Tuesday, December 11, 2007

Ancaman Malayan Union III?


Bulan November dan Desimber kini menyaksikan suasana yang boleh dianggap kurang aman dan damai. Satu demi satu tunjuk perasaan diadakan oleh pelbagai pihak yang memperlihatkan pembabitan parti-parti politik, dan NGO hingga rakyat biasa yang berpelbagai pendirian pun turut serta.

Reaksi media perdana dan acara Damai Malaysia baru-baru ini mungkin suatu imbasan respons dari pihak pencadang. Pihak UMNO kini boleh dilihat menyerupai adegan wayang koboi, dimana koboi-koboi yang sentiasa dalam keadaan syak wasangka sesama mereka menghimpun pedati-pedati wagon dalam bulatan untuk menghadapi ancaman serangan Red Indian.

Adakah lebih banyak lagi demonstrasi akan timbul atau tindakan-tindakan pihak berkuasa akan dapat meredakan keadaan? Sama-sama kita saksi dan harap jauhkan yang kurang baik.

Namun, perkembangan terbaru ini mempunyai puncanya kepada tindakan-tindakan Dato Seri Abdullah Ahmad Badawi yang selama menjadi Perdana Menteri telah, sedikit demi sedikit, tidak diyakini dan dianggap menjadi ancaman kepada keamanan dan kesejahteraan negara. Beliau sendiri seolah-olah lalai hingga membiarkan rancangan Korridor Ekonominya, khususnya Wilayah Pembangunan Iskandar (WPI) yang mempunyai implikasi terhadap kedaulatan negara.

Hujan kritikan terhadap kelemahan pentadbiran dan peribadi Abdullah telah membuka ruang untuk pelbagai pihak menangguk di air yang keruh. Kini beliau menghadapi akibat dari perbuatan membuka kotak Pandora tetapi tidak berupaya menanganinya kerana terkongkong dengan janji slogannya. Dengan penangkapan-penangkapan terbaru, prestasi beliau di muka masyarakat antarabangsa kini menjunam dengan lebih deras.

Gelombang Globalisasi

Globalisasi telah lama dikatakan sebagai suatu fenomena yang penuh misteri. Disebalik kebaikan dalam memecahkan cara pemikiran kepompong lama, ia membawa bersama bahaya bisa yang boleh memporak perandakan suasana equilibria dan sejahtera.

Gelombang ini berupaya memaksa perubahan kepada struktur sosio-politik, ekonomi dan budaya mana-mana masyarakat negara yang kekal dalam status quo dan tidak memenuhi tuntutannya. Globalisasi menuntut semua perlu serupa dan samarata, tidak kira miskin atau kaya, kuat atau lemah, dan upaya atau tidak.

Melalui globalisasi, kuasa-kuasa kolonial lama telah menemui jalan yang lebih mudah, tanpa banyak mangsa perang kepada tentera penakluk, untuk menjajah semula anak-anak jajah mereka. Ramai pemikir menyatakan globalisasi adalah Neo-Kolonialisma abad 21.

Semasa bermula kuatnya gelombang globalisasi circa tahun-tahun akhir 80an ke awal 90an, Malaysia sedang di dalam era membina keupayaan dan kapasiti sosio-ekonomi acuan sendiri berasaskan jalur semangat Nasionalisma Melayu yang disokong dengan Patriotisma Malaysia. Zaman Tun Dr Mahathir mengemakan slogan keyakinan “Malaysia Boleh” yang membangkitkan keinginan mahu teroka dan mahu cuba buat.

Baru empat tahun Abdullah memerintah tetapi gelombang globalisasi telah menghancurkan 46 tahun usaha membangunkan negara. Padahal di dalam ajaran ugama Islam dan semangat Nasionalisma Melayu sudah tersusun elemen-elemen pertahanan dalam menghadapi ombak globalisasi yang membawa bersama pengaruh-pengaruh hedonisma dan anarki.

