Friday, April 04, 2008

Ku Li: UMNO Perlu Pembersihan

Gambar dari Utusan Malaysia

Persidangan Perwakilan Khas UMNO Bahagian Gua Musang hari ini selamat dilaksanakan. Sejumlah 6,000 orang ahli UMNO dan dianggarkan seramai 15-20 orang Ketua-Ketua Bahagian UMNO hadhir di Majlis yang berlangsung di Balai Rakyat, Bukit Cekati, Gua Musang

Tengku Razaleigh Hamzah (Ku Li), selaku Ketua UMNO Bahagian Gua Musang menyampaikan ucapan pembukaan yang diberi tajuk "Mengembalikan Kekuasaan Melayu Melalui UMNO". Intipati ucapan beliau menekankan perlunya UMNO mengadakan Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) untuk membincangkan masaalah kemerosotan prestasi UMNO di PRU12 baru-baru ini. (Ucapan sepenuhnya boleh diperolehi di Savefile.com)

Dalam pembukaan ucapannya, Ku Li menyingkap sedikit sejarah awal perjuangan UMNO. Beliau manyatakan UMNO berjaya menumpaskan gagasan Malayan Union dan meneruskan perjuangan untuk menuntut kemerdekaan dengan hanya "bersenjatakan semangat cinta kepada bangsa, agama, budaya dan tanah air." Ini merupakan agenda kebangsaan Melayu diwaktu itu.

Prestasi Buruk

Di dalam PRU12 baru-baru ini, Ku Li menyatakan UMNO jatuh tarafnya sebagai parti yang terkuat dan didukung oleh majoriti orang Melayu. Jumlah kerusi di Parlimen mengecut sebanyak 32 buah kerusi dari jumlah 110 buah kerusi kepada 78 buah kerusi dari 192 kerusi di Parlimen.

Parti baru, iaitu Parti Keadilan Rakyat (PKR) memenangi 31 kerusi Parlimen. Daripada 31 ahli parlimen PKR itu, 18 ialah orang Melayu. PAS memenangi 23 kerusi. Dalam tahun 2004 parti ini mempunyai 6 orang ahli Parlimen sahaja. Yang sudah diketahui, Selangor, Perak, Kedah dan Pulau Pinang jatuh kepada tangan parti Pakatan Rakyat, iaitu gabungan parti PAS-PKR-DAP. PAS di Kelantan menjadi bertambah kuat.

Calon MCA, MIC dan Gerakan di tangan calon DAP dan PKR. Secara menyeluruh, BN dan UMNO tidak lagi mendapat sokongan dan kepercayaan rakyat Malaysia dari semua kaum. Undi popular hanya 48% sahaja yang diberi kepada BN.

Mesejnya jelas rakyat mahu perubahan dalam kerajaan kepada yang lebih cekap, telus, bersih, beramanah, adil dan pro-rakyat tanpa mengira kaum.

Tiada Tindakan

Setelah sebulan pilihanraya selesai, mengikut Ku Li, pucuk pimpinan parti masih tidak ada memberi respons untuk berbincang dan mengajak para perwakilan UMNO dari semua peringkat – peringkat Bahagian dan Cawangan – untuk mengadakan proses muhasabah secara terbuka, kritis dan tenang.

Dari reaksi para pemimpin, UMNO masih mengekalkan fiil dan budaya lama tidak mahu memeriksa kesalahan dan kelemahan kita secara kolektif, secara rasional, bijak dan cerdik tetapi hanya mencari kesalahan orang lain, kesalahan pengundi, kesalahan parti lawan. Malah ada yang cuba menutup suara rakyat akar umbi UMNO, tidak mahu mendengar pandangan dan kritikan dan teguran mereka tetapi diseru supaya memberikan kepercayaan kepada pucuk pimpinan.

Punca besar kelemahan UMNO yang membawa kepada malapetaka yang tersebut itu bukan rakyat akar umbi UMNO tetapi ialah kelemahan kepimpinan UMNO. Merekalah yang tidak mahu UMNO berubah; merekalah yang mahu kepimpinan UMNO yang ada dikekalkan, jangan digantikan, jangan ditandingi.

Tiga Masaalah

Ku Li membincangkan dan mencadangkan UMNO menangani tiga masaalah utama. Masaalah pertama adalah kemusnahan demokrasi dalam UMNO yang bermula dengan kemasukan peraturan baru undi kuota. Malah, mantan Presiden UMNO, Tun Dr Mahathri sendiri telah pun menuntut ianya dibasmikan.

