Thursday, January 24, 2008

ECM Libra ke BERNAS? (Bhg 1)

Disebalik tuduhan BERNAS mengimpot beras tanpa permit.


Disebalik rungutan rakyat mengenai kekurangan bekalan minyak masak dan kenaikkan barang-barang asas pada akhir tahun 2007, satu usaha semacam sedang dirancang dan diatur untuk membina sebuah empayar korporat secara pintas dan ringkas untuk menjadi satu lagi kenderaan tunggangan politik Abdullah Ahmad Badawi dan menantunya.

Seperti pelbagai usaha-usaha era pentadbiran Pak Lah yang kononnya untuk tambah nilai, ia bukan sahaja tidak membawa pertambahan nilai tetapi lebih lazimnya ia membawa penghapusan nilai, lekok pembelajaran (learning curve) dan modal insan yang terbina sekelian lama. Bagai ibarat "tikus membaiki labu", Pak Lah seringkali merungkai pelbagai usaha-usaha strategik untuk membina struktur, keupayaan dan kapasiti ekonomi orang-orang Melayu yang sudah tentu dapat menyegerakan proses kesamarataan antara kaum.

Hanya beberapa tahun lepas dikala tahun-tahun awal pemerintahan Pak Lah, satu usaha pernah dirancang dan diatur secara diam-diam untuk membina satu empayar kewangan dengan secara yang juga pintas dan ringkas untuk menjadi kenderaan tunggangan politik. Hari ini diketahui ramai, usaha tersebut adalah pembangunan sebuah Bank Pelaburan butik, ECM Libra Avenue dari penggabungan syarikat kerajaan - Bumiputera Securities dan Avenue Asset - dengan ECM Libra serta kuncu-kuncu dari Singapura.

Usaha tersebut terdedah sebagai satu skandal kewangan yang melibatkan pelanggaran undang-undang dan pengenepian peraturan serta penyalahgunaan kuasa disetiap lapisan proses, kerajaan dan pihak-pihak berkuasa. Sampai hari ini, isu ini masih belum selesai dan saman menyaman dan injunksi mahkamah yang berkaitan dengan penggabungan ini masih melalui proses mahkamah.

Kasi Kecoh Dahulu

Huruf Cina untuk kecoh atau kelam kabut (chaos) boleh membawa maksud peluang. Maka ditengah-tengah rungutan-rungutan orang ramai terhadap kekurangan bekalan dan kenaikkan harga barang-barang asas, satu usaha bagai dirancang dari dalam serambi kerajaan sendiri dan melibatkan media massa jaluran utama untuk mengkecohkan keadaan agar dapat membuka peluang kepada kekayaan dalam perniagaan yang begitu strategik sekali.

Pada Januari 4hb, 2008 baru-baru ini, Berita Harian mendedahkan BERNAS sedang disiasat oleh BPR kerana mengimpot beras asing tanpa Permit Impot (AP). BERNAS atau Padiberas Nasional Berhad adalah bekas agensi kerajaan, Lembaga Padi Negara (LPN) yang telah diswastakan dan diberi konsesi eksklusif untuk mengimpot beras.

Beberapa hari kemudian, pelbagai akhbar-akhbar lain ikut sama melaporkan perkara ini. Pada Januari 8hb, 2008, Pengarah Siasatan BPR, Datuk Mohd. Shukri Abdull telah mendedahkan butiran pengimportan beras secara haram itu melibatkan sejumlah 25,000 tan beras wangi dari Siam yang bernilai RM60 juta dan kini terkandas di pelabuhan-pelabuhan Kelang, Pasir Gudang dan Kota Kinabalu. Mengikut beliau, 10 orang kakitangan BERNAS, Kementeriaan Pertanian dan Industeri Asas Tani, dan Kastam DiRaja Malaysia telah dipanggil untuk memberi keterangan.

Sekali pandang, sudah pasti pembaca yang singkat fikiran akan membuat simpulan mudah untuk mengatakan mesti ada berlaku kegiatan rasuah. Mungkin sekali, bekas agensi kerajaan yang telah diswastakan ini diibaratkan “pagar makan padi” atau “api dalam serkam”.

Pada tahun 2002/3, satu operasi kastam telah dibuat untuk membantu BERNAS menangani masaalah penyeludupan beras, terutama di sempadan. BERNAS pernah dilaporkan mengalami kerugian terkumpul syarikat sebanyak RM27 juta akibat kegiatan ini. Anggaran kerugian bagi negara kerana kegiatan ini adalah sebanyak RM240 juta dan pernah mencecah setinggi 400,000 tan setahun.

