Tuesday, September 02, 2008

Kekalahan Teruk BN di Permatang Pauh IV: Jika Terus Gamam, Degil dan Akur, 2013 UMNO Berkubur

Reaksi Dato Seri Abdullah Ahmad Badawi dan diulang oleh pembodek-pembodeknya masih tidak menerima kenyataan implikasi kekalahan BN di Permatang Pauh. “Suara UMNO” masih tergamam tiada jawapan kepada kekalahan tersebut.

Kepimpinan UMNO bagaikan tidak ada arah tuju, tidak terpimpin dan dipandu, dan bagaikan tidak terdaya untuk menangani permasaalahan yang ada. Adakah mereka akan mengalah kepada tekanan bukan Melayu? Padahal satu kajian UIA menyatakan 90% orang Melayu di Semenanjung masih percaya perlu dipertahankan hak Melayu.

Bagaimana reaksi UMNO? Masih leka dengan pemilihan bulan Disember? Selepas “pujuk, rasuah dan kepong”, apa pula akan dilakukan untuk mengekalkan pucuk kepemimpinan yang lemah dan tidak berhala tuju?

Dimana pelan pemulihan UMNO yang diwar-warkan? Cukupkah dengan pelan peralihan Jun 2010 saja?

Gamam

Mingguan Malaysia Ogos 31hb menyiarkan rencana keanehan di Permatang Pauh yang menunjukkan kenaifan tersebut. Anwar, yang dikatakan “angan- angan kosong, putar belit, pembohong, penderhaka dan penjenayah” dan apa salah ditambah peliwat, menang kerana kelemahan UMNO dan Barisan UMNO.

Belum lagi kering gusi Abdullah menafikan, UMNO seolah-olah dihimpit oleh parti-parti kaum Cina. DAP, penyokong Chin Peng “lambungkan bola tanggung” dengan mengungkit kenyataan Ahmad Said, Ketua Bahagian Bukit Bendera yang memanggil orang Cina sebagai pendatang. Manakala, MCA dan Gerakan sedang “melipat dari tepi dan tengah gelanggang”.

Bagaimana Abdullah akan hadapi tekanan dan perang psikologi Anwar untuk mengambilalih kerajaan pada "September 16hb"? Perkara ini akan saya bincang dalam posting lain.

Ini baru kesan politik, belum lagi dibincang kesan-kesan ketirisan polisi dan implementasi kepada orang Melayu disebabkan tekanan dari tuntutan kaum lain dan agama lain serta usaha-usaha dan kompromi untuk memujuk hati mereka.

Rasanya sudah terlambat untuk memujuk kerana mereka mahu ditukar kerajaan yang ada. Hanya meletakkan pengganti yang boleh meyakinkan berupaya menyelesaikan masaalah dan keresahan mereka untuk memberi balik sokongan.

Adakah berupaya dilakukan sekiranya UMNO bagaikan gamam untuk menjawab kritikan-kritikan terhadapnya? Adakah pucuk kepimpinan sudah begitu bangkrap pemikiran dan berat mulut untuk meyakinkan kembali rakyat?

Kenyataan

Dalam jurublog menghentam beberapa tulisan Mingguan Malaysia yang lepas, perlu diakui mereka telah mengimbangkan dengan menerbitkan rancangan sembang-sembang politik mereka antara YB Dato Ibrahim Ali, YB Dr Puad Zarkashi dan Dr Marzuki Mohamad. Perbincangan itu boleh dipandang dengar di http://www.utusanonline.tv/ .

Menurut Ibrahim Ali, Anwar menang kerana kelebihan tempat asal, Pakatan Rakyat yang mula kuat, kekuatan jentera, penyokong dan sumber.

Di Permatang Pauh, beliau berkata BN ditewaskan psikologi kerana percaya mereka akan kalah dan tidak bijak mengambil peluang dari sentimen mengenai isu liwat. Disamping itu, pemimpin-pemimpin BN yang datang tidak menunjukkan kesungguhan dan dilihat hanya melepak sahaja di hotel-hotel.

Beliau menyatakan sokongan kepada UMNO akan lari jika UMNO dilihat tidak lagi mempertahankan hak dan kepentingan orang Melayu.

Dari kajian Dr Marzuki di UIA melibatkan lebih kurang 1,500 responden Melayu di seluruh Semenanjung, didapati lebih kurang 70% orang melayu mula terbuka kepada perlunya pilihanraya dan menentang penahanan tanpa bicara. Tapi 90% percaya hak Melayu perlu dipertahankan.

Dr Puad pula merasakan BN masih tidak dapat mengubah pemikiran anak-anak muda Melayu lagi. Manakala pengundi Cina terang-terang tidak memberikan kepada BN lagi, dia bertanya samada anak-anak Melayu ini faham implikasi tindakan mereka.