Ancaman Malayan Union

Nasionalisma dan Patriotisma yang menjadi teras pembinaan negara berkembang deras dari peristiwa sejarah Kesatuan Malaya (Malayan Union). Pada tahun 1946 selepas Perang Dunia Kedua, British mengunjurkan Kesatuan Malaya atas alasan kononnya pendekatan pemusatan (centralisation) perlu bagi memudahkan dan mempertingkatkan urusan pentadbiran.

Malah ada rakyat-rakyat tempatan yang membuat usul-usul yang membantu memperkuatkan alasan pihak British untuk mengimplimentasi wadah Kesatuan Malaya. Antara mereka adalah Tan Cheng Lok, Tunku Mahmud Mahyudeen, dan lain-lain. (Rujukan: Buku 13 May 1969 karangan Leon Combe (1983)).

Disebaliknya, Kesatuan Malaya akan mengakibatkan lenyapnya locus standi orang Melayu ke atas tanahairnya melalui pelupusan kedaulatan Raja-Raja Melayu dan keseragaman hak untuk semua, penduduk asal dan pendatang.

Perjanjian Kesatuan Malaya memperolehi tandatangan Raja-Raja Melayu menggunakan alasan kerjasama bersama penakluk Jepun sebagai ugutan treason (belot). Perjanjian itu bertentangan dengan semangat Perjanjian-Perjanjian lain yang sudah ditandatangani oleh Raja-Raja Melayu sebagai mewakili kerajaan dan rakyat negeri denga pihak British dari Perjanjian Pangkor tahun 1784. Suatu tindakan salah force majeure memindahkan hak kedaulatan dari Raja-Raja Melayu kepada Mahkota British.

Ekoran bantahan keras orang Melayu (termasuk sokongan beberapa pegawai-pegawai kerajaan British yang bersara), kerajaan British akhirnya akur untuk mengubah ide pemusatan kepada ide penyatuan. Selain tentangan dari UMNO, bekas suruhanjaya-suruhanjaya tinggi dan pegawai-pegawai kerajaan British seperti Sir Frank Swettenham, Sir Cecil Clementi, Sir George Maxwell, dan Sir Richard Winstedt memberi sokongan. Maka, Persekutuan Tanah Melayu atau Malaya ditubuhkan untuk menggantikan Kesatuan Malaya.

Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu ditandatangani pada 1948 oleh semua Raja-Raja Melayu dari kesemua negeri-negeri di Semanjung Tanah Melayu. Ia menjadi asas kepada penubuhan Persekutuan Malaysia yang memasukkan Sabah, Sarawak dan Singapura pada 1963. Singapura dikeluarkan pada tahun 1965.

Ide pemusatan mempunyai hubung kait dengan ide keseragaman hak tanpa kira kaum. Dan, ide ini bukan ide baru yang timbul semasa Kesatuan Malaya. Kononnya keseragaman itu adil. Adakah implementasi dan impaknya akan benar-benar saksama, terutama kepada kaum asal yang telah secara sistematik dipinggirkan penjajah British?

Pada tahun-tahun 1930an, Tan Cheng Lok (kemudiannya bergelar Tun) sudah mewar-warkan slogan “Malaya for Malayan”. Namun, ianya gagal kerana tidak ada legitimasi. Sokongan ide itu hanya datang dari kaum bukan Melayu yang belum warganegara.

Setelah Merdeka dan kemasukkan Singapura dalam Malaysia, ide ini diberi nafas baru melalui slogan “Malaysian Malaysia”. Ini adalah ancaman kepada legitimasi orang Melayu untuk kesinambungan warisan kemerdekaan Melayu di tanah tumpah darahnya dan bercanggah perkara-perkara quid pro quo dalam Perlembagaan Persekutuan..

Ruhanie Haji Ahmad di dalam bukunya, Patriotisme Malaysia (2005) menganggap “Malaysian Malaysia” sebagai Malayan Union ke II.

