Wednesday, July 04, 2007

Helah Lee Kuan Yew, WPI dan Hak Melayu: Biarkan! Biarkan!

Edisi terbaru Era Baru yang diperintah rampas oleh pihak pengurusan UMNO di Ibu Pejabat UMNO Rabu lepas

Dalam cerita sastera rakyat Melayu, ada satu kisah lucu mengenai si Luncai yang ditelah di perintah bunuh dan dicampak di kuala sungai. Si Luncai berjaya mengakal hulubalang raja dengan menyuruh mereka bersorak, "Biarkan! Biarkan!" apabila tersebut kata-kata "Si Luncai terjun dengan labu-labunya."

Apabila Si Luncai betul-betul terjun, mereka leka bersorak "Biarkan! Biarkan" hingga dapat Si Luncai berenang ke tebing sungai.

Penulis tertarik dan ingin memetik tulisan blogger Kaptenbersara dalam tulisan blog, "Lee Kuan Yew Dan Saikoloji Songsangnya. Dalam kata pembukanya, dia berkata:

"Rakyat Malaysia khasnya pemimpin-pemimpin UMNO dalam barisan Imam Hadhari sedang diperolok-olokan oleh Lee Kuan Yew dengan permainan Saikoloji Songsang (Reverse Psychology)".

Bagaikan si Luncai memperolokkan hulubalang raja, itulah Saikoloji Songsang yang dikenakan keatas pembesar-pembesar Melayu yang diperolok-olokkan si apek "komunis" tua.

WPI: Merungkai Hak Rakyat Asal Yang Terpinggir

Dipelbagai genap masyarakat Melayu, mereka kini sedang khayal bersorak "Biarkan! Biarkan!". Ramai tidak menyedari WPI adalah satu program untuk merungkai hak rakyat asal yang dipinggir penjajah.

Sebenarnya ramai tidak menyedari bahawa WPI atau Wilayah Pembangunan Iskandar hanyalah suatu pembangunan hartanah gergasi tanpa ada asas perancangan ekonomi disebaliknya dan jauh sekali satu strategi ekonomi yang tersusun.

Ia sebenarnya hanya lakaran peta yang telah di petak-petakkan untuk konon-konon kegiatan ekonomi tertentu dan lukisan bangunan imaginasi arkitek. Ianya tiada pengisian dan perancangan yang merangkumi aspek ekonomi, sosial dan politik negara, malah boleh membahayakan kedaulatan dan keselamatan negara.

Dengan pengakuan Pak Lah di Majlis Makan Malam Kuala Lumpur Business Club baru-baru bahawa WPI adalah taktik atau peluang untuk merungkai Dasar Ekonomi Baru (DEB), secara tidak langsung, ia adalah usaha untuk memundurkan Malaysia kepada ekonomi penjajah dan bukan ekonomi berasas kepentingan nasional.

Mangsanya adalah rakyat Malaysia yang secara tidak adil dipaksa kembali kepada warisan ekonomi penjajah yang meminggirkan satu-satu bangsa kepada satu-satu aktiviti ekonomi, kawasan penduduk dan tahap kemajuan sosial. Dalam keasyikan untuk menganuti ideologi globalisasi, ia akan menjadikan ekonomi kita menjadi ekonomi laisse fairre yang bebas sebebasnya, hingga kepentingan dan halatuju sosial, ekonomi dan politik negara diketepikan demi kepentingan kaum-kaum bermodal atau kapitalis, khususnya dari luar negara.

Bagi orang Melayu yang mempunyai hak hakiki sebagai rakyat tempatan dan asal yang dipinggirkan dengan sistematik oleh penjajah, urbanisasi dari projek WPI akan mengembalikan sejarah kepada penjajahan berbentok neokolonialisma. Kalau semasa zaman penjajah, mereka berani bangun bersuara, kini bangsa Melayu sudah jadi pengecut dan bodoh hingga tidak menyedari hak hakiki mereka akan tergadai dan suara-suara si ketol begitu banyak mahu menafikan suara dan hak mereka.

Reverse Psychology - Empty Fort Strategy

Kapten bersara mengulas mengenai komen Lee Kuan Yew:

"Menurut kamus Wikipedia, “Reverse psychology is the term that describes the outcome where advocacy of one course of action persuades another person to do the opposite”. Secara ringkasnya Saikologi Songsang (SS) ialah sebutan bagi kata-kata atau tindakan yang dilakukan dengan sengaja yang bertujuan mendapatkan tindakbalas atau reaksi yang bertentangan.