Beliau mendedahkan UMNO dilihat mempunyai pelan pemulihan. Katanya, “Saya tahu Anwar berpolitik sebab Anwar ini dia mempunyai satu sifat iaitu dia seorang yang strong character, good negotiator, good manipulator. Bagi sayalah, kesan daripada pilihan raya kecil Permatang Pauh ini, dengan masuknya Anwar ke dalam Parlimen, dia akan mewujudkan lebih banyak kekeliruan dalam pemikiran politik orang Melayu.”

Enggan

Satu SMS dari seorang tokoh veteran diterima. Bunyinya demikian:

“… Sultan Abdullah tidak peduli kerana baginda tahu tidak ada tokoh atasan yang berani melawan dia. Semua sipenakut akan mengguna diplomasi, sejarah, budi bahasa, tradisi, adat Melayu dan lain-lain untuk melindungi ketakutanmereka. Kita perlu siap terim apadah pada tahun 2013 jika sultan tidak segera berhenti; dan jika ahli2 UMNO, diperingkat bawahan, masih berani setelah disogok seperti budak2 dengan tamang, makan free, sembahyang bersama, wang tunai RM200 dan sehelai kain pelikat.”

Jika sebelum ini, jurublog menyatakan taktik “pujuk, bayar dan kepong” digunakan untuk menyekat, kini taktik “purging” atau pembersihan akan digunakan. Pada Sabtu yang lepas, Tengku Adnan, Setiausaha Agong UMNO sudah mengumumkan satu usaha “purging” sedang dilakukan. Mingguan Malaysia pun sudah membantu untuk “echo” kan mesej Putih, kelabu, hitam di Permatang Pauh.

Manakala itu, BPR disyaki akan digunakan untuk mencantas mereka-mereka yang akan mengeluarkan suara–suara penentangan. Sudah sampai ke pendengaran jurublog bahawa ada kes rasuah yang sebenarnya adalah kerana suara yang mahu menyelamatkan harta kerajaan. (Perkara ini akan ditulis dalam jurublog sedikit masa lagi.)

UMNO di bawah kepimpinan Abdullah seolah-olah sudah kaku untuk berfikir, bercakap dan bertindak. Namun begitu, dia masih seberapa daya mahu kekal dan akan bersikap labih kejam.

Mungkinkah ramalan SMS tokoh veteran yang menyatakan berakhirnya UMNO pada 2013 kelak jika Abdullah masih kekal akan menjadi kenyataan?

-----------------------------------------

Mingguan Malaysia- Ogos 31hb, 2008

Berubahkah Politik Negara?

DALAM program Sembang Politik Utusan Malaysia yang diadakan di Ibu pejabat Kumpulan Utusan di Kuala Lumpur Rabu lalu, tiga ahli panel dijemput mengupas topik 'Hala Tuju Politik Negara Pasca Pilihan Raya Kecil Permatang Pauh'.

Sehari sebelum itu, pada 26 Ogos, pilihan raya kecil Permatang Pauh telah diadakan, satu pertandingan yang mengecewakan Barisan Nasional (BN) kerana ia dimenangi oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang memperoleh undi majoriti yang lebih besar iaitu 15,524. Pilihan raya kecil itu menandakan kembalinya Anwar ke Parlimen, satu peristiwa politik yang memberikan rentak baru kepada politik tanah air.

Dalam program diskusi itu, Ahli Parlimen Pasir Mas, DATUK IBRAHIM ALI berpendapat kemenangan Anwar itu telah dijangka tetapi beliau tidak percaya Anwar dapat membentuk kerajaan pada 16 September ini. Ahli Parlimen Batu Pahat, Dr. MOHD. PUAD ZARKASHI pula kecewa kerana mood rakyat yang diperlihatkan dalam pilihan raya umum 8 Mac lalu masih kekal yang menuntut UMNO dan BN melakukan perubahan untuk tetap relevan.

Seorang lagi ahli panel, DR. MARZUKI MOHAMAD dari Jabatan Politik, Universiti Islam Antarabangsa (UIA) melihat pilihan raya kecil Permatang Pauh sebagai pertembungan antara nilai politik dan protes politik. Moderator program Sembang Politik tersebut ialah Penolong Pengarang Utusan Malaysia, Baharom Mahusin. Rakaman video program itu boleh diakses melalui laman web www.utusanonline.tv.

BAHAROM: Saya ingin tujukan soalan yang pertama kepada Datuk Ibrahim Ali. Apakah yang Datuk tafsirkan daripada keputusan pilihan raya kecil Permatang Pauh?


IBRAHIM: Dalam soal pilihan raya kecil Permatang Pauh, semua pihak pada awal lagi mengatakan Anwar akan menang. Saya kata, apa pun Anwar akan menang walaupun satu undi. Saya bagi alasan mudah.

