Berakhirlah pelbagai isu-isu yang timbul mengenai komposisi bangsa, pengecualian nama tertentu dan ketiadaan jawatan Timbalan Menteri Besar. Formula ini diterima oleh pihak istana dan parti-parti komponen - PKR, DAP dan PAS. Sampai masa untuk memenuhi manifesto dan janji-janji mereka.
Lazimnya selama hampir 50 tahun, Barisan Nasional mengeluarkan Manifesto dan janji-janji dan pihak parti lawan akan memantau janji-janji ini. Mana-mana janji yang tidak ditunai atau tidak mencapai kepuasan pihak lawan akan ditimbulkan sebagai isu politik. Kerajaan baru, yang mana nama pasukan masih samar-samar antara Barisan Alternatif atau Barisan Rakyat atau Perpaduan Ummah, harus diperingati akan janji-janji yang telah ditawarkan.
Sebagai pihak pembangkang di Dewan Undangan Negeri Selangor, Barisan Nasional bertanggungjawab untuk memantau janji-janji yang telah dibuat pihak lawannya. Jika tidak ditimbulkan oleh Barisan Nasional, ia bakal dituntut oleh rakyat kelak. Di zaman siber, apa yang dikata akan kekal diingati selama-lama adanya portal dan blog yang mengarkibkan janji-janji tersebut di dalam pengkalan maklumat.
Samada rakyat sedari atau tidak akan janji-janji mereka, kerajaan baru yang telah diberi mandat oleh rakyat harus diberi peluang untuk melaksanakan janji-janji mereka. Tidak ada masaaah juga untuk memberi mereka masa beberapa bulan untuk merancang. Namun janji-janji mereka untuk negeri Selangor tetap janji yang harus dikota dan rakyat menjadi penentu. Manifesto mereka adalah berikut:
Sosial dan Kebajikan Rakyat
- Membuka tabung permulaan RM100 bagi setiap anak kelahiran Selangor.
- Memberi bantuan RM75 sebulan bagi setiap anak yang dihantar ke nurseri.
- Memberi bantuan RM50 sebulan seorang bagi pendidikan pra-sekolah.
- Memberi hadiah RM1000 kepada setiap anak Selangor yang mendapat tawaran ke Universiti.
- Memberi bantuan dan biasiswa pelajaran untuk anak Selangor.
- Memberi bantuan kepada anak-anak muda untuk mendirikan rumahtangga.
- Membuka Pusat Sukan Mini dan Rekreasi bagi belia.
- Mencarum takaful bernilai RM2,500 untuk warga emas, orang kurang upaya dan anak yatim.
- Memberi elaun ibu tunggal yang layak.
- Memberi elaun khas suri rumah yang memilih untuk menjaga sepenuh masa anak-anak kecil mereka.
- Membantu setiap rakyat Selangor untuk mendapatkan kediaman sendiri.
- Mewujudkan institusi menyelaraskan hal ehwal agama selain Islam.
- Memberi wanita bekerja 90 hari cuti bersalin.
- Memberi 14 hari cuti kepada suami yang isterinya bersalin.
- Memberi sebulan cuti kepada wanita yang kematian suami.
- Menyediakan perubatan percuma untuk warga 65 tahun ke atas.
- Menyediakan premis perniagaan yang cukup.
- Memberi bimbingan perniagaan kepada golongan belia dan wanita muda.
- Memberi galakan kepada belia dan wanita muda berniaga dengan sewa minima atau hanya perlu membayar air dan elektrik untuk dua tahun pertama.
- Mengurangkan cukai pintu rumah kediaman sebanyak 20 peratus dan cukai premis komersial sebanyak 10 peratus.
- Memberi bekalan air kegunaan domestik secara percuma bagi 20 meter padu pertama setiap bulan.
- Menjalankan program bagi membolehkan rakyat miskin terutama petani dan nelayan mendapatkan pendapatan yang lebih tinggi di atas garis kemiskinan.
