Thursday, June 25, 2009

1Malaysia: Senario Model Ekonomi Baru memestikan Melayu ubah sikap


Samada kita sedia atau tidak dan mahu menerima atau tidak, orang Melayu harus menyediakan diri untuk menghadapi perubahan Model Ekonomi Baru (New Economic Model) dengan sikap berdikari, tekun, dan daya maju. Realiti ekonomi dunia dan politik masakini tidak berupaya menampung polisi dan tuntutan affirmatif seperti yang lepas-lepas.

Dato Seri Najib Tun Abdul Razak telah mengumumkan penubuhan Jemaaah Ekonomi Kebangsaan atau Inggerisnya, National Economic Council (NEC). Pengerusi jemaah ini telah dilantik ia-itu Tan Sri Amirsham Aziz. dan terma rujukannya adalah khusus untuk menggubal satu New Economic Model (NEM).

Minggu lepas, Najib telah menyatakan model ekonomi baru akan mempunyai elemen tindakan afirmatif dari Dasar Ekonomi Baru tetapi ianya akan disesuaikan dengan realiti pasaran dunia yang global. Secara formal, DEB sudah lama dihentikan pada 1990 dan digantikan dengan polisi-polisi lain.

Tindakan afirmatif yang ingin dijalankan untuk membantu kaum Bumiputera, khususnya orang Melayu dan rakyat berpendapatan rendah harus selari dengan dunia pasaran bebas dan keperluan negara untuk meningkatkan upaya saing negara melalui pembangunan pekerja-pekerja mahir dan berpendapatan tinggi.

Realitinya tuntutan perjanjian-perjanjian perdagangan antarabangsa meletakkan Malaysia dalam keadaan terpaksa untuk membuka banyak sektor-sektor ekonomi tertentu. Jika tidak, kita tidak akan dapat meneruskan kegiatan perdagangan dengan negara lain. Sebagai salah satu negara perdagangan utama dunia, Malaysia sangat bergantung kepada perdagangan antarabangsa.

Sektor ekonomi tempatan tidak cukup besar dan negara sangat bergantung pada sektor luar (external). Ini juga salah satu cabaran bagi Jemaaah tersebut untuk menjana ekonomi tempatan dan mengurangkan risiko penggantungan kepada ekonomi dunia.

Saiz ekonomi negara kini sudah jauh lebih besar dari dahulu. Tuntutan ke atas peranan kerajaan sudah jauh berbeza. Tanggungjawab kerajaan sudah menjadi lebih kompleks. Ianya ditambah dengan beban yang besar untuk membetulkan kesilapan yang lepas.

Demografi penduduk sudah berubah dengan generasi muda lebih menyerlah. Samada mereka menyedari kesediaan dan keupayaan sebenar, anak muda Melayu sudah mahu menerima liberalisasi dan persaingan.

Politik orang Melayu sudah berpecah empat dan masing-masing memerlukan rakan parti bukan Melayu. UMNO sedang menghadapi kritikan dan tuntutan dari rakan-rakan parti dalam BN. Akibatnya rakyat bukan Melayu dan Bumiputera menjadi lebih bersuara dan mendesak dalam tuntutan mereka.

Orang Melayu yang pro-pembangkang pun ikut sama menyuarakan tuntutan yang sama. Mungkin sekali, motivasi mereka adalah semata-mata kuasa politik. Ada pula disebabkan kekecewaan tertentu. Ada pula kerana naluri semulajadi condong kepada pemikiran liberal. Tidak kurang yang disebabkan ketaksuban kepada pemimpin.

Dengan suara Melayu yang mulai lemah dan tidak bersatu, political will atau kesungguhan politik pun ikut lemah. Namun begitu, model ekonomi yang ada perlu dikemaskini kerana ianya berasaskan keperluan untuk membina integrasi kebangsaan dan menangani masaalah kemiskinan dikalangan penduduk, khususnya kaum Bumiputera.

