Friday, December 14, 2012

Perkasa: Lanskap politik Melayu selepas PRU13


Kenyataan Presiden Perkasa, Dato Ibrahim Ali yang telah dijadikan caption di muka hadapan Sinar Harian sebagai "PRU: Jangan perkecil undi Perkasa" pasti mendapat reaksi negatif dari pihak-pihak tertentu.

Pembaca yang berfikiran singkat mudah sekali tersalah anggap kenyaatan sedemikian.

Hari ini, Ibrahim Ali banyak mendapat liputan di akhbar-akhbar sebagai gezet untuk acara Persidangan Tahunan Perkasa yang akan diadakan besuk di Astaka di Taman Tasik Titiwangsa, Kuala Lumpur pada bermula pukul 9 pagi esok.

[Baca juga temuramah Ibrahim Ali di Utusan Malaysia di sini.]



Maka yang demikian, kenyataan Ibrahim Ali tidak harus disalah anggap sebagai ditujukan kepada kepimpinan UMNO atau Barisan Nasional tetapi merupakan gimik mempromosi acara Perkasa. Buat masa ini, Perkasa telah nyatakan sokongan kepada BN kerana hanya agenda BN masih selari dengan perjuangan Perkasa dan perkongsian kuasa BN masih sesuai untuk negara ini.

Kenyataan Ibrahim Ali patut dilihat sebagai amaran kepada parti pembangkang Pakatan Rakyat yang mana,  walau bagaimana mereka cuba putarbelit dan menafikan, agenda politik demi undi mereka akan mengorbankan hak Pribumi dan asas-asas perlembagaan negara.

Keahlian 300,000 ahli Perkasa tidak boleh dianggap enteng kerana jika ianya tersebar dimerata negara, secara teori, undi Perkasa boleh jadi "kingmaker" sebagaimana undi-undi kaum India di banyak kawasan-kawasan urban.

Harus diingat bahawa ahli-ahli Perkasa tidak semesti ahli atau orang UMNO. Sebahagian besar adalah pengundi atas pagar.

Selain itu, terdapat juga ahli-ahli atau pengundi-pengundi pembangkang yang masih berpegang dan selari dengan asas perjuangan Perkasa dalam mempertahankan asas perlembagaan khususnya hak keistimewaan Melayu dan Pribumi Sabah/Sarawak.

Tentu sekali, pihak yang perjuangan mereka selari dengan Perkasa dan tidak memperkecil atau perlecehkan perjuangan dan kewujudan Perkasa akan mendapat undi ahli-ahli Perkasa. Ini belum lagi undi-undi yang boleh dipengaruhi oleh ahli-ahli Perkasa.

Ibrahim Ali

Namun demikian, orang lama dan kontroversi seperti Ibrahim Ali tetap akan mengundang persoalan atau kritikan.

Kisah lepas Ibrahim Ali pun pasti diungkit.

Tidak lepas juga ada yang menganggap kenyataan tersebut sebagai ugutan kepada pihak tertentu supaya dia terus dicalunkan bagi mewakili Barisan Nasional untuk kerusi Parlimen Pasir Mas.

Ibrahim Ali pernah memegang jawatan sebagai Ketua Bahagian UMNO tetapi ditendang keluar dari UMNO kerana menentang keputusan Presiden UMNO ketika itu, Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Abdullah telah menggunakan alasan persempadanan semula untuk mengugurkan Ibrahim Ali dari jawatan Ketua bahagian Pasir Mas yang dipegang dan dimenangi dengan sah secara demokratik. Langsung Ibrahim Ali kembali dengan bertanding atas tiket PAS pada tahun 2008 dan menang.

Jika Ibrahim Ali bertanding atas tiket UMNO, maka calun dari Bahagian UMNO Pasir Mas perlu diketepikan.

Maka reaksi sedemikian terhadap Ibrahim adalah sesuatu yang diduga dari UMNO yang sering mempunyai mentaliti koboi yang cepat mengumpulkan "bandwagon" kereta-kereta kuda sebaik saja berhadapan dengan "orang luar."

