Wednesday, February 13, 2008

Dialog Antara Agama, Bukan Berpencak Politik dan Mahkamah

Pergeseran antara agama dikatakan tercetus dari cadangan penubuhan Suruhanjaya Antara Agama (IFC), tuntutan-tuntutan mahkamah, birokrasi pentadbiran agama, tindakan penguasa-penguasa tempatan, dan lain-lain insiden keluarga dan peribadi. Orang bukan Islam menyuarakan kurang selesa dengan Islamisasi; kononnya kecenderongan keagamaan di kalangan orang-orang Islam, penubuhan Institusi-Institusi Islam, dan peraturan yang memaksa amalan Islam. Malah, perdebatan mengenai status negara - Sekular atau Islam - tidak putus-putus didebatkan. Pelbagai keresahan, dan ketidak puasan terhadap agama dan penganut Islam terluah, hingga tersuara perjudis dan kebencian terhadap Islam.

Orang-orang Islam pula merasakan orang-orang bukan Islam membuat tuduhan terhadap Islam yang tidak adil. Ini menjadi lebih buruk dengan senario politik dunia selepas 9-11 yang membibitkan stigma terhadap Islam. Di dalam negara, mereka tidak selesa dengan tuntutan-tuntutan minoriti orang-orang bukan Islam yang dianggap kurang sesuai. Orang bukan Islam dikatakan tidak sensitif dengan keterbukaan memberi tekanan dan menuntut perubahan ke atas orang-orang Islam berkenaan perkara asas yang tidak boleh langsung dikompromikan.

Disebalik perbezaan ini, pasti ada hanya salah sangka dan curiga. Mungkin ada yang faktanya betul tetapi kurang difahami. Dengan demikian, perbezaan agama ini perlu diakhirkan, hanya bagaimana pendekatannya?


Dalam hal ini, penulis blog ini tidak pernah berganjak dari pendirian bahawa dialog antara agama adalah lebih berkesan dari pendekatan secara perundangan, politik, dan aktivisma kepada awam yang lebih menimbulkan permusuhan. Dalam usaha ke arah ini, sukacita diterbit kembali beredit kertaskerja Dr. Mohd Farid Mohd Shahran, Timbalan Presiden ABIM yang telah dibentangkan di Muzakarah Pendisiplinan Dialog Antara Agama dan Peradaban di IKIM pada 22 Januari, 2008 yang amat relevan sekali dalam persoalan ini. Kertaskerja ini memberi perspektif Islam untuk manafaat penganut-penganut semua agama:


DIALOG ANTARA AGAMA DAN PERADABAN:
PERSPEKTIF AGAMA DAN TAMADUN
[1]


Mukaddimah: Makna Dialog

Dialog pada dasarnya bermakna "perbincangan antara dua orang atau lebih".[3] Lebih khusus, seperti yang dikemukakan oleh Leonard Swidler, ia bermaksud "perbincangan mengenai sesuatu perkara antara dua orang atau lebih yang berbeza pandangan dengan tujuan utama untuk setiap pihak dapat mempelajari dari pihak lain agar mereka boleh berubah dan berkembang maju".[4]

Takrifan di atas, sekurang-kurangnya mengetengahkan beberapa ciri penting serta andaian awal yang terdapat pada dialog. Pertamanya, dialog bertitik tolak dari perbezaan pandangan. Kedua, ia bukan sahaja memerlukan persefahaman di antara pihak yang terbabit akan tetapi juga menuntut perubahan dari segi pendirian dan kadangkala, kepercayaan. Ketiga, dialog juga, dalam banyak keadaan, merupakan tindak balas kepada masalah dan kemelut yang timbul, atau dengan kata lain, ia bersifat pragmatik.

Dialog dan Agama

Berdasarkan beberapa pendahuluan di atas, kita dapat bersetuju bahawa dialog adalah satu usaha yang baik kerana ia adalah pendekatan berguna bagi mencari penyelesaian kepada satu permasalahan. Namun, usaha sebegini mungkin mudah apabila ia berkait dengan masalah-masalah yang bersifat sosial, ekonomi dan politik, akan tetapi ia menjadi sukar lagi sulit apabila ia berhubung dengan agama.

