Wednesday, June 03, 2009

Buat apa sibuk hal pemilihan PAS?

Gambar dipetik dari blog Nobisha sini

Muktamar PAS akan bermula hari ini dengan Mesyuarat Pemuda PAS dan Dewan Muslimah di Stadium Melawati, Shah Alam. Manakala Mesyuarat induk bermula lusa pada Jun 5hb, 2009.

Tahun ini adalah tahun pemilihan bagi PAS. Berlainan dari tahun lepas yang dianggap sebagai pertandingan antara puak ulamak lawan puak profesyenal, pertandingan kali ini dipanggil pertembungan antara puak “Erdogan” dan “ulamak”. Oleh sebab, puak “Erdogan” dilihat sebagai puak pro-Anwar Ibrahim, maka orang-orang UMNO seolah-olah menyokong puak “ulamak.”

Puak “ulamak” dilihat sebagai sedia berbincang dengan UMNO untuk kepentingan bersama khususnya dalam perkara-perkara membabitkan negara, agama, dan tanpa disebut bangsa. Menurut Nasaruddin dalam temubual dengan The Star sini, ianya adalah menurut persetujuan parti dan telah diindors oleh Muktamar PAS tahun lepas.

Pada pemilihan dahulu, Nasaruddin mewakili kumpulan profesyenal dan juga rapat dengan Anwar Ibrahim. Kini dia mahu di”khenduri”kan oleh puak “Erdogan” kerana mengusahakan kerajaan campuran UMNO-PAS di negeri Perak dan Selangor. Kalau tidak dikacau Ahmad Awang di Perak, Nizar juga Menteri Besar dengan exco dibahagi dua.

Kumpulan “Erdogan” dianggap pro-Anwar kerana mereka lebih cenderung menguatkan formula Pakatan Rakyat. Sedikit sebanyak sebahagian besar kumpulan “Erdogan” adalah kumpulan yang dahulunya kumpulan “profesyenal.” Pertandingan ini juga dipanggil oleh spin doctor pihak “Erdogan” sebagai pertandingan antara kumpulan “pro-UMNO” dan “pro-Pakatan Rakyat”.

Kalau diingat kembali persaingan antara UMNO dan PAS dahulu, UMNO merendah-rendahkan kumpulan ulamak yang menguasai PAS dan seolah-olah menyokong kumpulan profesyenal. Sekarang lain kumpulan yang disokong. Sebenarnya orang UMNO bukan tahu sangat politik PAS kerana tidak pernah ambil berat politik dalaman PAS.

Maka, buat apa UMNO nak sibuk-sibuk sokong kumpulan ini dan itu. Jagalah hal sendiri yang perlu diperbetulkan.

Pemilihan

Ketua Pemuda PAS, YB Salahuddin Ayub akan berakhir peranan sebagai Ketua Pemuda PAS dan penggantinya Nasaruddin Tantawi sudah menang tanpa bertanding.

Rezeki Salahuddin nampaknya agak baik hingga dilaporkan Malaysiakini hampir pasti memenangi jawatan Naib Presiden. Bukan satu kewajipan untuk Ketua Pemuda PAS mendapat tempat otomatik sebagai Naib Presiden.

Dilaporkan bersama dalam laporan Malaysiakini, Tuan Ibrahim Tuan Man yang merupakan dari fraksi ‘ulama’ juga nampaknya hampir pasti mendapat tempat. Dari jangkaan kawan-kawan dalam PAS, tempat kosong ke tiga akan dipenuhi oleh YB Mahfudz Omar. Semasa Mahfudz memegang jawatan Ketua Pemuda PAS, naibnya adalah Salahuddin.

Diperingkat Presiden, kita sudah ketahui YB Tuan Guru Dato Seri Hj Hadi Awang sudah menang tanpa bertanding. Ketua Dewan Ulama sudah dimenangi tanpa bertanding juga oleh Harun Taib.

Tumpuan orang ramai dan pemerhati politik adalah kepada jawatan Timbalan Presiden yang ditanding antara YB Nasaruddin Isa, YB Husam Musa dan Mat Sabu. Pada pandangan ramai, pertandingan ini adalah antara Nasa dan Husam dan bakal dimenangi oleh Husam.