Pertama, Permatang Pauh adalah lubuk Anwar, tempat dia berpangkalan. Kedua, bila pilihan raya kecil diadakan di Permatang Pauh, parti pembangkang sudah ada kekuatan iaitu Pakatan Rakyat terdiri daripada DAP, PKR dan Pas yang memerintah Pulau Pinang, Perak, Selangor dan Kedah. Alasan ketiga, saya percaya Anwar mempunyai cukup kemudahan termasuk kewangan untuk menghadapi BN. Pendek kata, kalau BN ada duit, Anwar pun ada duit.Saya boleh bagi sebab-sebabnya, saya ada bukti-bukti yang saya dapat lihat dari luar. Alasan keempat, Anwar mempunyai sokongan dari luar dan dalam, yang kita tidak tahu, tetapi kuat. Kelima, Anwar juga ada kelebihan. Dia mempunyai jentera. Keghairahan jentera dan penyokongnya begitu bersemangat.

Undinya bertambah kerana lima perkara yang saya sebutkan tadi, terutama kerana Permatang Pauh adalah lubuk Anwar. Saya nak bagi contoh saya sendiri. Lubuk saya di Pasir Mas. Saya lama berpolitik di Pasir Mas. Hidup mati, jatuh bangun saya di Pasir Mas. Oleh kerana lubuk saya di Pasir Mas, boleh tengok bukti (kemenangan saya). Siapalah saya ini, pemimpin yang tidak ada pangkat, bukanlah Timbalan Perdana Menteri, bukan juga Menteri Kewangan.

Lubuk ini penting. Politik Anwar bermula di Permatang Pauh pada 1982, 1986, 1990 dan 1995. Bermakna empat kali pilihan raya dia menang di Permatang Pauh. Oleh itu saya tidak hairan dengan kemenangannya. Pandangan saya ialah kita kena terima hakikat bahawa dalam mindset rakyat, rakyat telah tolak kepimpinan yang ada sekarang. Selepas pilihan raya umum baru- baru ini, harga minyak naik lagi pada bulan Jun. Jadi, kemarahan rakyat yang menyebabkan mereka mengundi pembangkang (pada 8 Mac lalu) belum reda, tiba-tiba harga minyak naik lagi. Jentera BN di Permatang Pauh pula amat lemah. Saya tidak pernah tengok jentera BN selemah itu.

DR. MOHD. PUAD: Semua orang berkongsi pandangan bahawa keputusan pilihan raya Permatang Pauh ini memberi pelbagai makna, yang saya sendiri secara peribadi tidak terkata apa. Kadang-kadang saya susah hendak menjawab. Kadang-kadang saya juga senang hendak menjawab iaitu maksudnya trend pengundi tidak berubah sejak pilihan raya umum 8 Mac lalu. Mereka tetap merasakan seolah-olah tidak ada perubahan pada BN. Itu jawapan yang paling mudah: tiada perubahan.

Tetapi saya sedikit berbeza dengan Datuk Ibrahim yang mengatakan bahawa jentera BN lemah, saya tidak fikir sangat jentera BN lemah. Sebenarnya banyak perkara yang dibuat, sebab saya pun ada di sana.

Apakah punca Anwar menambah undi majoriti. Apakah sebab karismanya atau seperti yang disebut oleh Datuk Ibrahim kerana Permatang Pauh kubu kuat Anwar. Ataupun kerana ada faktor yang lain. Jadi kalau dibuat analisis mengenai pilihan raya kecil ini, mungkin lebih adil kalau kita menunggu satu lagi pilihan raya kecil yang tidak melibatkan Anwar, tetapi di kubu kuat lain PKR, baru kita boleh buat perbandingan. Mungkin kita boleh tunggu di Kulim Bandar Baharu, kalau jadi pilihan raya kecil. Sekiranya peratusan undi PKR tidak berubah, bahkan naik, saya rasa ada sesuatu yang BN perlu rombak yang memerlukan tindakan drastik. Itu soal keputusan, tetapi apakah hala tuju masa depan politik negara kesan daripada pilihan raya kecil di Permatang Pauh.

Saya fikir yang menjadi kebimbangan kita sekarang ialah apakah akan berlaku satu perubahan yang lebih kuat pada pemikiran anak-anak muda. Saya melihatnya, baik dari segi jentera, pelobi dan mereka yang hadir dalam ceramah-ceramah, saya nampak ramai golongan muda. Dan saya lihat seolah-olah golongan muda tetap dengan pendirian mereka iaitu mereka masih tidak boleh memihak kepada BN. Ini satu perkara yang saya rasa perlu difikirkan dan saya fikir bahawa sudah tentu Anwar dan PKR akan terus merasakan bahawa hujah mereka dalam soal Malaysian Malaysia barangkali mempengaruhi pendirian rakyat.