Berbeza dengan sudut kehidupan yang lain, agama berkait rapat dengan pegangan, kepercayaan dan keyakinan yang bersifat mutlak. Ia merupakan wilayah suci yang amat sukar menerima ruang perubahan. Tambahan pula, agama, pada fitrahnya, mencerminkan satu kerangka pandangan alam meyeluruh yang terbentuk dari beberapa unsur-unsur utama berdasarkan sumber-sumber agama yang bersifat mutlak. Dalam konteks Islam, misalnya, unsur-unsur utama ini seperti kepercayaan dan kefahaman terhadap Tuhan, Nabi, Hari Akhirat, agama, al-Qur'an, hukum-hakam dan sebilangan nilai-nilai akhlakiah adalah tetap dan kekal, tidak tertakluk kepada perubahan. [5]

Pandangan alam yang terpancar dari sesuatu agama itu pula berbeza dan kadangkala bertentangan dengan pandangan hidup yang terbit dari agama-agama lain. Teks-teks agama yang menjadi sumber rujukan dalam pembentukan pandangan hidup ini secara dasarnya mempertahankan ketulenan kepercayaan dan ajaran-ajaran agama masing-masing dan menolak beberapa prinsip yang dipegang oleh agama lain. Ini secara langsung mempertajamkan lagi perbezaan yang wujud antara pandangan alam yang lahir dari pelbagai agama ini. Misalnya, penegasan dan pengisbatan al-Qur'an terhadap prinsip keesaan Tuhan (Tawhid), kritikanNya terhadap asas pegangan agama Kristian seperti Ketigaan Tuhan (trinity) dan pensaliban Nabi Isa (crucifixion) serta kecaman terhadap penduaan Tuhan (syirik) yang menjadi asas kepada sistem kepercayaan agama-agama lain.

Pertembungan Tamadun

Perbezaan-perbezaan yang terdapat pada pandangan alam ini, sebagaimana yang dibuktikan oleh sejarah, membawa kepada pertembungan besar antara tamadun-tamadun yang mendokong pandangan hidup yang berbeza ini sehingga membawa kepada peperangan dan pertumpahan darah yang berterusan.

Peperangan Salib selama dua abad yang menyaksikan antara lain penyembelihan 60,000 orang Islam dan Yahudi di tangan tentera perang Salib Kristian setelah kejatuhan Baitul Muqaddis merupakan sejarah hitam pertembungan tamadun yang amat dikesali termasuk oleh ahli-ahli sejarah Barat sendiri.[6] Begitu juga dengan pembunuhan seramai 100,000 orang Yahudi di Eropah antara 1400 hingga 1700 hasil dari perasaan anti-semitisme penguasa agama Kristian[7] yang kesannya tidak mudah dilupakan dan masih dirasai hingga sekarang. Ini ditambah dengan gerakan penjajahan yang menyaksikan hampir keseluruhan bumi yang didiami oleh masyarakat Islam telah ditakluk oleh kuasa-kuasa Barat yang membawa bersama-samanya panji-panji agama. Walaupun sebab yang membawa kepada peperangan bukan sepenuhnya bersifat agama tetapi juga disumbang oleh faktor kekuasaan politik dan ekonomi, namun kesan dari semua ini telah menyebabkan jurang kepercayaan antara penganut-penganut agama menjadi bertambah luas.

Pertembungan berdarah ini ditambah dengan serangan pemikiran yang dijalankan oleh pihak Barat terhadap Islam yang telah bermula sejak abad ke 12 lagi melalui tulisan-tulisan yang menyerang Islam oleh ilmuwan-ilmuwan Kristian Byzantin. Ia bertambah rancak pada abad ke 15 dan 16 selepas Qur'an mula diterjemahkan ke dalam bahasa Latin sebelum diteruskan oleh tradisi Orientalisme yang berat sebelah dan amat tidak menyumbang kepada dialog antara agama dan peradaban. Kepasrahan mengenai sulitnya ruang dialog ini dikongsi oleh Dr. Hans Koechler, Profesor bidang falsafah dari Universiti Innsbruck Austria, apabila beliau menjelaskan bahawa:

This complex history of confrontations between Christians and Muslims in the West, the South, and the East of Europe and in the Near East has practically made a genuine "dialogue of civilizations" impossible -- in spite of the rich influence of Islamic culture on the development of the European mind. [8]

