Sunday, September 08, 2019

Memanggil, memprorog dan membubarkan Parlimen


KOLUMNIS

Kuasa Agong menurut Perkara 55

08 Sep 2019
Sinar Harian

ZAINUL RIJAL ABU BAKAR

BARU-BARU ini Perdana Menteri Britain, Borris Johnson telah mendapat pekenan daripada Ratu Elizabeth untuk menggantung Parlimen Britain bagi membolehkan beliau melakukan sesuatu perkara berkaitan dengan Brexit di mana rakyat Britain telah menyuarakan hasrat mereka melalui referendum untuk Britain keluar dari Kesatuan Eropah.

Dari sudut perundangannya menggantung Parlimen seperti ini disebut sebagai prorog. Prorog adalah suatu situasi di mana Ketua Negara menggantung Parlimen tanpa membubarkan Parlimen itu sendiri. Saya cuba mencari satu kalimah jelas mentafsirkan prorog ini tetapi tidak ada yang tepat, yang paling hampir adalah mengantung Parlimen. Mungkin disebabkan itulah Perlembagaan Persekutuan mengekalkan istilah prorog ini dan tidak menggunakan mana-mana kalimah lain.

Di Malaysia pula situasi ini juga ada disebut di dalam Perlembagaan Persekutuan. Perkara 55 Perlembagaan Persekutuan menyatakan seperti berikut:

Perkara 55. Memanggil, memprorog dan membubarkan Parlimen.

(1) Yang di-Pertuan Agong hendaklah memanggil Parlimen dari semasa ke semasa dan tidak boleh membiarkan enam bulan berlalu antara persidangan yang akhir dalam satu penggal dengan tarikh yang ditetapkan untuk mesyuarat pertamanya dalam penggal yang berikutnya.

(2) Yang di-Pertuan Agong boleh memprorog atau membubarkan Parlimen.

(3) Melainkan jika dibubarkan terlebih dahulu, Parlimen hendaklah terus berjalan selama lima tahun dari tarikh mesyuarat pertamanya dan selepas itu adalah terbubar.

(4) Apabila Parlimen bubar suatu pilihan raya umum hendaklah diadakan dalam tempoh enam puluh hari dari tarikh ia bubar dan Parlimen hendaklah dipanggil bermesyuarat pada suatu tarikh yang tidak lewat daripada satu ratus dua puluh hari dari tarikh itu.

(5) Sesuatu Rang Undang-Undang yang belum diputuskan di dalam Parlimen tidaklah terluput disebabkan oleh pemprorogan Parlimen.

(6) (Dimansuhkan).

(7) Sesuatu Rang Undang-Undang yang menantikan perkenan Yang di-Pertuan Agong di bawah Fasal (4) atau Fasal (4A) Perkara 66 tidaklah terluput disebabkan oleh pemprorogan atau pembubaran Parlimen.

Kuasa mutlak 

Mengikut Perkara 55 Perlembagaan Persekutuan, hanya Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong sahaja boleh memanggil Parlimen untuk bersidang. Baginda juga mempunyai kuasa mutlak untuk menghenti atau pun membubarkan Parlimen. Justeru, Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong diperuntukkan oleh Perlembagaan untuk menetapkan persidangan Parlimen dalam tempoh masa enam bulan di antara persidangan yang lepas dalam penggal terakhir dan tarikh mesyuarat pertama dalam persidangan penggal akan datang.
Walau bagaimanapun, peruntukan mengenai memprorog Parlimen ini masih belum diuji di mahkamah Malaysia dan tiada penghakiman telah dibuat mengenainya sebelum ini. Namun kuasa tersebut ada disebut di dalam Perlembagaan Persekutuan khususnya Perkara 55. Cuma bagaimana cara ia dilakukan masih belum ada duluan yang menjadi panduan di Malaysia. Jika Parlimen diprorog, pilihan raya umum tidak perlu diadakan kerana Parlimen masih lagi ada tetapi digantung sahaja.

Persoalan juga akan timbul tentang tempoh prorog tersebut dan adakah Parlimen terbubar setelah tamat hayatnya selama lima tahun walaupun dalam tempoh prorog berkenaan. Kesemua ini perlu diteliti dan dikaji kerana implikasi serta ramifikasinya sangat besar kepada negara. Persoalan lain juga timbul sama ada dalam mengisytiharkan Parlimen diprorog adakah Yang di-Pertuan Agong memerlukan nasihat Perdana Menteri terlebih dahulu?

Bagi pengkaji undang-undang situasi ini bolehlah diteroka dengan lebih tuntas lagi sekiranya prorog ini berlaku di Malaysia. Saya mengakui memang terlalu sedikit teks kajian yang mengulas isu prorog Parlimen ini kerana mungkin ia belum pernah terjadi di Malaysia.

* Datuk Zainul Rijal Abu Bakar ialah Presiden Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia

5 comments:

Prince Righty 1 said...

Bubar lagi bagus. Makin dibiar, makin membarah negara ni. ๐Ÿ˜—

Hang Man said...

Daulat Tuanku!..terserah kepada kebijaksanaan DYMM Seri Paduka Baginda Yang di Pertuan Agong..kami rakyat marhean patuh dan setia di belakang Tuanku..Ampun Tuanku!

Unknown said...

Bubar je parlimen ph penipu buat apa nak bagi duduk lama2 atas habiskan duit orang melayu.. Baru fhm skrg kuasa mutlak untuk bubar parlimen adalah yang di pertuan agong hbis tu orang tua nyanyuk tu berlagak sangat macam kuasa mutlak tu dgn dia semua..

Unknown said...

Rakyat semua meyokong jika Yang DiPertuan Agong bubarkan saja parlimen .

pendekartua said...

Prorogue pernah terjadi di Malaysia selepas 13hb Mei 1969 bila Parliamen digantung hampir 2 tahun

My Say