Korridor WPI

Mutakhir ini kerajaan sedang memperkenalkan konsep pembangunan Korridor Ekonomi. Korridor pertamanya adalah Wilayah Pembangunan Iskandar (WPI) di Johor Selatan. Perdana Menteri, Dato Seri Abdullah bin Ahmad Badawi mengumumkan “Ini adalah ide saya” sesampainya di Lapangan Terbang Senai untuk menghadiri suatu Majlis anjuran UMNO Bahagian Kulai pada pertengahan tahun 2006.

Kebenaran jauh dari kenyataan.

Difahamkan kepada penulis, ide ini mula tercetus dan dibincangkan pada awal 1990an di dalam Majlis perbincangan antara Institiut Perancang Malaysia dan Jabatan Perancangan Malaysia. Tujuan murninya adalah untuk menyebarkan pembangunan ke luar dari tumpuan Lembah Klang. Berikutan itu, ide ini mula dibincangkan dengan lebih terbuka pada awal 2000an dan mendapat publisiti dalam satu Majlis anjuran Permodalam Nasional Berhad.

WPI mendapat banyak tentangan kerana bahang kemarahan orang Johor terhadap pembatalan projek Jambatan Johor pada bulan April 2006 masih belum reda. Abdullah membatalkan terus rancangan Jambatan Johor dua bulan selepas menghidupkan pembinaan yang tergendala kerana dia sendiri arah menghentikan. Semasa menyambung kembali pembinaan, Abdullah mengatakan “Tidak membina jambatan ini bukanlah satu pilihan.”

Kemarahan ini menular hingga ke Istana Besar Bukit Serene. Tuanku Sultan Iskandar, yang menghadiahkan sebidang tanah untuk tujuan Jambatan Indah Johor, masih menegaskan perlunya Tambak Johor diroboh semasa melancarkan perasmian WPI.

WPI mempunyai pelbagai kecacatan - perancangan yang tidak jelas hala tuju, isi kandung yang tidak jelas, dan unjuran ekonomi dan jumlah pelaburan yang tidak realistik. Walaupun begitu kuat penentangan, Abdullah masih berkeras dan penerangan dari pihak yang terlibat agak samar-samar. Dengan persekongkolan media perdana untuk mendiamkan pembentangan Akta di Parlimen dari diketahui orang ramai, Akta WPI 664 dapat diluluskan dengan bergegas pada bulan Desimber 2006.

Selepas diluluskan, pelbagai perincian mengenai WPI mula diumumkan. Malah Akta menyebut dengan khusus kuasa mutlak pihak berkuasa IRDA dan Kerajaan Persekutuan yang diberi kekebalan mahkamah. Peranan kerajaan Negeri begitu jelas telah diketepikan.

Pengumuman yang paling mengegarkan adalah pembatalan polisi-polisi dari zaman DEB di dalam kawasan WPI dan penubuhan Jawatankuasa Bersama Peringkat Menteri antara Malaysia dan Singapura. Kandungan-kandungan quid pro quo dalam Perlembagaan Malaysia di nodai. Pengenepian hak orang Melayu bukan saja mengejutkan tetapi yang lebih mengejutkan, ianya di buat oleh Tun Musa Hitam, pemimpin veteran dari Johor yang selama ini dianggap nasionalis.

Apakah perlu sebuah negara asing terlibat di peringkat tertinggi dalam pembangunan kawasan dalam negara? Masa berlalu dan pengumuman demi pengumuman membongkarkan penglibatan besar Singapura dalam pembangunan WPI. Malah, ramai pemerhati-pemerhati politik menjangka Singapura terus dibenarkan mengembang rancangan-rancangan dan kepentingan-kepentingan strategik mereka ke bumi Johor dan Malaysia.

Seolah-olah ide yang baik sudah dicolek untuk kepentingan tertentu. Apa pula habuan?

Penghakisan Semangat Persekutuan dan Hak Melayu?

Untuk cuba memahami perkembangan baru ke atas negeri, perkara ini menjadi jelas dengan merujuk kepada jurnal Ethos keluaran bulan Jun 1996. Ethos adalah suara sebuah kumpulan yang bergelar Forum Antarabangsa Malaysia (International Malaysia Forum (IMF)).

