Tuesday, April 08, 2008

Fikir-Fikirkan: Abdullah Perancang Pengharaman UMNO 1988


Semua kritikan dan persoalan dalam perayaan Mahathir Bashing II telah dijawab pada Majlis Fikir-Fikirkan di Hotel De Palma pada hari Ahad, April 6hb 2008 baru-baru ini. Liputan kepada Majlis ini boleh diperolehi di media perdana dan alternatif.

Namun, jawapan Dr Mahathir terhadap tuduhan Dato Ahmad Shaberry Cheek sengaja dilepas pandang oleh media.

Tuduhan Shabery

Dalam kenyataan di suatu Majlis, Shaberry, Menteri Penerangan baru menuduh Dr Mahathir sebagai penyebab UMNO diharamkan di mahkamah pada tahun 1988.

Semasa Majlis Fikir-Fikirkan, Dr Mahathir mengatakan serangan Mahathir Bashing II terbaru begitu tersusun dan bagaikan ada arahan. Selepas “Shah Berry”, merujuk kepada Ahmad Shabery, menyampaikan syarahannya di Majlis Kementerian Penerangan, serangan terhadap Tun bagaikan ada pakat-pakat. Katanya, perkara yang berpakat-pakat selalunya “ada yang tidak kena.”

Shabery telah menuduh Dr Mahathir 'dicekik dan dilemaskan' UMNO hingga menyebabkan pengharamanannya pada tahun 1988.

Kata beliau yang dipetik oleh Media Perdana, “Ketika kepemimpinan Dr Tun Dr. Mahathir, UMNO mati, musnah, dibatalkan pendaftarannya dan terus mati lagi dalam bentuk yang lain ... kita tidak mahu UMNO yang menjadi parti keramat orang Melayu ini sekali lagi mati hanya kerana Dr Tun Dr. Mahathir.

"UMNO pernah diharamkan pada zaman beliau dan kita tak mahu perkara ini berlaku lagi. Semua perkara ini saya percaya orang Melayu tak lupa, tetapi mungkin Tun Dr. Mahathir sendiri lupa mengenai apa yang pernah dilakukannya ketika memimpin UMNO.”

UMNO Baru Menyatukan

Dalam jawapan Dr Mahathir, beliau menyatakan Shabery sendiri terlibat dalam usaha memecahbelahkan UMNO. Dia terlibat menubuhkan Parti Semangat 46 dan menarik diri dari “UMNO”.

Mengikut Dr Mahathir, UMNO yang asal telah diharamkan oleh pihak mahkamah dalam saman yang telah dilakukan oleh 11 orang dari kelompok yang Shabery terlibat. Dr Mahathir bertanya, “Bila haram, siapa pulihkan?”

UMNO Baru dapat dihidupkan kembali tetapi kelompok ini enggan menyertai UMNO. Mereka menubuhkan S46 dan bersekongkol dengan parti pembangkang yang lain untuk menentang UMNO. Ini menjadikan UMNO berpecah seketika.

Namun, UMNO Baru mendapat sokongan dan dapat menyatupadukan ahli-ahli UMNO semula. Akhirnya mereka-mereka seperti Shabery kembali semula kepada UMNO setelah menyedari pengaruh mereka menurun dan perjuangan mereka itu sia-sia.

Penglibatan Abdullah Badawi

Sebenarnya diketahui ramai dikalangan mereka yang terbabit dalam Parti S46 bahawa usaha menyaman UMNO adalah dirancang oleh Dato Seri Abdullah Badawi sendiri.

Mesyuarat pertama untuk membincang usaha ini dilakukan di rumahnya di Jalan Medan Kapas, Bangsar, Kuala Lumpur. Antara yang hadhir adalah Marina Yusof, Dato Radzi Shiekh Ahmad, Zawawi Zin, dan lain-lain.

Di dalam mesyaurat itu yang dihadhiri oleh mereka-mereka yang boleh digelar sebagai orang-orang Musa (Hitam) dan orang-orang Dolah, Abdullah sendiri yang membuat keputusan untuk menyaman UMNO di mahkamah dan dipersetujui oleh mereka yang hadhir.

Berikutan mesyuarat pertama, mesyuarat kedua diadakan di rumah Puan Marina Yusof di Ampang Hilir.

Penggerak utama rancangan ini adalah mantan terbaru Setiausaha Agong UMNO, Radzi Sheikh Ahmad sendiri. Sepanjang penyediaan kes dan setiap hari perbicaraan. Kesebelasan mereka yang menyaman UMNO berkumpul dan berbincang di rumah Radzi.

Mengikut sumber-sumber terdekat Tengku Razaleigh, Ku Li tidak dilibatkan langsung dan sedang berada di luar negara selama dua bulan semasa perancangan tersebut.

Untuk kepastian, cuba ditanyakan pengikut-pengikut setia Ku Li yang terlibat dalam peristiwa itu seperti Dato Manan Osman, Aspan Alias, Dr Hasan Ali, dan lain-lain. Mungkin boleh ditanya Dato Radzi sendiri yang sudah teramat kecewa dengan pentadbiran Abdullah badawi hingga meletakkan jawatan.

Walaupun kekalahan kelompok Musa, Abdullah Badawi masih menang jawatan Naib Presiden pada tahun 1987. Abdullah tidak masuk Parti S46 tetapi kekal dalam UMNO. Malah Abdullah ditawarkan sebagai Naib Presiden Protem UMNO Baru.

