Monday, September 22, 2008

Sepintas Lalu Pemikiran Ku Li


YBM Tengku Razaleigh Hamzah mengadakan Dialog Bersama-sama Blogger dan Media diikuti dengan Majlis Berbuka Puasa di rumahnya di Jalan Langgak Golf, Kuala Lumpur semalam September 22, 2008.

Dialog yang memakan masa satu jam setengah bukan hanya berlegar mengenai politik dan penawaran dirinya untuk jawatan Presiden bagi pemilihan UMNO pada bulan Disember, tetapi meliputi isu-isu semasa, ekonomi, keselamatan dan antara kaum yang melanda negara.

Jurublog hanya ingin melaporkan perkara-perkara yang dirasakan utama dan yang tidak disentuh oleh jurublog lain dan media setakat ini. Dari dialog semalam, boleh disimpulkan Ku Li menyarankan perlunya satu usaha holistik perlu dilakukan untuk menangani cabaran masakini yang amat besar dan kritikal, dan perlu ditangani segera.

Usaha itu harus melibatkan parti UMNO, gabungan Barisan Nasional, antara parti-parti politik dan peringkatkan kebangsaan, termasuk khususnya perlu penglibatan lebih bermakna Sabah dan Sarawak.

Ditanya mengenai beliau menentang Abdullah Badawi untuk jawatan Presiden UMNO, beliau menjelaskan bahawa beliau tidak menentang Abdullah. Samada Abdullah atau bekas saingan politiknya, Dr Mahathir atau Musa Hitam, atau pun pemimpin-pemimpin pembangkang seperti Nik Aziz, Lim Kit Siang, Karpal Singh, Anwar Ibrahim dan lain-lain adalah semua kawan-kawan dan sahabat beliau.

Dengan demikian, beliau tidak menentang sesiapa tetapi hanya "menawarkan diri" untuk jawatan Presiden secara demokratik. Katanya, "I have no baggage. I can hold my head high. And walk without flinching right or left."

Beliau mengulang mesej kempennya bahawa kuasa parti perlu kembali kepada ahli dan akarumbi untuk mengurangkan cengkaman pucuk kepimpinan ke atas parti. UMNO perlu mengembalikan demokrasi dan amalan parti perlu mengikut perlembagaan. Beliau menyentuh mengenai rancangan peralihan kuasa yang beliau anggap sebagai "unconstitutional".

Ditanya mengenai perkembangan terbaru di mana beberapa jemaah kabinet Menteri yang menuntut Perdana Menteri Abdullah mengundurkan diri, beliau menyatakan Menteri-Menteri tersebut perlu mengundur diri dahulu.

Beliau menerangkan bahawa menurut prinsip Perdana Menteri adalah "one among equal", jemaah Menteri adalah pilihan Perdana Menteri dan satu-satu keputusan adalah keputusan kolektif. Jika ada Menteri yang mempersoalkan keputusan dan persetujuan Kabinet, Menteri tersebut harus mengundur diri.

Jika kepimpinan Perdana Menteri itu dipersoalkan maka ini bermakna Menteri tersebut mempersoalkan kewibawaan seluruh Kabinet.

Manakala berkenaan pertukaran portfolio antara Pertahan dan Kewangan antara Najib dan Abdullah, beliau tidak melihat apa-apa dari pertukaran tersebut.

Menurutnya ini satu peningkatan dan pertambahan tanggungjawab untuk Najib kerana portfolio Kewangan lebih tinggi peranan dalam pentadbiran kerajaan.


Bila ditanya mengenai perancangan-perancangan beliau, beliau enggan memberi penerangan terperinci mengenai rancangan-rancangan pemulihannya kerana "takut dipancung".

Beliau hanya menyampaikan hasrat beliau untuk memulihkan kembali UMNO dengan menghidupkan demokrasi dan membawa bakat-bakat baru dari orang-orang muda dan ide-ide baru. Selepas itu, katanya Barisan Nasional perlu diperkemas dan diperkuatkan kembali.

Seterusnya satu usaha konsolidasi dan kemaskini yang melibatkan institusi-institusi negara, kerajaan, parti politik, masyarakat dan rakyat perlu dilakukan.

Menurutnya pentadbiran yang ada seolah-olah tidak menyedari persoalan di bawah antara rakyat. Beliau merasakan perlu satu usaha reform yang meletakkan struktur kerajaan yang bebas dari rasuah dengan mengurangkan kuasa budi bicara (discretion) eksekutif and meletakkan jawatankuasa dalam beberapa peringkat kerajaan sebagai penentu polisi-polisi dan keputusan-keputusan penting.


Kebanyakkan yang hadir menyuarakan kerisauan dan keresahan kepada keadaan ekonomi terkini.