Perkara kedua yang dicadangkan Ku Li adalah dasar dan visi UMNO hendaklah merentas sempadan kaum, dan tidak dilihat sebagai parti untuk dan bagi pihak orang Melayu sahaja.

Dalam hal ini, dasar dan visi UMNO yang asal, untuk memperjuangakan Alif (Agama), Ba (Bangsa, Bahasa dan Budaya), Ta (Tanahair) tetap dipertahankan. Tetapi dalam soal memajukan ekonomi, sosial, pendidikan dan sebagainya untuk rakyat, UMNO hendaklah memprojekkan dirinya sebagai parti untuk kepentingan semua rakyat tidak kira kaum.

Menurut Ku Li, sejak beberapa tahun ke belakangan ini, UMNO memaparkan beberapa imej burok. Kepada orang Melayu, UMNO tidak lagi memperjuangkan hak-hak yang menjadi warisan bangsa Melayu. Di mata orang bukan Melayu, UMNO dianggap hanya untuk menjaga kepentingan orang Melayu sahaja. Di satu pandangan rakyat, imej UMNO adalah parti yang menggalakkan rasuah politik atau parti ‘orang kaya’.

UMNO perlu berubah dan membersihkan ketiga-tiga imej yang buruk itu. UMNO mesti dipercayai bukan sahaja oleh orang Melayu tetapi juga oleh orang bukan Melayu. Ia perlu mengubah persepsi ini untuk boleh dipercayai oleh semua kaum. UMNO perlu menyaingi parti baru seperti PKR yang dilihat oleh semua kaum – termasuk orang Melayu generasi baru – sebagai parti yang dasarnya ialah keadilan kepada semua rakyat berdasarkan keadaan dan keperluan asas mereka.

Perkara ketiga yang disebutkan Ku Li adalah masaalah perangai dan kelakuan budaya, moral dan akhlak orang UMNO yang perlu diadabkan. Pada masa kempen PRU ke-12, beberapa calon UMNO tidak berkelakuan beradab, sombong, bercakap besar, riak, dan suka menabik dada. Akibatnya pengundi Melayu dan bukan Melayu meluat dan menyampah dengan fiil dan kelakuan sombong bongkak itu.

Beliau mengingatkan bahawa orang Melayu adalah bangsa yang berbudaya, beragama Islam, beradab. Kita perlu belajar cara bagaimana hendak memikat hati pihak lawan dan menolak budaya dan taktik samseng.

Pada hemat Ku Li, kelakuan yang semakin biadab itu timbul daripada beberapa sebab. Pertama, adalah sikap terlalu yakin pada kekuatan parti. Kedua, ekonomi pasaran atau ekonomi kapitalisme sudah menjadi alat politik UMNO untuk memperkayakan orang-orang tertentu dalam UMNO.

Pembersihan

Untuk menyelamatkan UMNO, beliau mendesak kita kena buang segala anggota UMNO yang jahat, korap, tidak berbudaya dan berakhlak tinggi, dan yang tidak bijaksana. Beliau menyatakan mereka-mereka yang, walaupun geliga otaknya, lulusan dari Oxford, Harvard dan sebagainya, tetapi tidak bijak, tidak pandai, tidak cerdik budaya, tidak layak diangkat oleh UMNO untuk menjadi pemimpin mereka.

Mengikut beliau, mereka ini tidak mempunyai ‘roh atau semangat Melayu’ yang cukup dalam dadanya, tidak bijak, tidak pandai bercakap dan berhujah dengan rakyat.

Memandangkan banyak perkara yang perlu dibincangkan oleh UMNO, perkara ini tidak boleh diserahkan hanya kepada beberapa orang pemimpin sahaja untuk memikirkannya. Mereka perlu timbal balas yang cukup, yang benar, yang ikhlas dari bawah, dari anggota akar umbi UMNO. Ini merupakan sebab utama Ku Li menggesa Perhimpunan Agung Khas diadakan sebelum Perhimpunan Agung UMNO.

Mengikut beliau, jika tidak adakan sekarang, nanti perwakilan yang datang ke persidangan pemilihan akan membawa fiil lama, tidak mengetahui apakah kelemahan dan masalah UMNO, lalu mereka memilih atau disuruh memilih calon-calon yang sama, yang lemah untuk memimpin parti.

No comments:

My Say