Mat Sabu dilihat sebagai tidak signifikan. Apa yang tidak diketahui ramai, Mat Sabu ini adalah pro-ulamak, dan anti-Anwar Ibrahim. Dialah yang pertama memberi gelaran Al Juburi kepada Anwar Ibrahim dan sampai sekarang masih percaya Anwar melakukan liwat.

Tetapi Mat Sabu pula tidak sokong sebarang kerjasama dengan UMNO. Dia mahu PAS dikuatkan agar rakyat akan ada pilihan antara BN pimpinan UMNO dan PR pimpinan PAS. Dengan demikian, Malaysia mempunyai sistem dua parti yang mana kerajaan boleh berubah-ubah antara dua pakatan parti.

Dalam pertandingan ini, Mat Sabu dilihat hanya memecahkan undi Nasaruddin kerana perwakilan-perwakilan PAS yang condong kepada ulamak akan berpecah tiga.

Perubahan

Sebenarnya PAS sudah banyak berubah dari zaman Haji Hadi mengeluarkan fatwa takfirkan UMNO.

Mereka bersedia berkompromi untuk mengenepikan tuntutan negara Islam buat sementara untuk membina pakatan pembangkang yang mantap. Penekanan mereka kini adalah kepada perkara universal yang ada persamaan dengan kumpulan kepentingan lain. Nampaknya ini telah menjadikan PAS lebih diterima oleh pengundi bukan Melayu.

Ini menyusahkan UMNO kerana formula nisbah pecahan kaum 60:40 untuk Melayu dan bukan Melayu yang menjadi kejayaan mereka kini bakal tidak menjadi lagi. Pengundi 40% bukan Melayu yang menyusahkan PAS untuk menang kini memberi kelebihan kepada mereka pula kerana undi Melayu sudah pecah empat – UMNO, PAS, PKR dan atas pagar.

Kalau difikirkan baik-baik, PAS sekarang adalah PAS yang dahulu dimahukan UMNO. Cuma UMNO agak kecewa apabila PAS yang diharapkan bersatu, apabila keadaan Melayu tersepit, enggan bergabung untuk menubuhkan kerajaan campuran di Selangor dan Perak. Usaha itu dihalang oleh kumpulan “Erdogan” dan individu tertentu dalam kumpulan “ulamak” yang berdendam. Ini yang menjadi retorik UMNO mengecam PAS sebagai tidak mahu bersatu demi bangsa dan agama.

Perlukah UMNO dan PAS bersatu? Kalau ditanya orang-orang lama didua-dua belah pihak, mereka sebelah sana tidak ikhlas dan berusaha secara senyap-senyap untuk mengembangkan pengaruh atau melemahkan (undermine) pihak mereka. Masaalah sebenarnya satu kapal tidak boleh ada dua pihak mahu jadi nakhoda.

Untuk UMNO dan PAS bersatu di bawah satu bendera, hampir mustahil untuk berlaku. Bukan kerana tidak mahu orang Melayu dan Islam bersatu, tetapi realiti politiknya tidak memungkinkan. Pertama, UMNO perlu kewujudan PAS dan mungkin satu hari, PAS memerlukan UMNO sebagai pengimbang dan peranan untuk “check and balance”.
Kedua, UMNO dan Pas sebenarnya mengejar kerusi yang sama.

Ikutkan mana ada bangsa dalam dunia yang bersatu hati, padat dan lengkap? Secara realistiknya, UMNO dan PAS perlu mempunyai satu haluan dalam hal-hal hak dan kepentingan strategik orang Melayu dan Islam.

Mereka perlu sama sepakat mempertahankan kedudukkan ugama Islam, hak istimewa kaum Bumiputera, kedudukkan raja-raja Melayu, tanah rizab Melayu, dan lain-lain perkara yang digelar perkara-perkara kontrak sosial. Jangan pula demi kuasa dan untuk menarik undi, kedua-dua pihak sanggup mengalah dan tolak ansur untuk lakukan apa saja yang dituntut hingga tidak menguntungkan kepentingan kaum dan ummah.

