Thursday, August 30, 2007

Sepi Meraikan Merdeka Di Tempat Bermula Perjuangan


Malam kemerdekaan ini akan aku raikan dalam suasana sepi, jauh dari kesibukkan kota dengan bising bunga api dan jeritan siaran peti telivisyen. Aku tidak mahu bersekongkol dan hanyut dalam hipokrasi. Sudah 50 tahun, adakah aku rasa merdeka? Adakah rakyat hidup aman makmur bagai yang diharap Bapa Malaysia? Dengan ekonomi merudum, barang naik, rakyat hilang pekerjaan, ketirisan berlaku di sana sini, keselamatan tergugat, dan pemimpin leka, apa yang mahu aku gembirakan?

Aku akan melarikan diri dari kota, jauh dari hiruk pikuk kepura-puraan disebalik jeritan kemerdekaan, untuk pergi ke Batu Pahat, Johor. Malam ini, di padang hadapan Kelab Melayu Batu Pahat, aku mahu bersendiri untuk merasakan sejarah yang sudah dilupai. Mungkin sekali, aku akan tangisi dalam kebanggaan dan kesyukuran. Di padang itu, lebih 60 tahun dahulu, pada 10 Februari 1946, hampir 15,000 umat Melayu buat pertama kali berani bangun menyuarakan penentangan terhadap Malayan Union. Di situ juga, semangat untuk menuntut kemerdekaan benar-benar berputik.

Aku akan ulangtayangkan dalam fikiran peristiwa itu, sedutan Laman Web ADUN Semarang, YB Samsol Bari bin Jamali berjudul Memori Perjuangan 60 tahun Bangsa Melayu di Batu Pahat yang merupakan satu tulisan Utusan Malaysia bertarikh Februari 10, 1946.
Hari ini, genap 60 tahun lalu, 10 Februari 1946 dianggarkan lebih 15,000 umat Melayu mengadakan tunjuk perasaan menentang Malayan Union, di Batu Pahat, Johor. Tunjuk perasaan ini telah dipimpin oleh Datuk Onn Jaafar, Pegawai Daerah Batu Pahat. Sebelum peristiwa ini, pada penghujung tahun 1945, satu berita bahawa Harold MacMichael telah mendapat persetujuan raja-raja Melayu untuk menubuhkan Malayan Union yang telah mengejutkan orang-orang Melayu dan secara spontan tercetuslah gerakan protes, dalam beberapa minggu saja jadi semakin garang dan semakin kemas. Tunjuk perasaan 10 Februari ini adalah demonstrasi politik Melayu pertama yang paling besar dan menjadi perangsang terjadinya demonstrasi yang sama di negeri lain di seluruh Semenanjung Tanah Melayu.

Wakil kerajaan British, Harold MacMichael, yang tiba pada 11 Oktober 1945, dengan tipu helahnya dan secara sulit hanya dalam masa dua bulan, antara 20 Oktober hingga 21 Disember telah berjaya mendapat tandatangan persetujuan kesemua sembilan Sultan. Kerajaan British mengumumkan rancangan terperinci Malayan Union pada 22 Januari 1946 dan perisytiharannya ditetapkan pada 1 April 1946.

Nyatalah mereka telah mempersiapkan rancangan ini apabila ada tanda-tanda Jepun akan kalah dan gagasan politik baru itu akan dilaksanakan sebaik saja mereka kembali ke Tanah Melayu, ketika keadaan masih kucar-kacir. Orang Inggeris berpendapat, bangsa Melayu tidak bersatu, sangat taat setia kepada raja negeri masing-masing, masih suka dan kagum kepada Orang Putih, bodoh dan tidak begitu mempedulikan politik, pegang raja rakyat akan menurut perintah!

British mungkin tersalah baca peta politik Asia selepas Perang Dunia Kedua. Pada 12 Januari 1946 surat khabar Majlis menyarankan Datuk Onn tampil untuk memimpin orang Melayu menentang gagasan Malayan Union. Dan pada 23 Januari, Datuk Onn menulis kepada Utusan Melayu menjemput semua pertubuhan Melayu untuk bersatu menentang British dan mendirikan sebuah pertubuhan kebangsaan bagi melancarkan perjuangan politik bangsa Melayu. Pada 15 Februari, sebagai langkah permulaan, Datuk Onn menganjurkan demonstrasi besar di Batu Pahat.

MAKA pada 1-3 Mac 1946, wakil-wakil 41 pertubuhan Melayu berkumpul di Kelab Sultan Sulaiman, Kampung Baru. Inilah kongres nasional politik Melayu yang pertama. Dan untuk pertama kalinya, selama tiga hari, kerajaan British telah dikritik habis-habisan dalam perhimpunan politik Melayu. Orang Putih bukan lagi tuan, tetapi musuh yang sangat jahat. Selain mengambil keputusan menentang Malayan Union, kongres ini tanpa bangkangan, bersetuju menubuhkan parti politik Melayu: Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (PEKEMBAR).

