Saturday, October 11, 2008

Mukhriz Dahului 8:4:2; Mula Terungkai ...Muhyiddin, Zahid, Isa, Mat Taib

Setakat 8:45 am Sabtu ini, Mukhriz peroleh pencalunan dari kedua-dua Bahagian Gelugor, Bukit dan Tasek, dan Kota Melaka (habis pukul 4 pagi). - Dr Khir menginci ke hadapan untuk mendapat pencalunan Kapar. - Dilaporkan budak-budak Khairy marah kena blok dari masuk mesyuarat pukul 8 malam di Kimanis. Maghrib sana pukul 6 ptg, bah! - Hari ini, lebih 25 Pemuda Bahagian bersidang. - Khairy dilihat di Airport Senai, JB malam semalam berjumpa YB Halim, Adun Putriwangsa dan Timbal. Ketua Bhgn. Tebrau, Johor. Apa cerita ni, Tengku Rithauddin?

Muhyiddin untuk Timbalan. Bahaya Zahid. Isa tuntut. Risiko ‘Mike Tyson’ cuba?


Kalau hari itu kita keliru, hari ini lebih jelas. Banyak pengumuman sudah keluar dan tidur nyenyak malam tadi.

Tan Sri Muhyiddin membuat pengumuman untuk menawar diri untuk jawatan Timbalan Presiden semalam pagi. Memetik dari Bigdogdotcom, Muhyiddin ingin membantu Presiden UMNO yang baru untuk mengukuhan parti, memperkuatkan BN dan mengembalikan perpaduan dan kesefahaman antara kaum.

Disamping itu, kita perlu mendapatkan balik sokongan rakyat kepada BN dan bersedia untuk Pilihanraya Umum ke XIII. Yang lain-lain itu, sabar brader.

Wa bukan Presiden ... lagi.

Bahaya Zahid Hamidi

Zahid Hamidi yang antara pertama mahu cuba menawarkan diri untuk jawatan ini mengundur. Diberitahu oleh seorang ahli politik, Najib memintanya mengundurkan diri untuk mengiktirafkan Muhyiddin yang telah "get the ball rolling".

Pastinya tindakan Zahid telah memulakan gulingan tawaran yang pelik-pelik seperti Halim Bangsawan untuk Presiden, Napi Kg Ubi untuk Naib Presiden, dan lain-lain. Apa saja demi demokrasi ...

Persoalannya adakah Zahid telah memainkan peranan dalam proses demokrasi sepanjang pentadbiran Abdullah sebagai timbal balas dan membetulkan keadaan. Jika tidak, adakah dia terlibat meburukkan keadaan?

Bahagian Wan Farid, Kuala Terengganu dilaporkan Sinar Harian semalam ingin mencadangkan Zahid untuk Timbalan. Adakah ini bermaksud khabar-khabar orang-orang Khairy okay dengan Zahid itu betul? Bahaya ini ...

Dulu dicucuk hidung Anwar Ibrahim. Main ikut sampai kantol. Masa reformasi rajin pergi ke Jakarta. Sekarang pun main ikut apa disuruh sajakah?

Apa hal pun, siap sedia. Ada orang akan bom kamu.

Isa Tuntut Hutang Lama

Agendadaily melaporkan bekas Naib Presiden UMNO Tan Sri Samad yang baru dipulihkan keahlian juga menawarkan diri tapi untuk Naib Presiden dan bukan Timbalan sepetti yang diwar-warkan.

Beliau mintak hutang lama untuk meneruskan mandat yang diberi pada tahun 2004 tapi tak sempat dilaksanakan. Entah beruk mana punya kerja ini?

Beliau tahu laluan agak susah sedikit. Ramai dari yang muda-muda menawarkan diri dan mungkin musim orang muda. Muhyiddin kata umur tak penting.

Janji sihat dan boleh pakai. Pandai, tapi tidak bijak merosakkan. Cakap saja berdegar, tapi penakut tidak guna.

Apa salah "Mike Tyson" cuba?

Agendadaily juga melaporkan Ketua Penerangan UMNO Malaysia Tan Sri Muhammad Muhd Taib mengumumkan menawar diri untuk Timbalan pada petang Khamis.

Katanya, UMNO Selangor "semua" sudah setuju. Setelah empat kali ambil "periksa SPM", sudah masa untuk cuba "ambil STPM". Rupanya bertanding macam peperiksaan sekolah menengah. Bukan peperiksaan JPA nak naik pangkat?

Rasional beliau tidak cukup rugged, biasa saja. Sila dengan sepenuh di blog beliau.