Disebabkan penglibatan dalam pengharaman UMNO, Abdullah dianggap sebagai musuh dalam selimut dan terpaksa dipecat dari jawatan Menteri Pertahanan. Walaupun dipecat, mengikut Dr Mahathir dalam Majlis itu, Abdullah telah ditawarkan jawatan dalam Petronas. Sumber-sumber Hicom pun memberitahu, dia telah di tawarkan jawatan sebagai Pengerusi Hicom.

Akhirnya atas gesaan arwah isterinya Datin Seri Hendon, Abdullah akhirnya berjumpa Dr Mahathir untuk mengaku tidak ada kebolehan dalam dunia perniagaan dan korporat dan memohon kembali ke dalam jemaah Menteri.

Akhirnya dia diberikan jawatan Menteri Pertahanan pada tahun 1991. Malah dia masih dikekalkan di dalam jemaah Kabinet, walaupun kalah Naib Presiden pada tahun 1993.

Siapa yang baik dan siapa yang jahat?

Cerita Lapuk Yang Ketinggalan Zaman

Peristiwa pengharaman UMNO pun mempunyai kaitan dengan penyingkiran Tun Salleh Abbas sebagai Presiden Mahkamah Persekutuan. Peristiwa ini menjadi asas tuduhan bahawa Dr Mahathir bertanggungjawab dalam ketirisan Institusi Kehakiman yang dibuat oleh Abdullah pada hari Ahad lepas dalam Majlis Amanat Presiden kepada Ketua-ketua Penerangan UMNO.

Menjawab perkara ini, Dr Mahathir menyatakan penyingkiran Tun Salleh pada rasminya dilakukan oleh Tribunal dan anggota Tribunal bukan diatur olehnya. Mungkin perkara ini perlu dihuraikan di posting yang lain.

Perkara pokok yang perlu dihayati sini adalah mereka-mereka yang kembali kepada UMNO telah kembali kepada UMNO tanpa syarat. Setelah diterima kembali dalam UMNO dan diberi peranan semula, mereka-mereka yang menyerah kalah sepatutnya tidak menimbulkan perkara lapuk yang tidak releven dan desperado menyalahkan sana sini untuk memberi justifikasi kelemahan kepada pentadbiran Abdullah.

Bagi pengundi-pengundi dan ahli-ahli UMNO yang sekarang berumor dalam 30 tahun, semasa peristiwa ini berlaku umor mereka adalah 10 tahun. Peristiwa-peristiwa yang melibatan pergeseran lama pada tahun-tahun awal pentadbiran Dr Mahathir sudah tidak releven kepada senario politik, dan pembangunan ekonomi dan sosial sekarang.

Masaalahnya sekarang yang menjadi kegusaran rakyat adalah kepimpinan Abdullah Badawi yang lemah.

Dari kenyataan-kenyataan, penafian-penafian dan alasan-alasan yang diberi oleh Abdullah Badawi pada Majlis Hari Ahad, ia hanya membuka lagi pekong dadanya kepada rakyat Malaysia dan ahli UMNO semuanya.

Abdullah hanya menyalahkan orang lain dan tidak mahu menerima kenyataan bahawa dirinya dan menantunya, Khairy adalah penyebab dan pencetus utama kekalahan BN. Kesemua anak-anak muda Tingkat 4 masih dikekalkan lagi. Itu untuk huraian di lain masa.

Menyentuh mengenai kenyataan Dato Zahid Hamidi, Menteri bertanggungjawab dalam hal ehwal agama, yang berkata jangan membuang batu di dalam rumah kaca, mungkin nasihat itu perlu di sampaikan kepada Abdullah sendiri dan rakan-rakan Chorus Girl Zahid. Memang perlu kita semua bermuhasabah, terutama Zahid sendiri.

Masa dan sejarah akan mengadili, tunggu dan lihatlah … tak lama.

Monday, April 07, 2008

FIkir-Fikirkan: Melayu Alami Krisis Besar 2023?


Fathi Aris Omar
Malaysiakini.com Apr 6, 08


Presiden Universiti Islam Antarabangsa (UIA) Tan Sri Sanusi Junid meramalkan orang Melayu akan mengalami satu lagi krisis besar pada tahun 2023 selepas ketewasan besar Umno dalam pilihanraya umum 2008.

"Ada tiga lagi pilihanraya umum - apakah orang Melayu akan hilang kuasa (pada 2023)?" katanya, mengulas prestasi buruk BN dan Umno dalam pilihanraya umum 8 Mac, hari ini.

Bekas setiausaha agung Umno itu mengemukakan "teori krisis 18 tahun" bangsa Melayu, yang terkini bermula pada 2005 selepas konflik yang memecahkan Umno pada 1987 hingga 1988.

Bercakap di majlis 'Fikir-fikirkan Bersama Tun Dr Mahathir' di sebuah hotel di Ampang, Sanusi berkata beliau mulai berasa cemas pada 2004 kerana meramalkan sesuatu yang buruk akan terjadi tidak lama lagi.

"Kalau saya cerita, tidak ada orang percaya," katanya.

Teori kitaran krisis bekas menteri besar Kedah itu dimulakan dengan peristiwa pemisahan empat wilayah orang Melayu di selatan Thailand pada 1887 daripada Semenanjung Tanah Melayu.

