Friday, April 27, 2007

Ijok III: Kementerian Pertahanan Menjawab Tuduhan PKR

Sementara kita menunggu jawapan Tan Sri Khalid Ibrahim pada persoalan-persoalan saya dalam Ijok II: Persoalan Yang Memohon Jawapan Tan Sri Khalid, ingin saya memaparkan Kenyataan dari Kementerian Pertahanan.


PENJELASAN BERHUBUNG ISU PEROLEHAN
KAPAL SELAM SCORPENE DAN PESAWAT SUKHOI SU30MKM
OLEH ANGKATAN TENTERA MALAYSIA


Kementerian Pertahanan hari ini ingin memberi penjelasan berhubung kenyataan-kenyataan yang dibuat oleh pihak-pihak tertentu tentang perolehan pesawat Sukhoi SU30MKM dan kapal selam Scorpene oleh Angkatan Tentera Malaysia.

Kementerian Pertahanan mendapati bahawa kenyataan-kenyataan yang dibuat terutama oleh parti-parti politik tertentu mengenai perolehan kelengkapan tersebut sejak akhir-akhir ini telah menimbulkan banyak kekeliruan dan salah faham di dalam masyarakat.

Selain itu, ia juga menimbulkan persepsi negatif dan prasangka bahawa perolehan kelengkapan untuk keperluan Angkatan Tentera Malaysia telah dilaksanakan tanpa mengikut prosedur yang ditetapkan, tidak telus dan membazir.

Di sini, pihak Kementerian ingin memaklumkan bahawa semua rundingan perolehan adalah dijalankan mengikut Tatacara Perlaksanaan Kontrak-Kontrak Perolehan Peralatan Pertahanan Negara oleh pegawai-pegawai kerajaan. Ia melibatkan pelbagai peringkat kelulusan termasuk Jawatankuasa Teknikal dan Jawatankuasa Rundingan Harga setelah penilaian-penilaian yang teliti dibuat demi memastikan perolehan tersebut menepati keperluan Angkatan Tentera Malaysia.

Selain itu, rujukan juga dibuat kepada pihak Jabatan Peguam Negara bagi mendapatkan kelulusan ke atas klausa-klausa kontrak tersebut. Semua terma-terma dan kelulusan untuk rundingan terus dikemukakan kepada Kementerian Kewangan dan kontrak hanya akan ditandatangani selepas kelulusan Kementerian Kewangan diperolehi.

Berhubung dengan perolehan kapal selam Scorpene, Kementerian Pertahanan ingin menegaskan bahawa dakwaan kononnya kerajaan telah membayar komisen sebanyak RM540 juta kepada Encik Abd Razak Baginda merupakan satu tuduhan yang tidak berasas sama sekali.

Kementerian juga ingin menegaskan bahawa dalam soal perolehan kapal selam Scorpene, TIDAK ADA sebarang komisen yang dibayar kepada syarikat Perimekar Sdn. Bhd. seperti yang didakwa. Ini kerana perolehan kapal selam telah dibuat secara rundingan terus - selaras dengan tatacara perolehan kerajaan - dengan syarikat pembuat iaitu ARMARIS (Perancis) dan NAVANTIA (Sepanyol) yang telah mendapat persetujuan kerajaan masing-masing.

Sebaliknya, syarikat Perimekar Sdn. Bhd. yang didakwa menerima komisen, sebenarnya diberikan kontrak menyediakan perkhidmatan sokongan dan koordinasi untuk tempoh selama enam tahun. Nilai kontrak tersebut adalah sebanyak EURO 114.96 juta, yang dibayar secara berperingkat-peringkat mengikut kemajuan pelaksanaan projek.

Perimekar Sdn Bhd dimiliki bersama oleh Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT), Boustead Holdings Berhad dan K. S. Ombak Laut Sdn. Bhd.

Skop kerja perkhidmatan sokongan adalah seperti berikut:

1. Menyediakan kemudahan kediaman beserta kelengkapan untuk tim projek bagi 27 keluarga di Perancis dan Sepanyol untuk tempoh enam tahun.

2. Menyediakan pejabat urusan dan kediaman beserta kelengkapan bagi krew kapal selam TLDM seramai 156 orang untuk tempoh empat tahun di Perancis dan Sepanyol.

