Wednesday, June 10, 2009

"Malaysian solution" dan meringankan beban rakyat untuk model ekonomi baru NEAC


Dato Seri Najib telah mengumumkan penubuhan Jemaah Penasihat Ekonomi Kebangsaan atau bahasa Inggerisnya, National Economic Advisory Council (NEAC). Pengerusi NEAC telah diumumkan Najib sebagai Tan Sri Amirsham Abdul Aziz. Beliau adalah bekas Menteri Jabatan Perdana Menteri untuk Unit Perancangan Ekonomi dan CEO Malayan Banking Berhad.

Terma rujukan yang telah diberikan kepada Amirsham adalah untuk memformulisasikan model ekonomi baru untuk hala tuju jangkamasa yang sangat panjang. Ini adalah satu cabaran besar untuk Amirsham kerana ia memerlukan pemikiran yang berpandangan jauh dan melampaui dunia komersil dan dunia perbankan Malaysia yang terlindung.

Jika kita fikirkan kembali sejarah kita dari sejak merdeka hingga ke masakini, syukur Alhamdulillah Malaysia sentiasa dianugerahkan insan yang berkesungguhan (political will) dan berkebolehan dalam memikir dan merancang sesatu yang boleh diistilahkan sebagai "Malaysian solution" atau jalan penyelesaian yang unik untuk Malaysia.

Malaysian solution mengambil kira suasana dan lanskap sosial, ekonomi dan politik. Ianya merupakan suatu penyelesaian muzakarah dan tolak ansur melibatkan pelbagai pihak yang mewakili kumpulan-kumpulan berhak dan berkepentingan tertentu. Kadang-kadang kita memikir dan melahirkan polisi-polisi yang sungguh jauh diluar norma amalan untuk menyelamatkan negara seperti polisi menghadapai krisis matawang.

Semua ini berupaya dilakukan kerana kita sendiri yang berusaha memikir dan mencari penyelesaian, merangka model tersendiri dan pendekatan implimentasi tersendiri. Kita tidak merangka polisi yang hanya merupakan potong dan tampal ("cut and paste") dari tempat lain atau pemikiran beracuan ("template") untuk meniru buta-buta cadangan konsultan luar yang tidak mengambilkira senario tempatan hanya membawa kehancuran.

Pentingnya kita perlu rajin, berintegriti dan bersemangat dalam usaha kita untuk memberi keutamaan kepada agama, bangsa dan negara. Dalam hal ini, keutamaan seharusnya sentiasa diberikan kepada agenda pembinaan negara bangsa dan kesejahteraan rakyat, bukannya kegilaan untuk mengejar sesuatu angka ukur pencapaian dunia (world indicators).

Tidak semesti pemikiran filosofi liberalisasi dan meritokrasi harus diikut buta-buta walaupun diketahui ianya difahami adalah keperluaan masakini. Kerana ia perlu sesuai dan akur kepada agenda pembinaan negara bangsa.

Banyak ide ingin dikemukakan kepada NEAC tetapi pada penulis, prioriti harus diutamakan kepada meringankan beban kepada rakyat. Dari mula usaha pembangunan ekonomi semasa DEB bermula pada awal tahun 1970an, penekanan adalah ke arah ini dan polisi kerajaan menekankan pengawalan kadar inflasi.

Malah polisi ini adalah merupakan tulang belakang negara seperti Amerika yang mana pernah penulis mendengar seorang Presiden berkata, "There is no compromise on the lifestyle of the American people". Maksudnya inflasi perlu dibendung supaya kuasa membeli pengguna tidak terjejas dan kehidupan rakyat tidak terbeban.

Model ekonomi tidak boleh berasaskan ekonomi laisse fairre (bebas) yang mana kuasa-kuasa ekonomi bebas dalam model kapitalis menjadi penentu tanpa menmira impak kepada rakyat jelata. Peranan kaum pemodal diakui tetapi tuntutan mereka tidak boleh diberi keutamaan hingga sampai ke tahap melampaui kesejahteraan hidup rakyat.

Polisi-polisi yang menyokong model ekonomi baru haruslah unik, kreatif, dan telah difikir mendalam. Keutamaannya haruslah meringankan beban kehidupan rakyat untuk membendung inflasi dalam sistem ekonomi negara dan kemampuan untuk menyara perkara asas dalam kehidupan.

Saya tertarik kepada tulisan dari pembaca akhbar yang tersiarkan di laman blog Perdana Menteri di sini, seperti berikut:

Berusaha ringankan beban rakyat

PRINSIP 'Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan' yang menjadi teras kepimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak mula menampakkan perubahan struktur dan prosedur yang jelas.

Lantaran itu, kita tidak mahu gagasan murni, idea bernas, dan kesungguhan Perdana Menteri akhirnya menjadi backclash kepada imej kepimpinannya apabila kesemua 'jentera' di bawahnya gagal berfungsi seperti diharapkan.

Contoh duluan melalui lawatan mengejut, ke kawasan tumpuan rakyat, kurangnya sambutan permaidani merah, penamatan majlis rasmi kerajaan yang tidak melewati jam, 11 malam, daya upaya melonjakkan transformasi pelbagai sektor dan perkhidmatan untuk menjadi pemain utama di peringkat global adalah antara pelan taktikal dan KPI yang kini kian menemui hasratnya.

