Wednesday, December 18, 2013

Al-Fatihah buat Tok Wan


Primadona filem Melayu, Azean Irdawaty meninggal dunia

Muzaffar Mustapa | Kemas kini: Disember 17, 2013
Astro Awani

KUALA LUMPUR: Primadona filem Melayu, Azean Irdawaty, 63 tahun meninggal dunia pada Selasa pukul 8.26 malam di Hospital Universiti, Petaling Jaya, Selangor.

Allahyarhamah menderita sejak lima tahun lalu akibat penyakit tumor dan lymphedema yang dihidapinya.

Allahyarhamah merupakan pelakon yang mula mencipta nama sebagai penyanyi pada era 70an dan namanya meledak di layar perak akhir 70an setelah membintangi filem Esok Masih Ada arahan Tan Sri Jins Shamsuddin.

Di layar perak, Azean merupakan pemenang sebanyak dua kali trofi Pelakon Wanita Terbaik di Festival Filem Malaysia pada tahun 1980 menerusi filem Esok Masih Ada dan Langit Petang pada tahun 1982.

Allahyarhamah cukup dikenali menerusi watak Auntie Zai lakonan terbaiknya dalam filem Layar Lara arahan Datin Paduka Shuhaimi Baba.

Menerusi watak Tok Wan dalam filem Waris Jari Hantu, sekali lagi Allahyarhamah membawa pulang trofi Pelakon Pembantu Wanita Terbaik FFM pada 2008.

Filem terakhir lakonannya ialah menerusi filem terakhir arahan Allahyarhamah Yasmin Ahmad, Talentime pada tahun 2009.

Selain filem, Allahyarham turut dikenali di skrin televisyen antaranya drama Aishah 50 Sen, Ratu Jamu, Kembali dan Najihah.

Allahyarhamah meninggalkan suami, Khairil Anwar Z.M Rashidi dan tiga orang anak, Khaeryll Benjamin, Elza Irdalynna dan Inessa Irdayanty.

Jenazah Allahyarhamah dibawa ke kediaman keluarganya beralamat 92, BU 11/7, Bandar Utama, Petaling Jaya, Selangor.

Menurut wakil keluarga Allahyarhamah, jenazah akan disembahyangkan di Masjid Kayu Ara, Petaling Jaya dan kemudian disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara. 

************

Sering dikatakan seorang seniman itu bagai lilin membakar diri menyinari suasana.

Disamping lakunan-lakunannya di layar perak, Allahyarhamah merupakan suatu muka yang sering dilihat mengisi kaca TV dalam drama-drama Melayu di RTM dan TV3 yang popular dikalangan rakyat jelata. 

Menurut rakan karibnya, Datin Paduka Shuhaimi Baba, Allahyarhamah suka menggelarkan diri Tok Wan apabila bercakap dan bermesej dengannya. 

Allahyarhamah telah lama berhadapan dengan sakit. Ketika tayangan filem Tanda Putera, difahamkan Suhaimi mendedikasikan pungutan tayangan pertama di pawagam buat membantu perbelanjaan perubatan Allahyarhamah "Tok Wan". 

Kami memohon para pembaca memberi sedekah fatihah buat Allahyarhamah. Muga Allah ampuni dosa pejuang seni kita dan dicucuri rohnya untuk diletakkan dengan para pejuang shuhada.
Al-Fatihah!

No comments:

My Say