Tuesday, April 29, 2008

EGM UMNO Cheras

Menuntut Pindaan Perlembagaan dan Lulus 15 Resolusi


UMNO Bahagian Cheras telah menyelesaikan Mesyuarat Luar Biasa (EGM) pada hari Ahad April 27hb, 2008 baru-baru ini dengan menuntut pindaan perlembagaan dan 15 resolusi diluluskan.

Dalam syarahan tanpa teksnya, Ketua UMNO Bahagian Cheras Syed Al Habshee dengan lantang meminta perlu disegerakan peralihan kuasa. Katanya, "Tidak boleh tangguh-tangguh lagi ... masa dah tidak ada."

"Supaya Najib ambilalih dan ada masa untuk selesaikan masalah dalam Umno. Bukan bila nak pilihanraya baru nak beri kerana masalah Umno banyak."

Beliau juga menyarankan pemilihan kepimpinan perlu dilakukan oleh ahli-ahli dan bukan perwakilan-perwakilan. Padanya sesiapa sahaja boleh bertanding jawatan parti termasuk Presiden, dengan memperolehi dua pencalonan sahaja.

Syed Ali juga telah menuntut Dato Zulhasnan diganti dengan Tengku Adnan untuk jawatan Ketua Perhubongan Wilayah Persekutuan. Beliau juga telah menempelak Dato Hishamuddin sebagai pengecut kerana jalan memohon maaf berkenaan isu keris tidak bijak.

Lain-lain laporan blog mengenai EGM ini boleh dibaca di sini, sini dan sini. Pindaan Perlembagaan dan usul yang telah diluluskan diperolehi bloger ini dan adalah seperti berikut:

Bahawa Persidangan Perwakilan Khas UMNO Bahagian Cheras yang diadakan pada hari ini (27hb April 2008, Ahad) bersetuju meluluskan pindaan kepada Perlembagaan UMNO seperti berikut:

FASAL 9 MAJLIS TERTINGGI

Fasal 9.3 dimansuh dan diganti dengan Fasal 9.3 yang berbunyi

"Presiden, Timbalan Presiden, Tiga Naib Presiden dan Dua Puluh Lima Ahli Majlis Tertinggi hendaklah dipilih oleh Perwakilan Persidangan UMNO Bahagian seluruh Negara tiap-tiap tiga tahun sekali."

Fasal 9.4 dimansuh dan diganti dengan Fasal 9.4 yang berbunyi:

"Ketua, Naib Ketua Pemuda dan dua puluh Ahli Jawatankuasa, Ketua, Naib Ketua Wanita dan dua puluh Ahli Jawatankuasa, Ketua, Naib Ketua Puteri dan dua puluh Ahli Jawatankuasa hendaklah dipilih oleh Perwakilan Persidangan Pergerakan Pemuda, Pergerakan Wanita dan Pergerakan Puteri Bahagian seluruh Negara tiap-tiap tiga tahun sekali."

Fasal 9.5 dimansuh dan diganti dengan FASAL 9.5 yang berbunyi:

"Calon yang bertanding untuk memegang jawatan Majlis Tertinggi hendaklah menjadi ahli sekurang-kurangnya 10 tahun dan dicalonkan oleh 2 (dua) Bahagian pada tarikh pendaftaran pencalonan yang akan ditetapkan oleh Majlis Tertinggi."
FASAL 15 JAWATANKUASA BAHAGIAN

Fasal 15.5 dimansuh dan diganti dengan:

"Calon yang bertanding untuk memegang jawatan Ahli Jawatankuasa hendaklah menjadi ahli sekurang-kurangnya 5 tahun berbunyi dan dicalonkan oleh 2 (dua) cawangan pada tarikh pendaftaran pencalonan yang akan ditetapkan oleh Bahagian."

Dan dengan ini Persidangan Perwakilan Khas UMNO Bahagian Cheras memohon Majlis Tertinggi mengadakan Perhimpunan Agung Khas pada mana-mana tarikh yang sesuai secepat mungkin untuk menimbang dan membincangkan semua perkara yang terkandung di dalam usul ini.