Semangat kebangsaan dan kesedaran politik-ekonomi di kalangan orang Melayu, telah bermula sekitar tahun 1920-an. Akan tetapi kesulitan perhubungan dan sentimen kenegerian tidak mendorong wujudnya gerakan perjuangan yang bersifat nasional. Lagipun yang dirasakan mengancam kedudukan orang Melayu waktu itu, bukan penjajah Inggeris, tetapi pedagang dari benua China. Maka wadah yang wujud waktu itu hanyalah pertubuhan di peringkat negeri dan daerah. Pertubuhan inilah yang berkumpul di Kelab Sultan Sulaiman pada awal Mac 1946.

Namun sejak tahun 1920-an, akhbar dan majalah Melayu terus-menerus menjadi suara politik Melayu-Islam, merentasi batas daerah dan negeri. Pengarang akhbar dan majalah waktu itu adalah nasionalis yang sangat komited kepada perjuangan bangsa. Maka dalam masa yang amat singkat - walaupun orang Melayu miskin dalam serba-serbi - PEKEMBAR berkembang jadi wadah politik yang perkasa. Diperkasakan oleh semangat kebangsaan, bukan oleh wang ringgit dan kedudukan.

Namun kerajaan British masih memandang rendah dan remeh kepada kebangkitan politik Melayu ini. Mereka tetap mahu mengisytiharkan penubuhan Malayan Union pada 1 April 1946 dan sembilan sultan akan menyertai upacara pelantikan gabenor - raja baru Tanah Melayu. Keadaan amat kritikal, masa sangat mendesak. Saya yakin British memperhebat perang sarafnya mencari sokongan dan melemahkan perjuangan Melayu. Datuk Onn telah bertindak berani dan pantas.

Dari awal permulaan lagi, sikap bukan Melayu mengenai Malayan Union amat berbeza dengan orang Melayu. Kebanyakan bukan Melayu menyokong cadangan British itu. Di antara tahun 1946 dan 1948, Datuk Onn mengetuai orang Melayu menentang Malayan Union, sementara Tan Cheng Lock pula memimpin bukan Melayu untuk menyokong Malayan Union dan kemudian membantah Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu 1948.''

Pada zaman itu Perjuangan politik kaum Cina di Tanah Melayu adalah lanjutan daripada perjuangan di China. Ia tidak ada kaitan untuk mendapatkan kerajaan sendiri atau kemerdekaan di Tanah Melayu. Maka pada 30 dan 31 Mac, Datuk Onn, atas nama Kongres, memanggil Mesyuarat Tergempar dan memutuskan:


- Meminta sultan-sultan memboikot upacara perisytiharan Edward Gent sebagai Gabenor dan semua majlis berkaitan dengan Kerajaan Malayan Union.
- Meminta semua orang Melayu yang dilantik sebagai ahli Majlis Penasihat Malayan Union menolak pelantikan itu.
- Sebagai tanda memprotes dan berkabung, orang Melayu diminta memakai lilit kain putih pada songkok.
Pada waktu itu Sultan dari sembilan negeri telah pun berkumpul di Station Hotel (di Bangunan Stesen Keretapi Kuala Lumpur) untuk menghadiri upacara pelantikan gabenor. Maka pada 31 Mac, Datuk Onn menghadap Sultan-Sultan, menyampaikan keputusan Kongres itu. Beliau meminta Sultan-Sultan menyertai umat Melayu menentang Malayan Union. Datuk Onn memberi amaran, sekiranya Sultan-Sultan terus menerima Malayan Union dan menghadiri juga upacara itu, rakyat tidak lagi akan mengakui Sultan-Sultan sebagai Raja mereka. Inilah pertama kali orang Melayu berani berkata demikian kepada Raja mereka. Dan akhirnya semua Sultan bersetuju tidak akan menghadiri upacara pelantikan itu.

Menurut seorang ahli akademik, A.J. Stockwell, kisah ini tidak selesai di situ. Pada pagi 1 April, sekali lagi Datuk Onn menghadap. Agak mengejutkan apabila Datuk Onn melihat semua Sultan telah bersiap sedia dengan pakaian istiadat untuk menghadiri upacara pelantikan Gabenor. Apa yang menyebabkan Sultan-Sultan ini mengubah fikiran tidak dapat dipastikan. Tetapi setelah berlaku sedikit perdebatan, Datuk Onn berhasil memujuk Sultan-Sultan dan membawa mereka ke beranda hotel menyaksikan ribuan rakyat yang masih menunjukkan kesetiaan kepada Raja mereka.

Peristiwa yang tak terduga oleh Sultan-Sultan ini amat menyentuh perasaan mereka, dan menyedarkan mereka kembali, akan kedudukan mereka sebagai raja yang mestilah bersama rakyat. (Selama dijajah British - raja-raja dengan kedudukan dan kemewahan mereka - tidak banyak mengetahui kehidupan rakyat, sehingga mereka tidak dapat membaca hati rakyatnya). Hampir tidak ada juga pembesar dan pegawai tinggi Melayu seperti Datuk Onn. Sehingga sekarang pengaruh budaya British masih jadi syarat pakaian semasa menghadiri majlis-majlis rasmi sambutan keputeraan Sultan setiap tahun.