Di Permatang Pauh, berdasarkan keputusan peti-peti undi, pengundi Cina tidak ada pun (menyokong BN), mereka tidak bagi pun undi kepada BN sebenarnya.

Saya rasa di Parlimen Anwar mungkin akan membawa Agenda Ekonomi Malaysia yang menjadi agenda yang berlawanan dengan Dasar Ekonomi Baru. Saya rasa wujud trend ini, dengan kehadiran Anwar di Parlimen membawa pemikiran seperti ini. DAP sudah tentu akan menyokong kuat sebab saya tahu DAP lebih mengharapkan kemenangan Anwar kerana mereka tahu dengan kehadiran Anwar, ia akan memberikan kekuatan tambahan kepada DAP. DAP akan mendapat manfaat yang lebih besar daripada keputusan pilihan raya di Permatang Pauh.

Selepas pilihan raya kecil Permatang Pauh, apakah trend politik di Malaysia lebih bersifat bukan perkauman. Apakah konsep bangsa Malaysia itu akan semakin kuat dan apakah orang Melayu akan lebih tertekan, terutama UMNO. Apakah mereka semakin berani menyuarakan isu-isu orang Melayu. Apakah ini akan menyebabkan kerajaan semakin melonggarkan dasar-dasarnya, yang berkaitan dengan hak istimewa orang Melayu kerana tekanan seperti itu.

DR. MARZUKI: Dengan keputusan pilihan raya kecil di Permatang Pauh, persoalannya apakah mungkin selepas ini akan berlaku perubahan kerajaan pada 16 September. Seperti mana yang disebut oleh Dr. Mohd. Puad tadi mengenai soal pemikiran politik, adakah pemikiran politik orang Melayu sudah berubah.

Ada orang mengatakan bahawa pilihan raya umum Mac 2008 adalah satu pilihan raya protes kepada BN. Ini bermaksud nilai politik rakyat tidak berubah, cuma mereka memprotes. Dan pada pilihan raya kecil Permatang Pauh, kita nampak mood yang sama, jadi ini menimbulkan satu persoalan apakah itu satu protes ataupun nilai politik sudah berubah?

Pada bulan Julai lalu, di UIA, kami mengadakan satu tinjauan pendapat mengenai nilai politik orang Melayu dengan menemu bual lebih kurang 1,500 responden Melayu di seluruh Semenanjung. Kita tanya beberapa soalan yang kita boleh tafsirkan sebagai nilai politik, misalnya apakah pandangan mereka mengenai pilihan raya. Kita hendak tahu sama ada mereka sudah ada satu nilai politik yang menerima proses demokrasi.

Kita tanya soalan, perlukah pilihan raya diadakan sekiranya kerajaan dapat menyediakan pembangunan ekonomi. Daripada jawapan, kita dapati 70 peratus mengatakan walaupun kerajaan berjaya memberikan pembangunan ekonomi kepada rakyat, pilihan raya masih perlu diadakan. Maksudnya, bagi orang Melayu, proses demokrasi itu masih perlu dijalankan walaupun kerajaan dikatakan berwibawa untuk membawa pembangunan ekonomi. Dalam konteks pemikiran pembangunan ekonomi, kita mendapati mereka berpendapat kejayaan ekonomi sahaja tidak cukup. Proses demokrasi juga diperlukan.

Kemudian kami bertanya tentang hak keistimewaan orang Melayu. Sebanyak 90 peratus responden tidak bersetuju hak orang Melayu dihapuskan. Mereka mahukan hak keistimewaan orang Melayu dikekalkan tetapi dalam pada masa yang sama kaum-kaum lain harus diberi layanan yang adil.

Sebanyak 69 peratus mengatakan bahawa mereka tidak bersetuju dengan penahanan tanpa bicara. Ini bermaksud mereka mahukan undang-undang yang membenarkan penahanan tanpa bicara dihapuskan. Dalam konteks pilihan raya kecil Permatang Pauh, kita boleh perhatikan bahawa inilah mesej yang disampaikan oleh Pakatan Rakyat. Demokrasi dan layanan yang adil untuk semua kaum dan dalam masa yang sama mereka juga mengatakan hak orang Melayu mesti dipertahankan.

Datuk Ibrahim mengatakan Permatang Pauh ialah lubuk Anwar. Ada kemungkinan faktor lubuk juga perlu kita ambil kira. Kalaulah pilihan raya dibuat di tempat lain, mungkin situasinya berbeza. Tetapi sekurang- kurangnya di Permatang Pauh ia menunjukkan bahawa orang Melayu juga menyokong Pakatan Rakyat. Orang bukan Melayu dalam tinjauan kempen pilihan raya itu kita dapati menunjukkan sokongan yang berbeza kepada Pakatan Rakyat.