SS bukan perkara baru bagi kaum China. Ia merupakan strategi yang ke 32 dari sebanyak 36 strategi peperangan yang diamalkan oleh orang-orang China sejak tahun 219 sebelum masihi (SM) lagi. Ada banyak contoh yang boleh dikaitkan dengan SS ini, tetapi contoh paling mudah ialah “The Empty Fort Strategy”.

Dalam peperangan Hanzhong pada tahun 219 SM, apabila tentera Cao Cao menyerang pertahanan tentera Liu Bei, mereka mendapati kem Liu Bie senyap sunyi serta pintu kotanya terbuka luas tanpa sebarang pengawal. Ini membuatkan tentera Cao Cao mengesyaki kem itu sedang dijadikan sebagai perangkap untuk mereka, lalu mereka tidak jadi masuk dan berundur dari situ. Strategi bersembunyi dan membuka pintu kota tanpa pengawal telah menyebabkan tentera Liu Bie selamat dari serangan itu, walaupun bilangan mereka lebih kecil dan lemah."

Begitu telaten, Kaptenbersara meniliti pemikiran strategik Lee Kuan Yew, pasti ada yang tidak mahu menerima dan hanya bersorak "Biarkan! Biarkan!"

Lee Kuan Yew Sekutu Pak Lah

Kaptenbersara menyedari komen Lee Kuan Yew itu helah untuk menyelamatkan sekutunya Abdullah. Dia menyedari rakyat ramai begitu marah dengan kelalaian dan kebadutan Pak Lah.

"Kata-kata Lee Kuan Yew bahawa ada pemimpin UMNO Johor cuba menjatuhkan PM Abdullah dan menggagalkan IDR, sebenarnya bertujuan mengukuhkan kedudukan PM Abdullah yang sedang beliau jadikan “kuda tunggangan” bagi menjayakan hasrat dan niat jahat Singapura di dalam IDR."

Abdullah adalah seorang pemimpin yang boleh digambarkan seperti kata-kata petikan Nancy Pelosi, Ketua Dewan Kongress Amerika Syarikat mengenai Presiden George W Bush, "He is incompetent, in denial and dangerous".

Singapura menyedari Abdullah pemimpin yang perlu dipimpin dan bukan dia yang memimpin. Mereka sendiri memprofilkan Abdullah sebagai seorang yang lalai bila dipuji dan ambil mudah dalam satu-satu perkara. Dia tidak mempunyai fikiran yang tajam untuk mendalami satu-satu isu, malah dia seorang yang amat malas membaca dan hanya bergantung sepenuh kepada penasihat tertentu sahaja.

"Lee Kuan Yew tahu bahawa sebagai reaksi sepontan pemimpin-pemimpin (setengah masak) UMNO Johor akan berebut-berebut membuat kenyataan menafikankan kata-katanya itu. Seperti biasa ini akan disusuli pula oleh majlis-majlis dan perhimpunan-perhimpunan besar-besaran anjuran UMNO Johor bagi menyampaikan ikrar taat setia dan sumpah teguh berdiri di belakang PM Abdullah dan menyokong penuh IDR. Inilah tujuan sebenar kenyataannya itu dan perangkapnya nampaknya sudah mengena dengan mudah."

Ramalan Kaptenbersara amat tepat kerana sehingga hari ini Dato Seri Najib, Dato Seri Hishamuddin dan Dato Syed Hamid saja yang membuat komen. Kalau disedari, ketiga-tiga mereka ini adalah suara dari Kuala Lumpur. Jika diamati kata-kata Najib bahawa suara pemimpin-pemimpin UMNO Johor diambilkira, ia seolah memberitahu ia menyedari suara bangkangan dari Johor. Mungkin ini adalah kata-kata yang terpaksa dilakukan terbuka, tetapi perlu disorok-sorok.

Nampak ada kebenaran disebalik tajuk hadapan akhbar politik terbaru Era Baru, "Pemimpin UMNO Pengecut!" Dengar-dengar akhbar isu ini telah dirampas oleh pihak pengurusan UMNO pada hari Rabu lepas, semasa ianya di edarkan di Ibu Pejabat UMNO. (lihat gambar diatas)

Suara rakyat, samada sokong atau bangkang, jangan diabaikan kerana orang-orang dahulu kata, marah atau tegur itu maksudnya sayang dan prihtin. Bila dia tak tegur, dia dah tak peduli UMNO. Susah benar Pak Lah dan pembesar-pembesarnya nak fahami, terutama ketika mabuk dengan kuasa dan harta.

