Monday, December 01, 2008

Sudah 7 bulan Gapena lancar 4 M, awat macam taik kucing hangit?

Penulis blog pergi menghadiri Kongres Permuafakatan Melayu di Johor Baru pada 2-4 Mei 2008 atas jemputan Perstuan Anak Melayu Johor (PAMJ) untuk Lembah Klang.

Dalam PAMJ pun, ramai penggiatnya adalah aktivis Gapena seperti Dato Dr Hasan Ahmad, Dato Jumaat, dan lain-lain.

Dengan menumpang kenderaan seorang sahabat yang juga memberi kongsi biliknya, dapatlah penulis sampai ke sesi pertamanya.

Wah! Besarnya Pesada Johor dan ramainya hadirin.

Begitu ramai wakil-wakil dari pertubuhan-pertubuhan Melayu yang berjaya dihimpunkan. Mewah sekali makanan dan peralatannya. Sponsor pun power dengarnya.

Hebat sekali cita-citanya mahu bersuara dan tangani masaalah Melayu diluar kepompong kepartian. Seolah-olah mereka sudah berdikari dan kuat, Nasionalis penuh sifat ini melancarkan satu gabungan pertubuhan-pertubuhan Melayu yang digelar Majlis Muafakat Melayu Malaysia (4M).

Pasti takut musuh yang mengikuti perkembangan ini.

Setelah tujuh bulan dan satu demi satu dan bertubi-tubi Melayu dan Islam terus diperlekeh dan dikecam, awat 4M tu senyap aje? Lepas acara bulan Jun di Pulau Pinang dah tak dengaq apa pun?

Jamrah Aqabah

Penulis sebenarnya kecewa semasa menghadhiri Forum Perhimpunan Perpaduan Melayu oleh Barisan Bertindak Perpaduan Melayu (BBPM) April 12hb, 2008 di PWTC. BBPM rupanya adalah kumpulan pembodek Pak Lah.

Namun begitu, semuanya tidak langsung membazir. Ucaptama Tengku Mahkota Kelantan, Tengku Mohamad Faris Petra mempunyai signifikan.

Melihat kenyataan demi kenyataan dari Majlis Raja-Raja, Sultan dan kerabat, ucaptama itu merupakan pertama kali seorang ahli kerabat diraja menyuarakan pendirian mengenai kritikan terhadap Melayu dan Islam oleh DAP dan PKR dan didiamkan oleh PAS.

Kami pergi ke Johor Baru dengan harapan adalah sesuatu yang signifikan akan berlaku.

Sesampai kami di Johor Baru, terus peergi ke Pesada dan Prof Dato Zainal Kling sedang menyampaikan kertaskerjanya. Pooh! Begitu bersemangat dan anihnya agak colloqial cara ianya berbicara.

Pada Majlis pembukaan yang diadakan pada waktu malam pun bersemangat juga dia bersyarah. Semasa itu, penulis dan rakan terlelap kerana kepenatan. Perkara yang mahu disebut sudah didengari berkali-kali. Ia tidak merangsangkan mata untuk celek.

Tiba-tiba kedengaran ia mengajak dilakukan jamrah aqabah di satu tempat yang terletak di pinggiran Kuala Lumpur. Celik penulis dan sahabat, bukan pasal bersemangat tetapi pasal tak percaya disebut perkataan begitu rupa.

Kami fed-up mendengar kata-kata demikian yang jelas adalah manifestasi kekolotan pemikiran dan terus bangun keluar untuk cari kopi.

Sebenarnya ada benda tidak kena siang-siang lagi. Sepatutnya Tengku Mahkota melakukan pembukaan, tetapi dilakukan oleh Ketua Satu Gapena Prof Emeritus Ismail Hussein. Suara dari floor terkawal dan macam tersekat-sekat.

Masa sidang pleno untuk membincangkan usul dan resolusi cakap macam bagus. Tidak dibenarkan perbincangan dan perdebatan mengenai isu parti politik tertentu. Kononnya nak sampaikan resolusi kepada Sultan Johor. Dengar-dengar kena balun. Tak ada adab. Pergi tempat orang tak jumpa tuan rumah.

Sudah lama saya simpan tulisan oleh Ali Bukhari di Harakahdaily.com, tetapi agak tidak bersetuju. Ah! Orang PAS ini tak habis dengan skeptiknya. Negatif saja pemikiran mereka. Setelah tujuh bulan, ada kebenaran cakapnya ...

