Wednesday, August 27, 2008

Kekalahan Teruk BN di Permatang Pauh: Masih Faktor Bapa dan Menantu


Kemenangan besar Anwar bukan disebabkan kononnya politik perkauman amalan UMNO sebagaimana yang dilaungkan oleh Tian Chua dalam salah satu dari ucapan-ucapan kemenangan di Permatang Pauh. Penafian dan ulasan yang sama juga yang telah diperkatakan oleh Professor Shamsul Akmal dari ATMA, UKM di dalam satu rancangan di saluran Astro Awani malam tadi.

Kenyataan Tian Chua itu hanya mendedahkan kecetekan pemahaman politik seorang aktivis NGO yang terlalu mempercayai teori dan asyik dengan idealisma masing-masing.

Dari segi realiti amalan politik tempatan, kekalahan teruk UMNO di Permatang Pauh masih sama seperti yang berlau pada PRU12 baru-baru. Telunjuk jari masih terhala kepada Pak Lah dan Khairy. Kekalahan di Permatang Pauh tidak boleh dipersalahkan kepada orang lain.

Sebagai Ketua Perhubungan UMNO Pulau Pinang dan Permatang Pauh adalah Bahagian bersebelahan dengan Kepala Batas, tanggungjawabnya masih jatuh kepada kepada Pak Lah. Kehadhiran anak menantunya yang tidak ada siapa berani tegur, Khairy telah mengubah hala strategi kempen UMNO. Khairy masih lagi melakukan antik-antik biadap dan angkuh tanpa memahami sensitiviti pengundi tempatan.

Serangan Peribadi

Sebagaimana yang telah saya sebut semalam dan amaran yang telah saya beri beberapa hari sebelum pemilihan, UMNO tidak seharusnya melakukan serangan peribadi terhadap Anwar di "kampung halamannya".

Amalan politik Melayu lebih berupa sentimen dan tidak meletakan prinsip dan ideologi sebagai perkiraan utama dalam sebarang keputusan politik. Hubungan peribadi seperti pertalian keluarga, persahabatan, jiran tetangga, dll. masih sangat penting.

Serangan peribadi dan tuduhan bertubi-tubi tanpa disertakan bukti terhadap Anwar di "kampung halamannya" tidak akan berupaya meninggalkan kesan yang dikehendaki tetapi hanya menimbulkan kebencian. Walaupun BN dapat mengugat sedikit dengan isu liwat, sentimen Permatang Pauh juga yang menyelamatkan dan wrap up keputusan untuk Anwar melalui Imam yang menjadi saksi kepada majlis sumpah Saiful.


Ini ditambah dengan hakikat bahawa Permatang Pauh merupakan lubuk untuk keluarga Anwar dan PKR meletakkan tapak politiknya.

Gerak kempen UMNO berjalan lancar pada mulanya hingga kehadhiran Khairy pada hari Jumaat lepas. Dengan angkuhnya Khairy menyatakan akan menanam kerjaya politik Anwar dan memulakan tekanan terhadap Anwar untuk melakukan Mubahalah. Dia mempersoalkan dana kempen PKR tetapi bagaimana dia mahu menepis jika dijawab mengenai kes saman RM250 juta terhadap UMNO kerana tidak membayar bil PRU12.

Dari situ, satu demi satu pertuduhan bertubi-tubi dilakukan oleh sekutu terkini Khairy ia-itu Nallakaruppan, Ezam dan bekas ahli-ahli PKR yang keluar. Pendedahan mereka boleh membawa kesan tetapi masaalahnya untuk mengubah kesetiaan penduduk kepada Anwar memerlukan lebih dari cakap-cakap sahaja. Tentu tidka membantu apabila stail Ezam berucap menyerupai suara dan intonasi Anwar sendiri!

BN Tidak Mahu Berubah

Pandangan Syed Imran, blog Kuda Ranggi dibawah ini begitu releven:

Seperti biasa, BN tidak mempelajari daripada kesilapan dengan menjadikan pembangunan sebagai umpan untuk mendapatkan undi. Muslihat ini sudah ketinggalan zaman dan tidak lagi diterima oleh rakyat. Walau seluruh Kabinet turun ke Permatang Pauh dengan menaburkan 1001 macam bantuan dan membuat beratus-ratus janji, rakyat tidak mudah terpedaya dan terpengaruh. Ini adalah taktik lapuk.

BN sebenarnya tidak peka dan tidak mengikuti arus perdana berbanding dengan PKR. Kempen yang dijalankan oleh BN tidak berkesan kerana isu yang dibangkitkan lebih mirip kepada serangan peribadi, sogokan pembangunan dan janji-janji manis berbanding dengan isu pokok yang dibawa oleh PKR iaitu kehidupan seharian rakyat.

Kehadiran sebegitu ramai orang UMNO yang berkampung sama ada di Permatang Pauh atau di Bukit Mertajam tidak memberi sebarang kesan kerana kebanykan mereka hanya melepak dan membuang masa. Ketua-ketua bahagian UMNO termasuk yang diterbangkan dari Sabah juga tidak membantu sama sekali. Kehadiran mereka hanya membazirkan wang sahaja.

