Hanya beberapa bulan lepas, Akta Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM) diluluskan di Parlimen oleh kedua-dua pihak. Padahal Akta itu mempunyai kekurangan yang ketara ia-itu ianya berada di bawah bidang kuasa JabatanPerdana Menteri dan tidak jelas kebebasan dari campurtangan eksekutif.
Langkah-langkah mula SPRM adalah mengejar pengamal politik wang dalam UMNO. Beberapa orang telah ditangkap, termasuk Dato Norza Zakaria yang telah ditangkap dalam serbuan di Temerloh. Diam tersenyum pihak-pihak Pakatan Rakyat yang mengumpul modal politik dari episod ini.
Akibat tindakan SPRM yang sepatutnya dialu-alukan, timbul pula demonstrasi dari dalam UMNO menentang tindak tanduk SPRM dan mahukan urusan dalam parti ditentukan dalam lingkungan parti. Ini pasti anih untuk difahami kerana apa saja kesalahan berlaku, dalam atau luar parti, jatuh bawah lingkungan undang-undang. Ketawalah juak-juak PKR dengan gelagat UMNO ini. Begitu sokongan besar mereka terhadap tindakan SPRM. Saya pun ikut ketawa.
Apabila kena pula pada batang hidung mereka, reaksi mereka pula lebih lucu. Betul macam kanak-kanak yang ditangkap tapi tidak mengaku melakukan kesalahan lalu menuduh orang lain. Saya ketawa melihat reaksi PKR apabila Menteri Besar Selangor, Khalid Ibrahim dikatakan oleh SPRM sebagai cukup bukti untuk mendakwanya atas kesalahan rasuah. Sampai mengheret lembu untuk menyatakan protes.
Salah atau tidak bergantung kepada bukti dan mahkamah walau binatang-binatang satu bahtera Nabi Noh dibawa bersama protes.
Sejak pembangkang baru merasa kuasa di bibir, pihak ini menganggap diri mereka sebagai maksum atau dipelihara tuhan dari melakukan dosa dan kesalahan. Padahal hanya Habibullah Rasulullah saja yang maksum. Mereka dengan sewenang-wenang menegur, menuduh dan berdrama politik, tetapi mereka tidak boleh ditegur dan dilarang.
Antara reaksi segera mereka untuk memutihkan imej Khalid Ibrahim adalah untuk melakukan pembunuhan karakter terhadap Pengerusi SPRM, Dato Ahmad Said. Diwar-warkan anaknya, yang merupakan seorang pilot MAS, terlibat dalam kesalahan pornografi kanak-kanak di Australia. Ekoran dari itu, mereka membuat andaian dan tuduhan bahawa Dato Ahmad menyalah guna kuasa untuk memberi tekanan terhadap MAS supaya mengekalkan jawatan anaknya dalam MAS.
Seorang ayah dan anak adalah dua entiti berbeza dan selepas dewasa anak itu, bukan tanggungjawab dan ada kaitan legal dengan si ayah. Adakah jika Anwar telah disahkan melakukan pecah amanah dan salahlaku seks oleh mahkamah, maka anak-anaknya turut serupa?
Anwar pula melakukan pendedahan terhadap Khir Toyo menuduhnya meluluskan tuntutan claim berlebih-lebihan oleh ahli-ahli Dewan Undangan Negeri. Buti terperinci dan untuk apa tidakditerangkan.
Khalid pula menyaman malu pendedahan yang dibuat oleh Khir Toyo terhadapnya berkenaan isu penyelanggaraan kereta peribadi dan sedekah lembu. Apabila Pengerusi SPRM membuat kenyataan terdapat cukup bukti untuk mendakwa Khalid, dia menjadi kelam kabut malu kerana saman malunya tidak akan menjadi.
Timbullah protes PKR yang mengheret sekor lembu yang digantung dengan senarai pertuduhan-pertuduhan rasuah yang dibuat terhadap Khir Toyo dan kerajaan BN.
