Thursday, November 20, 2008

Tun memalukan gong pusingan ke 3, Masihkah Abdullah dan UMNO terus berdegil?


Gong ke 3 sudah dipalu semalam di Yayasan Perdana.

Bunyi gong tersebut jelas dihalakan ke arah mereka yang mempersoalkan hak dan kedudukkan Melayu yang terus dipersoalkan akibat kelemahan pentadbiran Abdullah.

Pentadbiran Abdullah tidak patut dikekalkan untuk lima bukan kerana rancangan lima bulannya tidak akan membawa kebaikkan untuk negara. Beliau tidak mungkin dapat lakukan sesuatu dalam lima bulan apa yang beliau tidak boleh lakukan dalam lima tahun.

Gong itu juga dihalakan kepada mereka yang masih mahu meneruskan polisi-polisi Abdullah dan mengekalkan pemimpin-pemimpin penakut dan penyokong Abdullah yang cuba dikekalkan melalui politik kotor dan amalan politik wang. Jika pemimpin demikian menguasai UMNO, hancurlah UMNO pada pilihanraya ke 13.

Sebelum ini, apabila dua kali gong berbunyi, ia meninggalkan kesan. Adakah UMNO akan terus tidak ambil endah gong yang membawa suara akarumbi UMNO dan rakyat jelata? Gong ke tiga tidak boleh tidak diambil endah.

Paluan gendang pertama Dr Mahathir adalah pada ketika pelbagai projek-projek dan usaha kerajaanya untuk meningkatkan kapasiti ekonomi dihentikan dan digantung. Ini bermula dengan Majlis Bersama Kumpulan NGO-NGO di Kelab Melawati.

Semasa itu, Tun mendedahkan mengenai peranan anak-anak dan kaum keluarga dalam pemerintahan, dan wujudnya apa yang dipanggil Tingkat 4.

Berikutan dari itu, sikap kerajaan pimpinan Abdullah Badawi terus menerus bersikap kasar dan ganas menahan dan memaksa ahli-ahli UMNO mengikut kehendaknya, paluan kedua dibunyi menandakan seruan menuntut Abdullah diturunkan.

Ini dilakukan di Hotel New York, Johor Baru.

Sikap Abdullah yang degil dan terlindung dari kenyataan akhirnay menyebabkan rakyat menjadi marah terhadap sikap dan tingkah laku serta kelemahan pentadbiran Abdullah. Akhirnya rakyat telah menolak pentadbiran Abdullah, UMNO dan Barisan Nasional.

Lima negeri jatuh serta majoriti Wilayak Persekutuan. Budibacara Abdullah memilih Menteri Besar ditolak di Johor, Terangganu dan Perlis.

Krisis keyakinan terhadap UMNO masih berterusan selagi Abdullah masih kekal. Abdullah bersungguh mahu kekal duduk di Putrajaya walaupun dia tidak boleh lakukan apa-apa. Kewujudannya hanya menjadikan UMNO bertambah rosak, tidak bermaya, dan lemah.

-----------------------------

Utusan Malaysia Nov 20hb, 2008

Orang Melayu perlu pertahankan hak mereka - Tun Mahathir

PUTRAJAYA 19 Nov. - Tun Dr. Mahathir Mohamad mahu orang Melayu tidak terus mengambil sikap mempertahankan diri apabila hak-hak dan keistimewaan mereka dicabar oleh pihak tertentu terutama selepas UMNO catat prestasi buruk dalam pilihan raya umum lalu.

Sebaliknya bekas Perdana Menteri itu berkata, sudah tiba masanya untuk orang Melayu mengambil sikap 'menyerang' bagi memastikan hak-hak yang dinikmati selama ini dapat dipertahankan.

''Kita lihat sekarang ini ramai orang Melayu cuma mempertahankan diri tetapi tidak menyerang, kita cuma marah dengan kata jangan sentuh hak keistimewaan Melayu dan agama Islam.