Oleh kerana terlalu terdesak untuk menang, BN sanggup menggunakan taktik kurang sihat sedangkan kempen yang dijalankan oleh PKR jauh lebih teratur dan berkesan. Isu liwat dan sumpah laknat sebenarnya telah melaknatkan BN sendiri. Kehadiran tokoh-tokoh agama yang dihormati oleh masyarakat Melayu seperti Dr Haron Din, Datuk Seri Haji Hadi Awang, Dauk Seri Nik Aziz Nik Mat dan mantan mufti Wilayah Persekutuan Datuk Hashim Yahya dengan mudah mematahkan serangan BN itu.

Kesimpulan Awal

Kesimpulan awal oleh Dato Abdul Kadir Jasin diterbitkan semula di bawah:

1. Serangan peribadi ke atas Anwar tidak berkesan walaupun BN menggunakan hujah seperti tuduhan liwat dan sumpah laknat si penuduh, Saiful Bukhari Azlan;

2. Gula-gula pilihan raya seperti penurunan harga minyak, janji-janji pembangunan dan buah tangan tidak membantu mengubah pendirian majoriti pengundi yang tidak sukakan BN;

3. Kehadiran begitu ramai pembesar Umno dan BN dengan jentera rasmi dan peribadi mereka ditolak oleh majoriti pengundi;

4. Peranan media massa arus perdana yang terus memberi gambaran yang songsang mengenai keadaan sebenar menyebabkan pemilih jelak dan menolak mesej BN dan pemerintah yang mereka bawa;

5. Kekalahan lebih teruk ini akan memburukkan lagi kedudukan Abdullah sebagai Perdana Menteri, Presiden Umno dan Pengerusi BN;

6. Kewibawaan dan integriti pakatan setia Abdullah-Mohd Najib semakin dicurigai apatah lagi apabila Mohd Najib sendiri menggunakan pilihan raya kecil itu untuk bersumpah dengan nama Allah menafikan keterlibatannya dalam kes pembunuhan Altantuya Shaariibuu.

Mohd Najib bersumpah yang dia tidak kenal dan tidak pernah berjumpa dengan wanita Mongolia itu;

7. Seruan supaya Abdullah segera meletakkan jawatan mungkin memuncak semula dan mungkin berlaku percubaan baru mencalonkan seseorang untuk mencabar beliau dan Mohd Najib pada pemilihan Umno Disember ini;

8. Kemenangan ini memberi mandat yang lebih kuat kepada Anwar untuk memujuk Ahli Dewan Rakyat BN untuk berpaling tadah menjelang Hari Malaysia pada 16 September ini seperti yang diuar-uarkannya;

9. Kedudukan Anwar sebagai MP dan calon Perdana Menteri Pakatan Rakyat bergantung dan tertakluk kepada keputusan perbicaraan kes liwatnya;

10. BN tidak lagi boleh menggunakan kuasa kewangan dan pentadbiran untuk mempengaruhi keputusan pilihan raya kecil. Pada masa lampau, BN umumnya menang pilihan raya kecil malah berjaya merampas kerusi pembangkang; dan

11. Umno akan lebih parah dan mungkin ditolak terus oleh orang Melayu pada pilihan raya umum akan datang jika kepemimpinannya terus mengabaikan mesej yang dihantar oleh pengundi. Ramai ahli parti dan penyokong BN tidak keluar mengundi.

Implikasi Politik

Walaupun saranan Anwar untuk menubuhkan kerajaan baru Pakatan Rakyat pada September 16hb tidak berkemungkinan akan berlaku, kehadhiran Anwar Ibrahim di Parlimen akan menguatkan kedudukan pembangkang di Parlimen dengan kebolehan Anwar berpidato dan berdebat.

Bagaimana UMNO yang kelihatan tidak bermaya untuk menghadapinya di Parlimen? Baru-baru ini, hanya beberapa kerat sahaja yang boleh mempertahankan kritikan terhadap polisi-polisi keistimewaan orang Melayu dan sosial kontrak. Perdebatan di Parlimen tidak sama dengan kempen politik di luar, tetapi persoalannya adakah UMNO berupaya menangkis serangan-serang Anwar dengan UMNO yang tidak bermaya dan ketandusan kepimpinan yang dinamik?

Impak kehadhiran Anwar yang lebih berkesan adalah keupayaannya menarik perhatian media tempatan dan dunia terhdapanya. Dalam dunia informasi sekarang, pendekatan censorship tidak lagi boleh digunakan dan kerajaan tidak berupaya untuk melakukan censorship terhadap Anwar.

Lama kelamaan Anwar dengan agenda populist dan akan dapat mengembangkan lagi pengaruhnya kepada orang ramai dan pengundi-pengundi.