Reaksi saya terhadap Khalid Ibrahim mudah. Dari ramai-ramai Menteri Besar atau Ketua Menteri untuk negeri-negeri yang diperintah oleh Pakatan Rakyat, Khalid adalah satu-satunya yang lama saya yakini adalah pengamal rasuah, penyalahguna kuasa, dan karakter dengki mendengki yang kuat sekali.
Seorang lagi baru saya sebutkan secara imbasan dalam tulisan terbaru mengenai Air Asia dan Sime Darby. Orangnya bukan Nizar yang cuma naif hingga bagai lembu dicucuk hidung.
Khalid bukan menafikan dan bersikap kerjasama untuk menerangkan kepada SPRM untuk menunjukkan bukti kebersihannya. Selain berdemonstrasi seolah-olah dirinya seperti lembu suci yang diheret, Khalid menambahkan serangan peribadi terhadap Khir Toyo.
Berikutan dari itu dan secara tak kebetulan, maklumat mengenai pertemuan seorang calun Ketua Pemuda dengan Naib Ketua Pemuda AMK sampai kepengetahuan saya. Lepas itu, satu demi satu tuduhan dibuat terhadap Khir Toyo untuk mengalih pandang dan tekanan terhadap Khalid.
Dengan demikian Dr Khir sebenarnya orang yang saya maksudkan sebagai mangsa "passing belakang".
Menurut pertuduhan terbaru Khalid dan PKR terhadap Khir Toyo, dia telah menyalahgunakan penggunaan Toyota Harrier dan kemudahan pemandu serta penyelenggaraan kenderaan sebagai Pengerusi PNSB. Bukankah perkara biasa, Pengerusi syarikat mendapat perk sedemikian. Kalau Khalid tidak guna perk ini, ianya tidak bermakna salah.
Pembangkang ini lupa bahawa sebagaimana Biro Pencegah Rasuah, ada struktur sama masih kekal dalam Akta SPRM. Melakukan laporan palsu adalah salah. Saya petik kenyataan Dato Najib semalam:
Buat laporan palsu akan didakwa
Utusan Malaysia, Feb 27hb, 2009
KUALA LUMPUR 26 Feb. – Datuk Seri Najib Tun Razak menegaskan, mereka yang membuat laporan palsu kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan didakwa.
Menurut Timbalan Perdana Menteri, tindakan yang sama juga akan diambil terhadap mereka yang menyalahgunakan akuan bersumpah.
“Mereka akan terima padahnya,” katanya kepada pemberita selepas mewakili Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi merasmikan Mesyuarat Peringkat Menteri Kumpulan Lapan Negara Islam Membangun (D8) mengenai Jaminan Makanan di sini hari ini.
Najib mengulas tindakan dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) semalam membuat aduan kepada SPRM mendakwa ditawarkan sejumlah wang dan jawatan sekiranya keluar parti.
ADUN Malim Nawar, Keshvinder Singh dan ADUN Kuala Kurau, Abdul Yunus Jamahri membuat laporan secara berasingan terhadap beberapa pimpinan Barisan Nasional (BN) negeri dan pusat di pejabat SPRM Perak di sini.
Antara lain mereka mendakwa pernah ditawarkan antara RM3 juta dan RM20 juta selain jawatan tertentu dalam kerajaan negeri.
Najib menegaskan, UMNO atau BN tidak mempunyai duit sebanyak itu untuk ditawarkan kepada sesiapa pun.
“Kita tidak ada duit, mana UMNO dan BN ada RM20 juta, ini mengarut,” jelasnya yang akan menyerahkan kepada SPRM untuk menyiasat dakwaan kedua-dua ADUN PKR itu.
Mengenai namanya yang turut disebut dalam laporan berkenaan, Najib memberitahu, beliau tidak ada membuat tawar menawar kepada sesiapa pun.
Ditanya dakwaan kedua-dua ADUN terbabit bahawa mereka mempunyai bukti kukuh, katanya, sudah tentu mereka akan berkata begitu.
“Biarlah suruhanjaya siasat dan seperti saya kata, jika mereka membuat laporan palsu, mereka akan menghadapi padahnya,” katanya.