''Kita harus mempertahankan kedudukan kita tetapi ungkapan orang Inggeris kata bahawa serangan adalah satu bentuk pertahanan yang paling baik, jadi kita kena serang, itu cara terbaik untuk mempertahankan diri," katanya ketika berucap pada Program Penerangan Isu-Isu Semasa di Yayasan Kepimpinan Perdana di sini hari ini.

Menurut Dr. Mahathir, orang Melayu sejak dahulu mempunyai sikap yang lemah lembut dan ada kalanya tidak mahu mempertahankan diri walaupun tahu diri mereka tidak bersalah selain enggan menuduh orang lain bersalah.

Sebab itu katanya, apabila terdapat pihak mempertikaikan sosial kontrak, orang Melayu hanya mempertahankan diri bahawa mereka mempunyai keistimewaan yang telah ditetapkan dalam kontrak tersebut.

Bagaimanapun jelas beliau, orang Melayu tidak mendedahkan perkara-perkara yang dipersetujui mereka dalam kontrak sosial yang telah dinikmati oleh kaum lain di negara ini.

''Kita cuma pertahankan bahawa kontrak sosial beri keistimewaan tetapi kita tidak kata tentang apa yang kita beri dalam kontrak sosial, kita bagi banyak.

''Tunku (Abdul Rahman Putra) memberikan satu juta kerakyatan kepada orang bukan Melayu tanpa apa-apa soalan, ini ada dalam ucapan Tun Tan Siew Sin.

''Kalau hendak ambil balik hak Melayu, kita juga nak ambil balik hak yang diberikan kepada mereka," katanya.

Dalam pada itu, Dr. Mahathir menyatakan, selepas pilihan raya umum lalu, banyak pihak menyatakan mereka menolak perkauman tetapi mereka secara terang-terangan mempersoalkan mengapa orang Melayu mendapat begitu banyak hak di negara ini.

''Mereka mahu bahasa mereka digunakan dalam papan tanda dan mempersoalkan Melayu sebagai pendatang yang dikatakan tidak berbeza dengan orang Cina dan India," katanya.

Beliau turut mempertikaikan tindakan sesetengah pihak menyamakan kemenangan Barack Obama sebagai Presiden ke-44 Amerika Syarikat (AS) baru-baru ini sebagai satu petanda bahawa negara ini juga perlu dipimpin oleh seorang Perdana Menteri yang bukannya dari kalangan orang Melayu.

''Sejak Obama menang, ia jadi masalah pula kepada kita, sedangkan beliau tidak boleh disamakan dengan kita.

''Memang dia berkulit hitam dan ada campuran sedikit tetapi hakikatnya dia menerima budaya dan bahasa di AS yang asalnya dijajah oleh Anglo-Saxon. Dia cukup dengan identiti Amerika," katanya.

Sementara itu, Tun Dr. Mahathir mengingatkan bahawa UMNO dan Barisan Nasional (BN) mungkin menghadapi risiko tewas dalam pilihan raya umum akan datang sekiranya gejala politik wang dalam parti itu gagal dibersihkan.

Beliau menegaskan, jika sebelum ini rakyat beralih kepada parti pembangkang disebabkan pemimpin tertentu dalam kerajaan, mereka tidak mustahil akan menolak seluruh calon BN yang didapati memenangi pemilihan parti dengan cara rasuah.

Sehubungan itu, kata beliau, adalah tidak berguna sekiranya para pemimpin UMNO berebut-rebut untuk memenangi pemilihan parti pada Mac depan termasuk melalui cara rasuah tetapi parti kecundang dalam Pilihan Raya Umum Ke-13.

''Jadi penolakan terhadap UMNO bukan suatu yang mustahil, kemungkinan besar kerana rakyat sekarang pandang jijik kepada UMNO.

''Kalau dulu UMNO didokong oleh rakyat, mereka bersedia memberikan sokongan kepada UMNO dan BN tetapi hari ini pandangan rakyat sudah berbeza, sekarang saya fikir rakyat sudah benci dengan semua pemimpin kerana mereka terlibat rasuah.