Adakah, setelah satu kempen dilakukan, BERNAS sanggup “menangguk di air keroh”? Bak kata orang putih, “you can’t beat them, you join them”.

Pada hari yang sama Januari 8hb, 2008 itu, Berita Harian melaporkan suara-suara dari Pengerusi Pertubohan Peladang (Kedah), Dato Badri Yunos yang menyokong cadangan kerajaan untuk merombak BERNAS yang dituduh hanya mementingkan keuntungan.

Keesokkan harinya, Januari 9hb, 2008, New Straits Times, akhbar dari kumpulan yang sama, dan sebelum itu, mStar melaporkan Pengerusi, Persatuan Pengilang Beras Cina-Melayu, Datuk Chew Giok Kun menuntut BERNAS memberhentikan kegiatan orang tengah yang mengambil 10 peratus dari keuntungan mereka dan pendapatan petani.

Penutup untuk babak kali ini adalah rencana Berita Harian bertarikh Januari 14hb, 2008 bertajuk "BERNAS mesti jaga kepercayaan" menghidangkan r“nasi tambah” yang pedas sekali kritikan melulunya. BERNAS dituduh pernah melakukan perkara yang sama pada tahun 2004 dan digambarkan seolah-olah BERNAS tidak diurus dengan baik. Menteri Pertanian dan Industeri Asas Tani, Tan Sri Mahyuddin Yassin dilaporkan sebagai kecewa dan agak marah nadanya.

Namun, persoalan diakhir rencana sebenarnya membayangkan hasrat tersirat: “Apakah sudah tiba masanya, monopoli itu dipecahkan supaya BERNAS ada pesaing?”

Mencurigakan


Dengan asakkan-asakkan bertubi-tubi Berita Harian dan New Straits Times, tidak dapat dinafikan bahawa Dato Hishamuddin Aun, Ketua Pengarang Berita Harian, sedang membesar-besarkan peristiwa ini. Tidakkah Hishamuddin tidak gerun BERNAS menarikbalik iklan-iklannya dari Berita Harian dan NSTP?

Tidak dapat tidak, boleh dibuat kesimpulan mudah bahawa Hishamuddin Aun, yang diketahui ramai adalah sebahagian dari jaringan pemutarbelit Kalimullah-Annuar Zaini-Wong Chun Wai, sedang diperanankan untuk memutarbelit fakta dan memburuk-burukan BERNAS untuk satu "pihak atasan".

Bagi penulis blog ini, dari berita terawal mengenai kes ini, terlalu banyak yang mencurigakan dan tidak boleh diberi kepercayaan penuh. Penulis pun secara kebetulan pernah menjadi penganalisa saham yang mengikuti rapat perkembangan BERNAS dan sekarang mempunyai sedikit pendedahan dalam Industri Pertanian untuk tahu sedikit sebanyak hal ehwal dalaman Kementeriaan Pertanian.

Perkara pertama yang menimbulkan kecurigaan penulis adalah anak syarikat media kumpulan Media Prima sudah hilang reputasi kewartawanan dan tidak boleh dipercaya laporan mereka. Beberapa tahun mutakhir ini, pendedahan atau scoop, kata-kata lingo wartawan, mereka adalah kebocoran maklumat yang terancang dan selalunya mempunya rancangan yang berniat jahat. Malah, penulis merasakan laporan yang terkeluar di KLPos pada Januari 2hb, 2008 mungkin adalah pembocoran yang diatur. (Penulis tidak menuduh KLPos bersekongkol tetapi hanya merasakan maklumat yang diperolehi adalah kebocoran yang teratur.)

Kedua, amat tidak logik untuk sebuah syarikat awam yang perlu memenuhi kriteria ketulusan, pemantauan dan kawalan korporat yang begitu ketat serta mempunyai kerjasama rapat dengan kerajaan untuk melakukan kegiatan penyeludupan beras secara besar-besaran dan terang-terang? Jika benarlah ada sindiket penyeludupan, mengapa perlu melalui proses kastam di pelabuhan? Bukankah rasmi penyeludupan dibuat secara sorok-sorok dan curi-curi masuk?

Ketiga, setelah Pak Lah menang pilihanraya 2004, salah satu tindakannya yang segera adalah untuk membatalkan projek keretapi berkembar yang telah dibrikan kepada syarikat Tan Sri Syed Mokhtar Al Bukhary disamping menjadi "tikus membaiki labu" untuk merungkai pelbagai usaha-usaha dan inisiatif-inisiatif pembangunan Tun Dr Mahathir.