Stail dan penekanan mungkin berlainan dan laungan tidak sama lantang, tetapi hala tuju UMNO dan PAS harus mempunyai pertemuan untuk membentuk insan, masyarakat dan negara yang mana Islam diamalkan dengan acuan yang progresif dan insan Melayu yang dinamik dan glokal. Baca Paneh Miang sini.

Memang sepatutnya UMNO jangan jadi Pak Sibuk dalam hal ehwal dalaman PAS. Bagaimana pun mahu digembar gemburkan PAS oleh UMNO, fraksi-fraksi dalam PAS bukan satu masaalah seteruk dalam UMNO. Mereka boleh merapatkan barisan dan mengenepikan perbezaan falsafah politik peribadi untuk kepentingan parti.

Tidak seperti dalam UMNO yang mana ada fraksi-fraksinya begitu berbeza antara satu sama lain hingga sudah keluar suara dari penggiat dan pemimpin UMNO yang meyerupai falsafah dan agenda pembangkang.

Dengan demikian, UMNO yang perlu bersatu padu dan melakukan perubahan-perubahan yang bukan saja drastik tetapi segera. Jika tidak, BN mungkin hanya dapat mengekalkan kuasa pada PRU13 di Sabah, Sarawak, Johor, Melaka dan Pahang. Fikir dan lakukan segera perubahan. Baca tulisan di MyKMU sini.

"Erdogan"

Jika demikian, wujudkah kumpulan “Erdogan”? Sebagai contoh, Husam Musa dan Khalid Samad dikatakan ahli kumpulan “Erdogan”.

Kedua-dua mereka mempunyai pengelibatan lama dalam PAS. Mungkin Husam dilihat agak rapat dengan Anwar, tetapi dalam debat menentang Khairy, Husam nyatakan mahu tubuh negara Islam. Anwar tidak pernah mahu tubuhkan negara Islam dengan hukum hudud. Tanpa maklumat belakang tabir, Husam hanyalah aktivis dan ahli politik yang mengambil peluang "menggunakan" Anwar Ibrahim.

Manakala, Khalid Samad yang dituduh “Erdogan” oleh Dato Hasan Ali, Ketua Pesuruhjaya PAS Selangor lebih lama dalam PAS dari Hasan Ali. Suatu masa dahulu, Hasan Ali ini adalah operatif Biro Tatanegara (BTN) semasa Anwar memegang jawatan TPM dan menguasai BTN melalui wakilnya, Dato Kamaruddin Kacha.

Tuduhan mengatakan kumpulan “Erdogan” menyokong Anwar sebagai individu pun kurang tepat. Mungkin bagi YB Dato Kamaruddin Jaafar yang bersama di MCKK, ABIM dan UMNO dengan Anwar. Tapi kurang tepat untuk yang lain.

Menurut seorang rakan saya dalam PAS, Anwar pernah memarahi Salahuddin, Mahfiz, Husam, Nasaruddin dan Saifuddin Nasution (PKR tetapi masa itu rapat dengan PAS) kerana menghadiri Majlis Ceramh Tun Dr Mahathir anjuran Malaysia Today bersama Kumpulan NGO-NGO di Taman Melawati pada Jun tahun 2006. Begitu marahnya Anwar hingga terkeluar kata-kata tak akan memafkan.

Bukan mahu mengenepikan isu “Erdogan” sama sekali kerana ianya sesuatu yang mencemaskan kalau difahami. Erdogan adalah pemimpin Islamik Turki. Negara Turki adalah negara Islam sekular yang mempunyai hubungan diplomatik dan sekutu rapat dengan Amerika Syarikat dan Israel.

Jika formula yang realistik adalah sama dengan yang serting disebut oleh Mat Sabu dan Dr Mahathir, UMNO dan PAS perlu dominan dalam pakatan parti masing-masing. Walaupun kelihatan berdiam dan tidak melawan kepada tuntutan-tuntutan parti-parti bukan Melayu, dalam dan luar BN, UMNO tetap dominan.