Kerlip gambar untuk melihat dengan lebih jelas nama-nama yang terbabit dengan IMF

IMF yang mendapat sokongan ISIS adalah landasan yang melancarkan ramai personaliti-personaliti muda yang kini berlegar di anjung kuasa Putrajaya dan Khazanah Nasional seperti Khairy Jamaluddin, Dato Zaki Zahid, Dr Vincent Lim, Ganen Sarvananthan, Munir Abdul Aziz, dll. Secara “tidak langsung”, Ketua Pengarang jurnal Ethos adalah Khairy Jamaluddin yang kini adalah anak menantu Abdullah dan Naib Ketua Pemuda UMNO. Mereka-mereka ini yang digelar Tun Dr Mahathir sebagai “budak-budak tingkat empat.”

Keluaran Ethos itu memaparkan sebuah rencana yang mempersoalkan viabiliti mengekalkan entiti politik negeri dalam Malaysia. Artikel tersebut menganggap entiti negeri hanya releven di kalangan orang Melayu dan sebagai “garis panduan perjuangan politik” untuk generasi yang lebih tua.

Rencana itu tidak menyampaikan initipati asas kedaulatan negara (sovereign) dan kesinambungan warisan dan hak orang Melayu keatas negara ini pasca Merdeka terletak pada negeri-negeri dan Raja-Raja Melayu. Dalam membincangkan warisan dan hak orang Melayu, Perlembagaan Malaysia sudah mengambilkira dan mengimbangkan kepentingan bukan Melayu.

Di dalam tulisan, “Stay Focus, Don’t Be Swayed by Hindraf Crap!" penulis menyarankan hipotesis bahawa proses reformasi dan konsolidasi Syarikat-syarikat Kaitan Kerajaan (GLC) dan Khazanah Nasional adalah merupakan penyatuan (consolidation) kuasa ekonomi korporat di dalam satu “tangan”. Manakala, ide Korridor Ekonomi Abdullah boleh pula membawa impak konsolidasi kuasa politik.

Adakah benar Korridor Ekonomi, khususnya WPI, membawa tujuan-tujuan tersebut? Apakah perlunya konsolidasi kuasa ekonomi dan politik ini, jika Abdullah dengan bujet pembangunan yang besar amat berpengaruh dan dianggap Perdana Menteri yang paling berkuasa?

Mungkin soalan nakal yang ingin penulis tanya adalah: Untuk kepentingan siapa akhirnya kuasa ini akan diberi kepada? Mungkin sebahagian jawapan daripada persoalan yang akhir boleh dijawab dari jenaka coffeehouse yang mengatakan Korridor Ekonomi ini sebenarnya “Kerry-dor” Ekonomi.

Ancaman Malayan Union?

Yang lebih mengkagetkan adalah bisikan-bisikan yang mula menggelarkan Korridor Ekonomi, khususnya WPI sebagai Malayan Union ke III.

Jika dahulu, ancaman-ancaman Malayan Union diunjurkan oleh pihak-pihak asing, British dan Singapura, WPI nampak seolah-olah unjuran tempatan - pucuk kepimpinan UMNO.

Ada yang berpendapat pengaturan rapi ini di luar keupayaan Abdullah dan anak-anak muda tingkat empat untuk merencana. Jika pendapat itu diterimapakai, WPI bukan merupakan satu respons kepada globalisasi tetapi satu pembelotan kepada kuasa luar. Bolehkah diterima tuduhan pembelot untuk Abdullah yang sejarah politiknya tidak pernah lari dari teras Nasionalisma Melayu?

Memang diakui, WPI dan Korridor Ekonomi telah digunakan dengan bersungguh-sungguh sebagai propaganda mutakhir dalam memberi persepsi masa depan ekonomi yang baik kepada rakyat. Sebelum ini, propaganda yang diguna adalah Rancangan Malaysia ke 9. Realitinya keadaan di bawah tidak langsung meyakinkan. Bagaimana mahu diyakinkan rancangan yang hanya seolah-olah melekakan?