Jadi yang kita lihat pada masa depan dalam konteks politik Melayu ialah bagaimanakah nilai-nilai politik itu ditangani oleh parti-parti politik Melayu seperti UMNO misalnya. Legitimasi dasar politik sesebuah parti politik bergantung kepada bagaimana orang melihat parti politik itu. Kalau parti politik itu memperjuangkan sesuatu yang telah selari dengan nilai yang diperkatakan, mereka akan mengatakan bahwa parti itu mempunyai kesahan politik dan mereka boleh menyokong parti itu.

Dalam konteks ini, bagaimanakah parti politik Melayu seperti UMNO dan Pas, umpamanya, ingin respons kepada pemikiran-pemikiran politik yang baru. Saya nampak akhirnya akan berlaku pertembungan idea-idea politik yang lebih hebat daripada dulu selepas Anwar masuk ke Parlimen dan menggunakan Parlimen sebagai satu medan untuk memperjuangkan idea-ideanya.

Selera pengundi nampaknya berubah. Adakah keputusan pilihan raya kecil Permatang Pauh melambangkan isu pembangunan tidak laku lagi?

IBRAHIM: Ini adalah persoalan antara nilai dan protes. Kita ambil contoh isu Melayu iaitu isu membuka 10 peratus Universiti Teknologi Mara (UiTM) kepada bukan Melayu. Saya masih ingat lagi, ada isu yang lebih hebat daripada isu itu. Waktu MCA membangkitkan isu ketuanan Melayu pada tahun 1987, ada Operasi Lalang dan ramai yang kena tahan.

Bagaimanapun, pilihan raya selepas itu BN menang. Sebelum-sebelum itu pun begitu. Kemudian selepas Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mengambil alih (kepimpinan) daripada Tun Dr. Mahathir Mohamad, lagi hebat kemenangannya pada tahun 2004. Perubahan cuma berlaku dalam empat tahun kebelakangan ini. Itu persoalannya. Apakah soal nilai, saya tidak nampak nilai boleh berubah dalam masa empat tahun.

Saya mempertahankan hujah saya. Kita ambil contoh UMNO dan Pas. Bila sebahagian orang UMNO tidak puas hati, dia pergi kepada Pas. Mereka tidak pergi ke parti lain. Orang Cina pula, bila mereka melihat Melayu tidak kuat lagi, mereka berubah. Bagi saya, jentera pilihan raya amat penting. Saya seorang aktivis yang mempunyai pengalaman dalam banyak pilihan raya. Pada saya, jentera yang cukup kuat amat penting.

Di Permatang Pauh, awal-awal lagi strategi BN mengatakan Anwar akan menang. Bila sebut Anwar akan menang, kempen BN sudah lemah semangat. Dari segi psikologinya, orang berkata lebih baik kita duduk sebelah Anwar sebab Anwar akan menang.

Dalam soal spin doctor, kalau ada spin doctor pun, jika sikap orang UMNO tidak berubah, sampai bila pun tidak berubah. Kita tengok, sejak malam penamaan calon, pada pukul 2 pagi budak-budak PKR dan Pas tahan kereta di Permatang Pauh dan sebarkan risalah pilihan raya. Mereka menaiki kereta yang pasang bendera sampai selesai pilihan raya. Bermakna, jentera PKR telah berjaya mewujudkan mood iaitu mood Anwar akan menang. Jentera Pemuda UMNO pula saya tengok langsung tidak bergerak, tidak boleh lawan jentera PKR.

Di Permatang Pauh, saya melawat juga markas-markas BN yang saya tengok lesu. Mungkinlah pemimpin BN kempen sana sini, tapi di Parlimen saya tengok ada ramai menteri. Saya tanya, “Tak pergi Permatang Pauh ke? Jawab mereka: ‘Dah pergi semalam, tunjuk muka je la bos’.” Waktu saya mempertahankan UMNO dulu selepas Anwar dipecat, saya bergadai nyawa. Golongan muda yang baru jadi menteri, jadi timbalan menteri, jadi ahli Majlis Tertinggi UMNO, saya tengok penuh di Hotel Sunway Seberang Jaya. Mereka bukan berkempen, dok bercakap di bahagian dia dapat berapa pencalonan, dan sama ada pemilihan UMNO kali ini dapat naik lagi. Ketika itu budak-budak jentera PKR berada di kawasan bekerja (mempengaruhi pengundi).

Mungkin ada perubahan nilai, mungkin ada sedikit sebanyak, tetapi yang paling berat saya nak kata pengaruh Tun Mahathir. Dalam blog Che Det, beliau membawakan isu-isu yang ditulis dengan bahasa yang mudah dan pendek-pendek. Risalah yang mengandungi komen Dr. Mahathir dalam blog Che Det itu yang saya jumpa di kedai- kedai di kawasan Permatang Pauh. Ia digunakan oleh pembangkang.

