahu hal yg sma, bahawa trdpt mreka2 muncul brpura2 sbg shabat yg Sgt mgnali pramlee, namun sbnrnya merekalah yg bersama2 brpkat dlm stu pakatan yg tidak mahu karya2 seni pramlee, trus brkembang.

      Delete
  23. Saya peminat p ramlee dari kecil umur 5th dah suke nonton filem2nye.. Kami2 orang Indonesia suke nonton p ramlee..
    Dari nenek sampe cucu gemar nonton p ramlee.. Sangat disayangkan kalau dulu beliau tidak dihargai di negeri nye sendiri.

    ReplyDelete

Plainly state opinion. Only mature and sensible views welcome.

Hostile, insulting and bad language comments NOT RELEASED.