Mengapakah Abdullah perlu bertahan lagi, jika janji-janjinya yang lepas tidak berupaya ditunaikan, timbunan slogan-slogannya yang boleh dijadikan compost untuk dibuat baja, dan hanya tahu membina istana impian di atas awan? Pemikir-pemikir konspirasi sering bertanyakan kemungkinan ada tangan-tangan ghaib yang sedang bermati-matian menyelamatkan kedudukkan Abdullah dengan apa cara saja? Mungkinkah ada sesuatu yang berharga di luar pengetahuan kita?

Harapnya janganlah ada yang bercita-cita memfilemkan wayang ala Wag the Dog dengan skrip khayalan Dr Kua sebagai rancangan virtual reality. Prospek ini begitu seram sejuk penulis cuba fikirkan akibatnya. Na'uzubika min zalik. Muga dengan tersebutnya di sini akan mengelak berlaku kemungkinan itu.

Korridor Ekonomi tidak tepat persamaan dengan Malayan Union. Samada penerangan yang panjang atau pendik, dalang-dalangnya tidak jelas. Kaitan dengan ancaman kepada keamanan dan kedamaian terkini masih samar-samar, walaupun setiap kali timbul ancaman yang mengugat Perlembagaan ada saja kekecohan berupa uprising yang timbul. Walluhu 'alam bissawwab. Harap Allah jauhkan kekecohan sekarang dari melarat dan menggugat keamanan dan kedamaian.

Namun, jika ianya berlaku, harap timbul seorang tokoh pahlawan yang akan masuk ke gelanggang untuk menyelamatkan keadaan. Adakah lagi pendekar antara kalangan kita di zaman hedonisme "saya sokong"?

3 comments:

Anonymous said...

bukan undang2 atau akta perlu agong endorse ke?
kalau dah kluar akta WPI maksudnye agong dah endorsed... ?

sputjam said...

Idea malayan union (kesatuan malaya) adalah untuk mengurangkan lapisan birokrasi pentadbiran. Tiadalah rancangan pembanguanan perlu dikemukakan kepada pejabat menteri besar terdahulu sebelm dilaksanakan.
kesemua maklumbalas rancangan pembangunan boleh diperolehi secara langsung kepada kerajaan pusat dengan tiada lapisan yang menghalang.
Ini akan melancarkan proses perlaksanaan dan meningkatkan effsiensi pentadbiran, dan juda mengurangkan beban pentadbiran dari segi kakitangan awam.

Pesanan Keramat said...

Persoalan dan hipotesis menarik dgn elemen intrigue dalam menganalisa suatu perkembangan dengan perspektif yang mengambil kira perspektif politiko-ekonomi, sejarah dan perundangan.

Perspektif mikro perlu dalam memastikan implimentasi yang lancar dan berkesan. Adakah semestinya cara ala malayan union saja untuk mengurangkan birokrasi dan mempercepatkan maklumbalas? Apa erti sesuatu ide itu jika mengkompromi atau mengenepikan perkara-perkara strategik?

Kalau dahulu Malaysia boleh, kenapa sekarang kita asyik tak boleh?

WPI bukan program pembangunan wilayah yang pertama - sudah ada Kesedar, Jengka, Dara, dll. Anihnya WPI tidak dijelaskan kawasan pembangunan - keluasan dan persempadanan.

Adakah Akta WPI akan akhirnya meliputi seluroh Johor? NCER meliputi Penang, Kedah, Perlis dan Perak? ECER ... Kelantan, Terengganu, Pahang dan Johor Utara. Dall .... Malaysia terbagi kepada 5 wilayanh saja?

Samada WPI itu benar-benar Malayan Union ke III tidak penting. Yg penting adalah memahami bahawa disebalik WPI terdapat isu kedaulatan. Tidak tertinggal, kompromi kepada keselamatan negera.

Adakah penumbuhan ekonomi yang disebut hanya statistik makro belaka atau benar2 betul mengalir kekayaan dan kehidupan yang lebih aman dan sejahtera kepada rakyat, syarikat2, dan negeri/negara?

My Say