Kenyataan Najib ini mengingatkan kepada laporan terhadap Pak Lah di pejabat BPR Wilayah Persekutuan yang dibuat oleh Dato' Mazlan Harun pada tahun lepas. Laporan ini difahamkan melibatkan pemberian wang, kain pelikat, penginapan hotel, dan lain-lain untuk wakil-wakil Bahagian dan Cawangan seluruh negara yang sedia datang mendengar penjelasan Pak Lah.
Laporan itu tidak boleh didedahkan kepada media. Isi laporan itu tidak boleh berbunyi pertuduhan. Walaupun laporan itu lengkap dengan bukti-bukti barangan, video dan pengakuan-pengakuan, laporan tidak boleh merupakan pertuduhan.
Tuduhan yang salah dan laporan yang palsu boleh dikenakan hukuman atas menghina mahkamah. Ini untuk mengelakkan stunt seperti yang dilakukan oleh pembangkang.
Banyak pertuduhan dari pihak pembangkang tidak lengkap dengan bukti tetapi hanya penuh andaian, pertalian yang samar-samar, dan tidak konklusif. Logiknya mudah kerana pembangkang tidak ada akses kepada kerajaan dan sering kali maklumat yang ada pada mereka hanya cebis-cebisan.
Siapa yang merupakan penentu terhadap kesahihan pertuduhan yang dibuat oleh pelapor kalau bukan dengan penyiasatan oleh pihak yang telah diberi kuasa? Dengan struktur SPRM yang telah dan dipersetujui oleh semua pihak, SPRM merupakan penentu. Perlu diterima hakikat yang dipersetujui bahawa kes itu menguntungkan atau merugikan politik mana-mana pihak.
Masaalah rasuah bukan sesuatu yang patut dianggap sebagai mainan politik. Ia adalah perkara serius dan sebarang pertuduhan perlu berasas. Laporan pertuduhan rasuah tidak boleh dibuat main tuduh-tuduh untuk memburukkan pihak lawan poltik sebagaimana yang cuba dilakukan terhadap Khir Toyo.
Saya tidak condong kepada Khir Toyo dalam pemilihan Ketua Pemuda tetapi boleh menerimanya jika dia yang dipilih. Kesemua tiga-tiga calun mempunyai kebolehan, kepimpinan dan kelebihan masing-masing tetapi alasan saya strategik. UMNO perlukan seorang Ketua Pemuda yang mempunyai imej dan persepsi bersih tanpa syak dan waham. Disamping itu, kita tidak boleh ambil risiko dengan mereka-mereka yang mempunyai masaalah persepsi. UMNO perlu pemimpin-pemimpin yang berwatakan dan keperibadian sopan untuk mudah diterima rakyat bagi PRU13.
Namun begitu, saya kagumi perjalanan dan ranjau kehidupan yang dilalui Khir Toyo. Saya bersimpati kepada Khir Toyo terhadap usaha memburuk-burukkan berlebih-lebihan oleh media-media TV3 dan akhbar-akhbar kumpulan NSTP untuk membantu kerjaya politik seseorang. Akibatnya ia menjadi salah satu penyumbang kepada kekalahan BN di Negeri Selangor.
Jika benar senarai salahlaku Khir Toyo itu begitu panjang berjela seperti yang dikatakan oleh sebuah blog (pautan di sini), PKR boleh buat laporan SPRM. Biarkan SPRM buat penyiasatan dan terimalah kesimpulan penyiasatan.
Tak perlu dibising-bisingkan dan heret lembu ke sana kemari, kerana stunt sedemikian jelas mempunyai tujuan politik untuk perebutan kuasa dan bukan benar mahu membenteras rasuah.
Jangan lupa bahawa PKR pun serupa. Baru tahun lepas, ada pertelagahan PKR sesama PKR melibatkan Khalid Ibrahim dan bekas pembantunya, Yahya Saari. Kewibawaan Khalid dipersoalkan dan dituduh secara terbuka memberi kepentingan keluarga. Bukan UMNO yang tuduh tetapi PKR sesama PKR.