BERNAS adalah satu syarikat yang kegiatan perniagaannnya amat kompleks untuk diurus dan memainkan peranan yang amat strategik untuk negara. Semasa dibawah kepimpinan pemegang saham utama dahulu, Dato Ibrahim Mohd Noor, BERNAS sudah ada rancangan untuk membina Lebuhraya Bekalan Makanan yang begitu strategik untuk negara.

Menyedari kekurangan dan kekangan infrastruktur dan sumber bagi BERNAS untuk merealisasikan penuh rancangan ini, Dato Ibrahim terpaksa menjual sahamnya di dalam BERNAS kepada Tan Sri Mokhtar. Ini dilakukan untuk memberi kuasa pengurusan kepada Tan Sri yang mana kumpulan perniagaan Tan Sri mempunyai lebih sinergi dan keupayaan untuk merealisasikan rancangan itu.

Keempat dan tidak semestinya terakhir, negara kita mempunyai seorang anak muda yang teramat besar cita-cita yang mempunyai penglibatan dalam industri makanan halal dan kerap berbincang subjek rantaian nilai (value chain). Isterinya dan anak Perdana Menteri, Nori Abdullah pun mempunyai pembabitan dalam industri yang sama.

Mungkinkah Pak Lah sedang berusaha untuk memecahkan empayar korporat Tan Sri Syed Mokhtar yang sering dijenama ramai sebagai orang korporat Mahathir, walaupun persahabatannya yang begitu rapat dan lama dengan Tan Sri Mahyuddin dari masa ia memegang jawatan Menteri Besar Johor? Adakah ini memberi implikasi politik Tan Sri Mahyuddin sudah boleh di"cucuk hidung" hingga melakukan sesuatu terhadap sahabatnya sendiri?

Mungkinkah ini satu lagi usaha senyap-senyap Pak Lah untuk membolehkan menantu tersayang merealisasikan rancangan kenderaan korporat dan politiknya? Sebagaimana MAS disaingkan dengan tidak adil dengan Air Asia, adakah kita akan melihat timbulnya satu "AirAsia" bagi perniagaan padi dan beras? Adakah akan berlaku lagi kesilapan lepas untuk meniru buta ide-ide textbook tanpa memahami dengan terperinci latarbelakang sesuatu kes? Senarionya berlainan sekali.

Mengapa AP Tidak Dikeluarkan?

Sebenarnya perkara tambahan AP ini sudah menjadi perkara lazim tahunan yang tidak dapat tidak perlu dikeluarkan.

Keperluan beras negara adalah lebih kurang 1.8 juta tan setahun yang mana pengeluaran tempatan hanya terupaya mengeluarkan sebanyak 1-1.2 juta setahun. Sejak begitu lumrah kita diturunkan dengan bencana banjir di zaman pentadbiran Pak Lah, pengeluaran padi dan beras tempatan terjejas dalam 100-200,000 tan setahun. Defisit ini perlu dipenuhi melalui impot.

Mengikut maklumat dalaman penulis, BERNAS selalunya membuat anggaran dan memohon impot untuk jumlah tahap 700-800,000 tan setahun. Permintaan ini sering ditolak oleh Kementeriaan atas alasan peruntukkan ini perlu diturunkan dan ditampung oleh pengeluaran tempatan.

Masaalahnya pihak Kementeriaan terlalu lama seronok di lamun mimpi erotika bahawa petani-petani kita, dengan sikap yang agak lambat proses perubahan cara dan sikap, berupaya mencapai pengeluaran 10 tan per hektar setahun. Walaupun BERNAS ada memberi sokongan di sana sini, tanggungjawab untuk membimbing petani untuk meningkatkan yield ladang terletak pada Jabatan Pertanian dan realitinya ia masih jauh dari pencapaian.

Dengan demikian sejak tahun 2004, pihak BERNAS perlu memohon pertambahan AP pada suku tahunan ketiga yang mana timing masa tidak terlalu cepat dan tidak terlalu lambat.

Dari soksek-soksek yang didengar dari Kementeriaan, BERNAS sudah memasukkan permohonan untuk menampung defisit beras untuk akhir tahun 2007 seperti jadual biasanya. Sepatutnya tiada masaalah langsung tetapi Kementeriaan menghadapi masaalah tandatangan untuk meluluskan AP.

Mengikut Akta Kawal Selia, kuasa meluluskan permohonan AP ini terletak di bawah kuasa Ketua Pengarah Kawal Selia yang mana penandatangan perlu digazetkan. Ketua Pengarah yang lepas, Haji Zaharuddin telah bersara dan tidak lama setelah persaraan pada bulan Ogos, telah meninggal dunia.