Tidak kira orang luar itu pernah bersama mereka atau tidak, orang itu dianggap luar memgikut apa saja kriteria suka hati mereka.

Pandangan singkat 

UMNO tidak boleh bersikap "myopic" atau berpandangan singkat. Bagi parti politik yang lebih berasaskan pragmatisma dan kepentingan Melayu/Bumiputera dari berpaut kepada satu ideologi, kekitaan UMNO boleh membawa kesan yang salah.

Ada bagus atau tidak mentaliti "bandwagon" bukan jadi persoalan, tetapi adakah mentaliti sedemikian bersesuaian sebagai parti politik yang kini bertambah marginal untuk masih mahu memilih-milih sahabat dan rakan ketika ia memerlukan sahabat dan rakan?

UMNO perlu banyakkan kawan dari mencari lawan atau musuh. Jauh sekali menjadikan musuh dari kawan yang ada.

Reaksi terhadap Ibrahim Ali pun sering timbul dari sikap orang-orang Kelantan itu sendiri.

Sebagai seorang ahli politik yang telah berkecimpung dan terlibat dalam pelbagai percaturan dan pertembungan politik, pasti ada yang suka dan tidak suka cara politik Ibrahim. Kadang kala minda politik Kelantan pun mempunyai kepelikan dan ciri-ciri kekampongannya tersendiri.

Di Kelantan, seorang seperti Ibrahim Ali  boleh menabur jasa begitu banyak tetapi salah silap lepas-lepas yang hanya berupa titik bengik boleh diungkit selama-lama. Mereka tidak ambilkira dan peduli akan senario politik terkini serta peranan strategik dan penting yang dimainkan Ibrahim Ali di peringkat nasional.

Wakil-wakil rakyat PAS yang rata-rata rumah sentiasa tertutup untuk menerima tetamu dari kalngan rakyat untuk mengadu hal sentiasa mendapat pengampunan.

Mengisi kekosongan  

Apa sekali imej negatif yang dilihat akan Perkasa, samada hanya sebagai puak yang hanya tahu mendesak atau lebih kelihatan berdemo dan membuat laporan polis, Perkasa mengisi kekosongan dalam lanskap  politik Melayu.

Akibat kepimpinan dan keanggotaan dominan Pemuda UMNO yang dilihat lemah dan mengenepikan agenda Melayu dan Pribumi untuk berjinak dengan idealisma liberalisma dan neo-liberal barat. muncul suatu hampagas dalam suara politik Melayu.

Padahal ada NGO-NGO Melayu lain yang lebih lama, tetapi mereka terlalu selesa dan di "remote control" oleh fraksi-fraksi tertentu dalam UMNO untuk berani lantang bersuara. Selain itu, banyak NGO sedemkian hanya batu loncatan untuk mencuba jawatan tinggi dalam UMNO.

Maka Perkasa adalah reaksi untuk mengimbang suara desakan dari pihak pembangkang dan NGO-NGO haluan kiri dan berkepentingan cauvanis.

Disebabkan kepimpinan Pemuda UMNO telah mengabaikan peranan menjadi perisai kepada kepimpinan negara maka Perkasa telah mengambil tempat itu. Perkasa saja yang kuat menyuarakan suara orang massa Melayu dan Pribumi walaupun dianggap lapuk oleh sesetengah pihak.

Namun begitu, Perkasa bukanlah pertubuhan satelit UMNO untuk agendanya ditentukan oleh pemimpin UMNO.

Sebagai sebuah NGO, Perkasa mempunyai kelebihan dalam tidak perlu akur kepada percaturan politik dan kow tow kepada tekanan politik dan suara dari pihak-pihak lain.

Mereka boleh terus bersuara dan menyatakan sesuatu yang pihak lain tidak mahu lagi ianya disuarakn lagi. Perkasa menghidupkan suara-suara yang mahu dimatikan.

Persimpangan


Tentu sekali, ini menimbulkan pertembungan dan persaingan pengaruh dengan orang-orang tertentu seperti bagaimana berlaku antara Perkasa dengan kepimpinan MCA dan Pemuda MCA serta Ketua Pemuda UMNO sendiri .

