Friday, July 27, 2007

Catatan Ku: Celebritum de Mediocritis (CDM) Penyakit Baru UMNO?

Begitu caca marba keadaan negara di bawah pucuk kepimpinan UMNO dan negara yang sekarang. Siapa yang memimpin? Kenapa yang memimpin dipimpin selalu? Betulkah dia memimpin? Siapa sebenar memimpin? Fikir-fikirlah dahulu.

Beberapa hari lepas, saya berjumpa seorang sahabat lama. Semasa berbual, dia mendedahkan pada saya bahawa dia boleh dikira lingkungan dalaman ("inner circle") dan sering berjumpa Perdana Menteri untuk memberi timbal balas dan juga nasihat.

Biasanya mereka-mereka yang mengaku sebegini akan mengaku macam-macam ide mereka yang telah dilaksanakan. Ada akan cerita Pak Lah, kalau jumpa mereka, dia akan bergurau tumbuk perut. Ada pula akan cerita, mereka pernah bersama-sama semasa Pak lah kena gari polis di luar negara kerana speeding. Lakunan sedemikian tidak menjadi ukuran buat saya.

Sahabat saya sanggup bercerita kerana dia percaya pada saya sebagai sahabat dan saya akan merahsiakan butiran perbualan kami. Saya yakin dia bukan berlakun kerana dia memang berkebolehan, dedikasi dan etika moral. Orang keturunan suku kaum Jawa, macam kami ini, memang rajin dan ikhlas. Kalau saya boleh "isi bakul angkat sendiri" sekali lagi, bukan fitrah kami temberang dan bodek.

Alhamdulillah. Saya bersyukur dalam hati kerana ada yang "without fear or favour" menasihati Pak Lah. Jika betul sahabat saya ini ada saluran langsung tanpa disekat, dapat saya menyampaikan keresahan rakyat jelata, ahli-ahli UMNO bawahan, dan diri sendiri. Selain itu, dapat saya mendengar penjelasan-penjelasan sebenar mengenai isu-isu tertentu. Maklumlah laporan-laporan suratkhabar tidak boleh dipakai sangat.

Banyak orang yang mengaku ada saluran terus menerus, tetapi sering terlalu takut untuk menyampaikan kebenaran. Bila Pak Lah jawab "dia menantu saya", terus diam dan berhenti isu-isu yang melibatkan Khairy. Ada yang dulu macam singa, garang dan lantang, tapi dah jadi kucing kerana nak jaga kepentingan. Dah lama berjuang, nak cari duit bersara.

Saya bertanya sahabat saya, siapa "access"nya sambil melihat gambar-gambar yang begitu banyak kelihatan. Dia menunjuk kepada beberapa orang, yang amat biasa dilihat mengiring Perdana Menteri, yang dikatakan "Penasihat" dan menceritakan sedikit latarbelakang mereka.

Alahai sedih ... mendengar sahabat saya yang sangat berkebolehan ini terpaksa melalui mereka-mereka yang sungguh mediocre latarbelakang tapi menjadi "Penasihat" Perdana Menteri ...



Semasa berbual, kami bersetuju bahawa salah satu masaalah, samada dahulu dan sekarang, adalah terdapat mereka yang diamanahkan menjadi tidak amanah. Sahabat saya menyatakan pemimpin sekarang mahu memberi tanggungjawab dan peranan kepada lebih ramai yang sanggup kehadapan.

Namun, sahabat saya agak apolegis, bila berkata pemimpin sekarang tidak boleh buat apa-apa bila mereka yang dipertanggungjawabkan menyalahgunakan peluang dan kuasa. Saya kata yang nak kehadapan banyak kena sekat dan dalam hati saya berbisik, kalau tidak boleh buat apa-apa, itu bukan pemimpin namanya.

Ini membuat saya tertanya-tanya. Jika cara pucuk kepimpinan mengurus sumber manusia atau modal insan dalam organisasinya sendiri pun amat menyedihkan, bagaimana dia akan memajukan polisi pembangunan modal insan untuk negara?



