
Sejak seminggu dua ini, kencang perkhabaran mengatakan Dato Hishamuddin kini mahu mengekalkan jawatan Ketua Pemuda UMNO. Ini bermakna Dato Hisham telah mengubah pendiriannya yang mahu mengundur yang telah diumumkan dan membatalkan rancangan bertanding untuk jawatan Naib Presiden UMNO.
Desas desus mengatakan perubahan pendirian ini diatur oleh Khairy dengan meminta kuncu-kuncunya memujuk Hisham. Dato Hisham dikatakan akan mengubah organisasi Pemuda UMNO dan ini adalah bayangan kepada rancangannya untuk mengubah pendirian.
Kebencian Akar Umbi

Kemungkinan besar dia mahu kekal sebagai Naib Ketua Pemuda dan mengatur langkah kepada pemilihan yang akan datang. Namun begitu, dia tidak sedia untuk berketuakan Dato Mukhriz atau Dato Dr Khir Toyo.
Samada Mukhriz atau Dr Khir, percayalah Pemuda UMNO akan selamat di bawah kepimpinan mereka. Kedua-dua mereka lebih berupaya memimpin Pergerakan Pemuda UMNO. Mereka berdua mempunyai keupayaan dan pengalaman tersendiri, kedewasaan dan kematangan dalam tindakan, dan dihormati ramai. Bukan seperti Khairy!
Kebencian akar umbi UMNO dan rakyat terhadap Khairy begitu ketara. Mereka sudah faham percaturan politik Khairy yang jahat, campur tangannya di dalam senarai calun dan pemilihan kabinet menteri, dan sabotaj yang dilakukan terhadap pesaing-pesaing politiknya semasa PRU12 dan sepanjang penggal lepas.
Kini Khairy takut untuk turun berkempen dan menghadapi kemarahan orang ramai. Dia sedar bahawa dia akan kecundang jika bertanding Ketua Pemuda.
Sejak Dato Mukhriz dan Dato Khir Toyo mengumumkan minat untuk bertanding, Khairy, yang memang pengecut, tidak berani turun berdepan dengan pemimpin-pemimpin pemuda di peringkat akar umbi. Dia hanya menghantar wakil-wakil yang kebanyakkannya Ketua Pemuda negeri dan memberi “pelincir”. Kekuatan politiknya sudah lumpuh dan pengaruhnya sudah merudum.
Dia sedar orang ramai tidak lagi takut membidas bapa mertuanya depan-depan dalam majlis-majlis dengan ketua-ketua cawangan. Khairy memang lama diketahui tidak berani berhadapan dengan hadhiran yang bukan penyokongnya.
Percaturan Khairy

Jika dilihat usaha memburukkan Dr Mahathir dengan isu-isu kehakiman VK Lingam dan Tun Salleh Abas sudah backfire atau melantun kembali, ini tidak menjadi isu.
Zaid Ibrahim dikritik secara terbuka oleh ahli-ahli Parlimen dan akar umbi sudah mempersolkan agenda kepentingan diri Zaid yang tidak ada kena mengena dalam memperkukohkan kembali UMNO. Usaha memburukkan Tun Dr Mahathir akan menyemarakkan kemarahan akar umbi, walaupun dia bukan lagi ahli UMNO.
Sebenarnya kemasukkan Ezam ke dalam UMNO mempunyai kaitan dengan rancangan Khairy untuk menjadi Ketua Pemuda UMNO.
Jika Semangat 46 masih mengekalkan perjuangan asal UMNO, PKR langsung tidak ada. Malah, PKR menhancurkan perjuangan orang Melayu dari perjuangan mendaulatkan agama Islam, bangsa Melayu dan negara tercinta. PKR membawa multiculturalism, multipluralism, globalisasi, dan liberalisma yang diunjurkan barat dan persekongkolan Anwar untuk memporak perandakan negara ini.
Ezam adalah pengikut taksub Anwar Ibrahim yang begitu lantang mengkritik dan bersunggoh mahu melumpuhkan UMNO. Dia juga adalah pelopor politik demonstrasi jalanan dan anarki untuk mengkucar kacirkan keamanan dan kestabilan negara. Mengapa musuh ini dibawa kembali ke dalam UMNO?
Umum mengetahui Khairy mempunyai pertalian dan perhubungan rapat dengan pemimpin-pemimpin PKR dari Anwar Ibrahim ke Ezam dan Azmin. Malah jangan hairan melihat gambar Khairy begitu mesra dengan Tian Chua di akhbar pada hari Parlimen bermula.