Adakah Gapena dan 4M sedia beraksi?

Ali Bukhari Amir
Harakahdaily.com, Mei 07hb, 08

Pada 4 Mei lalu barangkali bermulalah apa yang boleh dinamakan sebagai 'perjuangan' Gapena melalui penubuhan Majlis Muafakat Melayu Malaysia (4M) di Persada, Johor.

Dalam sidang media itu, Tan Sri Ismail Hussein dan Prof Dr Zainal Kling telah isytihar kelahiran 4M itu sebagai salah satu resolusi penting hasil daripada perbincangan selama tiga hari peserta berkampung halaman membakar rasa dan merentungkan emosi sendiri.

Ada banyak cerita dan perang lidah yang sabung-menyabung sebelum sidang media tersebut. Kalau mahu diceritakan semuanya, banyak sekali dan tidak cukup muat di dalam coretan ini. Tapi memadailah saya katakan ia akan membangkitkan marah-marah dalam kalangan kaum bukan Melayu jika mereka mendengarnya.

Namun, hal itu tidak mengapa. Ini kerana, mereka ini sudah sanggup berjihad. Siapa yang bercakap demikian, (dalam konteks menaikkan kemarahan kaum bukan Melayu) tidaklah dapat saya nukilkan di sini.

Saya turut hadir di dalam sidang media ketika 4M diisytiharkan kewujudannya. Saya juga saksi kepada perkembangan beberapa perbahasan selama tiga hari sebelum itu. Wartawan kebanyakannya bertanya Ismail Hussein mengenai apakah tindakan 4M jika resolusi yang dibincangkan sebelum ini akan tinggal hanya resolusi?

Saya percaya wartawan-wartawan itu telah banyak kali hadir dalam perhimpunan Melayu seumpama itu selepas melepuhnya penderitaan Umno atas kekalahan ini. Mereka ini yang selalu setia menulis berita dan menganalisa peristiwa, mengukur, menyukat timbang serta menghitung pada setiap bebilah warna-warni, menghiasi debaran detak jantung rakyat.

Oleh kerana mereka telah mengikuti segala jejak langkah silat politik yang sumbang serta derap tapak kekuda pertahanan yang selalu pincang mutakhir ini jadi membuak-buak rasa ingin tahu mereka terhadap perkembangan kongres demi kongres itu.

Saya percaya, dalama setiap kepala wartawan telah menyala banyak persoalan mengenai 'Plan B', 'Plan C' dan seterusnya.

"Kalau misalnya kerajaan dan pihak berwajib yang menerima resolusi ini akan bersikap diam sahaja seperti yang berlaku dalam kongres yang lalu, maka apakah tindakan kita?" demikian suatu persoalan yang ditimbulkan seorang wartawan.

Barangkali mereka dapat mencium peristiwa ketidakhadiran orang istana yang sepatutnya dijadualkan untuk merasmikan kongres tersebut pada malam 2 Mei lalu.

Lalu dijawab oleh Ismail Hussein lebih kurang: "Kongres kali ini lebih kuat sentuhannya kerana dalam kongres ini kami bersungguh-sungguh menubuhkan 4M."

Maka, bagi Gapena, hal penubuhan 4M itulah yang membezakan antara kongres sebelum ini seperti yang dibuat oleh Badan Bertindak Perpaduan Melayu (BBPM) di PWTC pada sebelum ini. Namun, jawapan itu tetap dianggap kurang memuaskan oleh wartawan.

Ada makna tersirat yang mungkin diharapkan terkeluar daripada lidah sang pendeta itu. Mungkin mereka mahu badan-badan yang diharapkan dapat menyatukan Melayu bakal menunjukkan aksi yang sedikit keras, dan lebih luarbiasa daripada biasa.

Mungkin mereka mahu pertemuan berikutnya tidak lagi mencetak resolusi-resolusi. Tapi, tiada seorang pun yang berani mencadangkan kalau-kalau Gapena dan BBPM beraksi di jalanan bagaikan Bersih dan Hindraf adanya.

Ada riwayat yang longgar menyebutkan bahawa pihak istana gering. Lalu, ia tidak dapat hadir. Dan, semua itu, kata sesetengah peserta menunjukkan pihak istana tidak berminat dengan polemik tersebut. Tetapi, tidaklah semua. Mungkin hanya beberapa orang sahaja.

