Monday, April 14, 2008

Perpaduan Melayu atau Kekalkan Perdana Menteri?

Pada pagi Sabtu April 12hb, gabungan NGO yang memanggil diri mereka Barisan Bertindak Perpaduan Melayu (BBPM) telah mengadakan program pertamanya, Forum Perhimpunan Perpaduan Melayu di PWTC. Walaupun usaha ini kelihatan reaktif dan bukan rancangan tersusun yang diberi fikiran yang dalam, bloger ini menyambut baik usaha ini dengan menghadhirkan diri.

Program ini dibuka oleh Yang Teramat Mulia Tengku Mahkota Kelantan dan teks ucapannya mempunyai kandungan dan nasihat yang begitu signifikan. (Teks dan audio ucapannya sudah disiarkan di blog ini pada hari Ahad.)

Namun, ucapan aluan Pengerusi Protem, Osman Abu Bakar membibitkan sesuatu yang tidak kena. Apabila dilihat sebahagian besar nama-nama yang diatur untuk berbicara dan kumpulan induk yang menganjur, terasa begitu mengecewakan. Tidak menghairankan jika usaha ini sudah di “colek” untuk kepentingan politik tertentu dan usaha ini bukan sebenar ikhlas untuk perpaduan Melayu.

Tertipu?

Memang sudah berdekad lamanya, bloger ini mengharapkan orang-orang Melayu yang berpelbagai ideologi dan fahaman, pemikiran politik, dan organisasi dapat sekurang-kurangnya dudok berbincang.

Jika kerap berbincang dilakukan, mudah-mudahan akan timbul satu persefahaman dan muafakatan dalam isu-isu tertentu. Tidak diharapkan sangat akan ada satu perpaduan dan kesepakatan dalam satu entiti.

Beberapa hari selepas Lim Guan Eng, Ketua Menteri Pulau Pinang baru menyatakan DEB dihentikan, satu demostrasi telah diadakah oleh sekumpulan UMNO Penang di Georgetown. Apabila kenyataan dikeluarkan, akhbar melaporkan UMNO Pulau Pinang memberi sokongan kepada Perdana Menteri.

Persitiwa yang sama berulang dalam demonstrasi-demonstrasi yang diatur di Ipoh dan Shah Alam. Seolah-olah Perdana Menteri yang bertanggungjawab menghapuskan DEB di WPI benar-benar mahu mempertahankan DEB. Klise yang sama kedengaran.

Dalam beberapa minggu lepas, ada satu program “memujuk” yang panggil “UMNO di Hati Ku” diatur oleh sekumpulan untuk UMNO Lembah Pantai. Tujuannya adalah kononnya menyedarkan ahli UMNO akan implikasi akibat marah pemimpin membakar kelambu.

Di dalam program itu, disebar-sebarkan satu karikutur yang secara halus ingin membalas dendam terhadap Mukhriz yang merupakan antara orang pertama menuntut pengunduran Abdullah. Terselit juga rancangan politik pemilihan.

Tertipu Lagi?

Ketika kemelut pemilihan Menteri Besar dan ahli exco kerajaan negeri Perak, timbul pula BBPM yang menyuarakan ketidakpuasan hati terhadap komposisi exco kerajaan negeri. Exco negeri Perak rata-rata dikuasai ahli-ahli DUN berbangsa Cina dari DAP dan PKR melainkan tiga portfolio kurang penting.

Dalam sidang akhbar pada Mac 20hb, 2008, diumumkan pertubohan BBPM yang ingin menyatukan orang-orang Melayu dan usaha awal melibatkan 25 NGO Melayu. Dari desas desus, sedang dirancang tiga siri perjumpaan dengan perjumpaan hari Sabtu merupakan yang pertama, kedua pada April 16hb dan ketiga secara besar-besaran di Johor Baru pada 2/3 Mei.

Rancangan ini dikatakan disokong oleh 250 NGO dan melibatkan Gagasan Kajian Permuafakatan Melayu Malaysia, Gabungan Penulis Nasional (Gapena), Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM), Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS), Persatuan Kebajikan Islam dan Dakwah Islamiah Malaysia (Pekida) dan Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM). Tidak mahu saya komen jaringan siapa ini.

Belum apa-apa, dicelah ucapan Pengerusi Protem yang agak retorik cetek dan lapuk tanpa haluan, tiba-tiba bersemangat sunggoh disebut nama Abdullah Ahmad Badawi. Sedutan syarahan itu berikut:

"… Kita bersyukor terhadap Allah s.w.t. yang telah memberikan kita satu tokoh Tunku Abdul Rahman yang telah memerdekakan negara kita. Kita juga bersyukor kerana lahirnya Tun Abdul Razak. Kita juga bersyukor kerana lahirnya … Tun Hussein Onn. Kita bersyukur kerana Tun Mahathr Mohammad. (Dengan nada tinggi) Kita juga bersyukor kerana … adanya (Tan Sri) Dato Seri Abdullah Hj Ahmad Badawi yang meletakkan aspirasi Islam kepada teras perjuangan orang Melayu yang tidak terhingga… "
Apabila membelek-belek jadual rancangan program, ruang syarahan kedua diberi kepada Ustaz Nakhaie, “pejuang” doktrin Islam Hadhari yang merupakan jenama pentadbiran Abdullah.

Dari senarai pembicara seterusnya, nama pertama yang mencuakkan diri saya adalah Datuk Prof Muhammad Uthman El-Muhammadi. Ah … boleh terbayang ia memetik pelbagai kata-kata hikmah sosiologis pertama dunia, Ibn Khaldun tetapi yang mahu dikatakan hanya jangan tentang pemimpin yang pemberi (provider) walaupun dia lemah, korup dan zalim.