Dua isu yang besar ialah isu Mohd. Saiful Bukhari Azlan bersumpah dan isu UiTM. Strategi BN mengatakan ini bukan politik, tak ada kena mengena dengan Permatang Pauh. Tapi kecekapan jentera Anwar, macam mana dia boleh ambil pula imam Masjid Wilayah Persekutuan bawa turun ke Permatang Pauh. Orang tidak terfikir, soalnya dia hanya jadi saksi (kepada sumpah) itu tapi bagi sesetengah orang imam datang mari nafi, itu pun dah boleh mengubah mereka.

Isu UiTM. Saya antara yang kuat mempertahankan UiTM, ini darah daging saya tetapi saya tidak bersetuju dengan cara penglibatan Naib Canselor UiTM yang kenyataan-kenyataannya dalam televisyen nampak berlebihan dan tidak nampak keintelektualan bila menjawab kenapa UiTM perlu dikekalkan statusnya. Budak-budak UiTM tunjuk perasaan. Ini yang jadi mood rakyat. Cawangan UiTM ada dalam Permatang Pauh. Budak- budak keluar tunjuk perasaan, di kawasan sekitar itu ada pengundi bukan Melayu yang tunjuk perasaan, ini memberi kesan kepada mereka.

Datuk Ibrahim mengatakan bahawa pemimpin politik UMNO tidak ada semangat juang untuk mempertahankan kerajaan dalam pilihan raya kecil Permatang Pauh. Benarkah gejala ini berlaku?

DR. MOHD. PUAD: Sejak pilihan raya Mac lalu, dengan kemerosotan undi yang dihadapi oleh bukan sahaja BN tetapi juga UMNO, saya melihat masih tidak ada formula baru yang diketengahkan untuk membuat pembetulan baik kepada BN mahupun kepada UMNO sendiri. Saya rasa lebih baik saya berterus terang. Isunya adalah isu kepimpinan.

Bukankah UMNO telah ada pelan pemulihan UMNO dan BN selepas pilihan raya umum lalu?

DR. MOHD PUAD: Saya rasa tidak ada. Terus terang saya rasa tidak ada (pelan pemulihan). Kalau tidak, kenapa ia tidak sampai kepada akar umbi parti.

Selain itu, saya rasa Anwar telah menjadi satu faktor yang menyatupadukan Pakatan Rakyat. Akhirnya politik masa depan kita adalah pertembungan antara gabungan, ia akan menjadi sistem dua parti dalam bentuk gabungan antara BN atau Pakatan Rakyat. Kejayaan Pakatan Rakyat (di Permatang Pauh) ialah mereka berjaya menguasai pemikiran pengundi. Tentang soal perubahan nilai, itu saya rasa menjadi satu perbahasan. Saya anggap apa yang berlaku lebih kepada persepsi. Persepsi yang gagal. Isu yang berbangkit lambat diselesaikan. Cara untuk menyelesaikannya pun tidak betul, jadi persepsi itu terus melekat pada pemikiran rakyat.

IBRAHIM: Bila kita kata pengundi Melayu sudah lari daripada UMNO, ia berkaitan dengan bagaimana hak keistimewaan Melayu dipertahankan. Apa yang berlaku sebenarnya? Orang Melayu memang melihat bahawa dalam konteks hak ketuanan Melayu, UMNO ini sudah tinggal retorik. Kita memang pertahankan tapi masalahnya ia dah jadi hanya retorik, sebab itu mereka (orang Melayu) tidak puas hati, lari kepada Pas. Bila orang Melayu lari kepada Pas, Cina melihat kredibiliti BN yang lemah.

Adakah politik kita sedang berganjak ke arah sistem dua parti?

DR. MARZUKI: Sebenarnya, sistem dua parti ini bukan macam sistem dua parti di Amerika Syarikat. Sistem dua parti ini dalam bentuk gabungan dan kalau kita lihat dalam Pakatan Rakyat juga bersifat kaum. Walaupun mereka (pemimpin pembangkang) akan katakan bahawa politik yang cuba dibawa itu bentuknya tidak bersifat kaum, tetapi akhirnya kalau kita perhatikan, misalnya dalam isu muzakarah UMNO-Pas, isu yang dibincangkan juga bersifat kaum dan agama. Dalam konteks sistem dua parti itu, yang berubah ialah tiada parti yang dominan dalam sistem politik negara.

Dalam ketiga-tiga parti utama Pakatan Rakyat iaitu PKR, Pas dan DAP, ada dua perkara: Satu, matlamat ideologi; kedua, matlamat kuasa. Dari segi matlamat ideologi, Pas ada ideologinya, PKR ada ideologi sendiri dan DAP dengan ideologi DAP. Tetapi matlamat kuasa menyatukan tiga parti yang berbeza ideologi itu, menyebabkan orang Pas sanggup menyokong Anwar yang berbeza ideologi atau kalau ada pilihan raya diadakan di mana-mana kawasan DAP, penyokong Pas boleh menyokong calon DAP.