Katanya lagi, pada 1915, Johor menerima penasihat Inggeris dan bermulakan kempen menyuburkan semangat kenegerian di Tanah Melayu, antaranya dengan mencipta lagu negeri dan bendera negeri sehingga memecah-belahkan kumpulan-kumpulan masyarakat Melayu.

Pada 1933, muncul kemasukan pendatang Cina dan India secara lebih sistematik selepas kemerosotan besar ekonomi dunia, khususnya di Barat.

Kemudian, 1951, tidak lama selepas berdepan dengan Malayan Union dengan slogan "Hidup Melayu", Umno terpecah dua apabila ketua biro agamanya keluar parti dan melahirkan PAS.

Tambah Sanusi lagi, perpecahan itu akibat persaingan sengit antara Ahmad Fuad dengan Tunku Abdul Rahman untuk merebut jawatan presiden Umno. Ahmad tewas dengan 46 undi.

"Kemudian 1969, kecelakaan lagi. Kita hampir-hampir hilang kuasa. PAS mula mengkafirkan Umno (menjelang pilihanraya umum tahun itu)," katanya.

Teorinya itu diselang seli dengan kritikannya pada presiden Umno kini dan perdana menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi yang sekarang terpaksa bergantung pada sokongan BN di Sabah dan Sarawak selepas pengundi di Semenanjung menolak parti itu.

"Nasib baik ada pemimpin bumiputera yang baik di Sabah dan Sarawak," kata bekas menteri pertanian itu.

"Kita hendak bercakap besar atau tidak? Kita sendiri sudah tidak bernafas di Semenanjung."

Beliau juga menegur Abdullah yang dianggap cuba mengelak daripada berdepan dengan masalah sebenar. "Bukan kita lari, tutup telinga. Waktu ada masalah, kita berdepan dengan masalah," katanya.

Sanusi berkata, beliau seharusnya menjadi orang tengah antara Dr Mahathir dengan Abdullah untuk menyelesaikan masalah antara dua tokoh negara itu tetapi akhirnya gagal berbuat demikian.

"(Laporan) masalah (dari Abdullah) tidak sampai. Saya sendiri tidak boleh bercakap dengan Tun (Dr Mahathir)," katanya.

"Saya sekarang presiden UIA. Sudah tidak lama (pegang jawatan itu). Mati syahid di situ, alhamdulillah," katanya, disambut ketawa hadirin.

Tentang menantu perdana menteri Khairy Jamaluddin, Sanusi berkata terdapat sebilangan mahasiswa yang memalukan universitinya sendiri.

"Universiti (Oxford) pintar, (tetapi) budak-budaknya tidak pandai," katanya.

Beliau juga menyalahkan stesen televisyen RTM yang menyiarkan rakaman Anwar menari dan menyanyi secara bertubi-tubi menjelang pilihanraya umum baru-baru ini.

"Pada asalnya ditolak (oleh pengundi), kemudian diterima kerana kerenah media massa, tidak pandai mengendalikan media massa," tambah Sanusi.

Saturday, April 05, 2008

Apa Jawapan Korus "Mahathir Bashing" Terbaru?


Sejak Forum MyKMU pada April 1hb, Selasa lepas yang mendapat sambutan dan perhatian ramai, respons yang didengari hanyalah penafian dan penafian yang berlapik dengan persetujuan.

Sejak kenyataan Ahmad Shabery Chik yang kononnya mesra blogger semalam, timbul pula satu gelombang kecil "Mahathir bashing" dan "Ku Li prodding" yang hanya mengulang korus Shabery. Sebelum ini usaha Muhamamd Taib untuk menggunakan cara lama yang kasar dan menahan-nahan sudah gagal.

Chorus girl kali ini terdiri dari Ismail Sabri, Zahid Hamidi, Mat Taib, dan veteran pencaci Nazri Aziz dengan bantuan iringan suara tambahan belakang bekas budak-budak Anwar Ibrahim seperti Roslan Kassim dan Kamaruddin Md Nor. Laksamana Pukul Curi, Ali Rastam belum didengari lagi.

Rasanya tidak perlu diberi ulasan komen-komen apolegis yang tidak boleh menerima kenyataan mutakhir dan hanya mengungkit memutar belit yang lepas-lepas tanpa fakta yang munasabah.

Sepanjang korus yang sama dimainkan dari tahun 2006 hingga sekarang, UMNO menerima impak yang negatif kerana ada banyak kebenaran di dalam kenyataan-kenyataannya.

Adakah akan berulang peristiwa spray di Kota Baru, politik wang aturan Radzi di Kubang Pasu dan ugutan kepada 16 penganjur Majlis yang menjemput Tun? Adakah censorship suratkhabar yang membuta tuli akan digunakan tanpa segan silu untuk menutup mulut Dr Mahathir? Sama-sama juga kita perhatikan samada Shabery itu adalah klon Zam yang berkulit cerah.

Tun masih boleh bercakap lagi. Sesiapa yang berminat boleh hadhiri Majlis di De Palma Hotel Ampang Kuala Lumpur pagi 9:30 esok. Difahami 700 kerusi dewan sudah habis dibeli. Ruang siaran litar langsung disediakan di lobi dan boleh muat seramai 300 orang.