''Rakyat pandang UMNO yang meletakkan calon-calon yang menang dalam pemilihan parti merupakan calon yang rasuah, adakah parti akan mendapat undi?," katanya pada program Penerangan Isu-Isu Semasa di Yayasan Kepimpinan Perdana di sini hari ini.

Bekas Perdana Menteri selama 22 tahun itu juga membidas pandangan segelintir pihak yang menyatakan orang luar daripada UMNO tidak wajar mencampuri dan mengambil perhatian tentang apa yang berlaku dalam parti tersebut.

Ini kerana katanya, selama ini UMNO dan BN berjaya memenangi semua pilihan raya umum lalu bukan sekadar dengan sokongan ahli-ahli parti sebaliknya atas dokongan rakyat yang menyokong dasar serta perjuangan parti tersebut.

Sehubungan itu, Dr. Mahathir berkata, pemimpin yang mengamalkan politik wang perlu disingkirkan daripada menduduki jawatan-jawatan penting parti bagi mengelakkan pandangan buruk rakyat yang berada di luar parti.

''Sudah tentu tidak semua pengundi gila tetapi ada yang masih waras, mereka akan tolak calon BN pada Pilihan Raya Umum Ke-13 dan inilah nasib yang sedang menunggu untuk mereka yang keluarkan wang yang banyak," katanya.

Dalam pada itu, beliau berpandangan, pelan peralihan kuasa yang ditetapkan oleh UMNO tidak akan memberikan kesan sekiranya ia hanya membabitkan pertukaran pemimpin secara fizikal.

Sebaliknya, jelas beliau, peralihan kuasa itu mesti melibatkan pertukaran dasar-dasar yang sebelum ini didapati menjadi punca kebencian rakyat dan kerugian kepada negara serta menyebabkan UMNO menjadi lemah.

''Untuk bersihkan UMNO kita perlu kepada pemimpin yang berani dan bukan lebih mirip kepada hendak menjaga air muka orang lain.

''Oleh itu peralihan kuasa tidak hanya dalam bentuk tubuh badan sahaja tetapi mesti melibatkan segala dasar yang dibenci oleh rakyat, jika tidak peralihan itu akan menjadi sia-sia sahaja, kalau teruskan rakyat akan tolak kepimpinan UMNO," tegasnya.

Sementara itu pada sesi soal jawab, Dr. Mahathir menegaskan beliau akan cuba membantu ahli-ahli UMNO memerangi rasuah politik dalam parti termasuk menghubungi Lembaga Disiplin parti dan menghantar laporan mengenai gejala itu kepada badan tersebut.

''Saya juga boleh masukkan nama-nama mereka yang dilaporkan terlibat dengan politik wang dalam laman blog saya," katanya.


-----------------------------

mStarRabu November 19, 2008

Impak politik wang, Mahathir ramal Umno, BN kalah teruk?

Mahathir serah Lembaga Disiplin Umno laporan

Oleh G. MANIMARAN

PETALING JAYA: Dalam siri kritikan mengenai perkembangan dalam Umno, parti yang diterajui selama 22 tahun, Tun Dr. Mahathir Mohamad menegaskan, kelakuan buruk ahli dan pemimpin Umno kali ini besar kemungkinan menyebabkan Barisan Nasional (BN) dan parti itu kalah.

"Lihat 2008. Ketua-ketua perhubungan Kedah, Perak dan Selangor dapat jadi calon dan dapat menang pun. Tetapi BN dan UMNO kalah di negeri-negeri ini.

"Apabila parti kalah yang menang menjadi pemimpin dalam Umno tidak akan dapat menjadi Menteri Besar, ahli Exco dan sebagainya. Mereka akan bernasib baik jika dapat jadi pembangkang.

"Ramai daripada mereka tidak pun dapat jadi ahli Yang Berhormat. Mereka akan kalah," kata bekas Perdana Menteri dalam tulisan blognya hari ini yang bertajuk "Pencalonan Umno".