Masa tidak ada lagi. Tandamasa Jun 2010 harus dilenyapkan terus dari impian para-para pembodek UMNO jika UMNO masih mahu terus berkuasa! Jika UMNO dan BN tidak melakukan perubahan, ia akan terus kehilangan kewibawaan di mata rakyat.

Pembaharuan tidak dapat tidak harus bermula dari kepala ke bawah termasuk keanggotaan ahli-ahli Majlis Tertinggi UMNO. UMNO tidak lagi boleh bersifat defensif dan apologis lagi. Pucuk kepimpinan memerlukan satu pasukan yang berwibawa dari imej dan kandungan. Individu-individunya perlu bersih, meyakinkan dari segi keupayaan dan komunikasi, dan bertenaga dan bersemangat.

Jika tidak kepercayaan rakyat akan terus longgar dan pengaruhnya akan terus terhakis.
Beberapa lagi ujian pilihanraya kecil dan negeri - Sanglang, kemungkinan di Kulim Bandar Baru dan Sarawak tahun hadapan - akan dihadapi dan akan terus menguji UMNO dan BN. Sekiranya BN masih dengan cara-cara lapuknya dan prestasi BN tidak dapat diperbaiki, pilihanraya umum ke 13 bakal menutup sejarah "cemerlang, gemilang dan terbilang" UMNO dan BN.

Kuasa yang terlepas tidak mudah diambil kembali. Paling realistik pun makan mungkin maan 10-15 tahun baru boleh BN dapat mengambil balik kuasa. Itu pun tertakluk kepada kerajaan baru Pakatan Rakyat melakukan kesalahan-kesalahan besar dan BN berani lakukan pembaharuan.

5 comments:

Anonymous said...

Tang FIL & SIL ni aku setuju 100%.

Tang AI sbg PM yg hendak mengubah asas-asas utama sistem di Malaysia hari ini, aku 100% tak setuju sampai bila2.

Simple saja. Kalau dgn angkuhnya tak dpt terima sesuatu sistem asas di sesebuah negara spt Malaysia, then you have no business to be here.

Pasai hang boleh pidato berapi2, itu bukan alasannya. Untuk yg baru kenai hang satu dua hari, bolehlah.

Anonymous said...

Elok juga Anwar dalam Parlimen. Setidak2nya mask dan bernanah mana2 MP BN yang korup kena belasah. Wait and See.. Oh ya, saya tidak pernah endorse apa Tian Chua cakap dan saya tidak pernah mahu Anwar jadi PM.

ctannie said...

Kebanyakan penduduk di p pauh, yg ibarat kais pagi makan pagi, kais petang makan petang, jelak dan menyampah tengok orang umno ni berduyun2 datang ke kg mereka, dengan kereta2 mewah, besar dan menjalar .
Adakah kekalahan ini akan membuka mata PM kita yg SENTIASA bermimpi disiang hari, najib yg sering cakap sehingga tersembur air liurnye terkena balik kepipinye. Cakap2 mereka ini yg berkobar2 tidak lagi menyakinkan rakyat susah. Mengaku ke mereka ini bahawasanye kekalahan ini disebabkan oleh orang umno sendiri yang tidak insaf and masih lagi merompak harta rakyat Malaysia? Orang ego tinggi mana nak mengaku,kan? Itu la hakikatnye kita terpaksa terima.
Ini bukan pidato! Setakat pendapat masing2, dan jangan la nak perlekehkan pemunya blog, kerana blog ini HAK NYE , dan kita setakat memberi pendapat tanpa menyinggung perasaan sape2 pon.

Pujangga Ilmu said...

Saya salah seorang daripada pemerhati di Permatang Pauh.

Apa yang Tian Chua cakap pasal politik perkauman ada kebenarannya, dan adalah salah satu daripada beberapa faktor yang menyebabkan kejatuhan BN. Selain itu, serangan peribadi dan taktik kotor yang dilakukan BN berbanding PR yang berkempen mengenai isu seharian rakyat juga memberi sumbangan.

Kalau lihat kempen PR, orang DAP dan PAS saling bertukar bendera parti dan bertukar-tukar biskut dan air masa berjalan sana sini di Permatang Pauh. Mereka bercampur mesra. Ada keharmonian sebenar antara kaum. Tapi masa saya lihat orang-orang BN, orang Melayu kat satu sudut, orang India kat satu sudut.

Cukuplah dengan politik perkauman. Politik perkauman dah mati sudah. Khairy seharusnya sedar bahawa inilah yang harus dikuburkan, bukan Anwar Ibrahim.

Anonymous said...

Ini apa Bro, bukan racist ka.....

More calls for action and police reports against Ahmad

http://thestar.com.my/news/story.asp?file=/2008/9/2/nation/22221307&sec=nation
PETALING JAYA: More parties have come out to criticise Bukit Bendera Umno division chief Datuk Ahmad Ismail for his alleged racist remarks.

MCA vice-president Datuk Ong Tee Keat said Barisan Nasional component parties must take action against any members found to have made racist remarks

He said the failure by any component party to take action against its members could lead the people wrongly thinking that the party too shared the same sentiments.

My Say