Sementara itu, Presiden UMNO akan menyampaikan amanat khas kepada Ketua-Ketua Penerangan besok di PWTC. Kali terakhir Presiden memberikan amanat sedemikian sebelum pilihanraya, sepertiga hadirin meninggalkan dewan.

Najib: Dari Mana Hendak Ke Mana?

Apabila dilihat kedudukkan politik Dato Najib, ia kelihatan bagaikan tiada arah lagi. Ke sana tidak nampak dan ke sini pun tidak nampak?

Kapal Pak Lah sudah kelihatan hendak karam tetapi mengapa dia masih mahu berpaut kepada kapal yang cara pacuannya tidak pernah dia berkenan.

Adakah kebenaran desas desus yang mengatakan "Pak Najib", gelaran oleh Dato Mufti Shuib, berada di dalam keadaan terugut atau perlukan perlindungan yang memerlukan pembisuan?

Keadaan pun tidak menjadi lebih baik, jika Dr Mahathir sendiri sudah menyatakan memikirkan kembali sokongan yang pernah diberikan kepada Najib. Harus diingat bahawa permintaan Dr Mahathir yang dapat meletakkan Najib sebagai Timbalan Perdana Menteri.

Memahami Mukhriz

Tekanan dari Dr Mahathir itu agak kurang sedikit bisanya, apabila anaknya sendiri, Mukhriz berlainan pendirian. Dia masih kekal memberikan baiah kepada Najib.

Kenyataan Mukhriz itu menarik.

Adakah ianya cara untuk menggugah kejut Najib dari taktik politik secara diam-diam dan di jam terakhir? Namun jika diingat kembali Najib sebagai orang pertama mengumumkan bertanding Naib Presiden dalam Team Wawasan pimpinan Anwar dahulu, tidak berapa benar andaian tersebut.

Namun kenyataan Mukhriz juga mempunyai caveat tersendiri. Kesetiaan kepada Najib itu disebut, jika ianya mencuba jawatan Presiden. Dengan pendirian Mukhriz tentang Pak Lah begitu jelas, siapa pula yang disokong, sekiranya bukan Najib yang bertanding Presiden?

Cara Dr Mahathir berkata-kata mutakhir ini seolah-olah hampir-hampir hendak memihak kepada Tengku Razaleigh.

Teringatkan kembali panggilan beliau mementingkan calun dari parti untuk PRU12, rasanya tidak mungkin beliau memihak sesiapa. Memang sepatutnya Mahathir meletak dirinya jauh di atas (above the fray) kancah politik pemilihan jawatan parti.

Pendirian Dr Mahathir jelas untuk membetulkan yang salah. Sesiapa yang akan menjadi pemimpin, katanya, mesti melalui proses pemilihan ahli/parti. Semua jawatan perlu dipertandingkan dan demokrasi UMNO perlu dihidupkan kembali.

Samada pengumuman Dr Khir Toyo itu satu alamat dari Najib kepada Mukhriz supaya mengekalkan jemaah, tidak dapat di rasakan. Dr Khir sendiri sudah lama menyatakan keinginan untuk jawatan Ketua Pemuda. Itu yang selama ini ia dihujani fitnah dan tomahan dari TV3 dan media perdana.

Namun, mereka berdua sehati untuk memastikan Khairy tidak naik. Mungkin ada taktik disebalik dua orang dari cai yang sama ingin bertanding jawatan yang sama. Jika Khairy bertanding, hampir pasti berlaku untuk salah satu akan berundur.

Kemungkinan juga, kenyataan baiah Mukhriz mahu menunjukkan dirinya bukan Pak Turut kepada ayahnya. Dia memang mempunyai fikiran, pendirian dan keberanian sendiri. Mungkin inilah peluang untuk membetulkan persepsi dari aura ayahanda. .

Menanti Najib

Seorang penulis bergelar Supirteksi menulis di MyKMU pandangannya mengenai Najib. Najib dikatakan mungkin mempunyai opsyen untuk mengharapkan Presiden mengosongkan kerusi secara aman atau tuntutan akar umbi menyebabkan Presiden undur atau pilihan yang beliau tidak gemari untuk menawarkan diri.

Ramai berharap Najib menyanyikan lagu permintaan rakyat yang berduyun SMS yang masuk. Adakah Najib tidak peka langsung dengan permintaan tersebut?

Seorang blogger PAS, Penarik Beca merasakan Najib telah mula bersuara. Walaupun agak ganjil blog orang UMNO untuk mengambil penuh tulisan orang PAS, senario politik sekarang memerlukan keterbukaan dan ide yang menarik diberi perhatin. Tulisannya berikut:
Timbalan Presiden Umno, Datuk Seri Najib Tun Razak nampak sudah berani untuk tidak menyatakan sokongan kepada presidennya yang dituntut berundur. Dia kelihatan sengaja mengelakkan diri dari menyatakan lagi supaya Presiden jangan dicabar. Dia hanya berkata "hentikan spekulasi PM undur" seperti yang dilaporkan Malaysiakini.

Bacalah betul-betul apa yang tersirat bila Najib kata, "beliau (Perdana Menteri) memutuskan untuk meneruskan kepimpinannya dan berhak meneruskan kepimpinan".