Senario ekonomi sudah jauh berbeza dan berubah. Pembolehubah ekonomi (economic variable) dan hala tuju polisi sudah jauh berbeza dari dahulu. Cabaran kita kini adalah untuk menjadi kompetitif di pesada dunia yang lebih mencabar.

Sumber minyak dan gas dalam negeri yang satu masa dahulu adalah pelincir kepada pencapaian DEB kini sudah mula berkurangan. Pendekatan pemberiaan subsidi sudah membebankan dan diluar kemampuan kerajaan.

Ekonomi berasaskan tenaga buruh yang rendah sudah tidak sesuai. Negara tidak boleh meneruskan kegiatan ekonomi tertentu dengan mengharapkan kepada tenaga dari luar. Disamping itu, ia menimbulkan masaalah sosial dan keselamatan, termasuk perhubungan antarabangsa.

Rakyat kita sudah tidak mahu melakukan pekerjaan buruh yang bergaji rendah. Taraf kehidupan sudah meningkat dan gaya hidup sudah berbeza. Ekonomi kita sudah sampai masa untuk diubah asas kepada model pendapatan tinggi (high income model). Ciri-ciri model ekonomi sedemikian memerlukan suntikan keupayaan innovasi, kreatif dan tambah nilai.

Proses kerja perlu diubah dan memerlukan kemaskinian dan peningkatan pengisian peralatan dan metod pengurusan moden. Penekanan perlu kepada meningkatkan kemahiran dan pengetahuan sumber manusia melalui latihan-latihan kemahiran dan kursus-kursus pengurusan yang berterusan.

Ini supaya pendapatan yang tinggi dapat diimbangi dengan pengeluaran dan hasil yang jauh lebih baik.

Ekonomi yang berasaskan pendapatan yang tinggi tidak lagi sesuai untuk menjalankan kegiatan ekonomi ala tenaga buruh pendapatan rendah. Semua kegiatan ekonomi perlu diubahsuai dan disuntikkan elemen innovasi, dan kreativiti untuk menambahkan nilai dan pulangan.

Sudah sampai masanya, ekonomi negara ditingkatkan ke arah sektor perkhidmatan. Komponen perkhidmatan dalam ekonomi negara masih rendah dalam lingkungan 50%. Najib sudah menyatakan sektor perkhidmatan perlu dipertingkatkan hingga ke 70% dalam masa terdekat.

Menurut sumber dari Kementerian Industeri dan Perdagangan Luar, sektor perkhidmatan telah lama dibuka dan ditawarkan kepada Bumiputera tetapi peluangnya tidak diambil. Ini yang memerlukan kerajaan membuka sub-sektor tertentu untuk menarik pelaburan luar (FDI). Namun begitu, bidang-bidang yang didefinasikan sebagai strategik masih tidak dibuka dan dikekal struktur pegangan saham yang ada.

Dimana Melayu dalam NEM ini? Kita boleh terus menuntut supaya keadaan dan kemudahan yang kita kecapi selama ini tidak diubah. Mungkin kita berupaya menggunakan tekanan dan pengaruh, tetapi tidak semua tuntutan dapat dilayani.

Sebagai individu, Melayu terpaksa mengubah sikap dengan secara drastik dan bersedia menerima realiti. Sedikit sebanyak, kita perlu bersedia untuk berdikari dan merancang masa depan ekonomi kita, pelajaran anak-anak dan membimbing kerjaya diri dan anak-anak.

Melayu perlu merancang seolah-olah kerajaan tidak dapat membantu lagi. Tindakan afirmatif kerajaan sememangnya tidak sepatut membantu mereka yang sudah berada di peringkat tengah tetapi hanya kepada yang miskin dan peringkat pendapatan rendah.

Peruntukkan kerajaan untuk membantu orang Melayu perlu menjurus kepada ruang yang ada kesan tinggi (high impact) dan tidak lagi untuk pengganti tanggungjawab peribadi. Tidak termampu kerajaan untuk terus membina sekolah asrama penuh atau pelbagai kemudahan asas untuk semua umat Melayu. Peruntukkan perlu disalurkan dengan lebih efisyen dan berkesan.