Malah, penulis politik, Yahya Ismail telah menjangkakan persekongkolan Khairy dan Anwar Ibrahim dalam bukunya pada 2005.
Usaha kemasukkan Ezam ini dimudahkan dengan pengambilan orang Anwar dan bekas Presiden GPMS, Dato Suhaimi Ibrahim sebagai ahli staf Dato Shahrizat Jalil, Penasihat di JPM. Dato Suhaimi yang berpendirian apologis terhadap prestasi UMNO pada PRU12 telah memujuk Pak Lah untuk menerima Ezam.
Khairy menyedari dia tidak boleh mengharap ketua-ketua pemuda yang ada dan memerlukan personaliti-personaliti baru bagi mencapaikan cita-citanya.
Kemasukan Ezam akan membantu Khairy untuk memujuk pengikut-pengikutnya dalam PKR untuk melompat masuk UMNO dan menyusup ke dalam Pergerakan Pemuda UMNO di peringkat Bahagian-Bahagian.
Jika usaha ini dapat juga melumpuhkan PKR, Khairy akan dapat membetulkan persepsi terhadapnya dan kelihatan sebagai hero.
Dengan kembali kuatnya Khairy dan Ezam, rancangan "politik paspot" Khairy akan berjaya. Prime Minsiter-in-waiting Anwar Ibrahim akan kembali ke UMNO. Anwar tidak akan kembali melainkan untuk dapat menjadi Presiden UMNO dan Perdana Menteri Malaysia. Habislah Melayu dan Malaysia!
Persepsi

Mungkin Dato Hisham boleh berdalih mengatakan ini semua atas permintaan ramai dan menggunakan alasan untuk meredakan politik dalam Pemuda UMNO.
Malah ada mesyuarat Pemuda Bahagian di Selangor tahun lepas ada meminta Dato Hisham kekal. Jangan lupa bahawa permintaan itu bertujuan untuk menyelamatkan UMNO dari pengaruh jahat Khairy. Senario sudah berubah dan Khairy sudah boleh dinyahkan.
Orang ramai tidak bodoh untuk memahami Khairy yang akan untung dari tindakan menarik handbrake Dato Hisham.
Keahlian Dr Mahathir jangan diperlecehkan dan dianggap ancaman kerana akar umbi masih menyayanginya dan mereka faham dia masih memperjuangkan UMNO. Lihat sambutan kepulangan Pak Lah dari Jepun yang begitu diatur tetapi tidak seberapa yang datang hingga terpaksa akhbar-akhbar menipu membesarkan jumlah yang hadhir.
Dalam politik, persepsi lebih penting dari realiti. Oleh sebab, Dato Hisham sudah mengumumkan penarikan diri, reputasi Dato Hisham akan rosak jika ia berpatah baik. Kata-katanya akan terus tidak dipercayai dan diomok-omokkan. Prospek kerjaya politik jangkamasa panjang pun akan luntur.
Ramai masih ingat kata-kata Dato Hisham, “over my dead body” untuk Ezam atau Anwar kembali ke UMNO. Jika ia tidak berjaya, Dato Hisham boleh dianggap “mati”. Tahniah kepada UMNO kerana menggantikan keahlian negarawan Tun Dr Mahathir dengan pembelot UMNO, Ezam Md Nor.
Sudahlah reputasi Dato Hisham mengangkat keris dipersendakan. Kemudian, Dato Hisham meminta maaf pula seolah-olah isu keris menjadi penyebab prestasi BN lembab di PRU12. Rata-rata orang Melayu - ahli politik, para cendiakawan, budayawan dan orang ramai - menganggap Dato Hisham sebagai dayus dan menjatuhkan maruah orang Melayu.
Banyak lagi yang lain tetapi akar umbi UMNO tidak lupa kata-kata Pak Lah yang mengatakan Dato Hisham yang beriya-iya sangat untuk membawa Khairy sebagai Naib Pemuda. Ramai mengetahui Dato Hisham juga yang terlibat dalam memujuk calun-calun lain supaya mengundur untuk memberi jalan mudah kepada Khairy.
Lihat apa sudah jadi. Dato Hisham mempunyai saham langsung dalam kehancuran UMNO hari ini.
Selama ini Dato Hisham sudah menjadi bayang-bayang kepada Khairy. Dia yang menjadi penentu dalam mesyuarat – mesyuarat exco pemuda yang mana persetujuannya diikuti oleh ahli-ahli exco lain. Orang beranggapan Dato Hisham sudah di bawah telunjuk Khairy.
Jika ura-ura ini benar, tanggapan atau persepsi ini akan bertambah kuat. Dato Hisham akan sentiasa dianggap sebagai kerbau yang hidung dicucuk dan mudah ditarik ke sana sini dan disuruh sesuka hati.
Usah di Ulang Kesilapan
Di persimpangan ini, Dato Hisham perlu meletakkan kepentingan dan masa hadapan Pemuda UMNO dan UMNO lebih dari memikirkan politik sendiri. Tidak hairan juga “yang dikejar tidak dapat, yang dikendung berkeciciran”.
Sebarang tindakan politik Dato Hisham perlu mengambilkira maruah keluarganya dan nama baik datoknya, Dato Onn Jaafar dan bapanya, Tun Hussein Onn, yang merupakan Presiden UMNO ke 4 dan Perdana Menteri Malaysia ke 3. Jangan sampai orang mengata Dato Hisham hingga nama-nama mereka ikut terpalit.
Senario politik sudah berubah dan ledakan tsunami politik kedua sedang menunggu untuk meluah. Air yang tenang jangan disangka tiada buaya. Permainan politik murah sudah tidak laku lagi dan ini semua akan terurai sekejap masa lagi. Jangan tersilap langkah.
Keikhlasan, ketegasan dan keberanian dalam perjuangan yang akan menentukan terpilih Dato Hisham sebagai Naib Presiden UMNO atau jika tidak, apa-apa pencapaian masa hadapan, Insya Allah.
Yang penting, letakkan kepentingan UMNO mendahului diri.