Beliau juga mahu supaya diberikan sepenuh perhatian kepada usaha memulihkan Umno. Adakah itu bermakna sokongan kepada usaha Tengku Razaleigh Hamzah hendak merawat Umno? Pemulihan tentulah memerlukan rawatan.

Dan tidak lama selepas itu beliau berkata beliau "tidak mencampuri urusan pertandingan jawatan dalam Umno". Tidak campur maknanya Najib akan biarkan Presiden Umno terkonteng-konteng mempertahankan diri.

Malaysiakini juga melaporkan sepupu Najib, Datuk Seri Hishammuddin Hussein tidak akan mempertahankan jawatannya sebagai ketua Pemuda Umno dalam pemilihan agung parti itu Disember ini.

Beliau berkata, "Saya melepaskan jawatan ini bukan kerana tekanan tetapi bergerak untuk melakukan reformasi dalam parti". Mempersiapkan pasukan?

Adakah semuanya sedar dari lamunan bila Tun Dr Mahathir Mohamad bahawa beliau telahpun mengubah fikirannya terhadap Najib?

Bukan mudah kedudukkan Najib untuk mengimbangkan pembolehubah (variable) yang dapat dilihat dan tidak dapat dilihat.

Samada Najib mempunyai masa untuk menanti atau tidak, diharap ia fahami bahawa eleman masa, ruang dan keadaan yang menjadi penentu. Pentadbiran Pak Lah bukan pentadbiran yang berupaya memegang lembu pada tanduknya tetapi hanya mengelak serangan lembu matador. Selalu juga, tanduk itu tersangkut.

Opsyen yang perlu dilakukan Pak Lah untuk menyelamatkan UMNO begitu jelas, sebagaimana ditulis blogger Bigdog, jika ia serius untuk menyelamatkan UMNO. Persoalan dan masaalahnya, adakah dia akan lakukan?

Mereka yang berupaya menguasai lembu itu yang akan harus diberi kepercayaan. Penuntun yang akan menyahutkan "si" dan "ole" mahukan yang berani. Adakah Najib berani menjadi matador untuk menyelamatkan UMNO dan diterima penuntun?

Friday, April 04, 2008

Ku Li: UMNO Perlu Pembersihan

Gambar dari Utusan Malaysia

Persidangan Perwakilan Khas UMNO Bahagian Gua Musang hari ini selamat dilaksanakan. Sejumlah 6,000 orang ahli UMNO dan dianggarkan seramai 15-20 orang Ketua-Ketua Bahagian UMNO hadhir di Majlis yang berlangsung di Balai Rakyat, Bukit Cekati, Gua Musang

Tengku Razaleigh Hamzah (Ku Li), selaku Ketua UMNO Bahagian Gua Musang menyampaikan ucapan pembukaan yang diberi tajuk "Mengembalikan Kekuasaan Melayu Melalui UMNO". Intipati ucapan beliau menekankan perlunya UMNO mengadakan Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) untuk membincangkan masaalah kemerosotan prestasi UMNO di PRU12 baru-baru ini. (Ucapan sepenuhnya boleh diperolehi di Savefile.com)

Dalam pembukaan ucapannya, Ku Li menyingkap sedikit sejarah awal perjuangan UMNO. Beliau manyatakan UMNO berjaya menumpaskan gagasan Malayan Union dan meneruskan perjuangan untuk menuntut kemerdekaan dengan hanya "bersenjatakan semangat cinta kepada bangsa, agama, budaya dan tanah air." Ini merupakan agenda kebangsaan Melayu diwaktu itu.

Prestasi Buruk

Di dalam PRU12 baru-baru ini, Ku Li menyatakan UMNO jatuh tarafnya sebagai parti yang terkuat dan didukung oleh majoriti orang Melayu. Jumlah kerusi di Parlimen mengecut sebanyak 32 buah kerusi dari jumlah 110 buah kerusi kepada 78 buah kerusi dari 192 kerusi di Parlimen.

Parti baru, iaitu Parti Keadilan Rakyat (PKR) memenangi 31 kerusi Parlimen. Daripada 31 ahli parlimen PKR itu, 18 ialah orang Melayu. PAS memenangi 23 kerusi. Dalam tahun 2004 parti ini mempunyai 6 orang ahli Parlimen sahaja. Yang sudah diketahui, Selangor, Perak, Kedah dan Pulau Pinang jatuh kepada tangan parti Pakatan Rakyat, iaitu gabungan parti PAS-PKR-DAP. PAS di Kelantan menjadi bertambah kuat.

Calon MCA, MIC dan Gerakan di tangan calon DAP dan PKR. Secara menyeluruh, BN dan UMNO tidak lagi mendapat sokongan dan kepercayaan rakyat Malaysia dari semua kaum. Undi popular hanya 48% sahaja yang diberi kepada BN.

Mesejnya jelas rakyat mahu perubahan dalam kerajaan kepada yang lebih cekap, telus, bersih, beramanah, adil dan pro-rakyat tanpa mengira kaum.

Tiada Tindakan

Setelah sebulan pilihanraya selesai, mengikut Ku Li, pucuk pimpinan parti masih tidak ada memberi respons untuk berbincang dan mengajak para perwakilan UMNO dari semua peringkat – peringkat Bahagian dan Cawangan – untuk mengadakan proses muhasabah secara terbuka, kritis dan tenang.