Sudah sampai masanya, kaum menengah dan atasan Melayu meringankan beban kerajaan dengan menjalankan tanggungjawab sendiri. Mereka perlu ke hadapan mengambil peranan dan menyumbang kepimpinan untuk membina masyarakat Melayu yang viable dari segi ekonomi.

Sudah lama keadaan menuntut orang Melayu berfikir sebagai satu komuniti yang bersikap berdikari, dan berhala tuju dalam membangunkan masyarakatnya. Kalau tidak bangsa itu merubah nasibnya, tidak ada orang lain yang akan menolong.

Dengan kepimpinan komuniti yang ikhlas dan efektif serta kebolehan yang kreatif dan berinovasi, lambat laun ia pasti jauh lebih berkesan dari sikap meminta-minta dan mengharap hanya kepada kerajaan. Anggaplah bantuan dan sokongan kerajaan sebagai satu bonus.

Bangsa kita perlu ditanamkan kesedaran dan sedikit rasa cemas (seige mentality) supaya ada perasaan perlu segera timbul dalam sanubari hati kita. Jika dapat diwujudkan sikap berdikari, ini boleh meningkatkan semangat kerjasama dan kesetiakawanan sebangsa untuk sentiasa mahu tolong menolong dan maju bangun bersama.

Dengan kaum Bumiputera merupakan 66% penduduk negara, tidak mustahil untuk kita bangun menguasai ekonomi negara tanah tumpah darah. Menurut sejarah orang Melayu pun, kita adalah bangsa pedagang dan pelaut. Usaha dan kesungguhan orang Melayu yang membina sejarah kegemilangan di masa silam. Ia hanya memerlukan kesungguhan, kerjasama dan kebijaksanaan untuk mengembalikan kegemilangan itu.

Sudah masa kita bercita-cita tinggi untuk mahu menguasai ekonomi dan tidak dibelengu dengan hanya mahukan bahagian 30%.

Ditulis oleh Citrawaras dan dipetik dan sunting dari MyKMU


* Sila baca Aspan Alias mengenai isu kedudukkan kewangan MARA yang kekeringan sini. Sebelum ini, saya menafikan tuduhan Lim Kit Siang sini dan Najib sudah membuat kenyataan. Siapa yang melecehkan hingga menjadi masaalah?

6 comments:

Anonymous said...

Sdr Voicey,
Terima kasih kerana sudi menyiarkan artikel dari MyKMU. Walaupun kita mungkin ada perbezaan pendapat dari segi politik, saya tetap menganggap sebagai salah satu bloggers yang paling berpengaruh dalam alam maya.

Baik sekarang komen saya pula. Saya bukannya berkelulusan ekonomi, saya ni adalah berkelulusan dalam kejuruteraaan kimia. Tetapi saya dah baca sikit tentang teori ekonomi, dan berpendapat walaupun kita sering dibuai dengan pendekataan ekonomi yang baru, seperti Mahanomics (ekonomi stail Dr Mahathir), sebenarnya konsep dan teori yang dipelopori oleh John Maynard Keanes lebih tepat dan harusnya digunapakai.

Konsep ini menegakkan bahawa saiz ekonomi pada jangka masa panjang (i.e Long Run effects) bergantung kepada 3 faktor iaitu tenaga buruh, tanah dan kapital. (labour, land and capital).

Kalau di negara barat seperti Jerman, Jepun dan Korea Selatan, kita lihat tenaga buruh mereka cukup mahir dan terlatih. Kalau kita nak cuba mencontohi mereka, ianya tidak akan datang dengan berkursus sahaja. Ianya memerlukan penekanan dari bangku sekolah dan juga di alam kerja. .