RESOLUSI UMNO BAHAGIAN CHERAS DI DALAM MESYUARAT KHAS EMPAT PERINGKAT PADA 25HB. MAC, 2008, JAM 8.30 MALAM DI PEJABAT UMNO BAHAGIAN CHERAS.

1. Perdana Menteri, Y.A.B Datuk Seri Abdullah Haji Ahmad Badawi yang juga Presiden UMNO perlu diberi ruang serta peluang secukupnya untuk meneruskan agenda parti dan pentadbiran negara serta tidak perlu untuk meletak jawatan ekoran kegagalan mengekalkan majoriti 2/3 di dalam Dewan Rakyat pada pilihan raya umum 8 Mac lalu. Walau bagaimanapun beliau harus bertanggungjawab ke atas prestasi terburuk BN keseluruhannya termasuk di Pulau Pinang yang berjaya ditawan pembangkang.

2. UMNO Bahagian Cheras mengesyorkan agar Majlis Kerja Tertinggi (MKT) mempertimbangkan pengwujudan biro atau mekanisme yang sesuai di setiap Bahagian untuk mengumpulkan segala rungutan serta maklumat akar umbi bagi dinilai dan diambil tindakan selanjutnya dalam usaha kembali memperkasakan parti.

3. UMNO Bahagian Cheras mencadangkan kesemua jawatan tertinggi parti di semua peringkat dipertandingkan bagi membolehkan ahli-ahli parti menterjemahkan pendirian secara jelas mengenai kehendak serta aspirasi mereka terhadap pucuk pimpinan serta halatuju parti.

4. Sistem kuota yang dikuatkuasakan beberapa penggal yang lalu bagi pertandingan jawatan parti perlu dimansuhkan agar UMNO dilihat benar-benar demokratik dan keputusannya akan lebih dihormati rakyat kerana mana-mana calon yang menang akan dianggap sebagai pemimpin sebenar diterima oleh ahli-ahli UMNO sepertimana yang termaktub di dalam perlembagaan asal UMNO.

5. UMNO Bahagian Cheras juga mengingatkan serta mendesak seluruh rakyat Malaysia khususnya orang-orang Melayu dan ahli-ahli UMNO amnya agar sentiasa memelihara, mempertahan dan menghormati kedaulatan institusi Kesultanan Raja-Raja Melayu sepertimana yang termaktub di dalam Perlembagaan Negara selain menghormati prinsip Rukun Negara. Sebarang masalah yang timbul perlu dibincangkan secara tertutup bagi menghormati kedua-dua pihak.

6. UMNO Bahagian Cheras amat kecewa serta kesal dengan motif kenyataan Menteri di JPM (Hal Ehwal Undang-Undang) yang baru dilantik, Y.B Senator Datuk Zaid Ibrahim yang mahukan Kerajaan Barisan Nasional memohon maaf secara terbuka di atas pemecatan bekas Ketua Hakim Negara 20 tahun lalu, serta berharap agar Kerajaan BN perlu memberi pendirian serta reaksi segera bagi mengelak salah faham serta kekeliruan rakyat.

7. UMNO Bahagian Cheras berpendirian pemimpin UMNO khususnya dan BN amnya yang berjawatan Menteri dan Timbalan Menteri serta ahli Parlimen supaya sentiasa turun padang mendekati rakyat dan tidak hanya menyerahkan tugas-tugas tersebut kepada wakil peribadi semata-mata seperti mana yang kebanyakannya diamalkan selain menghentikan sebarang penyalahgunaan kuasa serta sifat sombong dan tidak mesra rakyat.

8. UMNO Bahagian Cheras juga menyarankan setiap pemimpin UMNO parti terbesar orang Melayu yang kini berusia melebihi separuh abad di semua peringkat supaya berani bersuara memperjuangkan kepentingan parti, hak rakyat dan orang Melayu dan tidak sesekali mengamalkan sikap bodek dan mengampu yang jelas melemahkan sama ada organisasi mahupun orang Melayu itu sendiri.