Ciri-Ciri Persamaan: Ruang dan Peluang Dialog

Di samping jurang perbezaan besar antara penganut-penganut agama yang dihasilkan dari sejarah hitam di atas, harapan untuk melihat penganut-penganut pelbagai agama ini duduk berbincang tidaklah tertutup terus. Kerana di samping perbezaan tersebut, ada sudut lain yang dikongsi oleh agama-agama ini yang mampu dijadikan titik tolak dialog antara agama. Paling kurang, semua agama percaya kepada kewujudan Tuhan atau kewujudan satu kuasa mutlak yang mengatasi kekuasaan manusiawi. Pasti ada ruang perbincangan yang dapat dikongsi terutama yang berkaitan dengan ancaman terhadap kepercayaan kepada Tuhan.

Sementara di antara tiga agama besar dunia, Islam, Kristian dan Yahudi, hakikat bahawa kesemua agama ini datang dari tradisi yang sama, Abrahamic Tradition, sedikit sebanyak dapat menjadi titik mula untuk memulakan dialog. Al-Qur'an, di samping memberikan gelaran yang lebih khusus, Ahl al-Kitab kepada penganut agama Nasrani dan Yahudi, juga memberi sedikit kelonggaran dari muamalah antara masyarakat Islam dengan mereka berbanding dengan yang lain.

Sekiranya ada yang masih sangsi dengan kemampuan penganut-penganut agama ini bersama dalam bidang teologi, satu lagi dimensi yang dapat dijadikan noktah awal untuk dialog ialah bidang akhlak dan etika. Sebilangan nilai-nilai murni seperti keadilan, berbuat baik kepada ibubapa, jiran, tidak berbohong, amanah dan lain-lain kesemuanya dikongsi oleh agama-agama ini.

Dari sudut tamadun pula, walaupun sejarah manusia banyak diwarnai dengan pertembungan antara tamadun yang terjelma dalam bentuk peperangan dan perluasan kuasa pelbagai empayar dan kerajaan, di satu sisi yang lain terdapat wajah yang lebih aman dalam hubungan antara agama.

Tamadun Islam, misalnya, walaupun dilandasi dengan prinsip dan pandangan alam agama yang agak ketat, namun tamadun yang lahir dalam sejarah ternyata lebih realistik dan terbuka terhadap ruang perhubungan yang sihat antara penganut-penganut agama. Contohnya, walaupun Islam menentang keras kekufuran dan shirik, namun dalam pelaksanaannya, ruang beragama diberikan dengan luas kepada penganut agama lain. Piagam Madinah yang dimeterai oleh Nabi Muhammad dengan penduduk Yahudi dan Nasrani ternyata memberi kebebasan dan ruang kepada agama-agama lain untuk mengamalkan kepercayaan dan ibadah mereka. Dalam pemerintahan Mu'awiyah (661-769), beliau kerap menjemput pihak Kristian Jacobite dan Maronite ke istana untuk berdebat. Begitu juga St. John of Damascus dari Syria sering ke istana baginda untuk berdebat di hadapan Khalifah mengenai ketuhanan Isa, sifat Kalam Tuhan serta isu kebebasan manusia dengan kehadiran Khalifah.[9]

Pemerintahan Islam di Sepanyol pula menyaksikan penduduk Yahudi dan Nasrani tinggal dengan aman di bawah pemerintahan Islam. Ramai orang Yahudi yang datang telah diberikan jawatan penting oleh pihak penguasa Islam. Malah mereka juga dibenarkan untuk membina sekolah mereka yang terkenal misalnya di Cordoba.[10]

Selain bentuk dialog antara agama, yang lebih menyerlah dalam sejarah tamadun Islam ialah dialog intra-agama atau perdebatan di kalangan masyarakat Islam sendiri di hadapan pemerintah. Khalifah-khalifah Abasiyyah seperti Harun al-Rashid dan al-Ma'mun misalnya terkenal sebagai khalifah yang selalu mengadakan perdebatan ilmiah di istana dan kadangkala risiko perdebatan tersebut amat berat iaitu kehilangan nyawa di pihak yang kalah.