Menurut beliau, dia akur dengan ketua dan serasi dengan Najib. Bunyi macam cannon Muhyiddin tak serasi.

Dulu mereka berdua bersaing ketat semasa di peringkat Naib Presiden hingga Muhyiddin pernah, dari capai nombor satu, terpelanting keluar. Panjang cerita lama itu. Tan Sri pun sama bersaing.

Demi demokrasi, apa salahnya Mike Tyson bertanding? Asal cannon itu tidak pakai bom betul. Kita hanya bersaing sesama "anak beranak". Politik bom-bom fesyen lama. Budak Oxford sekolah purba kala saja guna taktik lama.

Ada pula menasihat Tan Sri supaya jangan cuba, demi nama baik UMNO. Katanya, satu risiko kalau Tan Sri menang. Itu sebahagian dari demokrasi juga ...

Risiko Jika "Mat Tyson" Menang

oleh Semut Besi
Malaysia Instinct.com Okt 10th, 2008

Semua orang UMNO apabila berhasrat bertanding sebarang jawatan di dalam parti selalu mengungkapkan alasan demi agama, bangsa dan negara bagi menjustifikasikan niat/tindakan mereka. Hampir tiada yang akan memberikan alasan demi untuk kemajuan karier peribadi.

Di dalam perkara ini Tan Sri Mat Taib aka ‘Mike Tyson’ harus dipuji kerana berterus terang seperti katanya ketika mengumumkan keputusan bertanding jawatan Timbalan Presiden UMNO iaitu beliau sudah banyak kali mengambil peperiksaan SPM (bertanding Naib Presiden 1993, 1996, 2000, 2004) dan sudah tiba masanya untuk Ketua Penerangan UMNO ini mengambil peperiksaan STPM (bertanding jawatan Timbalan Presiden UMNO).

Namun kewajaran Tan Sri Mat Taib bertanding nombor dua di dalam hierarki UMNO boleh dipertikaikan. Hakikat ini timbul apabila kita mengambil kira kepentingan negara, bangsa dan parti. Ini berpunca kepada fakta bahawa secara tradisinya sesiapa yang memegang jawatan ini akan juga secara tradisi dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri.

Sememangnya jawatan Timbalan Perdana Menteri (TPM) bukanlah jawatan yang diwujudkan oleh Perlembagaan Persekutuan seperti mana jawatan Perdana Menteri (PM) yang tatacara pelantikannya telah dimaktubkan di dalam perlembagaan negara yang merupakan undang-undang tertinggi Malaysia. Jawatan TPM adalah jawatan yang wujud hasil konvensyen perlembagaan.

Namun sejarah telah menyaksikan jawatan TPM berevolusi menjadi jawatan kedua paling penting selepas PM. Ini kerana mengikut tradisi UMNO individu yang memegang jawatan Timbalan Presiden UMNO akan juga memegang jawatan TPM dan mengikut tradisinya akan menggantikan Perdana Menteri apabila sesuatu terjadi kepada pemegang jawatan PM atau PM mengundur diri dari jawatan tersebut dan selaku Presiden UMNO.

Tradisi ini telah dimulakan oleh Presiden UMNO kedua dan PM pertama negara iaitu Almarhum Tunku Abdul Rahman apabila beliau telah melantik Timbalan Presiden UMNO Allahyarham Tun Abdul Razak memegang jawatan Timbalan Perdana Menteri setelah beliau (Tunku) dilantik menjadi Perdana Menteri apabila negara merdeka pada tahun 1957.

Konvensyen ini kemudiannya telah diterus dan perkukuhkan oleh Tun Razak apabila beliau melantik Allahyarham Tun Dr.Ismail sebagai TPM ketika mengambil alih jawatan PM daripada Tunku apabila Tunku bersara pada tahun 1970, Tun Dr. Ismail yang meninggal dunia pada tahun 1973 kemudiannya digantikan oleh Allahyarham Tun Hussein Onn.

Apabila Tun Abdul Razak meninggal dunia pada tahun 1976 semasa masih memegang jawatan PM beliau digantikan oleh Tun Hussein. Proses pewarisan ini telah berterusan semasa era Tun Dr. Mahathir dan Pak Lah.

Mengikut Perlembagaan Persekutuan Perkara 43 Fasal 2 (a) seorang Perdana Menteri hendaklah dilantik dari kalangan ahli Dewan Rakyat. Seorang ahli Dewan Negara (Senator) berkelayakan dilantik sebagai anggota Jemaah Menteri mahupun Timbalan Perdana Menteri tetapi seorang Senator tidak boleh sekali-kali mengikut Perlembagaan dilantik sebagai Perdana Menteri. Jika beliau ingin menjadi PM beliau harus meletakkan jawatan sebagai Ahli Dewan Negara dan bertanding di dalam pilihan raya kecil Parlimen dan memenanginya.