DR. MOHD. PUAD: Itu sudah berlaku di tempat saya. Kita boleh kaji berdasarkan keputusan peti-peti undi. Di peti undi di kawasan saya di Sekolah Chung Hwa, calon Dewan Undangan Negeri ialah orang Pas tapi undi pengundi Cina pergi kepadanya. Kita tahu di situ ada cawangan DAP. Itu membuktikan sudah tidak timbul masalah, sebab itu saya kata faktor Anwar telah menyebabkan mereka sanggup kompromi semua ini. Yang penting ialah tidak ada sebuah parti boleh memerintah negara ini tanpa ada gabungan.

IBRAHIM: Sama ada akan jadi sistem dua parti tidak mudah tapi ia mungkin jadi realiti. Kalau Pas berhenti dengan slogan dan matlamat mewujudkan negara Islam dan (pelaksanaan) hukum hudud manakala DAP tidak ungkit lagi soal Malaysia sebagai negara Islam, maka sistem dua parti itu kini sedang dalam proses. Kalau ini terjadi, lagi penatlah BN.

Di Permatang Pauh, mula-mula saya tengok mood pengundi Melayu banyak lari kepada BN. Bila keluar isu sumpah Saiful, lagilah nampak kuat orang Melayu nampak hendak menyokong BN tetapi isu itu overblown. Bila overblown, semua ulama Pas mempertahankan Anwar secara senada. Pada saat-saat akhir, Tok Guru Nik Aziz Nik Mat pergi ke Permatang Pauh. Dia ulas bab Saiful dua hari sebelum mengundi, selepas itu semua undi Melayu (Pas) kembali kepada Anwar.

Pada masa depan, saya tengok Anwar masih lagi di persimpangan jalan. Dia perlu lepas dulu rintangan kes Saiful yang sudah jadi kes mahkamah dan yang terbaru dakwaan dia terbabit dalam rasuah RM60 juta yang didakwa oleh Datuk Nallakaruppan (sebagai suapan yang diberi oleh syarikat Magnum Corporation).

Tarikh pembentukan kerajaan pada 16 September, saya sendiri pun sebagai Ahli Parlimen merasakan ia tidak akan menjadi kenyataan. Ini ditambah pula dengan (dakwaan) Anwar, dengan segala kekuatan dia mampu meyakinkan rakyat bahawa akan berlaku perubahan kerajaan pada 16 September ini. Sudah ada dalam mindset rakyat bahawa kerajaan akan berubah pada 16 September ini. Kempen ini cukup berkesan.

Walhal banyak orang tidak sedar. Orang tidak tanya Anwar, 16 September itu tahun mana. Perasan atau tidak, Anwar tidak pernah sebut 16 September 2008. Dia hanya sebut 16 September. Ia boleh jadi 2009, boleh jadi 2010. Cuma mimpi saya, ia boleh jadi apa saja tahun. 16 September itu bulan puasa, tahu ke? Parlimen tidak bersidang.

Gosip politik yang tersebar di Permatang Pauh ialah kebanyakan orang Cina di situ kononnya mengundi Anwar kerana mereka berharap kalau Anwar membentuk kerajaan, Timbalan Perdana Menterinya ialah pemimpin Cina dan India. Adakah gosip ini akan jadi kenyataan?

DR. MOHD. PUAD: Ya, ini pun dibimbangi oleh Pas. Sebab itu timbul cerita Pas melakukan muslihat cuba memujuk 10 Ahli Parlimen UMNO untuk bersedia, sekurang-kurangnya bagi nama dahulu tanda beri kebenaran bagi mengelak Lim Kit Siang menjadi Timbalan Perdana Menteri, memandangkan kerusi DAP di Parlimen lebih banyak daripada Pas.

Pas hendak bawa senarai itu kepada Anwar, dan kata, “Kami sudah ada 10 Ahli Parlimen UMNO yang bersedia masuk Pas, daripada 22, bilangan Ahli Parlimen Pas menjadi 32, maka kamilah yang lebih layak mendapat jawatan Timbalan Perdana Menteri.” Ini bukan soal gosip tapi saya rasa satu realiti yang menjadi kebimbangan pada Pas dan saya tidak menolak ini punca berlakunya muzakarah antara Timbalan Presiden Pas dengan Perdana Menteri. Yang menjadi satu isu sekarang ialah (kekuatan sebenar) PKR. Apabila Anwar masuk Parlimen, apakah PKR akan menjadi kuat berasaskan kepada kekuatan sistemnya.