Kalau dah pengikut Pak Lah yang menyedari hanya menjadi apologis dengan berkata "Pak Lah tetap Pak Lah", mereka serupa bersorak "Biarkan! Biarkan!".

Jenayah di Johor?

Kita pun jangan lupa Saikologi Songsang Lee Kuan Yew mengenai jenayah di Johor. Kaptenbersara menulis:

"Kita ambil satu lagi contoh tindakan Saikoloji Songsang apek tua yang licik ini. Beliau telah menggunakan akhbar Berita Harian dan Strait Times untuk menyatakan kebimbangannya mengenai tahap keselamatan di Johor, ekoran beberapa “kejadian-kejadian” jenayah yang dilaporkan sendiri oleh akhbar-akhbar tersebut. Ini dikuti oleh suara-suara menyokong dari berbagai pihak termasuk pemimpin (setengah masak) UMNO sendiri.

Seperti yang dijangkakan, PM Abdullah mengarahkan KPN menghantar 70 ribu anggota tambahan ke Johor. Nah! inilah hajat sebenar mereka. Rakyat Singapura tersenyum sampai ke telinga melihat PDRM menjadi pengawal keselamatan mereka secara percuma."

Padahal rakan saya Biggum Dogmannsteinburg (di sini dan sini) sudah menunjukkan bukti bahawa cerita-cerita jenayah adalah rekaan dan propaganda Singapura dan DAP.

Tan Sri Musa Hasan sendiri telah membuat pendedahan bahawa jenayah besar di Johor Baru adalah melibatkan penjenayah Singapura. Padanlah Singapura pernah membuat pelbagai dakwaan mengenai peningkatan angka jenayah sedangkan angka jelas bercanggah. Mungkin kah mereka kepala gangster mereka akan beroperasi di Johor Baru.

Adakah mereka merancang ini untuk berlaku dan ada tersirat tujuan tertentu? Mungkin menjadi justifikasi atau alasan untuk menghalalkan melakukan sesuatu? Jangan sekali kita alpa bahawa Lee Kuan Yew ini bagaikan Yahudi yang tidak pernah tidak memikirkan semua dari segi ketenteraan.

Bagaikan kerbau di cucuk hidung, begitu ramai yang terikut-ikut bersorak "Biarkan! Biarkan!" Tidak adakah jenayah di Kuala Lumpur, Pulau Pinang dan lain-lain bandar-bandar utama di Malaysia untuk 70,000 polis dihantar kesana sahaja?

Helah Si Apek "Komunis" Tua

"Banyak lagi contoh yang boleh diteliti bersama seperti kata-kata bahawa Singapura akan kehilangan industri”, “menghadapi “masalah pengangguran”, tidak mendapat “layanan istimewa” dan berbagai-bagai lagi. Kita lihat perkataan-perkataan “lawan” atau “songsang” kepada “hilang” lawannya “jumpa”. Perkataan “menganggur” lawannya “ada banyak kerja”, perkataan “tidak dapat" lawannya “dapat” layanan istimewa."

Jelas sekali, salah seorang pemikir ulung ideologi xenophobia dunia ini hanya mahu "package" yang lebih baik untuk Singapura dan memberi helah untuk jual mahal.

Sebenarnya industri Singapura sudah tidak boleh bertahan berdasarkan struktur yang ada. Mereka perlu merubah ke tahap industri yang lebih canggih dan teknologi lebih tinggi. Industri yang ada dan baru perlu kawasan baru. Hubungan mereka dengan jiran-jiran seperti Indonesia dan Thailand sudah renggang. China, negara "motherland" pernah memainkan mereka kerana tidak memberikan keistimewaan untuk mereka di Suzhou. Hanya Malaysia merupakan prospek ruang selesa untuk mereka.

Hairannya, kita sanggup diperolok-olokkan untuk menjadikan kawasan yang kita sendiri berupaya membina sendiri menjadi "sanctuary" khusus untuk Singapura berkembang dan bermanafaat. Adakah pelaburan Singapura akan membawa peningkatan kemahiran dan pengetahuan kepada pembangunan industri di Johor Baru?