Sambil merujuk kepada amalan dan gejala politik wang, isu yang beliau sentuh sejak sebulan lalu, Dr. Mahathir hari ini menambah, dalam pilihan raya umum lalu pengundi-pengundi termasuk ahli dan penyokong setia Umno telah menolak parti itu hanya kerana pucuk pimpinan mereka disebabkan banyak faktor.

"Pada 2008 pengundi termasuk ahli dan penyokong setia Umno telah tolak Umno hanya kerana pucuk pimpinan Umno yang tak mampu memimpin, yang tunduk kepada Singapura, yang tak tahu kenang budi, yang utamakan anak menantu lebih daripada rakyat dan bermacam lagi. Kerana orang ini seorang, pengundi telah dengan berat hati undi parti lawan. Orang ini hanya seorang sahaja tetapi Umno dan BN yang menjadi mangsa," katanya.

Bagaimanapun jelas beliau, kali ini penolakan Umno dan BN oleh majoriti pengundi akan disebabkan mereka - Melayu, Cina dan India - memandang jijik keseluruhan Umno itu sendiri.

"Dengan mengetahui Umno terdiri dan dipimpin oleh perasuah, dengan anggapan bahawa siapa sahaja yang menjadi calon Umno dalam pilihan raya umum ke-13 akan terdiri daripada orang yang telah dicalonkan kerana rasuah, dipilih oleh pemimpin perasuah dari parti yang secara terbuka mengamal rasuah, apakah pengundi akan rela beri undi mereka kepada calon-calon Umno?

"Saya fikir tidak. Mungkin yang dapat nikmat tertentu akan undi BN. Tetapi ramai yang tidak akan undi BN," katanya lagi.

Isu politik wang menjadi perhatian banyak pihak dengan Lembaga Disiplin mendedahkan lebih 900 aduan diterima sepanjang kempen pemilihan parti baru-baru ini.

Dalam tulisannya hari ini, Dr. Mahathir, bekas Presiden Umno menyoal: "Apakah yang akan jadi pada Umno yang sudah kalah?Mungkinkah ia memberi nikmat kepada ahli dan pemimpin-pemimpin Umno? Tentu tidak," katanya lagi.

Beliau menambah, jika tidak hancur, Umno akan menjadi parti yang tidak bermaya, sekali gus tidak akan dapat pejuangkan nasib bangsa, agama dan tanah air.

"Mungkinkah Umno yang lemah ini dipulih semula. Saya tidak fikir UMNO dan BN juga yang telah dirosakkan oleh pucuk kepimpinan Umno pada mulanya dan sekarang oleh lain-lain pemimpin dan juga ahli biasa akan dapat dipulihkan oleh mereka yang telah merosakkannya kerana kelakuan buruk mereka," katanya lagi.

Alternatif disyorkan beliau: jika Umno hendak dipulih semula pemimpin yang telah mengotorkannya sehingga kalah perlu diganti dengan yang dianggap bersih oleh masyarakat dan ahli parti yang tidak tercemar dan masih berpegang kepada prinsip perjuangan parti.

"Soalnya siapakah yang layak? Sama-samalah kita fikir," kata beliau yang menyerahkan pucuk kepimpinan parti dan kerajaan kepada Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi Oktober 2003.

Sementara itu, Bernama melaporkan, ketika sesi soal jawab dalam majlis dialog bersama beliau di Yayasan Kepimpinan Perdana di Putrajaya hari ini, Dr Mahathir berkata, semua laporan yang diterimanya berhubung amalan politik wang dalam Umno akan dipanjangkan kepada Jawatankuasa Disiplin parti itu untuk tindakan lanjut.

Beliau menegaskan laporan tersebut juga akan diserahkan kepada Badan Pencegah Rasuah (BPR).

"Jika kedua-dua cara itu tidak berhasil, saya akan siarkan senarai nama mereka yang terlibat itu beserta laporan di dalam blog saya," katanya.