Dari reaksi para pemimpin, UMNO masih mengekalkan fiil dan budaya lama tidak mahu memeriksa kesalahan dan kelemahan kita secara kolektif, secara rasional, bijak dan cerdik tetapi hanya mencari kesalahan orang lain, kesalahan pengundi, kesalahan parti lawan. Malah ada yang cuba menutup suara rakyat akar umbi UMNO, tidak mahu mendengar pandangan dan kritikan dan teguran mereka tetapi diseru supaya memberikan kepercayaan kepada pucuk pimpinan.

Punca besar kelemahan UMNO yang membawa kepada malapetaka yang tersebut itu bukan rakyat akar umbi UMNO tetapi ialah kelemahan kepimpinan UMNO. Merekalah yang tidak mahu UMNO berubah; merekalah yang mahu kepimpinan UMNO yang ada dikekalkan, jangan digantikan, jangan ditandingi.

Tiga Masaalah

Ku Li membincangkan dan mencadangkan UMNO menangani tiga masaalah utama. Masaalah pertama adalah kemusnahan demokrasi dalam UMNO yang bermula dengan kemasukan peraturan baru undi kuota. Malah, mantan Presiden UMNO, Tun Dr Mahathri sendiri telah pun menuntut ianya dibasmikan.

Perkara kedua yang dicadangkan Ku Li adalah dasar dan visi UMNO hendaklah merentas sempadan kaum, dan tidak dilihat sebagai parti untuk dan bagi pihak orang Melayu sahaja.

Dalam hal ini, dasar dan visi UMNO yang asal, untuk memperjuangakan Alif (Agama), Ba (Bangsa, Bahasa dan Budaya), Ta (Tanahair) tetap dipertahankan. Tetapi dalam soal memajukan ekonomi, sosial, pendidikan dan sebagainya untuk rakyat, UMNO hendaklah memprojekkan dirinya sebagai parti untuk kepentingan semua rakyat tidak kira kaum.

Menurut Ku Li, sejak beberapa tahun ke belakangan ini, UMNO memaparkan beberapa imej burok. Kepada orang Melayu, UMNO tidak lagi memperjuangkan hak-hak yang menjadi warisan bangsa Melayu. Di mata orang bukan Melayu, UMNO dianggap hanya untuk menjaga kepentingan orang Melayu sahaja. Di satu pandangan rakyat, imej UMNO adalah parti yang menggalakkan rasuah politik atau parti ‘orang kaya’.

UMNO perlu berubah dan membersihkan ketiga-tiga imej yang buruk itu. UMNO mesti dipercayai bukan sahaja oleh orang Melayu tetapi juga oleh orang bukan Melayu. Ia perlu mengubah persepsi ini untuk boleh dipercayai oleh semua kaum. UMNO perlu menyaingi parti baru seperti PKR yang dilihat oleh semua kaum – termasuk orang Melayu generasi baru – sebagai parti yang dasarnya ialah keadilan kepada semua rakyat berdasarkan keadaan dan keperluan asas mereka.

Perkara ketiga yang disebutkan Ku Li adalah masaalah perangai dan kelakuan budaya, moral dan akhlak orang UMNO yang perlu diadabkan. Pada masa kempen PRU ke-12, beberapa calon UMNO tidak berkelakuan beradab, sombong, bercakap besar, riak, dan suka menabik dada. Akibatnya pengundi Melayu dan bukan Melayu meluat dan menyampah dengan fiil dan kelakuan sombong bongkak itu.

Beliau mengingatkan bahawa orang Melayu adalah bangsa yang berbudaya, beragama Islam, beradab. Kita perlu belajar cara bagaimana hendak memikat hati pihak lawan dan menolak budaya dan taktik samseng.

Pada hemat Ku Li, kelakuan yang semakin biadab itu timbul daripada beberapa sebab. Pertama, adalah sikap terlalu yakin pada kekuatan parti. Kedua, ekonomi pasaran atau ekonomi kapitalisme sudah menjadi alat politik UMNO untuk memperkayakan orang-orang tertentu dalam UMNO.

Pembersihan

Untuk menyelamatkan UMNO, beliau mendesak kita kena buang segala anggota UMNO yang jahat, korap, tidak berbudaya dan berakhlak tinggi, dan yang tidak bijaksana. Beliau menyatakan mereka-mereka yang, walaupun geliga otaknya, lulusan dari Oxford, Harvard dan sebagainya, tetapi tidak bijak, tidak pandai, tidak cerdik budaya, tidak layak diangkat oleh UMNO untuk menjadi pemimpin mereka.

Mengikut beliau, mereka ini tidak mempunyai ‘roh atau semangat Melayu’ yang cukup dalam dadanya, tidak bijak, tidak pandai bercakap dan berhujah dengan rakyat.

Memandangkan banyak perkara yang perlu dibincangkan oleh UMNO, perkara ini tidak boleh diserahkan hanya kepada beberapa orang pemimpin sahaja untuk memikirkannya. Mereka perlu timbal balas yang cukup, yang benar, yang ikhlas dari bawah, dari anggota akar umbi UMNO. Ini merupakan sebab utama Ku Li menggesa Perhimpunan Agung Khas diadakan sebelum Perhimpunan Agung UMNO.