9. UMNO Bahagian Cheras memohon agar Y.A.B Datuk Seri Abdullah Haji Ahmad Badawi yang juga Presiden UMNO dan Pengerusi Barisan Nasional supaya lebih bersedia untuk mendengar rungutan, keluhan, kritikan dan saranan daripada kepimpinan UMNO di semua peringkat termasuk golongan sasaran di peringkat akar umbi jika ingin memastikan UMNO sentiasa kekal subur dan kepemimpinannya dihormati.

10. UMNO Bahagian Cheras juga memohon supaya diadakan satu Perhimpunan Agung Khas dalam masa terdekat ini bagi membolehkan Y.A.B Datuk Seri Abdullah Haji Ahmad Badawi dan barisan kepimpinan Majlis Kerja Tertinggi mendengar secara jelas dan terbuka apa jua kritikan, saranan dan cadangan ahli-ahli parti di peringkat akar umbi ke arah membina semula kemantapan organisasi UMNO secara keseluruhan dan seterusnya meminda perlembagaan untuk memansuhkan sistem kuota di dalam pemilihan parti.

11. UMNO Bahagian Cheras memohon agar dipertimbangkan cadangan supaya menubuhkan satu Jawatankuasa Bertindak Khas ICT yang agresif dan kreatif yang dapat menangani “bloggers” dan “forumers” pada setiap masa dengan cara memberikan “point of view” dan hujah-hujah berdasarkan fakta yang jelas supaya pemikiran rakyat khususnya generasi muda tidak dapat diracuni atau dipengaruhi dengan mudah.

12. UMNO Bahagian Cheras juga menyarankan supaya wakil-wakil perhubungan negeri yang berucap di Perhimpunan Agung UMNO diberikan kebebasan untuk menyampaikan mesej dan suara rakyat di peringkat akar umbi, bukannya membaca teks ucapan yang telah ditapis dan diperhalusi di peringkat jawatankuasa badan perhubungan negeri-negeri.

13. UMNO Bahagian Cheras juga berasa kesal dan kecewa dengan cara pemilihan sesetengah calon pada pilihan raya umum lalu yang didapati ada calon yang tidak diterima oleh rakyat dan masyarakat tempatan, tidak ada kredibiliti dan tidak bersih, faktor inilah yang mencetuskan kemarahan rakyat.

14. UMNO Bahagian Cheras mengesyorkan supaya pemilihan jawatan tertinggi parti sama ada di peringkat Presiden, Timbalan Presiden, Naib Presiden, Majlis Tertinggi (MT) mahu pun di peringkat Bahagian-Bahagian diadakan sebelum berlangsungnya pilihan raya umum untuk mengelakkan ada pihak-pihak mengambil kesempatan.

15. Akibat kekalahan BN yang memalukan di Wilayah Persekutuan pada pilihan raya umum lalu dengan 10 kerusi Parlimen dikuasai parti pembangkang, UMNO Bahagian Cheras meminta Pengerusi Perhubungan untuk bertanggungjawab di atas kekalahan tersebut dan turut mengesyorkan kepada YAB Datuk Seri Abdullah Haji Ahmad Badawi melantik YBM Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor sebagai Pengerusi Badan Perhubungan UMNO/BN Wilayah Persekutuan.

Bertarikh : 25hb. Mac 2008

Terima kasih kepada pihak UMNO Bahagian Cheras yang sedia berkongsi maklumat ini dengan bloger yang tidak seberapa ini.

1 comment:

Kay Own said...

A good 1st step untuk mengembalikan hak ahli memilih pemimpin di semua peringkat jawatan.

Next step should be for semua ahli UMNO memilih pemimpin di kalangan MT dan yang lebih baik kalau semua ahli cawangan memilih pucuk pimpinan bahagian. Sebab kat bahagian dah mulanya berkarat dah.

My Say