Ku Li menyatakan pengurusan ekonomi tidak ada halatuju dan tidak fokus. Beliau mendedahkan seorang pengurus dana, yang menguruskan dana pelaburan sebesar US$300 billion, menganggap taraf Malaysia lebih teruk dari Phillipines.

Menurutnya, dana yang keluar hanya akan mengkaji semula status Malaysia dalam enam bulan selepas pemilihan bukan Disember.

Selain dari pengaliran keluar dana ke luar negara, masaalah "capital flight" dimana dana dalam negara meninggalkan negara pun meruncingkan juga.

Menyentuh mengenai krisis kewangan antarabangsa, halatuju krisis ini tidak dapat dijangka kerana dunia tidak pernah mengalami krissi demikian besar. Beliau merasakan ini adalah keruntuhan sistem kapitalis dunia.

Beliau merasakan pendirian Menteri Kewangan II bahawa ini tidak membawa impak kepada negara adalah tidak benar sama sekali. Sebagai negara perdagangan, Malaysia pasti terjejas dalam beberapa bulan dari impak "meltdown" institusi-institusi kewangan barat.

Berkenaan Dasar Ekonomi Baru yang sering hangat dibincangkan, beliau menyatakan DEB asal tidak mempunyai elemen perkauman. Dalam dokumen asal DEB, ia tidak menyebut kaum Melayu atau seterusnya.

Perkara ini menimbulkan reasksi berbeza-beza dari yang hadhir. Namun, Ku Li menyatakan bahawa DEB bukan polisi yang salah dan patut dihapuskan sama sekali kerana kelemahan implimentasi.

Beliau pernah menyatakan sudah sampai masa untuk satu usaha mengemaskini dan membetulkan kembali arah tuju DEB.


---------------------------

Lain-lain liputan oleh blogger boleh didapati di blog Dunia Tiger, Kuda Ranggi, dan TV Smith. Gambar-gambar pertemuan tersebut boleh diperolehi di Minaq Jinggo.

Jurublog ini berharap agar ada sesi-sesi yang melibatkan calun-calun Presiden UMNO yang lain, kemungkinan Dato Seri Najib Tun Abdul Razak dan Dato Seri Abdullah Ahmad Badawi.

4 comments:

Anonymous said...

Kadang-kadang Ku Li ni macam gila glamour pun ada juga. Selalu sangat nak menonjolkan diri. Mentang-mentanglah Dr Mahathir beri sokongan pada beliau. Tapi dalam berani-berani beliau, ada juga takutnya...takut kena 'pancung'! Siapa yang nak 'pancung' beliau?

Anonymous said...

sebelum ini dia tidak bersuara.naumn sejak kebelakangan ini dan sejak mendapat sokongan dari Tun Dr. Mahathir makin lantang pulak dia.

ini pastinya untuk meraih sokongan dari akar umbi untuk minta dicalonkan bagi jawatan presiden.dah beberapa kali Ku Li mencuba dan kali ini dia cuba lagi.

berhasil atau tidak cubaan yang mungkin untuk yang terakhir kali ini?

Unknown said...

memang lama gila Ku Li mencuba untuk dapatkan kerusi Presiden UMNO tapi selalu saja kalah.

bak kata imran mohd zahir,ini kiranya now or never buat Ku Li.usia dia semakin meningkat dan pastinya selepas ini akan datang pula muka baru.

tapi tak tahulah jika dia boleh dapat sokongan atau tidak.rekod dia yang sering kalah sebelum mungkin akan memberi kesan juga ke atas sokongan.

zeme said...

Salam,

Pemikiran YBM Ku Li jelas mempunyai skop yang lebih meluas, pemandangan ke arah kesan kehadapan seperti juga pemikiran Tun Dr Mahathir. Pemikiran sebegini yang diperlukan dalam pentadbiran negara kerana seseorang pemimpin bukan hanya perlu pandai menyelesaikan masalah tetapi perlu bijak merencana sebarang kemungkinan akan dihadapi samaada baik atau buruk.

Kewibawaan bakat kepimpinan dan kebijaksanaan pemikiran YBM Ku Li jelas terserlah sejak beliau seusia muda awal lagi. Beliau pernah jatuh dalam dunia politik, namun pemikiran beliau tetap subur. Ini baik, kerana pemimpin yang mementingkan perjuangan agama, bangsa dan tanahair tidak akan mudah "give up" untuk memperjuangkan apa yang seharusnya diperjuangkan meskipun dilabel sebagai gila glamor atau menonjolkan diri. Pemimpin yang boleh digelar gila glamor atau menonjolkan diri adalah jenis pemimpin yang tidak mempunyai mekanisme asas perjuangan yang terurus sebaiknya.

Wasalam.

My Say