Saturday, March 14, 2009

Najib mungkin tidak jadi Perdana Menteri, kata Dr Mahathir

Dalam acara soaljawab Majlis Wacana Mubarak pagi tadi, Tun Dr Mahathir membayangkan kemungkinan Pak Lah mahu kekal sebagai Perdana Menteri dengan sokongan ahli-ahli Parlimen yang pengikut-pengikutnya dan ahli-ahli Parlimen pembangkang.

Mubarak adalah badan untuk bekas wakil-wakil rakyat UMNO. Siri Majlis Wacana yang diadakan di Oditorium Memorial Tun Hussein Onn menjemput Tun Dr Mahathir Mohammad untuk menyampaikan ucapan "Demokrasi dan Kepimpinan Masa Depan Malaysia."

Mesej Dr Mahathir hari ini seiring dengan kata-kata dari ucapan pembukaan Dato Dr Ibrahim Saad. Dr Ibrahim memetik kata-kata Aristotle yang bermaksud sesorang itu dilahirkan dengan kebolehan untuk memimpin atau dipimpin. Katanya lagi, masaalahnya sekarang adalah mereka yang sepatutnya dipimpin mahu menjadi pemimpin.

Dalam ucapannya, Dr Mahathir merujuk kepada kata-kata ini untuk menyatakan masaalah negara hari ini adalah kelemahan kepimpinan yang tidak berupaya untuk memimpin. Walaupun demokrasi adalah sistem yang terbaik di mana rakyat dan ahli parti boleh memilih pemimpin, sistem itu juga mempunyai kelemahan dan kecacatannya.

Dalam ucapannya, sistem demokrasi adalah sistem yang dipilih untuk amalan UMNO pada tahun 1946 untuk menentang Malayan Union. Kemudian baru ianya diperkenalkan ke dalam sistem kerajaan.

Demokrasi menolak sistem feudel yang mana hanya raja-raja yang berperanan dan bersuara dalam politik. Ini lambat laun melemahkan kuasa raja-raja kerana tidak jelas dengan sokongan rakyat. Akhirnya, mereka mudah dipujuk rayu atau diputarbelit hingga sedia menyerah kuasa kepada penjajah untuk memerintah tanpa merujuk fikiran rakyat dan ini tidak pula dipersoalkan rakyat.

Katanya, ciri utama dalam demokrasi adalah hak untuk memilih pemimpin. Kebebasan bersuara, hak asasi manusia, kebebasan berakhbar dan lain-lain dianggap ciri-ciri tambahan. Kelemahan dan kecacatan utama kepada demokrasi adalah bila hak untuk memilih pemimpin tidak dapat dilaksanakan dan proses pemilihan itu tidak terlaksana dengan betul. Pemilih tidak tertib, ilmiah dan rasional dalam akal fikiran.

Sering majoriti memilih pemimpin tidak berdasarkan kebolehan dan keupayaan tetapi faktor-faktor seperti asal usul, keserasian peribadi, keakraban, kaum dan lain-lain. Bertambah lagi, apabila faktor lain khususnya wang menjadi penentu pilihan. Maka ini telah menidakkan demokrasi dan pemilih tidak memanafaatkan kuasa yang ada padanya. Akibatnya kepimpinan yang dipilih bukan baik dan tidak berkhidmat untuk kepentingan agama, bangsa dan tanahair.

Beliau juga menyentuh mengenai perlunya kerajaan yang dipilih itu tegap untuk menjalankan tanggungjawab. Dengan memberi misalan kepada Thailand yang mengalami siri turun naik pemimpin, pilihanraya dan demonstrasi oleh pihak yang tidak berkuasa, kerajaan yang tidak tegap tidak dapat mentadbir dengan baik dan menghabiskan masa mempertahankan kuasa.

Menurutnya, Malaysia berjaya dengan amalan demokrasinya, walaupun tidak mengamalkan liberal demokrasi yang serba bebas. Dahulu Malaysia dikritik kerana ISA tetapi kini negara maju tidak lagi. Malah mereka lakukan lebih teruk dengan penjara Guantanamo Bay, Abu Gharib dan lain-lain, kerana ISA mempunyai asas undang-undang tetapi mereka tidak mengikuti asas undang-undang.

Beliau menyentuh isu yang sering dikatakannya beberapa tahun lepas mengenai kesetiaan membabi buta kepada pemimpin. Setelah memilih pemimpin, ramai memberi kesetiaan hingga mengenepikan tingkah laku buruk pemimpin kemudiannya, serta tujuan dan perjuangan parti. Tegas beliau, kesetiaan itu haruslah kepada perjuangan parti yang telah dimaktubkan dalam perlembagaan dan bukan kepada orang perseorang.

Dalam sejarah UMNO, berlaku beberapa kali pemimpin yang lari dari tujuan dan perjuangan parti ditegur. Apabila tidak dikehendaki lagi oleh ahli parti dan rakyat, mereka sedia mengundur.

Menurutnya, sebahagian dari demokrasi adalah "menjatuhkan pemimpin" yang sudah lari dari asas perjuangan. Walaupun ia boleh menimbulkan "huru hara", ia perlu dilakukan dari membiarkan pemimpin itu terus membawa kerosakkan.

Dr Mahathir mengulangkan desakan yang dibuat sebelum Pilihanraya Umum 2008 supaya tidak mengundi pemimpin yang korup dan "kalahkan parti" jika perlu. Ini semua demi memastikan kepimpinan parti adalah diterajui oleh mereka yang bersih.

Peranan demokrasi ini perlu dimainkan oleh semua, baik rakyat dan ahli parti, yang terlibat dalam proses demokrasi.