Mereka yang memegang kuasa politik boleh cuba merencana agenda tetapi akhirnya kuasa mengundi terletak kepada orang perseorangan.

Satu suara boleh dikalahkan denagn hujah atau tekanan tetapi suara ramai tidak cukup tangan untuk menutup mulut-mulut. Permintaan ramai tidak boleh diketepikan terus.

Hasil perjuangan Perkasa telah banyak membawa perubahan dalam segi polisi, perlaksanaan dan pelbagai tuntutan. Tidak semua dapat dicapai tetapi banyak juga pencapaian seperti tertubuhnya TERAJU, penilaian semula program PPSMI, dan banyak lagi pencapaian yang elok dibiarkan menjadi rahsia.

Selama mana Perkasa boleh terus wujud bergantung kepada penerimaan ramai kepada agenda perjuangan Perkasa. Adakah agenda yang diperjuangkan Perkasa boleh terus kekal dalam suasana peralihan generasi yang kini menuntut satu perubahan sosial, politik dan ekonomi?

Masaalahnya pula generasi baru ini agak cetek pendedahan sejarah dan politik serta mudah termakan dengan tawaran-tawaran yang dibawa oleh kumpulan-kumpulan yang mana berselindung disebaliknya pengaruh intelektual, kuasa dan kewangan dari barat.

Di sinilah terletaknya cabaran Perkasa yang besar dalam mengekalkan releven kepada agenda-agenda yang akan dilihat sebagai mempertahankan cara-cara dan struktur lama. Perkasa perlu berfikir melampau PRU 13 dan sentiasa terkini memngikuti perkembangan dan mengemaskini hujah-hujah untuk mengekalkan agenda-agendanya.

Jika keputusan PRU13 memerlukan Barisan Nasional untuk lebih berkompromi dalam agenda-agenda yang diperjuangkan Perkasa, adakah Perkasa akan terus menyokong BN?

Agak merumitkan jika UMNO dilihat tidak lagi memperjuangkan Melayu. Bolehkah pemimpin-pemimpin dalam Perkasa yang masih ada sentimen kepada UMNO dan perjuangan asalnya melakukan sesuatu yang drastik?

Walaupun mereka bebas dengan pendapat dan pendirian serta faham kedudukan mereka sebagai NGO yang bebas dari kongkongan struktur parti politik, pemimpin-pemimpin Perkasa mempunyai hubungan dan peranan-peranan kecil dalam UMNO, setidaknya ahli UMNO.

Bolehkah mereka kekal bebas jika pendirian mereka bakal bertembung dengan pendirian UMNO?

Lanskap politik Melayu

Sebenarnya jawapannya mudah tetapi tidak semudah itu untuk dilaksanakan.

Dalam masyarakat kaum Cina, kuasa politik mungkin berada pada ahli-ahli politik tetapi penentu agenda masyarakat tidak terletak penuh pada parti-parti politik tetapi pada NGO-NGO dan "power broker" tertentu.

Malahan di negara-negara maju, "agenda setting" dipisahkan dari parti politik kepada kumpulan pemikir "think tank", akademik, intelektual, kumpulan berkepntingan (interest group), dan lain-lain.

Lain pula dalam masyarakat Melayu yang masa berada dalam peringkat neo-feudal atau separa feudel. Kuasa dan "agenda setting" terletak ditangan parti pemerintah dan belum ada kumpulan yang lantang dan efektif untuk melekangkan keadaan tersebut.

Keadaan lanskap politik Melayu sekarang sepatutnya dapat dilihat oleh masyarakat Melayu sebagai merugikan.

Masyarakat lain khususnya kaum Cina dan India dapat kekal dengan agenda tuntutan mereka kerana parti-parti politik yang mewakili masyarakat mereka tidak dapat kompromikan tuntutan tersebut.

Manakala UMNO boleh dikompromi demi mempertahankan kuasa dan untuk menangkis tuntutan parti politik pembangkang Melayu/Islam yang sedia kompromikan kepentingan Melayu dan Islam.