Kita hanya akan membina sektor perkhidmatan yang bernilai rendah dari segi ekonomi dan sektor yang tidak jelas prospeknya. Tidak ada sektor ekonomi baru dan berimpak yang akan dibina tetapi hanya yang sedia ada. Malah, dengan pembatalan jambatan Johor, rancangan sektor logistik yang lebih mantap tidak dapat dijalankan. Kita hanya memberi ruang untuk Singapura dalam industeri hartanah dan yang berkaitan hartanah.

Akhirnya mereka yang untung besar, bukan negara kita. Tidak tahu apa lagi keuntungan strategik buat Singapura disebalik kealpaan pembesar kita dan penasihat-penasihat yang pembelot negara.

Rakyat dan pemimpin hanya akur dan bersorak "Biarkan! Biarkan!"

Kaptanbersara bertanya lagi:

"Sampai bilakah kita membiarkan diri diperolok-olokan sebegini. Adakah mana-mana pemimpin selain dari Tun Dr Mahathir yang mampu “mengajar” si apek tua ini?"

Kalau diingati sejarah awal apek tua, dia adalah aktivis kesatuan di Singapura. Semasa zaman itu, kesatuan-kesatuan di Malaya dibelunggu dengan kegiatan politik komunis dan beliau terlibat dalam mengatur pelbaai mogok dan gerakan. Apabila dia naik, beliau mempenjarakan dan menggantung rakan seperjuangannya untuk memutuskan diri dari sejarah lamanya. Inilah orang yang Abdullah buat sebagai rakan, dan contoh. Entah, budak hingus penasihatnya tahukah akan cebisan sejarah ini?

Kaptenbersara tidak realistik untuk mengharap Tun Dr Mahathir kembali semula menyandang tugas Perdana Menteri. Mungkin dalam kerisauannya, itulah yang diharap ramai. Tiada langsungkah antara pemimpin-pemimpin UMNO yang tidak "pengecut" dan mempunyai semangat berani serta cinta pada agama, bangsa, dan tanahair melebehi kepentingan diri? Kita berusaha, tuhan penentu!

Baik kita beringat bahawa tuhan tidak akan mengubah nasib sesuatu bangsa, melainkan bangsa itu mahu mengubahnya sendiri. Kalau hanya bersorak, "Biarkan! Biarkan!" dan berserah kepada tuhan sahaja, tidak akan berlaku apa-apa perubahan.

5 comments:

Anonymous said...

i would expect ghani to call for a meeting of umno johor leaders to discuss lee kuan yew's statement. he must even tho some say we should not react to lky as we'd be giving him currency. he must because lky has touched on some very sore nerves within the party. he knows where it hurts, you see. ghani has to call for a meeting of johor leaders and deal with lky's accusation that ghani and johor umno leaders are trying to topple the pm. musa hitam, syed hamid, hishammuddin, azalina, shahrir and other umno leaders in johor must stand up and speak with one voice. or forever shut up.

Anonymous said...

Jika kedudukan Istana Kampung Gelam dan orang Melayu Singapura (yang kebanyakan pemudanya menjadi 'bell boy' di hotel mewah dan pemudinya menjadi 'tukang urut' di salon/spa) tidak menyedarkan orang Melayu/UMNO Johor/Malaysia, saya tidak tahu apa lagi yang boleh menyedarkan kita semua.

Anonymous said...

harry has done it again!

he did it before and of course he will next time.

how i miss that old mahathir to be the one man capable of shutting this chinese up.

but, his allegation is serious. he tried to de-stabilised UMNO, particularly Johor where the IDR is taking place. and suggesting UMNO are against the PM is not a good consumer advice also.

i dont care about those reverse saikoloji or what ever, because he harry knew we will not be able to react to what he said. so he stroking his words at will.

remember, sacred place Johor is to UMNO. there it was born.

respond, UMNO must.

Anonymous said...

Tahniah. Sebuah artikel yang baik. Terima kasih kerana membuat petikan artikel saya.

Mudah-mudahan hajat dan doa kita dimakbulkan Allah.

kaptenbersara.

http://kaptenbersara.blogspot.com/

Anonymous said...

IDR LOOKS LIKE PERJANJIAN PANGKOR REVISITED. ONLY THAT THIS TIME NOT WITH THE EAST INDIA COMPANY. BUT WITH THE SINGKYS INC.SADLY IT GONNA HAPPEN IN THE EVENT OF 50TH INDEPENDENCE ANNIVERSARY

My Say