Beliau berkata, tindakan yang berani amat diperlukan ketika ini bagi memulihkan imej dan kedudukan Umno yang didakwanya kian tercemar ekoran amalan politik wang yang semakin berleluasa. "Jika kita tidak berani mengambil tindakan, Umno akan hancur. Inilah yang akan menunggu kita kalau keadaan ini berterusan," katanya.

Terdahulu dalam ucapannya, beliau berkata amalan politik wang adalah faktor utama yang akan memusnahkan Umno dan struktur keseluruhan parti itu.

Sekiranya tidak dibersihkan, negara perlu bersedia menghadapi keruntuhan kuasa kerajaan Barisan Nasional (BN), kata Dr Mahathir.

"Apabila mereka menggunakan wang, pandangan pengundi kepada mereka akan lebur. Mereka (pengundi) jijik pada orang macam ini. Pada pilihan raya akan datang sudah tentu yang akan dapat jadi calon ialah mereka yang kalau tak cekap bodek pun, ialah mereka yang cekap memberi wang kepada pihak tertentu supaya mereka dicalon untuk menjadi calon pilihan raya.

"Rakyat akan pandang mereka ini sebagai calon yang terlibat dengan rasuah. Apakah rakyat akan undi kepada calon-calon ini?," katanya.

Dr Mahathir berkata, hanya ahli yang tidak menggunakan akal sahaja akan mengundi calon yang terlibat dengan rasuah.

"Seperti yang saya katakan, undi daripada ahli sahaja tidak memberikan kemenangan kerana undi dari ahli (Umno) itu sedikit. Kita perlukan undi dari pengundi yang bukan ahli Umno tetapi merupakan penyokong setia Umno," katanya.

Rentetan daripada itu, kata beliau, tidak mustahil untuk BN kalah pada pilihan raya ke-13 akan datang jika para pengundi enggan mengundi calon yang terlibat dengan rasuah.

"Itu bukan mustahil. Sebelum pilihan raya umum Mac lepas, kita fikir kita tentu menang di Selangor, Perak dan Pulau Pinang, tentu kita menang di Kedah, tapi apa yang berlaku adalah sebaliknya," katanya.

10 comments:

Anonymous said...

Nampaknya Mahathir semakin lantang melontarkan suara beliau seolah-olah beliau masih berpeluang jadi Perdana Menteri atau sekurang-kurangnya penasihat politik... Beliau bersuara seolah-olah hanya beliau sahaja yang layak untuk memimpin. Beliau sahaja yang betul. Pemimpin sekarang semuanya tak betul...

Anonymous said...

macam mana TDM ckp x betul. Dah semua menteri otak dan mental x cukup pandai. Org x cerdik ckp senang kena belit. Org bijak ckp susah nak belit. So lu pikir la sendiri. Ni bukan pasal nak berkuasa atau tidak. Tapi pemimpin yg lemah

Anonymous said...

Lantang tetapi dengan hujah yang masuk akal tidak apa, malah dituntut untuk memperelok keadaan. Lantang membuta-tuli tanpa isi-isi yang jelas itulah yang patut dielakkan. Niat beliau yang jujur menegur haruslah dapat dirasai oleh mereka yang waras, yang menganalisis tanpa dibelenggu ketaksuban dan perasaan sendiri. Pepatah Melayu, 'buang yang keruh,ambil yang jernih' harus diguna pakai oleh mereka yang matang. Saya sebagai rakyat Malaysia berasa amat berbangga mempunyai pemimpin yang tidak jemu-jemu memperjuang nasib bangsa dan agama, semoga dipanjangkan usia beliau.

Anonymous said...

sebenar kemunduran UMNO started di zaman Dr. M .... poor Pak Lah just caught a falling knife ...

straycat's strut said...

Beliau bersuara seolah-olah hanya beliau sahaja yang layak untuk memimpin. Beliau sahaja yang betul. Pemimpin sekarang semuanya tak betul... - Mankanan

---

Just wondering, which part of what Tun said is "tak betul?"

