Tuesday, December 16, 2008

Sedikit Teguran Untuk YB Razali

Ingin saya merujuk kepada laporan berita dari Berita Harian hari ini bertarikh Disember 16hb, 2008 yang memberi ruang kepada pendapat YB Datuk Razali Ibrahim, MP dari Muar dan calun Naib Ketua Pemuda UMNO didengarkan awam.

Beliau merasakan perlu diadakan undang-undang supaya mengelakkan undang-undang rasuah disalahgunakan. Disamping itu, beliau menegur pihak akhbar yang telah membuat penilaian sebelum bil undang-undang itu dibahaskan di Parlimen.

Komen beliau perlu ditegur. Niat saya baik. Jangan sampai disalah anggap orang sebagai pembodek. Laporan tersebut dan teguran saya yang diselang selikan adalah berikut:


Berita Harian, Disember 16hb, 2008

Laporan tak berasas jejaskan kerajaan jalankan siasatan, bazir wang rakyat

Tindakan tegas perlu diambil terhadap mereka yang membuat laporan rasuah tidak berasas sehingga kerajaan menjalankan siasatan dan membazirkan wang rakyat.

Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) Muar, Datuk Razali Ibrahim, berkata hukuman perlu dikenakan supaya orang yang berkepentingan tidak mengambil kesempatan terhadap sikap keterbukaan kerajaan.

"Buat aduan tanpa rasa tanggungjawab boleh menimbulkan kos kepada kerajaan dan mereka ini perlu diberi hukuman tegas.

"Walaupun rasuah tidak boleh dibanteras 100 peratus, kita perlu sokong iltizam kerajaan ini dengan memberi maklumat tepat," katanya ketika membahaskan Rang Undang-undang Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2008, di Dewan Rakyat, di sini, semalam.

Dengan keadaan di mana rasuah sudah begitu merebak dan hampir menjadi budaya, sebarang was-was dan kekhuatiran seperti yang Razali telah luahkan sungguh tidak kena pada tempatnya. Tidakkah Razali merasakan kesannya semasa dalam proses mendapatkan pencalunan untuk bertanding jawatan Naib Ketua Pemuda UMNO?

Samada ia akan diambil kesempatan atau tidak dan samada ia membazirkan wang rakyat atau tidak, ia sudah tidak releven dan sesuai dengan keperluan menyegerakan pembenterasan rasuah dan menghadapi keadaan terkini dimana amalan rasuah sudah menular sekali dalam masyarakat.

Cadangan ini boleh menyebabkan rakyat takut untuk membuat laporan dan boleh membantutkan usaha untuk membenteras rasuah. Rakyat mungkin lihat dan tahu sesuatu perbuatan itu rasuah tetapi bukan keupayaan rakyat biasa untuk mengenalpasti keperluaan undang-undang dan mahkamah.

Peraturan yang ada pun seolah-olah "the burden of proof" diletakkan kepada pengadu. Ini bertentangan dengan fitrah peranan penguatkuasaan yang diletakan kepada pihak berkuasa.

Tentu tidak sesuai bagi pihak BPR mengharapkan orang ramai dan rakyat marhaen yang membina kes dan mengumpul bukti. Tanggungjawab ini adalah ruang kuasa dan keupayaan pihak polis, PBR, prosecutor dan lain-lain.

Sepatutnya, rakyat patut dibantu dan digalakkan untuk melapurkan sebarang perbuatan yang disyaki mempunyai elemen rasuah oleh, bukan sahaja kerajaan, tetapi yang melibatkan sektor swasta yang lebih besar peranan ekonomi.

Malahan sepatutnya perlu diadakan suatu perlindungan identiti kepada pihak-pihak yang melaporkan.

Keadaan yang sudah tenat ini tidak boleh lagi dilambat-lambat dan ditangguh-tangguh dengan hujah politik dan alasan mengelak. Sudah sepatutnya satu pertambahan peruntukkan yang berlipatganda dan benar-benar disalurkan kepada pihak polis dan BPR untuk memastikan mereka boleh lebih efektif dalam menjalankan tugas.

Kerugian yang berlaku disebabkan rasuah bukan sahaja melibatkan wang ringgit tetapi sudah melibatkan nyawa dan harta sekiranya pertistiwa berulangkali di Bukit antarabansga menjadi contoh.

Apalah sangat wang ringgit yang konon terbazir akibat kegagalan penyiasatan satu-satu kes? Wang yang hilang kepada rasuah dan pertambahan kos kepada perniagaan akibat rasuah jauh melebihi kononnya pembaziran yang ditanggung oleh BPR. Sebarang percubaan untuk membenteras rasuah, walaupun tidak berjaya, adalah usaha baik dan patut dilakukan.
Sementara itu, beliau membidas laporan sebuah akhbar berbahasa Inggeris tempatan yang menurutnya menyiarkan laporan kurang tepat mengenai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2008.

Katanya, laporan eksklusif dengan tokoh terkenal bidang undang-undang itu yang mendakwa fungsi suruhanjaya yang baru ditubuhkan itu tidak sama dengan Badan Pencegah Rasuah (BPR), boleh mengelirukan rakyat.

Razali kesal kenyataan itu dikeluarkan sebelum rang undang-undang suruhanjaya itu dibahaskan di Parlimen.

"Laporan itu keluar sebelum suruhanjaya ini dibahaskan. Perkara ini menimbulkan persepsi tidak tepat dan rasa kecewa serta kesal di kalangan Ahli Parlimen yang belum diberi peluang untuk membahaskannya.

"Benda yang tidak betul disebut dalam surat khabar oleh seorang tokoh yang sangat dihormati, bagaimana penerimaan rakyat?

"Oleh itu, saya harap kerajaan dapat berbuat sesuatu terhadap perkara ini," katanya.

Berkenaan suratkhabar mendahului Parlimen, apa besar sangat isu ini?

Sebagai ahli Parlimen kerajaan, adalah tanggungjawab Razali untuk memberi penjelasan dan membetulkan yang tidak benar samada dari pembangkang atau media. Usah Razali risau sangat mengenai pendapat yang salah, air akan menemui parasnya yang sepatut.

Lakukan saja tugas dan usah risaukan apa rakyat akan bincang. Rakyat akan sentiasa bersuara dan mempunyai pendapat.

Jangan lupa peranan Razali sebagai penyampai suara-suara rakyat dan bukan untuk menutup suara rakyat. Tentu Razali tidak mahu rakyat yang ditutup suara akan berhenti memberi kamu landasan untuk terus bersuara untuk mereka.

Beringatlah, mereka yang pilih kamu.

2 comments:

ahlilkcd said...

jangan lupa join kelabchedet cwt.
http://kelabchedet.com/

A Voice said...

ahlilkcd

sentiasa mengunjung. gitu juga kmu. gitu juga laman dan blog pihak2 lain.

My Say