Jawatan beliau telah digantikan oleh Dato Ibrahim bin Abdullah tetapi anih sekali, beliau tidak diwartakan untuk menjadi tandatangan. Permohonan BERNAS tidak dapat laksana hinggalah Dato Ibrahim diwartakan. Difahamkan perkara ini telah disampaikan kepada pihak pengurusan atasan Kementeriaan dan mungkin sekali hingga ke peringkat Menteri. Akhirnya, Dato Ibrahim hanya diwartakan pada hari-hari dekat perayaan Krismas baru-baru ini, empat bulan setelah mengambilalih tugas.

Ini adalah cerita benar belakang tabir dan bukanlah seperti pelbagai tuduhan yang dihalakan terhadap BERNAS. Memang lazim ego orang yang lebih berkuasa, walau macam mana salah pun mereka, pihak di bawah dan orang lain juga yang dipersalahkan. Namun cara respons dan penggunaan media yang intensif untuk memutarbelitkan sehendak-hendaknya tidak boleh hanya dianggap sebagai usaha untuk mengalih pandang kesalahan pihak kerajaan.

BERNAS boleh dianggap silap untuk mendahulukan pengimpotan dan mengandaikan AP itu pasti diperolehi. Mereka punya punya pelbagai kesilapan. Namun mereka tidak boleh dipersalahkan sepenuhnya. Cuba dibayangkan jika mereka tidak bersikap proaktif dan mengambil risiko untuk mengimpot terus. Bukankah boleh terputus bekalan beras untuk kawasan tertentu, terutama kawasan pendalaman yang jauh dari pekan?

Berbanding dengan keputusan bekalan barang-barang asas lain, keputusan bekalan beras lebih mencemaskan kerana rakyat kita tidak biasa hidup dengan hanya memakan roti/gandum atau jauh sekali ubi kayu. Bukankah lagi kecoh jika berlaku masaalah bekalan beras tatkala rakyat bersungut mengenai bekalan minyak masak dan kenaikkan harga barangan? Pilihanraya sudah hampir dekat!

Adakah kelewatan pengeluaran AP itu disengajakan untuk menjadikan suasana kurangan beras dan memberi justifikasi untuk mencengkam kausa keatas BERNAS? Walluhu alam. Namun, ternyata sekali ada “udang disebalik batu” dan ada bukti-bukti yang menunjukkan demikian.

Kisah ini akan bersambung di Bahagain ke 2 dan seterusnya untuk merungkai satu lagi rancangan yang mempunyai niat yang jahat.

4 comments:

Anonymous said...

Sungguh begitu sekali, sekarang nampak sesama bangsa lah berebut2 untuk meraiih kekayaan. Di mana agaknya dah kehabisan tempat.

chong y l said...

brudder Voice (midnight ke?):
CONGRATS atas kerja OT anda membocorkan scandal-in-da-making ala-Billionaire-at-37? Badder later than billionaire Ling-a-Ling-at-27 than never!:(


Sybas again, hoper I can get an English "edition" to use at Desi's Palce -- ada sexysexcretary buat terjemahan tak? I bagi endless rounds of tehtarik -- nasi sudah jadi bubur pun ada!:)--Desi

Anonymous said...

"Bukan salah ibu mengandung", kalau nak perbetulkan pun sebelum "mengandung", dah mengandung susahlah sikit. In the first place a STRATEGIC industry such as (STAPLE FOOD) the rice industry SHOULD NOT be privatized - I believe MALAYA saja the only country on earth yang decided to do so... wonder whose "brilliant" ideas it was? Don't think its an Oxbridge one (nasib baik, if so, they might want to "privatize" upstream sekali, termasuk pesawah?). On top of that, the "genius" behind this idea purposely excluded upstream social commitments involving pesawah; they wanted only the "juicy" parts of the supply chain... wholesale & retail. So after privatization, we have a few millionaires Melayu/shareholders, a bunch of super-rich non-Bumi rice wholesalers (who benifitted from becoming "family members" of Bernas) and a whole generation of pesawah Melayu yang menjadi fakir miskin. And NOW, another bunch of Oxbridge morons (mostly Melayu) yang nak menangguk di air keruh!! Its just sickening! Hidup Melayu!!

mob1900 said...

Wah,
The Nation's 'Periuk nasi' also ECM Big-Bra wanne monopoly? What's next? A 2nd Petronenas?

My Say