Its true that Tun will never be PM again and I dont think he wish to be one again. He is not that stupid. Just admit the fact that it was largely his voice that led to the end of these stupidities. If you think that there are better voices that are worth listening to, name me one.

I am glad that he is still talking.

Anonymous said...

Mankanan said...
Nampaknya Mahathir semakin lantang melontarkan suara beliau seolah-olah beliau masih berpeluang jadi Perdana Menteri atau sekurang-kurangnya penasihat politik... Beliau bersuara seolah-olah ...
Tidak, TDM Bersuara hanya kerana pemimpin-pemimpin yang ada semuanya tidak bersuara dan tidak berani bersuara oleh kerana ketakutan atau tidak tahu apa-apa yang harus dikatakan. Hidup TDM - negarawan ulung, pemimpin yang mendahului zaman.

Zainal A. Kasim said...

Mankanan,

Saya rasa apa yang dikatakan oleh Tun adalah betul.

Che Moq™ said...

Selama ini semua blogger hanya melayari laman blog blogger lain dan bertukar komen. Kini marilah kita bersama memulakan inisiatif baru untuk berbincang dengan lebih efektif dalam usaha menghubungkan sesama kita bersama dengan lebih pantas dan mudah. Mulakanlah langkah setapak dengan menyokong usaha ini bersama.

Sebentar tadi (Jam 8.35 pm sehingga 12.25 am) 20 November 2008 berlangsungnya satu konferensi pertama bagi bloggers yang menyahut seruan blogger Penembak Tepat dalam usaha bersama untuk bergabung idea di Yahoo Messenger.

Antara bloggers yang sempat hadir adalah :-

1. Panglima Cyber = penembak-tepat.blogspot.com
2. Che Moq = che-moq.blogspot.com
3. Zealforce = Pemerhati bukan blogger
4. Sarfa MS = sarfarizmalsaad.blogspot.com
5. Hakeem = sejarahmelayu.blogspot.com
6. Cheguman = waadat.blogspot.com
7. Ah Lang = perigijernih.blogspot.com
8. Dato Seri Andalas = medan-info-kita.blogspot.com
9. Dr Novandri = novandri.blogspot.com

(Nama dalam catatan Che Moq. Jika ada nama blogger yang hadir tetapi Che Moq tidak maklumkan diatas, sila tinggalkan mesej di dalam komen)

Ia satu inisiatif Penembak Tepat bagi merapatkan saf dan hubungan sesama blogger yang mana lebih cenderung mencintai hak, maruah dan keistimewaan bumiputera khususnya melayu yang tidak senang dengan :-

1. Sikap pemimpin pembangkang Pakatan Rakyat yang mula menunjukkan belang dengan menggadaikan maruah dan hak melayu.
2. Blogger Pakatan Rakyat yang menggunakan sumber palsu fitnah dan gosip di dalam penulisan mereka kepada pemimpin dan blogger lain.

Senarai mereka yang menyertai team ini akan diletakkan di dalam bloglist khas di blog masing-masing (usaha sendiri tuan blog untuk membuat bloglist baru bagi semua ahli group) khusus bagi ahli yang menyertainya. Nama group akan dibincangkan di perjumpaan kedua malam ini jam 9 malam (21 November 2008). Antara nama awal yang telah dibincangkan sebentar tadi adalah Parlimen Blogger Malaysia, Angkatan Blogger Malaysia dan Team Blogger Negara. Semua ahli digalakkan dan dialu-alukan untuk memberi sumbangan idea tentang nama,logo dan slogan yang akan dibina.

Siapa yang layak untuk menyertai?