Masaalahnya PAS tidak pula dominan di dalam Pakatan Rakyat. Sebut negara Islam, DAP boleh melenting dan belasah PAS sesuka hati. Media perdana yang dikuasai bukan Islam boleh berikan liputan.

Ramai merasakan Anwar dan PKR serta sedikit sebanyak DAP tidak kuat organisasi tetapi bergantung keapda kekuatan jentera dan organisasi PAS. Tetapi agenda PAS tidak menguasai Pakatan Rakyat. Anwar pula yang menyerlah sebagai pemimpin PR dan bukan Haji Hadi yang bakal PM Malaysia jika PR memerintah. Nizar boleh dicucuk hidung untuk di heret sana sini oleh pemimpin-pemimpin DAP Perak, Ngeh dan Nga.

Pe'el UMNO?

Sejak berkembang kuasa politik, PAS pun sudah melihatkan pe’el sama dengan UMNO dengan pendedahan politikwang baru-baru ini, walau pun belum ketara sangat. Perkara ini harus dilihat dengan serius demi politik Melayu dan Islam.

Untuk hilang dalam mabuk kuasa ini mudah saja. Seorang bekas Pengarah PKK yang alim boleh menjadi perasuh dalam setahun dengan mula dirosak dengan hanya dirasuah bola golf percuma. Baca blog Cucu Selampit sini berkenaan kerosakkan yang sudah menular dalam PAS.

Satu legi teguran adalah tentang tempat Muktamar PAS diadakan. Kalau dilihat, semua parti-parti politik, mengadakan perhimpunan di kemudahan hotel atau bangunan kepunyaan sendiri. Tidak ada satu parti politik yang mengadakan Perhimpunan Tahunan di fasiliti kerajaan. Muktamar PAS tahun ini diadakan di Stadium Melawati dan tahun-tahun lepas di stadium di Ipoh dan Kuala Terengganu.

Baca juga komen Nobisa mengenai Branding & Repositioning PAS sini.

Sebagai penutup kata rencana yang mengupas politik Melayu masakini, selagi PAS belum dominan dalam Pakatan Rakyat dan tidak garenti memegang jawatan Perdana Menteri bila menang, bukankah baik kita teruskan UMNO saja yang memerintah?

Saja mengusik. Selamat bersidang, PAS.

10 comments:

org memali said...

Rakyat perlu mengambil tahu sbb ia ada kaitan secara terus dgn rakyat . Parti ini adalah sebahagiannya adalah pemerintah .dan yg diperintah adalah rakyat ,bukan ahli PAS sahaja . Jadi kena ambil tahu . Rakyat mahu lihat PAS berkuasa di atas usaha mereka sendiri . Bukan di dokong olih kumpulan2 profesional tapi kumpulan2 yg bolih dipercayai dan mempunyai akhlak yg lebih baik .Soal kerjasama dgn UMNO ,itu masa yg akan menentukan . UMNO adalah parti yg didokong olih ahlinya dan tidak perlu tandatangan atau perjanjian bagi ahli UMNO utk menyokong PAS sekiranya rakyat rasakan perlu berbuat demikian . Rakyat mengambil berat dalam pemilihan ini dan kumpulan profesional adalah di tolak olih sebahagian pemerhati yg terdiri dari rakyat biasa dan mereka ini bukan ahli PAS . Golongan2 ini mudah dicari kerana kerajaan sekarang dan terdahulu telah menghasilkan begitu ramai sebegini dan kemana mereka pergi adalah sama shj . Bagaimanapun undi adalah dari kalangan ahli PAS ,jadi pilih lah yg mana sesuai mengikut konsep perjuangan PAS itu sendiri dan saudara perlu ingat , yg akan memilih pemerintah adalah rakyat bukan ahli PAS shj .

shariff said...