Dialog antara agama dalam tamadun Islam juga tidak sekadar berlaku dalam bentuk pertemuan dua pihak secara secara hakiki. Yang lebih utama, interaksi antara agama berlaku dalam bentuk-bentuk ilmiah yang lain. Terdapat sekurang-kurangnya dua bentuk interaksi atau pendekatan tamadun Islam terhadap agama lain iaitu:

i. Jawapan ilmiah (radd) terutama oleh golongan mutakallimun terhadap doktrin agama lain, seperti yang ditulis oleh Ibn Taymiyyah dan Fakhr al-Din al-Razi dalam karya mereka Radd 'ala al-Nasara. Begitu juga dengan tulisan al-Biruni, Kitab al-Hind.

ii. Tulisan berbentuk heresiografi (penjelasan mengenai pelbagai kelompok agama serta pegangan utama mereka) seperti karya Imam al-Ash'ari Maqalat Islamiyyin, al-Shahrastani Milal wa al-Nihal, 'Abd al-Qahir al-Baghdadi Farq bayn al-Firaq.

Keperluan Dialog Agama Masa Kini

Dekad-dekad mutakhir ini menyaksikan seruan untuk melakukan dialog agama semakin kuat walaupun ia masih diperingkat awal. "It is still", kata Alan Race dan Shafer "in its infancy".[11] Keperluan dialog antara agama dizaman ini dikaitkan dengan corak kehidupan manusia yang lebih pluralistik akibat dari arus globalisasi. Jarang sekali berlaku wujudnya sebuah negara yang tidak didiami oleh masyarakat yang pelbagai sementara sistem demokrasi yang diamalkan disebahagian besar negara di dunia yang menonjolkan aspek hak asasi manusia dan kebebasan beragama kadangkala memerlukan interaksi dan tasamuh (tolerance) yang lebih tinggi di kalangan penduduk berbilang agama. Justeru suasana interaksi agama yang dahulunya lebih bersifat monolog harus berubah kepada dialog.[12]

Selain dari itu, timbul masalah-masalah baru seperti ektremisme agama yang kadangkala bukan sahaja memberi kesan buruk kepada penganut agama lain malah kepada penganut agama itu sendiri. Tindakan sekelompok masyarakat bertindak atas nama agama dengan membunuh, mengebom manusia lain yang tidak berdosa adalah sesuatu yang tidak dibenarkan oleh mana-mana agama. Walaupun faktor yang membawa kepada tindakan tersebut serta keadaan psikologi mereka yang terlibat dapat difahami dan perlu diambil kira, tindakan yang dilakukan ternyata tidak menguntungkan sesiapa malah memberi kesan yang lebih buruk kepada hubungan antara agama. Justeru itu usaha dialog sama ada di peringkat dalaman di antara penganut agama itu sendiri dan juga dialog dengan agama lain adalah perlu untuk menjelaskan kedudukan sebenar kefahaman agama tersebut dan mengelakkan kesilapfahaman.

Persoalan lain yang timbul ialah kewujudan common enemies di kalangan pelbagai agama yang menjadi ancaman bukan sahaja kepada sesuatu agama akan tetapi kesemua agama. Misalnya dalam keadaan kehidupan penduduk dunia yang semakin sekular dan berteraskan kebendaan, timbul keperluan di kalangan penganut-penganut agama untuk bersama berganding bahu menentang aliran-aliran ini dari mempengaruhi kefahaman agama-agama mereka.

Begitu juga dengan isu-isu yang bersifat sosio-politik semasa seperti kerosakan alam sekitar, kemiskinan, ancaman nuklear, kepanasan global kesemuanya memerlukan suaran dari kelompok agamawan dan boleh menjadi pendorong utama kelompok-kelompok agama untuk bersama-sama menyatakan pendirian mereka.

Dari sudut yang lebih kecil, terdapat juga masalah-masalah dalaman yang bersifat teknikal yang kadangkala berkait dengan agama. Misalnya dalam konteks Malaysia, beberapa isu tentang pentadbiran agama dan perlaksanaan undang-undang yang memberikan kesan terhadap agama seperti pembinaan kuil, sistem mahkamah sivil dan shari'ah. Perkara-perkara ini sudah pasti memerlukan tindakan proaktif dari kelompok-kelompok agama untuk duduk berbincang dan cuba menawarkan penyelesaian terhadap masalah-masalah tersebut dengan penuh kebijaksanaan.