Ada penasihat-penasihat dan kumpulan jaringannya begitu mediocre dari segi latarbelakang pelajaran, pengalaman professional, pemikiran dan ide. Kebanyakkan hanya hebat bercakap atau berpropaganda saja dan ada pula tidak habis-habis melawak, tapi banyak antara mereka hanya jadi perantara dan "talk only but cannot manage and deliver".

Bak kata seorang ahli Forum MyKMU bernama Big Guy, dia memanggil penasihat-penasihat atau kumpulan jaringan Pak Lah yang seperti ini sebagai CDM atau Celebritum de Mediocritis. CDM adalah satu nama ala Latin yang direka untuk menggambarkan sebagaimana kata-kata perumpamaan "besar sudu dari kuah" atau Celebration of Mediocrity. Mutakhir ini, orang-orang lama yang punya ijazah-ijazah Ivy League dari Amerika Syarikat atau Oxbridge dari Britain pun dah terikut-ikut menjadi CDM.



Satu lagi golongan Penasihat pula adalah "budak-budak Tingkat 4" yang bekerja di JPM, Khazanah dan lain-lain tempat penting. Mereka ini jaringan dan pilehan Khairy.

Mereka mempunyai latarbelakang pelajaran dan sedikit pengalaman bekerja yang agak impressive, tapi semangat perjuangan begitu nipis, dan hampir tertiris langsung jati diri Melayu atau Malaysia. Mereka ini diberi kuasa, tetapi bagai tidak dibimbing dan pantau langsung oleh Pak Lah, hingga sudah menjadi rakus, biadap dan ganas.

Seorang kawan pemberita menyaksikan sendiri kebiadapan mereka. Mereka boleh menahan, dengan terbuka atau berisyarat, pemberita dan juga Perdana Menteri dari menyoal dan menjawab perkara tertentu semasa majlis press conference. Kalau ada soalan terlepas, mereka akan pergi mengugut pemberita berkenaan selepas majlis.

Tersebar dikalangan peniaga-peniaga akan kerakusan mereka mencari harta dan mengayakan kroni-kroni mereka dikalangan Pemuda UMNO untuk pengaruh dan kuasa. Sudah mula tersebar kata-kata, mereka merancang untuk mengkayakan diri dengan merancang projek-projek "Mega Terbilang" yang tidak perlu dan duplikasi, kalau tidak bersaing dengan yang ada.

Sedih ... UMNO yang aku sayangi. Apa boleh kita buat untuk menyelamatkan UMNO, jika pemimpin di pucuk dan batangnya "akal mediocre kelas ketiga" dan yang muda berkuasa "semangat kelas ketiga".


Meniliki episod laporan polis oleh Ketua Penerangan UMNO, Tan Sri Muhammad Muhamamd Taib terhadap Raja Petra Kamaruddin, ia mencerminkan kelemahan minda dan keupayaan para-para sidang wazir, meminjam terma Dato' Kamal Amir Kamal Hijaz.

Jika benar tulisan blogger satira politik Husin Lempoyang berjodol "Pemburu Musang Tak Kenal Musang", ini sungguh amat memalukan. Rakan saya Biggum Dogmannstenberg dalam tulisannya "Mike Tyson helped Malaysia Today hits above five million" berkata tidak bijak tindakan yang hanya lebih mempopularkan lagi Malaysia Today. Saya sendiri pernah berkata di sini, tindakan menahan Nathaniel Tan sebelum ini hanya mencipta selebriti baru di kalangan pembangkang.

Saya ingin juga menarik perhatian kepada luahan kekecewaan dan kekesalan seorang ahli UMNO, Ab. Jalil Backer dalam laman MyKMU Net hari ini berjodol "Surat Terbuka Kepada Tan Sri Muhamad Muhamad Taib". Bagaikan terpelanting balik ke muka bila ditanya kenapa Tan Sri berdiam semasa New Straits Times menghina Nabi? Mungkin Tan Sri perlu juga menjawab tuduhan berbohong kepada Almarhum DYMM Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah.