Bro!!
Pertandingan jawatan timbalan presiden should be interesting... Husam mendapat pencalunan terendah!!!
Agak agak nya pendekatan apa yang akan digunakan olih Husam untuk menang....mungkin kah ia akan meminta 'advise' dari KJ? atau pun Anwar? Hehehe...kita tunggu dan lihat

Anonymous said...

kepada orang memali saudara perlu ingat juga perjuangan pas adalah utk orang islam bukannya utk cina.cth peristiwa d perak asal pas beria ia mempertahankan siapa yg berkuasa sedangkan kaum lain sibuk berdiam diri.yg peliknya lawyer nizar majoriti cina mana org islam. ada tapi time nak kalah

Anonymous said...

Voice,

Just to caution those excited delegates to the 55th PAS Muktamar. Beware of the campaign speeches of the Erdogan groups that are to be larded with the sweet promises of heaven and earth.

Prof Awe Kecik

Anonymous said...

Voice,

You Know Why Voice??

Husam said that PAS will replace UMNO soon!!

Those UMNO Warlords are Terrified that they are going to lose their Gravy Train!!

Of course it may not mean much to you as you only get to taste the dribbles....


Joe Black

shamshul anuar said...

Saudara saudari,

Muktamar PAS seperti juga Perhimpunan Agung UMNO memang menarik minat setiap Melayu dan juga pemerhati politik dalam dan juga luar negeri.

PAS adalah parti Melayu kedua terbesar . Oleh itu tentulah UMNO ambil berat tentang apa yang berlaku dalam pAS. seperti juga PAS yang meneliti calon Presiden UMNO dan Timbalan Presiden.

Janganlah buruk sangka dengan Utusan Mlaysia hanya kerana melaporkan persaingan sengit dalam PAS.

Bukankah Harakah juga melaporkan sebagai berita utama Perhimpunan agung UMNO . Tidak cukup dengan berita utama ditambah pula dengan cerita panas yang PAS kutip dari RPK walaupun tidak tahu sahih atau tidak. Yang penting RPK cakap sesuatu tidak baik pasal Najib , jadi elok diletak dimuka depan Harakah. Samada tuduhan RPK ada bukti tak penting. Janji ini peluang memaki hamun Najib.

Marah benar pemimpin PAS pada UMNO. Benci benar PAS pada UMNO walaupun ada jadi jutawan kerana dapat kontrak dari Kerajaan UMNO.

Saya ada tanya beberapa orang PAS kenapa langsung tak mahu berbaik( tak semestinya bekerjasama kerana PAS anggap ini satu dosa) dengan UMNO. Kenapa kasar benar bicara PAS pada UMNO.

Kenapa Ahmad awang menolak tawaran UMNO untuk tubuh Kerajaan campuran di Perak walaupun UMNO sanggup bagi kerusi MB. Kenapa?

Pada 1981 PAS menuduh Dr Mahathir sengaja ubah waktu Malaysia Barat supaya seiring dengan Semenanjung untuk memendekkan waktu Maghrib untuk orang Islam di Sabah Sarawak.

Hari ini tiada orang PAS berani cakap merapu sedemikian. Pernahkah PAS minta maaf kerana fitnah Dr Mahathir.

Jujurkah PAS bila menerima Anwar bila Mohammad Sabu pada 1998 mencabar Dr Mahathir memecat Anwar kerana salah laku seks.

Kenapa PAS sekarang sanggup bekerjasama dengan orang sedemikian.

Orang PAS ketika pemerintahan UMNo di Selangor menuduh Dr khir sebagai munafik di Masjid Zaharah Tmn Kosas Ampang hanya kerana cuti umum hari Ahad, bukan Jumaat. Adakah Nizar juga munafik kerana cuti umum di Perak juga hari Ahad.

PAS banyak bercakap pasal Islam. Malangnya itulah yang banyak PAS buat. Tetapi tindak tanduk PAS banyak tak cerminkan Islam.

Kalau saya jadi PesuruhJaya PAS Perak , saya akan sambut tawaran Tajol rosli untuk bentuk Kerajaan . Apa lagi saya impikan. Jawatan MB pun UMNO sanggup bagi.

Apa yang hebat sangat Nizar jadi MB bila semua orang tahu yang berkuasa ialah DAP.