3. Menyediakan insurans kesihatan bagi anggota serta keluarga tim projek dan krew kapal selam di Perancis dan Sepanyol

4. Membayar elaun harian dan elaun krew kapal selam sebanyak EURO 50 sehari seorang untuk tiga tahun pertama dan EURO 60 sehari seorang untuk tiga tahun kedua.

5. Membiayai kos penerbangan pergi dan balik bagi setiap krew kapal selam untuk
balik bercuti ke Malaysia pada setiap 4 bulan (tiga kali setahun).

6. Lain-lain keperluan tim projek dan krew kapal selam di Perancis dan Sepanyol

Perkhidmatan koordinasi pula melibatkan:
1. Bertanggungjawab memastikan penyertaan syarikat Malaysia dalam pembinaan dan membantu syarikat-syarikat Malaysia yang berpotensi untuk menyertai program off-set.

2. Membantu kontraktor utama dalam memberi maklumat tentang prosedur kerajaan berhubung perlaksanaan kontrak.

3. Menyelaras latihan krew kapal selam antara kontraktor dengan kerajaan.

4. Menyediakan laporan koordinasi setiap enam bulan.
Jumlah kontrak EURO 114.96 juta bukanlah merupakan keuntungan bersih milik syarikat Perimekar Sdn Bhd., sebaliknya jumlah ini adalah meliputi segala pembayaran kos langsung bagi skop perkhidmatan sokongan dan tanggungan ke atas kos tidak langsung bagi perkhidmatan koordinasi seperti yang ditetapkan dalam kontrak tersebut.

Kementerian Pertahanan membuat keputusan untuk melantik sebuah syarikat tempatan bagi menyediakan perkhidmatan sokongan dan koordinasi kerana kaedah tersebut dianggap lebih sesuai dan berkesan. Ia juga bagi tujuan melicinkan kerja-kerja Tim Projek membuat pemantauan ke atas pembinaan dan latihan krew kapal selam di Perancis dan Sepanyol.

Selain itu, segala perbelanjaan untuk projek kapal selam ini dapat dikawal dan dijadualkan manakala perbelanjaan di luar jangka (cost over-run) dapat dielakkan memandangkan pelaksanaan projek perolehan kapal selam memakan tempoh masa yang panjang iaitu selama enam tahun serta melibatkan bilangan anggota yang ramai.

Berdasarkan kepada keperluan tersebut, maka syarikat Perimekar Sdn. Bhd. telah dilantik untuk menyediakan perkhidmatan yang diperlukan mengikut skop kerja yang ditetapkan.

Tentang perolehan pesawat Sukhoi SU30MKM pula, Kementerian Pertahanan ingin menyatakan bahawa perolehan adalah dibuat secara rundingan terus dengan Rosoboronexport, syarikat milik negara Rusia.

Rundingan terus ini adalah selari dengan dasar negara Rusia dan negara-negara lain yang mempunyai polisi bagi mengawasi penjualan peralatan ketenteraan keluaran syarikat negara masing-masing agar tidak terlepas kepada pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab.

Berdasarkan senario tersebut, semua kontrak-kontrak perolehan peralatan pertahanan ditandatangani oleh wakil Kementerian Pertahanan bagi pihak Kerajaan Malaysia dengan syarikat-syarikat Principal negara asing, termasuk dalam soal pembelian pesawat Sukhoi. Perolehan pesawat ini juga mematuhi Tatacara Perlaksanaan Kontrak-Kontrak Perolehan Peralatan Pertahanan Negara.

Dalam soal pembelian pesawat Sukhoi, syarikat Rosboronexport telah melantik sebuah syarikat tempatan untuk memudahkan urusan mereka di negara ini. Justeru, Kementerian ingin menegaskan bahawa sebarang urusan perniagaan antara Rosboronexport dan syarikat tempatan yang dilantik adalah merupakan urusan perniagaan biasa semata-mata dan sama sekali tidak melibatkan Kerajaan Malaysia.

Dengan penjelasan ini, maka Kementerian Pertahanan berharap agar semua pihak memahami keadaan sebenar dan tidak lagi mengeluarkan kenyataan-kenyataan yang mengelirukan dan boleh menimbulkan persepsi negatif terhadap Angkatan Tentera Malaysia, Kementerian Pertahanan dan Kerajaan Malaysia.