I, Publius Melayu, seorang blogger baru dan ahli UMNO yang berpandang jauh untuk tidak membenarkan komentar di blognya, dalam "Sila Dihalusi Ahli UMNO Ini", menuntut pucuk kepimpinan parti melakukan tindakan yang berhemah. Sebelum itu di sini, dia meminta Raja Petra bertenang supaya lebih objektif dan seimbang tindakan seterusnya.

Ramai pengunjung dan juga penulis siber Malaysia Today berharap tindakan ISA yang dituntut Dato Nazri Aziz, yang "banyak sopan", tidak menjadi kenyataan. Sebagaimana kata komentar dan bekas pegawai tinggi kerajaan, Dzulman, agak anih cara Tan Sri membuat laporan dan begitu segera penyiasatan terhadap Raja Petra.

Goodbye Girl dan aktivis DAP, FreeLunch 2020 yang sudah timbul kembali di Metroblogging Kuala Lumpur berkata dalam "Bloggers inflated self importance" supaya menghormati undang-undang.

Senator Wan Ubaidah Wan Omar (PAS) dalam blog Ahli Parlimen PAS mengakui kadang-kadang berlaku perbincangan mengenai Islam yang agak keterlaluan. Saya sendiri agak bosan dan tidak ambil endah perbincangan ugama di Malaysia Today kerana rasmi saya hanya berbincang bab ugama dengan mereka yang arif saja. Namun, itu hak Raja Petra.

Kalau diamati pendapat-pendapat ini, tidak semesti orang UMNO bersetuju dengan cara perang siber yang tidak berhemah dilakukan oleh UMNO. Begitu juga, tidak semua ahli pembangkang bersetuju dengan cara Raja Petra yang juga ahli PKR.


Sebagai menutup rentetan Catatan Ku pertama hari ini, modal insan rakyat Malaysia sudah ada yang matang. Masaalahnya, pucuk pemimpin dan balaci serta pengampu tidak mematang dan tidak mengemaskini pemikiran dan hujah-hujah mereka mengikut peredaran masa dan peningkatan minda.

Anih sekali membayar cyberwarrior dari budak-budak mentah untuk berhujah untuk mereka. Keupayaan mereka memberi penerangan hanyalah menyampaikan hujah-hujah yang cetek, perdebatan yang biadap dan berupa "character assisination", dan mungkin melakukan cyber vandalism.

Apa erti beriya-iya nak jadi pemimpin, kalau kebolehan mediocre dan terbatas, serta mudah ditunduk budak hingus?

Akhir kata, UMNO perlu meletakkan sesuatu pada tempatnya dan ahli-ahlinya sendiri perlu berani melakukan ... Ini bukan menghasut untuk melakukan sesuatu tidak baik, menghina sesiapa, dan tiada dokumen rahsia yang sudah dikeluarkan. Hanya suara teguran yang benar dan berani.

2 comments:

tunku said...

itulah masalahnya, delivery system, bukan saja dari atas ke bawah tapi dari bawah ke atas juga disekat2 oleh hantu2.

Anonymous said...

Celebritum De Mediocritis mereka disekeliling PM Yang Disalah Pilih ini memang menjadi jadi. Mereka merayakan kemampuan kesederhanaan dengan begitu gilang gemilang dan seolah olah pencapaian cemerlang. Semestinya mereka bukanlah golongan terbilang.

Sebagaimana biasa, mereka yang pencapaian bawah par akan bercakap lebih. Biasalah, produk kurang baik, perlu marketing gimmik lebih. Hatta, kita lihat begitu banyak slogan slogan yang seolah olah tak habis habis. Umpama bidalan Melayu, "menang sorak tapi kampung tergadai".

Orang orang UMNO sendiri harus sedar dan membuat perubahan sesuai, sebelum rakyat menolak kepimpinan UMNO. Kalau demam, kita perlu makan ubat walaupun ubat itu pahit!

My Say