1. Bloggers UMNO tidak kira dari penyokong pro Pak Lah, Najib, Muhyidin, Isa Samad, Muhd Taib, Ali Rustam, Khairy, Mukhriz, Khir Toyo atau sesiapa sahaja tidak kira di dalam dan luar negara.
2. Bloggers neutral yang mahu menegakkan hak dan keistimewaan melayu dari terus dicabul.
3. Bloggers Pakatan Rakyat yang sudah muak dengan perjuangan palsu parti pimpinan Anwar Ibrahim, Lim Kit Siang dan Hadi Awang.
4. Bukan Bloggers (akan dinilai penembak tepat)

Setiap ahli akan menziarahi blog ahli lain dan saling bekerjasama memberi komen dan pendapat tentang sesuatu isu atau masalah dan pandangan yang berlaku atau disentuh oleh team kita. Semua dialu-alukan berkongsi idea, pendapat dan cadangan sesama ahli.

Begitu juga jika ada blog yang dilihat tidak mengamalkan etika sebagai blogger terhormat maka kita akan gerakkan team ini bagi menegur beramai ramai tindakannya demi mengelakkan kesan yang buruk terhadap negara kita.

Di dalam konferensi pertama sebentar tadi, kelihatan usaha ini membuahkan hasil dengan visi dan misi ianya diwujudkan dapat dicapai dan berjaya memisahkan fahaman dan sokongan peribadi masing-masing demi berkongsi idea untuk menyerang Pakatan Rakyat. Semua forumer yang berbincang sepakat dengan memulakan sesi taaruf suai kenal, bertukar email dan laman blog untuk di masukkan ke bloglist, bersembang tentang tujuan bersama dan juga cadangan-cadangan menarik untuk dibawa ke konferensi kedua malam ini (21 November 2008)

Objektif utama cadangan penembak tepat selaku Speaker Dewan adalah :-

1. Mengumpulkan blogger2 pembela negara
2. Mempromosi blog blog team di blog ahli team.
3. Memberi komen pandangan setiap artikel yang ditulis oleh team blogger.
4. Melawan pandangan songsang terhadap usaha murni kerajaan serta mengkritik tindakan yang dirasakan tidak sesuai dibuat oleh kerajaan dengan berhikmah dan mauizah hasanah.
5. Mengeratkan hubungan antara blogger utk pengaliran info maklumat terkini.
6. Memastikan agama bangsa dan negara dikuatkan dengan team blogger harapan Malaysia ini.

Di harap dapatlah kiranya bloggers bersama memulakan langkah awal bersama dengan add email penembak tepat di bawah untuk memulakan gerakan membina rangkaian blogger negara Malaysia. Pada peringkat permulaan conference room di bawah YM panglimaperangcyber@yahoo.com akan digunakan sementara usaha membina medium perbincangan yang lebih baik akan dilakukan:-

Email Speaker Dewan : panglimaperangcyber@yahoo.com
Email Che Moq : utusan_che_moq@yahoo.com

Semua dijemput hadir ke konferensi maya kedua pada :-
21 November 2008 / 9.00 Malam
Perhatian : Sila add YM email speaker dewan untuk menyertai

Laporan oleh :-
Che Moq ( che-moq.blogspot.com )

Anonymous said...

1. Kalau cuma tubuh badan yang berubah tetapi polisinya masih sama, matlamat peralihan kuasa itu tidak kesampaian. Inilah cabaran bagi Najib, untuk berusaha memperbaiki segala kerosakan yang berlaku selama ini. Tampuk kuasa tidak ada makna kalau orang yang mendudukinya tidak punya keberanian. Pak Lah berani menyanggah banyak polisi dan perancangan kerajaan TDM, malangnya usaha beliau bak tikus membaiki labu. Najib kena buktikan beliau juga berani tetapi kenalah menjadi petani yang menanam labu yang elok dan berkhasiat.

2. Peralihan kuasa dan perubahan di peringkat atasan semata-mata tidak menjamin penerimaan pengundi terhadap UMNO/BN dalam pilihanraya. Perubahan perlu terlaksana secara menyeluruh khususnya di peringkat bahagian. Amalan rasuah politik di peringkat bahagian akan membantutkan usaha pemulihan UMNO/BN di kaca mata pengundi. Jika terus pilih pemimpin rasuah, maka UMNO akan dikafankan dalam PRU-13.

Pok Li said...

Salam kenal. Terima kasih singgah di blog saya.

My Say