Ini menjadi isu sebenarnya, sebab itu saya kata bahawa UMNO dengan Pas ini adalah parti akar umbi yang terdidik dengan pemikiran tertentu. Tetapi kita tidak boleh lupa bahawa Pas sendiri sudah semakin terbuka. Saya tahu kerana ramai Ahli Parlimen muda dalam Pas merupakan rakan-rakan saya semasa menjadi aktivis pelajar dahulu. Saya rasa mereka sudah berjaya mempengaruhi pemikiran di dalam Pas supaya menjadi lebih terbuka.

IBRAHIM: Kuat (saya) kritik Pas dulu. Pas kini semakin pragmatik. Walaupun dia kata dia Islam, dia lebih pragmatik daripada UMNO. Cara bertindak Pas memang pragmatik. UMNO pula dah tidak jadi pragmatik, orang UMNO sendiri pun dia buang ikut suka hati dia saja… tanggunglah.

Tadi Datuk Ibrahim ada kata bahawa beliau tidak begitu percaya Anwar boleh membentuk kerajaan pada 16 September ini.

DR. MOHD. PUAD: Memang tidak akan berlaku. Saya tahu Anwar berpolitik sebab Anwar ini dia mempunyai satu sifat iaitu dia seorang yang strong character, good negotiator, good manipulator. Bagi sayalah, kesan daripada pilihan raya kecil Permatang Pauh ini, dengan masuknya Anwar ke dalam Parlimen, dia akan mewujudkan lebih banyak kekeliruan dalam pemikiran politik orang Melayu.

DR. MARZUKI: Saya lebih melihat, kalau pun ia tidak berlaku, soal Anwar Ibrahim sebagai pembida dalam politik, terutama dalam konteks dasar-dasar kerajaan, akan terus berlegar. Sekiranya momentum ini cuba dibawa oleh Anwar yang pada hari ini dibantu oleh media baru dan kadang-kadang media cetak, saya melihat walaupun kerajaan baru Pakatan Rakyat tidak boleh diwujudkan pada 16 September, tetapi pertarungan idea itu akan terus berterusan.

IBRAHIM: Saya rasa (keadaan) lebih sihat, maknanya saya tengok UMNO akan lebih sedar.


----------------------------------------

AgendaDaily Ogos 30hb, 2008

UMNO akan bersihkan parti, tak mahu ahli musang berbulu ayam

Oleh: ROSLAN BIAN

UMNO akan melakukan pembersihan terutama di peringkat cawangan bagi memastikan hanya ahli yang tulin dan setia sahaja kekal dalam parti itu.

Malah, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Mansor meminta ahli-ahli yang sudah atau mahu keluar parti membuat perisytiharan.

“Kita tidak mahu ada antara mereka jadi talam dua muka, gunting dalam lipatan atau musang berbulan ayam yang akan merosakkan UMNO,” katanya kepada Agendadaily di Putrajaya, Sabtu.

Beliau menjawab pertanyaan kemungkinan budaya lompat parti membabitkan ahli-ahli UMNO di negeri yang dikuasai pembangkang berlaku dengan adanya ura-ura Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan menerajui kerajaan baru sebagai Perdana Menteri.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Putrajaya mengakui ada ahli UMNO tukar baju kepada PAS dan Keadilan (PKR) dalam pilihan raya kecil Permatang Pauh, baru-baru ini.

“Ada maklumat dan data sudah diberi kepada ibu pejabat UMNO tetapi kita belum buat pembersihan. Kita akan buat pembersihan supaya ahli yang tulin dan setia sahaja bersama UMNO,” katanya.

Tengku Adnan berkata, ketika berjumpa 92 cawangan di bahagian Permatang Pauh beliau sudah meminta senarai tersebut dan pembersihan akan dilakukan.

3 comments:

Anonymous said...

Time for UMNO to move aside .... we need a new direction, a new Malaysia.


Prof Dr. Azly Rahman

Anonymous said...

UMNO harus berbuat sesuatu untuk mengekalkan parti itu dalam negara ini. Jika tidak, UMNO hanya tinggal nama dalam sejarah saja. Kajian-demi kajian harus diusahakan untuk tujuan itu. Mana yang harus dibersihkan, dibersihkan. Jangan tunggu sampai UMNO lenyap dalam PRU ke 13 akan datang...

Anonymous said...

Tak menjadi isu besar kekalahan dekat situ, dah namanya kubu kuat. Kemenangan Anwar dah dapat dijangka. Anwar memang sengaja nak bertanding situ walaupun sebelum ni sibuk cakap nak bertanding sana sini tempat lain. Dia nak buat nampak macam sokongan orang ramai secara seluruhnya sangat kuat terhadap dia. Tak semua sokong dia, kat tempat dia memang la orang sokong.

My Say