Terlihat sama , Dr Kamal Saleh yang pernah menjadi MP Wangsa Maju, Pengarah MIER, dan ahli Korporat. Sunggoh tidak sesuai kehadhirannya yang sebabnya biar saya saja yang tahu. Bloger ini terus meninggalkan Majlis dan hanya membaca dari berita dan laporan rakan-rakan.

Ulangan?

Pembicara lain pula adalah Dr Hasan Ahmad dan Professor Emeritus Tan Sri Ismail Hussein Ketua Satu GAPENA.

Dilapurkan berita, Prof Ismail mengunjurkan ide Badan Pendesak yang akan memperjuangkan hak Melayu. Bukankah dari peristiwa gagasan Malayan Union tahun 1946 dan perjuangan kemerdekaan telah mencendawankan kumpulan-kumpulan pendesak Melayu? Dimana mereka, malah di mana GAPENA sebagai badan yang memperjuangan bahasa dan budaya Melayu selama ini?

Sebagaimana berlaku dengan GAPENA dan ramai kumpulan-kumpulan lain, aktivisma Melayu sudah dihanyutkan oleh arus komersial, kecondongan atau batu loncatan politik kepartian peribadi, dan ketirisan nilai dan roh perjuangan di dalam masyarakat Melayu. Berapa banyak kumpulan Melayu sudah lari jauh dari perjuangan asal dan kehilangan istiqamah dalam perjuangan? GPMS yang ayahanda bloger ini terlibat semasa selepas zaman Perang Dunia itu sendiri perlu muhasabah!

Kasihan kita biarkan suara-suara usang yang sudah penat terus dipertanggungjawabkan untuk menjana cerita-cerita silam yang sama. Tidak adakah mereka-mereka yang lebih kemaskini pemikiran, boleh melahirkan ide tindakan yang tidak generik, dan mempunyai pandangan dunia (worldview) yang lebih komprehensif boleh dikehadapankan?

Ikhlas?

Jika benar mahu membawa perpaduan Melayu, mengapa tidak dibawa parti-parti politik dan aktivis aliran lain diajak menjadi pembicara dan organiser? Bukankah seharusnya kita setuju untuk tidak setuju (“agree to disagree”), baru kita bisa mencapai kesepakatan yang akan berakhir dengan perpaduan.

Mengapakah Dato Radzi, Yayasan Kajian Strategik Melayu boleh suka-suka mengubah ketetapan yang mahukan Dr Nasaruddin Md Isa (PAS) dan Mustafa Kamil (PKR) menjadi pembicara? Bukankah perbezaan ideologi politik yang melunturkan pertahan kepada tekanan terhadap hak-hak Melayu?

Mengapakah tidak berani dihadapi realiti bahawa masaalah ketirisan di dalam sistem yang melemahkan keberkesanan program pembangunan iktisad, pendidikan, dan sosial untuk orang Melayu? Hingga sudah timbul di kalangan orang Melayu yang membencikan DEB.

Kekalahan teruk parti induk Melayu, UMNO dan kekurangan kuasa politik Melayu disebabkan kelemahan pucuk kepemimpinan dan campur tangan keluarga. Mengapa kenyataan ini enggan mahu dihadapai dan takut-takut diperkatakan?

Mengapa satu manipulasi minda dilakukan semasa perhimpunan ini dengan mengungkap ulang kata-kata tidak harus menuding jari dan hanya mencari penyatuan yang tiada haluan? Kalau kita mahu perpaduan, bukankah kita harus menerima kenyataan dan menyelesaikan permasaalahan?

Katanya mahu ditubuhkan Badan Bertindak yang disarankan Prof Ismail pada perjumpaan bertarikh Mei 2hb, 2008. Nampak jelas ini sudah diatur. Bukankah dikata dalam sidang akhbar, BBPM adalah bebas dari ideologi politik dan mementingkan penyatuan? Adakah perkara yang mahu didesak sudah diatur juga?

Adakah perkara yang mahu didesak sudah ada kesepakatan dari pelbagai umat melayu atau segelintir sahaja? Jika ianya untuk agenda segelintir, mengapa tidak dikatakan demikian dan tidak disalahguna nama Melayu itu?

Katakan apa pertalian dan hubungan Dato Mat Din pengusaha Utas Travel yang bergiat dalam program ini dengan Perdana Menteri? Tidak usah disebut nama-nama yang lain.

Bloger ini orang UMNO yang sunggoh membenci pembohongan. Kalau kita berbohong, kita tidak akan tercapai apa yang dihajat. Kalau masaalah UMNO yang mahu diselesaikan, katakan demikian. Jika masaalah Melayu, biar betul-betul Melayu.

PRU12 menitikberatkan keterbukaan dan keikhlasan menghadapai kenyataan, bukan lagi cara lapuk menyekat dan lari dari realiti! Jika tidak kerana ucapan bermakna Yang Teramat Mulia Tengku Mahkota Kelantan, hari Sabtu itu hanya satu pembaziran!

Bolehkah teguran ini memperlihatkan keikhlasan dan penerimaan kenyataan untuk siri pada April 16hb, 2008 dan 2/3 Mei di Johor Baru? Biar bloger ini terus terang tuntut untuk yang sepatut dan sudah pencen perlu pencen dari menjana benda yang sama?

Perlukah saya mengimpikan perpaduan Melayu lagi?

Baca juga tulisan Mohdnasir MYKMU di sini.

1 comment:

punjunk said...

kalau 'KITA' pikir kan balik secara menyeluruh..
'KITA' ini macam dipergunakan dan ini atas kerelaan 'KITA' sendiri.

My Say