Beranikah Perkasa menjadi sebenar-benarnya Hindraf atau Dong Zong untuk kaum Melayu dan Pribumi? Persoalan selari dengan ini adalah bolehkah UMNO lebih bijak dalam permainan politiknya untuk melonggarkan genggaman kuasa demi kepentingan Melayu dan Pribumi?

Ini saja sudah satu persoalan rumit yang tidak ramai berani berhadapan. Ia belum lagi diambilkira perbezaan struktur sosial dan kepelbagaian masyarakat Pribumi di Sabah dan Sarawak.

Fikir-fikirkan ....

Dengan Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria memberi ucaptama esok, agenda bagi persidangan esok hari bakal berlegar dalam hal isu Islam dan akidah.

Tahun lepas, ucaptama diberikan oleh mantan Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Rahim Noor dan perbincangan banyak berlegar dalam hal keselamatan..

Selamat bersidang Perkasa!

4 comments:

Anonymous said...

Dari komen sesetangah blogger pro UMNO terhadap Perkasa, nampaknya UMNO masih tidak boleh buang sikap angkuh dan rasa diri besar.

Mereka seolah-olah tidak sedar mega trend dalam lanskap politik Melayu yang boleh membantutkan usaha memajukan bangsa Melayu.

Ada yang sudah terlena dengan slogan Malaysia Boleh seolah-olah Melayu sudah boleh berdikari dan kejayaan sekelompok dari mereka itu benar-benar hanya berdasarkan keupayaan masing-masing.

Mat Bon said...

PERKASA dilihat sebagai memberi tekanan kepada usaha-usaha mengetengahkan UMNO. UMNO dilihat lebih terkiri dengan hubungannya dengan PERKASA. Adakah ini sihat untuk negara?

Anonymous said...

Saya meyokong kedua-dua UMNO dan Perkasa.

Dari apa yang saya lihat, UMNO sudah tidak ada aktivis dan penggerak yang tulin dan sejati.

Semua perkiraan politik atau perjuangan berasaskan pulangan, imbuhan, projek dan duit duit ... Malah blogger yang menyokong UMNO pun sudah ada yang ternoda dengan duit UMNO.

Program ceramah UMNO tidak boleh menarik penuntun, hanya dalam ratusan. Jika ada lebih dari itu, ia nya kerana diusung orang UMNO dari merata tempat dan disediakan makan minum dan tidak kurang duit belanja. Bukan dengan sukarela.

Ceramah Perkasa boleh mengumpulkan ribuan pada kos yang hanya 105 kos UMNO.

Mungkin kali ini, Perkasa boleh mengaku bebas dan berani, tetapi apabila UMNO berkompromi keran mahukan kuasa, bagaimana Perkasa?

Untuk menggerakkan aktiviti perlukan wang dan sumber. Bagaimana Perkasa boleh bergerak? Bolehkah ahli Perkasa bergerak betul-betul atas asas berjuang dan sedia berkorban?

Saya amat setuju dengan pandangan tuan bahawa menumpukan kuasa politik Melayu pada hanya UMNO amat merbahaya tetapi selain perkasa dan kumpulan tertentu, adakah kumpulan Melayu yang mempunyai cukup 'cloud' dan pengaruh selain dari UMNO?

Adakah politik Melayu itu sudah benar bebas dan berobjektif dari segi prinsip dan menjaga kepentingan Melayu dan keluar dari kepompong feudel yang berasaskan hubungan pemberi dan penerima?

UMNO dan tidak kurang PAS masih dalam kepompong feudel itu dan hanya bezanya feudel budaya dan feudel agama.

Yang akan melemahkan kedua-dua mereka adalah kewjudan golongan peniaga dan capitalis melayu yang akan mengurangkan pegangan prinsip dan menjadikan perjuangan terlalu pragmatis seperti typical orang berniaga.

Untuk menyelamatkan kuasa Melayu, sistem nilai masyarakat Melayu perlu dipertingkatkan. Ia memerlukan suntikan Intelektualisma. Perlu juga satu pentarbiyahan dalam konsep-konsep politik dan demokrasi yang tulin.

Anonymous said...

Visit Freemalaysiakini2.com No subscription needed.

My Say