Mengikut beliau, jika tidak adakan sekarang, nanti perwakilan yang datang ke persidangan pemilihan akan membawa fiil lama, tidak mengetahui apakah kelemahan dan masalah UMNO, lalu mereka memilih atau disuruh memilih calon-calon yang sama, yang lemah untuk memimpin parti.

Mesej Forum MyKMU: Undur, Berani dan Pemilihan

Setelah selesai dibaca, fikir dan analisa isi yang tersurat dan tersirat disebalik berita-berita dan ulasan-ulasan ini berkenaan Forum MyKMU pada hari Selasa lepas, tiga perkara begitu jelas boleh disimpulkan dari perbincangan ilmu yang bertenaga voltan tinggi ini - Pak Lah harus berundur dengan hormat, ahli-ahli UMNO perlu berani, dan pemilihan jawatan harus dihidupkan kembali untuk menghidupkan kembali semangat demokrasi.

Liputan Forum MyKMU pada hari Selasa baru-baru ini di Hotel Singgahsana, Petaling Jaya boleh dibaca di blog Tunku dan MyKMU sendiri untuk membaca kompilasi berita dan ulasan. Blog PAS Pemuda PAS sini mempunyai sepenuh video syarahan Dr Mahathir dari MalaysiaKini.com.

Undur Lah


Alasan-alasan dan jawapan-jawapan yang didengar untuk membalas kepada tuntutan pengunduran Pak Lah yang sering diberi adalah supaya tidak emosi, mengajak bersikap positif, memberi tumpuan untuk menguatkan parti, ianya bukan sahaja faktor, dan lain-lain.

Tidak dinafikan alasan-alasan dan jawapan-jawapan ini mempunyai asasnya, tetapi harus disedari yang masih mempertahankan hanyalah segelintir yang sedang memegang jawatan.

Mengapa sunyi sepi Pendekar Bukit Gantang, Dato Nazri Aziz dan Laksamana Tupang Sekaki, Dato Seri Ali Rastam? Usahlah diberi kredibiliti untuk disebut Ketua Penerangan UMNO dan mantan Menteri Penerangan yang tertinggal zaman IT yang bersuara dengan argumen murah untuk menembak pembawa utusan dan mainan kanak-kanak "kau pun serupa" yang tidak menjawab persoalan sekarang.

Perlu disedari bahawa antara yang menjawab itu, berlapik membawa suatu mesej dalam memperkatakan perlunya kepimpinan yang kuat dan berani.

Bagi menjawab kembali, blogger ini ada menulis di ruang komentar blog seorang YB UMNO yang berani untuk menjelaskan bahawa tuntutan pengunduran Pak Lah bukan kerana emosi.

Di dalam bidang pengurusan strategik, tiga elemen penting yang perlu ada semua untuk menjayakan implimentasi mana-mana rancangan ia-itu strategi dan taktik, organisasi dan sumber manusia, dan kepimpinan. Jelas sekali, kepimpinan adalah ramuan penting, jika tidak terpenting. Strategi dan taktik yang disusuan dan organisasi dan sumber manusia perlukan kepimpinan untuk dapat bergerak .

Ciri-ciri kepimpinan yang perlu ada adalah sebagaimana sifat Rasululllah itu sendiri - Siddeq (benar), Amanah, Tabligh (menyampaikan), dan Fatanah (bijaksana). Sebagai pemimpin, Pak Lah sudah hilang ciri-ciri ini. Bukan sahaja dia tidak menunjukkan fatanah (kebijaksanaan), kebolehan intelek dan mantiq (lojik) pun tidak menyakinkan. Kehebatan yang dilihat selama ini hanyalah usaha orang lain dan dibesar-besrkan dengan permainan putar belit media Kalimullah dan pantauan biadap Kamal Khalid.

Contoh kepimpinan di dalam Islam adalah cara pemilehan imam untuk jemaah sembahyang.
Walau bagaimana hebat kebolehan seseorang, dia perlu penerimaan makmum untuk mengimamkan sembahyang jamaah. Tanpa menghurai senarai statistik, Imam Hadhari sudah tidak boleh diterima oleh jamaah rakyat dan ahli-ahli UMNO diakar umbi. Hanya Jawatankuasa Masjid sahaja yang masih berdegil tidak menerima kenyataan.

Raja-raja Melayu sebagai pemegang simbol kedaulatan negara dan penyampai suara rakyat jelas tidak percaya lagi dengan pentadbirannya.

Takut Apa?


Perkara kedua yang boleh disimpulkan di Forum MyMu adalah perlunya membuang sifat takut. Sudah masanya ahli-ahli UMNO melakukan sesuatu yang berani demi memastikan UMNO boleh terus releven untuk diterima rakyat untuk memperjuangkan bangsa, agama dan negara.

Tiada ertinya berhujah dan melontar perkataan perjuangan, jika ahli-ahli UMNO takut untuk bersuara menentang kekalutan di dalam parti dan pemimpin. Malah, tiada erti untuk melibatkan diri di dalam parti politik hanya untuk setia membabi buta kepada pemimpin dan bukan perjuangan!

Selagi kita tidak berani menghadapi risiko untuk menegakkan hak dan menentang kemungkaran, usah kita kotorkan parti UMNO ini dengan kehadhiran kita.

Untuk menghidupkan kembali, UMNO perlu melakukan reformasi dan perubahan yang mendadak. UMNO perlu berani menghayati pengorbanan di dalam perjuangan. Suatu pembersihan besar-besaran harus dilakukan. Pemimpin-pemimpin yang tidak dan tidak berani bertangungjawab tidak harus dikekalkan.