Semasa sesi soaljawab, Dr Mahathir dipinta memberi komen mengenai Dato Seri Najib. Pada awal Majlis, Mubarak telah menyatakan pendirian mereka untuk indors Dato Najib dan Tan Sri Muhyiddin.

Menurut Dr Mahathir, Najib adalah pentadbir yang baik tetapi dia tidak berapa memahami politik akarumbi. Dia tidak naik dari bawah dan hanya berlegar dalam politik "atas". Maksud politik "atas" adalah Perdana Menteri berkuasa dan perlu ditakuti.

Susulan itu Dr Mahathir mengingatkan Najib supaya tidak mengulang perbuatan sedemikian dan harus mendengar dan menyuarakan hasrat orang bawah dalam tindakannya. Dia harus memastikan ahli Kabinetnya tidak ada yang rasuah.

Sehubungan dengan itu, seorang hadhirin yang datang dari Johor menyuarakan hasrat jambatan bengkok di bina semula. Dr Mahathir mengingatkan Najib harus mendengar permintaan seperti dan menyambung semula projek tersebut. Menurutnya, projek ini dibatalkan atas keputusan Pak Lah menggunakan alasan kononnya orang Johor tidak mahu. Padahal orang Johor tidak mahu penjualan pasir sebanyak 1 billion meter kiub kepada Singapura.

Isu peralihan kuasa Pak Lah kepada Najib timbul dalam soal jawab. Dr Mahathir membayangkan Najib berkemungkinan tidak dapat menjadi Perdana Menteri jika makan tengahhari antara Pak Lah dan Anwar mencapai satu persetujuan.

Katanya, dengan sebahagian ahli Parlimen BN dan pembangkang menyokongnya, Pak Lah boleh kekal sebagai Perdana Menteri walaupun Najib memegang jawatan Presiden UMNO. Ini boleh berlaku selepas Persidangan Agung UMNO.

Mengikut pengalaman beliau, Tun Hussein Onn menetapkan Majlis Angkat Sumpah dua minggu selepas dia memegang jawatan Presiden UMNO.

Dr Mahathir menerangkan kepada satu soalan bahawa proses pertukaran kuasa sepatutnya dilakukan melalui proses undi tidak percaya dalam mesyuarat Dewan. Pada pendapatnya, ini menyebabkan pertukaran kuasa di Perak membawa banyak masaalah. Ianya pun dilakukan dengan gopoh dan tidak terancang.

8 comments:

Parpu Kari said...

SALAM BRO, SAYA TAK SEMPAT NAK PEGI PAGI TADI...RUGI RASANYA..

ANYWAY BRO, SAYA NAK AMBIK ARTIKEL YOU UNTUK DISIARKAN DI BLOG SAYA..

INSYA'ALLAH MINGGU DEPAN SAYA AKAN JUMPA TUN DI PERHIMPUNAN PRIBUMI NEXT WEEK...

YOU PERGI KE BRO??

Politikanjing(PA) said...

ABIW,

1. Tahukah anda kini betapa ramai rakyat Malaysia yang 'gentar' jika Najib menjadi PM?

2. Mereka bukan gentar atau takut pada Najib tetapi 'risau dan sangsi' pada Datin Seri Rosmah.

3. Malah kini ramai yang berkata "lebih baik Pak Lah daripada Najib".

4. Jadi jika apa yang dikatakan oleh Dr.Belit itu benar, ia mungkin makbul doa dan harapan rakyat Malaysia yang tidak mahu Najib menjadi PM.

http://politikanjing.blogspot.com

kluangman said...

Jawatan PM acapkali menjadi satu jawatan anugerah Illahi, ada orang yang sudah menghmapiri akhirnya 'melepas' kerana onar sendiri, ada juga yang tidak dapat bertahan lama.

Apa yang penting, rakyat Malaysia makin mampu menilai untuk memendekkan atau memanjangkan hayat seseorang itu dikerusinya.

gigikutercabut said...

Assalamualaikum Saudara,

Benar kata Tun bahawa sistem kita telah berubah daripada feudal kepada demokrasi ... tapi masalahnya mentaliti masih feudal ... itulah sebabnya kalangan pemimpin2 tak tahu bila nak turun, nak bila nak berenti ... seolah-olah bukan kepentingan rakyat yang hendak dijaga

Hamba said...

SEMUA YANG MENJADI AHLI UMNO LANSUNG TIDAK LAYAK MENJADI PEMIMPIN. DARI DUA DEKAD LEPAS SEHINGGA KINI SEMUANYA ADALAH SAMPAH SARAP, TIDAK LEBIH DARI ITU. JADI JANGAN NAK BERANGAN2 MAT JENIN BAHAWA ORG UMNO MEMPUNYAI KALIBER PEMIMPIN..... PEMIMPIN YG BERKALIBER DI DALAM UMNO BERAKHIR DGN TUN HUSSIEN ONN. ANAKNYA HISHAMUDDIN LANGSUNG TK BOLEH DI GELAR BERAKAL INIKAN PULA SEBAGAI PEMIMPIN....

kluangman said...

Adalah lebih bijak jika Najib memberi laluan kepada Muhyiddin sebagai PM dengan perkenan SPB.

Anonymous said...

Salam CW3...

http://loqotoq.blogspot.com/

Anonymous said...

bro,
Wonder if last minute seminar by internal affair tnb on Caught Red handed on this wednesday 18th got something to do with Perhimpunan Perkasa by Tun M on 22nd (sunday)(to scare off its staffs).

stonehead

My Say