Cawangan Perhubungan Awam
Kementerian Pertahanan Malaysia
Kuala Lumpur

26 April 2007

Kenyataan ini menjawab tuduhan Parti Keadilan Rakyat bahawa Dato' Seri Najib telah mengambil komisyen dari pembelian dua aset oleh Kementerian Pertahanan.

Sebelum ini, Dato' Seri Najib telah menafikan ia terlibat dalam kes pembunuhan Altantuya dan ia tidak boleh memberi perincian lebih kerana ianya kesalahan subjudice.

Bagi kesalahan rasuah, saya menunggu kes mana yang PKR mahu disebutkan.

Adakah isu-isu ECM Libra Avenue, Pantai, Scomi dan lain-lain dikatakan berkait dengan Perdana Menteri Abdullah Ahmad Badawi dan anak beranaknya akan dibangkitkan? Atau hanya menuduh kes-kes yang kononnya melibatkan Dato Najib dan Dato Seri Khir Toyo sahaja? Nampaknya PKR melakukan "selective accusation"?

Sementara itu, persoalannya mengapa Pemuda UMNO yang ketua sebenarnya, Khairy Jamaluddin "sengaja" berlaku ganas padahal perbuatan mereka mudah kini direkod dan laporkan?

Mengambil kata-kata Tun Dr Mahathir, nampaknya sekiranya BN menang Pak Lah di puji. Manakala, kalau BN kalah, Khir Toyo dan Najib akan di keji.

Ayah hamba menangis di kuburnya melihat tampuk perjuangan Melayu dipenuhi "gunting dalam selimut". Namun, UMNO mesti hidup terus untuk berjuang. Pembelot UMNO akan ditentang. Inilah perjuangan yang bagaikan menatang minyak panas yang penuh.

2 comments:

kittykat46 said...

Hi A Voice,
Saya dahulunya seorang eksekutif kanan syarikat Barat yang pernah membekalkan peralatan canggih kepada Kerajaan Malaysia. Memang perkara biasa rundingan kontrak perlu melibatkan pihak perantaraan (middleman). Lazimnya syarikat bumiputera yang mempunyai kait rapat dengan UMNO atau tokoh-tokoh tertentu. Memang selalunya ada komisyen yang perlu dibayar kepada pihak tertentu. Amaun komisyen berbeza, bergantung kepada kemahuan pihak tertentu, peralatan berteknologi tinggi memang lebih komisyennya.

Benarlah kerajaan Malaysia tidak pernah membayar komisyen secara terus - IA DIBAYAR OLEH PIHAK PENJUAL, dan terbenam dalam harga kontrak kepada kerajaan Malaysia. Kontrak kerajaan selalunya antara 10 - 30 % lebih mahal dari harga pasaran.

Bos saya rakyat British, memang menerima fakta ini sebagai "cost of doing business" di Malaysia. Asalkan syarikat perolehi jualan, dapat keuntungan yang berpatutan, memang dia tak kisah.

Sebagai rakyat Malaysia , saya memang sakit hati tentang cara perniagaan begini. Wang rakyat Malaysia yang dibazirkan, demi kepentingan peribadi pihak-pihak tertentu.

Perihal kontrak MINDEF untuk Scorpene, memang saya tidak tahu apa hal sebenarnya. Anwar Ibrahim dan PKR perlu mendepankan bukti yang lebih kukuh jika mahu isu ini dihangatkan.

Tetapi saya memang tahu penjelasan Kementerian Pertahanan bahawa tiada komisyen dibayar OLEH KERAJAAN MALAYSIA dalam kontrak pembelian Scorpene itu tidak semestinya kebenaran yang tepat -"Only true on the surface".

A Voice (of Another Brick in the Wall) said...

Thank you for your honest comment. I will not try to dispell it.

In a By Election, power and position is at stake. PKR shd get their fact right and not cheap wild accusation.

Why is it that PKR doesn't attempt to list the corruption cases of AAB & Family, which is out in the open?

Scroll through my side bar. Aren't those genuine cases?

My Say