Jangan lagi takut-takut untuk menghumban jauh mereka-mereka yang menerajui parti hanya untuk peribadi - kekayaan, kuasa dan pengaruh - dan melakukan perkara-perkara yang bertentangan dengan perjuangan parti, kepentingan alif ba ta, dan prinsip nilai yang baik.

Pemilehan Menghidupkan Demokrasi


Dengan demikian, perbincangan ini menjurus kepada perkara ketiga ia-itu harus diadakan pemilehan untuk semua jawatan agar ahli-ahli mempunyai pilihan untuk menentukan masa depan parti. Tun Dr Mahathir yang bertanggungjawab memperkenalkan undi kuota pun memperakui ianya menjadi pengekang demokrasi di dalam UMNO.

Ahli perlu membuka minda untuk memileh mereka yang berani, sedia berkorban dan punya kebolehan. Bukannya kerana nama, gelaran, harta dan kemurahan memberi sahaja. Untuk melakukan perubahan, beranikan diri untuk menawarkan diri bagi memastikan mereka yang tidak layak tidak lagi menjadi pemimpin parti.

Demokrasi yang matang harus dihidupkan kembali dalam UMNO. Sebarang pendapat yang menggunakan alasan-alasan cetek dan berkepentingan untuk menyekat proses demokrasi dalam pemilihan jawatan parti, mengekang hak bersuara ahli-ahli dan menahan penglibatan sesiapa sahaja umat Melayu yang layak ke dalam UMNO harus ditentang habis-habisan.

Sudah masa suatu perubahan perlu dilakukan. Jika sayangkan parti, jangan takut untuk lakukan. Tandingkan semua jawatan, kehadapan untuk bertanding bagi yang layak dan sama-sama hidupkan demokrasi yang matang dan bijak.

Ini semua demi menghidupkan perjuangan!

Tuesday, April 01, 2008

Jika Percaya Perlunya Bunga, Jangan Berperilaku Kera


Hari ini, saya menjadi saksi sesuatu yang berlaku apabila suara rakyat dan akar umbi parti bersuara selepas lama ditekan, diugut dan dinafikan hak untuk menyuarakan pandangan, syor dan rungutan.

Akibat terlalu lama ditekan dan dihalang, ia berakhir menjadi suatu ledakan yang tidak boleh dikawal.

Diatas sebab itu, perlunya kebebasan bersuara, pengamalan pemikiran intelektual dan rasional, dan aliran fikiran dua hala yang dilakukan dengan sopan dan hemat. Kesusahan sedikit untuk melayan persoalan tidak membukit menjadi kemarahan kemudian.

Mutakhir ini, ramai mengaku mahukan kebebasan ini. Mudah dikata tetapi difahami bukan mudah jua?

Adakah kita bersedia menerima suara-suara yang kita pula tidak ingin dengar.

Jika kita berani mempersoalkan, sediakah kita bersabar mendengar jawapan? Lebih releven, bersediakah kita mendengar jawapan diberi yang tidak memenuhi gambaran yang kita sudah lakarkan?

Kita mahu kebebeasan untuk mengeluarkan kritikan dan bangkangan. Namun, adakah kita sedia menerima pula kritikan dan bangkangan balas yang pedih untuk diterima?

Jika percaya kepada kebebasan semua untuk berbicara, tidak perlu kita menjadi marah untuk mendengar apa sahaja yang mahu diperkata. Halangan hanya menunjukkan ketidak yakinan kita kepada diri kita. Jika kita tidak yakin menjawab, ada yang lain bisa berbicara.

Jangan merasakan diri lebih mengetahui, bermaklumat, dan berkebolehan menganalisa. Mungkin ada yang berpemikiran dan bermaklumat yang lebih tinggi nilai intelek dan rasional. Masaalahnya kebanyakkan kita sering tersilap mahukan acara mengikuti jalan cerita yang tersedia, bukan maklumat dan fakta sahih menjadi pelakar berita.

Jika kita benar bersedia menerima kenyataan, bersediakah kita mempertahankan hak seseorang itu untuk menyuarakan sesuatu yang akan mendidihkan darah di dalam anggota diri kita?

Jika diamati dengan matang, tidak perlu darah di dalam badan merebus mendidih. Amalkan kebijaksanaan dan kesopanan di dalam perbicaraan. Sesuatu yang dilakukan dengan penuh kesopanan membuahkan perbincangan dua hala yang sihat dan bernas.

Sesudah didengari dan tidak berupaya disanggal, maka seharusnya diterima dengan niat yang baik. Jika enggan disetujui, hormati perbezaan. Tidak perlu dicemuh dengan jerit pekik dan tidak perlu terus dipersoalkan tanpa bukti tambahan.

Sedap kita mahukan kebebasan bersuara untuk diri kita. Bersediakah kita untuk orang lain mengamalkannya? Terus terang, saya mahukan kebebasan itu untuk diri saya, tetapi kadang-kadang terlupa kemahuan yang lain. Begitu juga kebanyakkan kita.

Jangan jadi kera diberi bunga. Maaf jika terkasar bahasa. Sentiasa sedia memaafkan kesalahan sesama kita jua.

My Say