Penyelesaian terhadap semua masalah ini akan memastikan keharmonian dan kerukunan hidup antara masyarakat beragama akan terjamin. Ini merupakan landasan yang paling penting dalam kehidupan manusia yang mengesahkan lagi keperluan terhadap dialog antara agama. Walaupun dialog sebegini agak lebih pragmatik dan bukan cerminan bentuk interaksi antara agama yang berlaku dalam sejarah dan tamadun yang lalu, ia merupakan keperluan semasa yang tidak dapat dinafikan kepentingannya.

Dua Peringkat Dialog Antara Agama

Berdasarkan kepada pemerhatian di atas, dialog antara agama boleh berlaku dalam dua peringkat. Kedua peringkat ini amat berkait dengan tujuan ia diadakan:

i. Pertama dialog yang lebih khusus dengan tujuan menjelaskan kebenaran agama masing-masing dan mengelakkan kesilapfahaman di kalangan penganut agama lain. Asas kepada dialog bentuk ini ialah menjalin persefahaman. Ia bukan bertujuan untuk mengubah mana-mana doktrin agama akan tetapi untuk menjelaskan dengan lebih lanjut mengenai kepercayaan dan kefahaman agama masing-masing. Ia mungkin menjadi bentuk perdebatan, akan tetapi ia harus dilakukan dengan ilmiah dan sihat. Di peringkat ini, dialog harus diwakili oleh para ilmuwan yang berwibawa dari kedua-dua belah pihak. Sebaiknya ia dijalankan secara tertutup dengan dihadiri oleh mereka yang benar-benar faham mengenai maudu' yang dibahaskan.

ii. Dialog yang menumpukan terhadap penyelesaian masalah-masalah semasa yang lebih berkait dengan urusan pentadbiran agama dan masaalah-masaalah semasa. Tujuan dialog bentuk ini ialah untuk menjamin kelangsungan keharmonian dalam kehidupan bersama. Ia bersifat lebih pragmatik dalam erti kata membahaskan masalah-masalah yang timbul yang memberi kesan langsung kepada keharmonian kehidupan bersama masyarakat beragama. Ia termasuk membincangkan persoalan common enemies yang dihadapi oleh setiap agama seperti aliran-aliran sekular, kepentingan prinsip-prinsip etika yang dapat dikongsi bersama. Ia bukan untuk berkompromi mengenai nilai-nilai agama yang dipegang oleh setiap agama akan tetapi mencari titik pertemuan yang dapat dijadikan titik tolak tasamuh antara penganut-penganut agama. Seperti yang dianjurkan oleh Walter Brandmuller, seorang ahli sejarah Vatican yang mengatakan bahawa "dialogue cannot mean that I am looking for a middle ground between Islam and Christianity. I cannot question whether two plus two equals four or five." The goal of Christian-Muslim dialogue is not so much to reach consensus, but "to understand the issues so we can coexist peacefully." [13] Persoalan ekstremisme agama yang wujud dalam setiap masyarakat beragama juga dapat diketengahkan dalam dialog seperti ini.

Perkara-Perkara yang Harus Diawasi dalam Dialog

Dalam keghairahan menjalankan dialog antara agama, terdapat juga perkara-perkara yang harus dielakkan. Antara lain ialah kecenderungan untuk menyamakan kebenaran antara agama dengan menganjurkan faham pluralisme agama. Kita tidak menentang pluralisme agama sekiranya ia bermaksud kehidupan bersama pelbagai penganut agama dalam satu wilayah untuk hidup dalam keadaan harmoni. Malah tasamuh dan keterbukaan bentuk ini sudah lama wujud dalam Islam sejak dahulu lagi seperti yang telah dijelaskan. Akan tetapi pluralisme yang ditolak ialah kefahaman bahawa semua agama sama dari segi kebenaran dan tidak ada agama yang boleh mendakwa kebenaran lebih dari agama lain. Sebaliknya prinsip yang harus dipegang ialah seperti mana yang dianjurkan oleh al-Qur'an bahawa "Bagi kamu agama kamu dan bagiku agamaku" (lakum dinukum wa liyadin). Adalah amat penting ditegaskan bahawa pengakuan kebenaran eksklusif sesuatu agama bukan bermakna tidak bersifat tasamuh (intolerance) dengan agama lain.