Ditakdirkan Allah SWT, ‘Mike Tyson’ atau YB Senator Tan Sri Muhammad Muhammad Taib menang jawatan Timbalan Presiden UMNO di dalam Perhimpunan Agung UMNO pada Mac 2009, maka beliau akan dilantik sebagai TPM mengikut tradisi UMNO.

Ini tidak menjadi masalah asalkan parti UMNO/BN masih berkuasa namun komplikasi dan krisis perlembagaan akan timbul jika (mohon dijauhkan Allah SWT) berlaku sesuatu yang tidak diingini kepada PM. Ketika itu, bagaimana Tan Sri Mat Taib hendak dilantik oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong sebagai PM kerana beliau bukan ahli Dewan Rakyat.

Ya, beliau boleh bertanding di dalam pilihan raya kecil Parlimen namun ketika ini hanya ada empat kerusi Parlimen yang masih dikuasai UMNO di negeri Selangor iaitu Parlimen Sabak Bernam, Tanjung Karang, Sungai Besar dan Sepang. Hari ini bagi Parlimen Tanjung Karang dan Sepang kedua-duanya diwakili oleh anggota Kabinet yang juga adalah ahli Majlis Tertinggi UMNO manakala bagi Parlimen Sungai Besar pula beliau adalah Timbalan Menteri.

Adalah amat merugikan kepada parti jika beliau perlu meletak jawatan. Hakikatnya, hanya ada satu kerusi Parlimen yang dipegang oleh individu yang tidak memegang jawatan pentadbiran Persekutuan iaitu Ahli Parlimen Sabak Bernam.

Namun Tan Sri Mat Taib adalah Ketua UMNO Bahagian Kelana Jaya iaitu kawasan Parlimen yang bermajoriti bukan Melayu. Ahli Parlimen Kelana Jaya hari ini adalah dari parti pembangkang PKR.

Jika diadakan pilihan raya untuk beliau bertanding agar membolehkannya dilantik menjadi Perdana Menteri sekiranya sesuatu berlaku kepada PM, bukan sahaja proses ini akan mengambil masa sekurang-kurangnya sebulan dari notis peletakan jawatan salah seorang Ahli Parlimen dari UMNO Selangor yang ada (ahli yang meletakkan jawatan juga tidak boleh bertanding selama lima tahun) malah, belum tentu lagi beliau akan menang di dalam iklim politik hari ini.

Pada masa itu negara yang tidak mempunyai ketua kerajaan berkemungkinan akan berada dalam situasi kelam kabut. Alternatifnya adalah untuk melantik salah seorang dari enam Naib Presiden UMNO yang merupakan Ahli Parlimen untuk menjadi PM sementara atau melantik salah seorang pemimpin parti komponen BN yang mana paling kanan bermula dengan Presiden Parti MCA sebagai Perdana Menteri.

Sudah tentu alternatif-alternatif ini kurang sesuai. Cara yang paling baik sebenarnya adalah bagi Tan Sri Mat Taib yang terkenal dengan kesetiaan kepada UMNO (beliau patuh kepada arahan Presiden untuk meletak jawatan sebagai Menteri Besar Selangor pada tahun 1997 dan bercuti dari semua jawatan parti ekoran terbabit dengan insiden bawa beg berisi wang akibat ketidakpandaian membaca borang berbahasa Inggeris di Australia, beliau tidak keluar parti dan berjuang di platform pembangkang sebaliknya menerima hukuman yang diberikan parti) meletakkan kepentingan negara serta parti di atas kepentingan peribadi dan mengundur diri dari bertanding jawatan Timbalan Presiden.

Eloklah beliau menumpukan tenaganya untuk mengembalikan kekuatan UMNO Selangor dan menjadikannya sebagai kerajaan di negeri Selangor Darul Ehsan pasca PRU-13. Bukan beliau tidak layak untuk jawatan Timbalan Presiden namun keadaan menyebabkan beliau perlu untuk meletakkan prioriti beliau di tempat yang lebih hak iaitu utuk memperkasa UMNO Selangor selaku Pengerusi Badan Perhubungan UMNO dan BN Selangor.

1 comment:

Plainly state opinion. Only mature and sensible views welcome.

Hostile, insulting and bad language comments NOT RELEASED.