Protes anjuran Bersih diterima terus secara langsung oleh Yang Dipertuan Agong dalam Istana Negara. Ertinya, hubungan istana dengan kuasa rakyat perlu diambilkira juga.

Percubaan mengirim resolusi kepada pihak istana Johor itu saya tidak pasti berhasil atau tidak. Selepas tamat sidang media, dan ketika mahu keluar hotel, maka kebetulannya saya terdengar perbualan yang agak longgar antara orang-orang jawatankuasa penaja itu.

"Dengar kata, pihak istana pun sangat berat menerima resolusi kongres ini," kata seorang wartawan lagi. Mungkin beliau mahu 'scoop'.

Saya lihat pimpinan jawatankuasa kongres itu diam dan kemudian mengangguk-angguk. Selebihnya, hati dalaman mereka tidaklah saya ketahui.

Berbalik kepada persoalan wartawan tadi, iaitu jika kerajaan masih membakulsampahkan segala usul yang termuat dalam kertas perbincangan, hasil perbahasan dan debat berdarah sepanjang tiga hari berkongres itu, maka apakah tindakan 4M?

Adakah Umno hormatkan gurunya sendiri?

Lalu dijawab oleh Tan Sri Ismail Hussein, "Saya yakin bahawa mereka akan dengar. Ini kerana, kebanyakan menteri eksekutif adalah murid-murid kami belaka. Jadi, saya harap mereka akan malu dan segan sedikit dengan kami."

Ada riwayat menyebut, Imam Muhammad bin Idris as-Shafie menyelak lembaran kitab di hadapan gurunya dengan begitu perlahan sekali kerana tidak mahu helaian kitab itu akan berbunyi di depan guru. Ini antara serpihan contoh betapa hormatnya murid kepada guru.

Masih adakah perasaan segan, malu (al-Haya') dalam kerangka pemikiran Umno? Malu itu separuh keimanan. (al-Haya' minal iman). Oran g yang tahu malu, tidak akan menipu rakyat tentang tarikh pembubaran Parlimen, tidak akan berbolak-balik menukar usul awal mengenai penggunaan dakwat kekal pada saat-saat akhir sebelum pengundian dijalankan.

Dalam tradisi Islam, kita temukan watak-watak guru Nabi Khidhir yang mengasuh rohani Nabi Musa. Akhirnya, mereka pun berpisah lantaran sikap Nabi Musa yang tidak sabar.

Apakah Umno dapat menahan sabar ketika mendengar aduan dan bantahan rakyat. Salah sejengkal sedepa hukumannya. Jika ada yang menegur sedikit, ISA balasannya. Jika Raja Petra menulis sedikit, langsung dipenjarakan. Jadi, bersabarkah Umno dengan rakyatnya?

Inilah anak murid derhaka yang pendeta guru perlu rawat segera jika berhajat benar untuk merawatnya. Semoga berjayalah hendaknya dalam proses rawatan itu.

Dalam tradisi warisan Imam Abu Hamid al-Ghazali, ditemukan ucapan: "Ketika si murid telah sukar dirawat hatinya, maka tinggalkanlah dia." Ini kerana, tiada guna lagi dirawat.

Pantun Melayu menyebut: "Berburu ke padang datar, dapat rusa berbelang kaki, berguru kepalang ajar, bagai bunga kembang tak jadi."

Ada banyak tafsiran dalam pantun ini, tetapi saya sendiri tidak tahu yang manakah tepat. Pertama, jika guru mengajar terlalu banyak, nescaya tidak masuk maksud pengajaran itu. Kedua, jika murid terlalu banyak mengikut aliran tanpa tertib, nescaya kelirulah dia.

Wallahu Ta'ala 'Alam. Mungkin sang pendeta di luar sana mampu menjawabnya pula.

Namun yang paling penting. Menurut Fansuri, pendidikan itu menjadi baik dan sempurna kalau gurunya ikhlas mengajar dan murid pula ikhlas belajar. Hal ini sangat jelas.

Kelahiran 'bayi' Umno generasi pertama disambut oleh tok-tok guru dan pendeta Melayu seperti Zaaba, Abdullah Pak Him dan sebagainya lagi. Golongan ini akhirnya digantikan oleh puak puaka kapitalis yang gemar meratah tula ng berkuah darah.