Namun British masih berdegil. Malayan Union diisytiharkan juga tanpa kehadiran Sultan-Sultan. Langkah-langkah baru diambil untuk menyatukan perkhidmatan kehakiman, pasukan polis dan perkhidmatan awam. Semua aset milik kerajaan negeri dipindahkan kepada Kerajaan Malayan Union. Gabenor memerintah dengan bantuan Majlis Penasihat Malayan Union. Kerajaan Negeri dihapuskan. Raja-raja Melayu hilang kedudukan. Tiada lagi negeri milik bangsa Melayu.

Kedegilan dan kesombongan British ini telah menyemarakkan lagi semangat orang Melayu. Lalu pada 11 Mei 1946, dalam Kongres di Johor Bahru, lahirlah UMNO dan Datuk Onn dilantik sebagai Yang di Pertuan Agong. Semangat dan wadah politik Melayu semakin gagah. Sultan-sultan secara terbuka mulai mengikut menentang Malayan Union dan pada bulan Mei menghantar wakil ke London menyatakan persetujuan mereka ditarik balik.

Pada akhir bulan Jun, British mengakui kekuatan perpaduan Melayu maka perundingan diadakan dengan UMNO dan Sultan. Persetujuan prinsip merangka perlembagaan baru dicapai dan UMNO mengesahkan persetujuan ini pada bulan Januari 1947. Kerajaan British dan Sultan-Sultan menandatangani perjanjian pada 21 Januari 1948. Dan pada 1 Februari 1948 lahirlah kerajaan baru Persekutuan Tanah Melayu.

Hasil keseluruhan daripada Perlembagaan baru ialah pemulangan Tanah Melayu sebagai negara orang Melayu yang asal. Kedudukan Sultan seperti sebelum perang dikembalikan dan autonomi negeri-negeri dikekalkan. Kejayaan dan pengiktirafan ini menjadi titik permulaan kepada perjuangan survival yang semakin rumit dan yang tidak pernah selesai.
Sultan, pembesar negeri, pemimpin pertubuhan dan rakyat jelata Melayu, semuanya ada peranan dalam peristiwa-peristiwa itu. Sebahagian kaum Cina dan Tun Tan Cheng Lok, aristokrat Cina dari Melaka yang menyokong Malayan Union akhirnya mahu bersama.

Kemerdekaan itu penting kerana kita berkuasa dan bebas melakukan apa yang baik untuk negara ini. Bukankah setelah 50 tahun Merdeka, kita sudah sepatutnya waras dan bijak untuk berfikir dan bertindak?


Fikiran aku malam ini akan melayang memikirkan mereka yang aku ketahui menjadi mangsa kekejaman Jepun dan keganasan komunis Bintang Tiga MPAJA yang bermaharajalela di bumi Batu Pahat. Aku mungkin membayangkan kesengasaraan orang-orang kampung yang ditangkap dan direbus hidup-hidup semasa pergi ke bandar membeli bekalan. Lain pula yang diseksa dan ditanam hidup-hidup di kampung.

Aku akan membaca doa dari Fatihah buat Panglima Kiai Salleh (Haji Mohd Salleh bin Abdul Karim) yang memerangi pengganas Bintang Tiga dengan berserampang merah dengan parang panjangnya. Tidak ketinggalan, Fatihah buat Dato Onn Ja'afar yang menahan pejuang-pejuang dari meleluas melepaskan kemarahan. Tidak mahu kemarahan berakhir dengan penyesalan di kemudian hari. Dan, juga buat semua yang berjuang dan mengorbankan jiwa raga.

Aku pasti akan bertanya-tanya. Berapa ramaikah generasi sekarang yang tahu akan peristiwa-peristiwa ini? Berapa ramai pula yang cuba belajar daripada apa yang telah berlaku? Hari ini, ramai orang tidak mempedulikan sejarah. Mereka memperkecilkan, malah menghina sejarah. Sejarah dirasakan mereka tidak perlu dipelajari dan tidak perlu diketahui. Yang di depan mata dan masa depan lebih penting dari nostalgia silam. Siapa yang menghina sejarah akan di hukum sejarah kerana sejarah tidak pernah berbohong.

Aku harap orang Johor boleh mengingati kembali sejarah. Perkara yang lepas sedang berulang di mata depan. Tanpa mengetahui sejarah, apa yang di hadapan mata tidak akan disedari. Bagaimana mahu menjangka acara masa depan yang akan terukir?

"Malayan Union" telah kembali lagi di bumi Johor, percayalah. Adakah anda sedari?

Salam Kemerdekaan buat semua.

* Gambar dipetik dari laman web-log 83000 Batu Pahat, Johor

1 comment:

BaitiBadarudin said...

saya telah dua kali mengikuti dokumentari tentang dato' onn jaafar yang meliputi perjuangan beliau di batu pahat ... sehingga berlinang air mata

My Say