Kedua adalah dari segi penggunaan dana dana kapital. Pada hemat saya, banyak projek yang mendapat sokongan oleh kerajaan seperti pembangunana pusat pentadbiraan Putrajaya ataupun lebuh raya tol sebenarnya tidak menggunakan dana kapital secara effisen. Dana tersebut dibazirkan dan yang mendapat untung hanyalah segelintir daripada masyarakat am. Dari segi monetarist policy, kita cuba fikir, yang wang satu ringgit yang kita terpaksa memberi kepada syarikat tol, kemana ianya pergi. Kalau ianya digunakan hanya untuk membayar balik hutang, ataupun mask kedalam poket kroni ataupun kepada dana ASB dimanakah multiplier effect yang boleh memberi manfaat kepada masyarakat am?

Kalau misalnya, kita sedia melabur dana kita dalam sektor industri, multiplier effect tu memang gah. Satu ringgit yang bertukar tangan dari pembeli kepada penjual akan digunakan untuk membeli perisiaan (inventory), membayar gaji kerja, melabur dalam teknologi yang lebih moden dan sebagainya. Sebelum kita berlumba lumba cuba menjadi negara yang berteraskan sektor perkhidmataan, elok kita fikir dengan baik. Kalau dululah, sewaktu tahun 1970an, syarikat gergasi seperti Intel corporation sudi melabur dinegara dan prestasi yang dicatakan sama baik dengan negara maju, kemana hilangnya daya kompetitif negara.

Ini kita harus teliti dengan baik. Kalau tidak walau seberapa tertekan (siege mentality), kita terus akan kecundang kerana enggan belajar dari kesalahan kita dan terus terbuai buai dengan konsep pemikiraan yang tidak berteraskan kepada logik.

Anonymous said...

bro,

terkejut juga tadi gua ingat lu tiba2 dah jadi jurucakap 1malaysia.

3Abdul

Anonymous said...

VOICE,

AKU MERAYU AGAR ANAK-ANAK MELAYU JENERASI ABAD KE 21 YANG SEDANG DAN AKAN BELAJAR DI SEKOLAH-SEKOLAH KEBANGSAAN TERUS DIAJAR SAINS DAN MATEMATIK DI DALAM BAHASA INGGERIS. TOLONGLAH JANGANLAH DIAJAR MEREKA SAINS DAN MATEMATIK DIDALAM BAHASA PETANI (LANGUAGE OF PESANTS). KESIHANILAH MEREKA. BENARKANLAH MEREKA MEMPUNYAI "TOOLS" UNTUK "TRAWLING" ILMU DAN KEKAYAAN SECARA GLOBAL. BIARLAH KAUM CHINA BELAJAR SAINS DAN MATEMATIK DIDALAM BAHASA PELOMBONG TIMAH (HOKKIEN DAN KANTONIS) DAN KAUM TAMIL DIDALAM BAHASA ESTATE (TAMIL DAN TELEGU) SEPERTI YANG MEREKA PINTA.

PAK SU DOLLAH
PENGKALAN CHEPA

antubiul said...

'ekonomi tempatan tidak cukup besar ' disini sepatur ny Kerajaan merangnsang supaya ekonomi tempatan menjadi besar, local supply and demand sentiasa ada.
Amir Sham? why? Adakan KPI Amir beitu tinggi? What about Mayban fiasco?.Dalam Negara Malaysia dah tak de orang ke? What about Anwar Ibrahim he seems talented!
Dear Najib, pembangkang akan mambangkang apa saja yang Kerajaan buat dan kerajaan tidak seharusnya mengikut dan menunaikan idea pembangkang seperti zaman AAB. Your one Malaysia looks like Malaysian Malaysia. Slogan tidak penting yang penting ialah the 'output'.

anonybro said...

Count 1-10 in English: 11 syllables
Count 1-10 in Malay: 21 syllables

Superior language English wins!

student said...

sememangnya DEB gagal sejak 1990, tetapi penghapusan kouta sebegini dilihat sebagai tidak releven kerana diwaktu sebegini, melayu masih jauh ketinggalan dalam arena kemajuan. dan saya percaya sekelompok besar orang miskin adalah orang melayu sendiri. bagi saya, NEM masoh perlu mangambil kire soal kouta.

My Say