Yang kedua ialah kecenderungan untuk membuang kemutlakan agama dengan menafikan aspek kesucian dan kemutlakan setiap agama sepertimana yang dianjurkan oleh beberapa penulis-penulis dalam bidang ini.[14] Walaupun tujuan anjuran ini adalah untuk membuka ruang keterbukaan yang lebih kepada semua agama untuk berdialog, namun ia adalah sesuatu yang tidak perlu, malah sudah pasti tidak akan dipersetujui oleh mana-mana penganut agama yang meyakini akan kebenaran agama mereka. Yang lebih wajar dianjurkan ialah di samping kepercayaan tentang kemutlakan agama masing-masing, setiap penganut harus dapat membezakan antara kemutlakan agama yang benar dan ketidaksempurnaan penganut-penganut yang mengamalkan agama tersebut. Masalah-masalah yang berlaku antara agama sebahagiannya bukan disebabkan ajaran agama, akan tetapi kelemahan dan kejahilan penganut agama tersebut dalam memahami agama asing-masing.

________________________________________

[1] Dibentang dalam "Muzakarah Pendisiplinan Dialog Antara Agama dan Peradaban" pada 22 Januari, 2008, di Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), Kuala Lumpur.
[2] Penulis bertugas sebagai pensyarah di Jabatan Usuluddin dan Perbandingan Agama, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).
[3] Fowler's Modern Usage Dictionary (Oxford: Oxford University Press, 1999), 166.
[4] Leonard Swidler, "Religious Pluralism and Ecumenism from Christian Perspective", in Religious Issues and Interreligious Dialogues: Analysis and Sourcebook of Developments since 1945, ed. Charles Wei-hsun Fu, Gehard E. Spiegler (New York:Greenwood Press, 1989), 338.
[5] Lihat misalnya perbahasan Prof. Syed Muhammad Naquib al-Attas mengenai pandangan alam Islam dan juga perbezaannya dengan pandangan alam yang terpancar dalam tamadun lain dalam karya-karya beliau seperti Islam and Secularism, cetakan semula (Kuala Lumpur: ISTAC, 2001), Prolegomena to the Metaphysics of Islam (Kuala Lumpur: ISTAC, 1995) dan Risalah untuk Kaum Muslimin (Kuala Lumpur: ISTAC, 2001).
[6] Abdul Rahman Haji Abdullah, Sejarah dan Tamadun Islam (Kuala Lumpur: Teks Publishing, 1988), 213-214.
[7] Dipetik dalam Tamara Sonn, "The Dialog between Islam and the Judeo-Christian Tradition", Religious Issues and Interreligious Dialogues: Analysis and Sourcebook of Developments since 1945, ed. Charles Wei-hsun Fu, Gehard E. Spiegler (New York: Greenwood Press, 1989), 338.
[8] "Muslim-Christian Ties in Europe: Past, Present and Future", Second International Seminar on Civilizational Dialogue: Japan, Islam and the West (Kuala Lumpur, 2-3 September 1996), dipetik dalam http://www.i-p-o.org/ice.htm.
[9] Philip Hitti, History of the Arabs, 10th ed. (New York: St. Martin Press,1970),196.
[10] Lihat Dusuki Ahmad, Ikhtisar Perkembangan Islam (Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1983), 347-358.
[11] Alan Race & Ingrid Shafer, Religions in Dialogue (Hants: Ashgate, 2002), 3.
[12] Ibid.
[13] http://www.beliefnet.com/story/185/story_18594_1.html]
[14] Lihat misalnya tulisan Leonard Swidler, "From Age of Monologue to the Age of Global Dialogue", Religions in Dialogue, ed. Alan Race & Ingrid Shafer (Hants: Ashgate, 2002),8.

1 comment:

  1. Anonymous8:23 PM

    Dialog di antara agama tidak la sukar seperti yang anda katakan. Kita perlu harus bermula pada prinsip yang paling asas yang diterima oleh semua orang. Sebagai contoh nilai moral. Manusia harus mati secara semula jadi dan bukannya secara paksa. Setiap orang mempunyai kebebasan dan kebebasan itu harus dihormati dan bukan dicabul.

    ReplyDelete

Plainly state opinion. Only mature and sensible views welcome.

Hostile, insulting and bad language comments NOT RELEASED.