Malah, ahli-ahli PKR Melayu yang konon penuh toleransi terhadap kaum lain pun berarak depan rumah Khalid dan persoal kenapa orang Melayu dan penggiat reformisi diketepikan untuk lebih memberi keutamaan kepada kepentingan kaum India.
Yang paling ironis, Khalid menyatakan bahawa dia menyambung amalan dari zaman Khir Toyo untuk terus memberi keyakinan untuk BPR ada peranan dalam sebarang pemberian kontrak. Namun kini, dia juga yang mempersoalkan BPR atau kini dipanggil SPRM.
Sekarang ini, jika Khir Toyo mangsa passing belakang, siapa yang mahu menganiayakannya dengan bersekongkol dengan PKR. Untuk memuaskan hati pembaca Setiakawan dari menyanyah macam komentar PKR yang mungkin akan menubi-nubi menghentam tulisan ini, biar saya puaskan hati mereka untuk memungkinkan Mukhriz yang buat demikian.
Cuma yang hendak ditanya, bolehkah Mukhriz yang baik budi pekerti dan kuat pegangan prinsipnya bersekongkol dengan pembangkang untuk melakukan sedemikian terhadap Khir Toyo dan parti sendiri?
Bagi yang tidak tahu latarbelakang, hubungan Mukhriz dan Khir Toyo bukan bermusuh. Pengikut-pengikut Khir Toyo dan Mukhriz bukan kucing dan anjing.
Malah Mukhriz orang yang indors Khir Toyo kepada bapanya semasa Khir Toyo dilantik menjadi Menteri Besar. Rakan-rakan Mukhriz yang menyusur Khir Toyo ke Sungai Baru malam-malam untuk dibawa berjumpa seorang tertentu sebelum dilantik Menteri Besar.
Kita tengokkan sajalah.
7 comments:
Perhap, the Pembangkang pun in cohort wth pemerintah, they need to reserved the power and status quo thingking in near future they might hold the throne and might need such priviledge jugeee.
Terima kasih tuan di atas posting yang membuka minda. Saya sendiri memang tidak akan mempercayai sekiranya Saudara Mukriz terlibat menjadi dalang di dalam kes ini. Beliau terlalu naif untuk melakukan ini semua. Persoalannya siapa?
Masaalahnya tuan....kenapa Ahmad Said begitu terang-terangan menyebut nama MB?...kenapa dalam kes Umno..tidak disebutkan nama...hanya disebut Tokoh Penting?...kenapa????
Salaam.
Senario akhir-akhir iniagak berbeza, dimana provokasi dari pihak penyokong khir semakin kerap(penyokong kj tosah sebutlah...)ketara terhadap diri calon KPUM nombor wahid.
Dan sebagai penyokong Mukhriz, tindakbalas memang sudah boleh diduga. Tulisan diakhir artikel anda amat mengejutkan saya.
Semoga Allah memakbulkan doa saya agar Pemuda UMNO mendapat Ketuanya yang boleh membawa sayap itu kembali dihormati oleh kawan dan lawan, insyaAllah.
Berani Berubah!!!
Akusayangumno
Jgn mudah terkejut. Baca baik-baik.
Suka atau tidak penyokong parti pembangkang terutamanya PKR mesti akui bahawa cara berpolitik tikam -menikam juga wujud dalam kalangan mereka sendiri.
Hakikatnya orang2 melayu ex-Umno yang sertai PKR masih juga melayu. Cara hidup, persekolahan, pergaulan dan apa saja masih kekal kemelayuannya.
Janganlah nak dabik dada dengan keterbukaan, ketuanan rakyat dan sebagainya. Manis di bibir saja. Aksinya tetap juga triple x.
BRO, BETUL APA YANG BRO CAKAPKAN DALAM POSTING PASSING BELAKANG TU, DAH ADA ORG JUAL INFO KAT RAJA KUNYIT UTK MENJATUHKAN SAINGAN...INILAH HAKIKAT YANG SANGAT MENGEJUTKAN...SETIAKAWAN MAKAN KAWAN
SAYA HARAP DATO MUKHRIZ MENANG..
BERANI BERUBAH
Post a Comment