Pada akhir zaman ini, cucu tok guru itulah pula yang telah bertindak merosakkan Umno dengan seribu satu macam kelemahannya di dalam pentadbiran parti dan negara.

Dalam tradisi Melayu, disebutkan juga oleh ayah murid kepada tok guru: "Anak saya ini, kalau dia nakal, maka inilah rotannya untuk tuan pukul dia. Cuma, yang saya pinta kalau pukul anak saya itu, janganlah sampai capek kaki dan buta matanya, sudahlah."

Arakian, adapun tuan pendeta dan mahaguru rakyat dan guru bangsa kita bagaimana pula caranya dalam mendidik murid-murid yang telah menjadi menteri-menteri dan eksekutif tinggi? Masihkah ingin menulis nota kuliah dan mengarang resolusi untuk mendidik anak bangsa yang telah ketegar dan kurang ajar itu?

Bak kata Fansuri, berakit-rakit dahulu, berenang-renang ke tepian. Menulis resolusi dulu, tapi jangan lupa beraksi demo kemudian.

Insya-Allah, tiada pernah dalam sejarah bangsa kita, anak murid yang menjadi menteri itu akan buta dan capek kakinya dengan sebab aksi demo-demo tok guru itu. Selalunya yang terjadi, guru-guru bangsa dan pendeta itulah yang sering patah kaki dan patah hati dalam tahanan ISA adanya.

Sekolah Pemikiran Jalan Abdul Rahman Andak
Johor Bahru, 1:03 p.m , 7 Mei 2008.


Melayu ... Melayu ... letih. Cuma belum giveup lagi!

Letih dengan pejenis-pejenis orang-orang stail lama yang depa saja kita nak kena dengaq. Pilah seronok dengan hangpa punya pantun syair, gurindam seloka dan sajak-sajak.

Sekarang nak berperang, bermula dengan battle of idea. Senjatanya pakai intelligentsia, legal, public relation, propaganda, dan macam-macam.

Setakat nak main ... parangi kabeh, ingat ini time Jepun dan main mengamuk-ngamuk aja? Hang balinglah batu sorang-sorang. Kena katuk dek Mat Hindu, pecah kepala.

Dah pekena rasuah dengan grant, balik ... diam ... sengap ... akuq. Betul tidak, Prof Emeritus?

2 comments:

Anonymous said...

Inilah sikap umum orang Melayu pada masa ini yang menjadikan bukan Melayu naik tocang dalam tuntutan mereka. Sebagai komponen utama yang mewakili golongan intelek, mereka inilah yang sebenarnya lebih ditakuti oleh lawan berbanding dengan establishment politik atau kumpulan peniaga. Dalam sejarah pertukaran dinasti di China contohnya, setiap kali dinasti baru berkuasa, kumpulan utama yang dihapuskan ialah golongan intelek yang menyokong dinasti yang dikalahkan. Golongan peniaga tidak akan diapa-apakan kerana setia mereka berubah mengikut siapa yang berkuasa.
Apabila berlaku fenomena golongan intelek pun menjadi lesu, fahamlah kita dan musuh kita bahawa detik genting telah sampai terhadap perjuangan bangsa. Sama ada kepimpinan kumpulan berkenaan ditukar ataupun kita bersedia untuk menghadapi masa hadapan yang gerhana bagi bangsa kita.

Anonymous said...

berasiam,

golongan intelek tu sapa?

yang selalu dipetik suratkhabar ka?

yang selalu dipetik rtm dan tv3 ka?

pemotivasi-pemotivasi celup ka?

yang tak lekang lidahnya cakap pasal agama ka?

seniman sentimentalis dan nostalgia 24 jam ka?

editor-editor dan bekas-bekas editor ka?

peguam di dalam majlis peguam ka?

penulis blog kaki hentam dan kaki lawak ka?

mamat yang lari ke luar negara, kemudian memohon balik (ya ampun..ya ampun), kemudian menceceh sana menceceh sini kononnya liberal kononnya ketuanan rakyat - spesies macam ini ka?

pemain politik putar alam, dua alam ka?

mamat kepala apologetik ka?

malaun reactionary ka?

siapa intelektual Malaysia? siapa?

siapa pakar strategi dalam negara?

siapa intelektual Malaysia yang menulis dalam akhbar?

siapa blogger intelektual?

siapa seniman intelektual?

My Say