Kenapa berdiam diri bila Islam dihina. ADUN DAP skudai tuduh Malaysia amalkan apartheid. Apa PAS cakap? Diam saja lihat fitnah DAP.

Tidak pernahkah Nik aziz terfikir yang DAP mungkin tidak jujur pada PAS. Tentulah PAS yang ikut telunjuk DAP lebih disenangi dari UMNO yang tak tunduk pada DAP.

Kritiklah UMNO. Tetapi janganlah fitnah. Saya rasa masalah terbesar PAS ialah ia riak. Ia rasa ia sentiasa lebih alim dari UMNO.

Nasaharudin berebut jadi imam ketika jumpa Tun Khalil ( ketika itu Setiausaha Agung UMNO) . Nampak benar politikkan ugama.

PAS seperti UMNO wajar cerminkan diri. Berhati-hatilah bila terlalu berbaik dengan DAP atau PKR yang lansgung tak fikir pasar Islam.

Dan PAS juga ada salah sehingga ditendang dari BN 3 dekad lalu. Nik aziz berbohong bila dia kata yang PAS dikhianati UMNO. Ketika itu kedua-dua parti UMNO dan PAS buat salah.

tebing tinggi said...

adalah lebih berfaedah jika umno dudok melihat diri sendiri, dimana silap, dimana salahnya ,sokongan orang melayu begitu merosot akhir-akhir ini daripada mencampori urusan orang lain.
kalau dahulu rata-rata orang mengangap umno begitu gah dan wangi tetapi sekarang begitu burok dan busok,adakah melayu sekarang sudah tidak pandai menilai atau melayu sekarang sudah lupa akan jasa-jasa umno kapada mereka dan haruskah mereka ini dipersalahkan atau umno itu sendiri mengakui ,kesilapan dan kelemahan dan bertndak bijak memperbetulkanya bagi meraih kembali sokongan serta membina semula kekuatan diri.
gabongan umno dan pas adalah satu-satu yang sangat baik sekiranya mungkin, tetapi sekiranya umno sudah dilihat lemah, secara logiknya kekuatan tidak akan dapat dibena dengan gabongan yang lemah.

Akhramsyah Muammar Ubaidah bin Sanusi said...

Bro. Pada hemah saya, Husamlah yang patut disokong UMNO. Hujahnya di sini:

http://thoughtsintangents.blogspot.com/2009/06/husam-musa-pilihan-terbaik-untuk-umno.html

shamshul anuar said...

Saudara Tebing Tinggi,

Bila masa pula UMNO campuri urusan PAS. Inilah masalah PAs sebenarnya. Bila ada Masalah dalam parti sendiri, sibuk salahkan UMNO.

Kononnya berhati-hati dengan calon yang disenangi UMNO. Mungkin PAS terlupa yang imej PAS agak terhakis dengan sikap terlalu baik melampaui batas terhadap DAP . Nasihat Mufti ditolak tepi.

Bukan salah berbaik dengan DAP. Tetapi menganggap mereka sama seperti saudara seughama adalah salah. Muslimat PAS menangis akan nasib Elizabeth wong. Tidak pula menangis mengenangkan nasib janda yang ditinggalkan lelaki Melayu yang mengabaikan tanggungjawab bila berkahwin baru.

Memang UMNO pun ada silap. Macam PAS banyak juga. Untungnya PAs boleh bersembunyi di belakang ugama bila bersalah.

Saya tabik Dr Mahathir kerana sanggup hilang populariti dengan memecat Anwar Ibrahim.

Kebenaran akan terserlah satu hari nanti. Inilah pemimpin yang PAS sanggup terima. Ramai orang PAS merah muka bila saya bertanya tak ingatkah apa yang Mohd Sabu cakap pasal Anwar.

Orang PAS walaupun berbuih cakap pasal ugama pandai juga ambil sekerat ucapan Dr Mahathir untuk tunjukkan Dr Mahathir zalimi Anwar.

zacharias said...

PAS bayar lah guna fasiliti stadium mahupun apa tempat muktamar.

UMNO sahaja pakai kemudahan awam buat macam harta sendiri. Guna balai raya dsb

My Say