- Menguatkuasa syarat perlindungan alam sekitar bagi mengelakkan bencana seperti tanah runtuh dan banjir.
- Menggantikan sistem rukun tetangga dengan sistem baru yang lebih berkesan.
- Mewujudkan pusat khidmat sehenti bagi menangani kes jenayah dan keganasan terhadap wanita.
Kerajaan sebelum ini berjaya memulihkan syarikat-syarikat milik kerajaan negeri dari kecuaian pengurusan zaman Menteri Besar Tan Sri Muhammad Muhamamd Taib. Syarikat-syarikat ini sudah dapat dipulih keuntungannya dan tahap rizab sudah mencapai RM1 billion. Proses mengeluarkan rizab sebagai dividen tidak mudah. Disamping itu, rizab syarikat adalah untuk penggunaan masa depan syarikat dan bukan untuk menampung perbelanjaan operasi tahunan negeri.
Yang lebih penting, Tan Sri Khalid Ibrahim sudah menyatakan pendirian untuk memansuhkan Dasar Ekonomi Baru (DEB) dari dalam amalan pentadbirannya. Walaupun DEB sudah dimansuh pada tahun 1990 dan digantikan dengan Dasar Pembangunan Negara, mungkin apa yang dimaksudkan Tan Sri adalah tindakan afirmatif untuk membantu Bumiputera.
Walaubagaimana pun, ketiadaan polisi DEB tidak harus dijadikan alasan untuk tidak memperakui tindakan lanjutan pasca-DEB tidak lagi tertakluk di bawah Artikel Perlembagaan 153. Sebarang langkah yang ingin dilakukan seharusnya tidak bertentangan dengan pengisian dan semangat undang-undang Perlembagaan ini serta prosedur yang telah ditetapkan, termasuk yang melibatkan Majlis Raja-Raja.
Namun demikian, Tan Sri harus diberi peluang mengkotakan konsep "merakyatkan ekonomi" yang sering diperkatakan di dalam ucapan-ucapannya dan blog-blog penyokong PKR. Mungkin seorang produk DEB, seperti Tan Sri, ingin membuktikan hipotesis pemansuhan “DEB” atau semangatnya boleh melahirkan sistem yang tulus, masyarakat yang bersatu, pengagihan yang adil dari segi sosial dan pencapaian-pencapaian orang Bumiputera yang jauh lebih baik.
Muga nasib Tan Sri baik! Kami akan membantu memantau. Syaratnya jangan gagal, kerana apa yang telah dilepaskan tidak mudah untuk diperolehi balik. Jangan pula di satu hari, pentadbiran Tan Sri mengikut tabiat PM sekarang yang hanya pandai berjanji dan apabila gagal, hanya menyuruh pihak lain membantu menyalah-nyalahkan yang lepas dan menuding jari kepada pihak-pihak lain.
1 comment:
Salam Pak Voice:
Setuju dengan pandangan Pak.
Kerajaan-kerajaan negeri (samada BN atau BR) mesti sedaya upaya mengotai janji-janji mereka dgn sebaik mungkin. Kita sedia maklum bukan semua yg mampu mereka kotakan tetapi jika pada tahap 75% sudah tentu akan memuaskan hati rakyat2 negeri2 mereka.
Mereka mesti di pantau dan pada akhir penggal nanti rakyat akan mengadili mereka semula. jika rakyat berpuas hati mereka akan di pilih semula.Jika tidak mereka akan di tukar ganti atau di kurangkan majoriti seperti yang baru berlaku.
saya amat berharap dgn apa yg berlaku pada PRU 12 ini akan menjadi iktibar bagi semua kerajaan negeri dan persekutuan bahawa rakyat sudah tidak boleh lagi di perkotak-katikan lagi.
Semoga akan lahir satu sikap baru dalam wakil-wakil rakyat malaysia utk memacu negeri dan negara ke arah yg lebih baik.
Post a Comment