Apa yang 'penting' outcome dari kesemua usaha itu akhirnya diterjemahkan dalam bentuk wujudnya kepuasan maksimum di hati rakyat.

Dengan penguncupan pertumbuhan KDNK negara -6.2 peratus, peningkatan harga minyak mentah yang kian menunjukkan pola menaik, menurunnya harga komoditi, kos sara hidup yang kian terasa, soal pemberhentian secara sukarela dan pembuangan kerja yang berlaku meskipun terkawal, penularan wabak HINI yang menjejaskan sektor pelancongan dan meningkatnya kos tanggungan sosial kerajaan, biaya kesihatan dan pendidikan yang kian mahal maka langkah dan tindakan taktikal yang bersifat segera, pantas wajar disegerakan.

Selain pelan tindakan ekonomi berkenaan menguntungkan majoriti rakyat bukan sekadar berpusat untuk memuaskan hati masyarakat pedagang dan konglomerat besar semata-mata.

Dalam konteks inilah, pakej rangsangan ekonomi pertama dan kedua yang menelan belanja RM67 bilion sungguhpun telah berjalan pada kadar yang agak memuaskan namun masih banyak ruang atau segmen sektor perbelanjaan ekonomi perlu dipelbagaikan.

Rasionalnya ada tiga. Pertama biarlah perbelanjaan awam ataupun apa jua pengumuman peruntukkan kerajaan sampai kepada golongan sasar. Kedua, nikmat pengagihan itu dirasai secara menyeluruh bukan sekadar dinikmati oleh kelompok yang sama. Ketiga, biarlah perbelanjaan itu akhirnya akan menghasilkan kitaran ekonomi yang lebih holistik sifatnya.

Menyedari hakikat itulah disarankan agensi dan jabatan terlibat dalam pengagihan peruntukkan ini mempercepatkan proses kelulusan, proses kerja dan kurangnya isu remeh-temeh yang boleh menyusahkan rakyat. Barangkali punca kenapa institusi ah long diminati rakyat marhein kerana pinjamannya meskipun berisiko tinggi sehingga ke tahap bergadai nyawa namun prosedurnya lebih segera, pantas dan mudah.

Ada beberapa pakej rangsangan ekonomi marhein yang boleh digerakkan untuk kurangkan beban rakyat seperti aspek kesihatan dan pendidikan. Dalam hal ini dicadangkan langkah berikut sebagai usaha tambahan kerajaan untuk mencergaskan pertumbuhan ekonomi negara dalam masa yang sama mengurangkan tahap bebanan kos sara hidup dan perbelanjaan yang kian meningkat yang terpaksa ditanggung rakyat marhein.

Antaranya :

a) Mewujudkan kembali skim baucar tuisyen bagi semua peringkat peperiksaan yang akan dihadapi oleh pelajar. Keutamaan kepada masyarakat pelajar tanpa mengira bandar atau luar bandar.

b) Elaun sara hidup anak, bagi suami isteri bekerja di kawasan bandar yang mempunyai tiga anak atau lebih. Elaun hanya layak dinikmati oleh tiga orang anak. Pendapatan gabungan suami isteri mestilah kurang dari RM3,000. Disarankan setiap anak dibayar RM100 setiap orang sebulan.

c) Diskaun harga buku kerja sekolah, buku teks, buku ilmiah kegunaan pelajar rendah, menengah dan IPTA serta IPTS sebanyak 50 peratus.

d) Bayaran minimum tidak melebihi RM500 bagi pendaftaran kemasukan pelajar baru ke IPTA dan IPTS.

e) Penghapusan bayaran pendaftaran RM1 bagi pesakit luar yang mendapatkan rawatan di hospital kerajaan.

f) Diskaun 50 peratus bagi pesakit kronik yang menghuni di wad-wad hospital kerajaan.

g) Geran bantuan awalan minimum RM500 bagi keluarga yang berpendapatan RM2,500 ke bawah yang mempunyai tiga atau lebih anak yang bersekolah. Geran ini diberikan sebelum penggal persekolahan baru dibuka.

h) Potongan 50 peratus bagi harga komputer untuk pelajar IPTA dan IPTS selain kemudahan broadband percuma yang ditaja oleh syarikat telekomunikasi percuma sebagai sebahagian tanggungjawab sosial korporat mereka.

i) Kemudahan pendidikan percuma bagi peringkat diploma, dan kolej komuniti
Saya yakin jika dua sektor yang berteraskan perkhidmatan sosial ini yakni pendidikan dan kesihatan diberi keutamaan, beban tanggungan sebahagian besar rakyat marhein dapat dikurangkan.

Hanya dengan cara ini, bebanan rakyat dapat diminimumkan, persekitaran kondusif dapat dijayakan selain punyai korelasi untuk mengurangkan jenayah juvana dan kes-kes jenayah kecil akibat kesempitan hidup.

SOBRI SUDIN
Sentul, Kuala Lumpur

Sumber : Utusan Malaysia

2 comments:

Anonymous said...

Voice,

The final solution is to carry on teaching science and mathematics to our young malay kids in English. Please do NOT revert back to teaching them in the peasant language that is love very much by PAS, DAP, PKR , GAPENA. Malay will loose its middle class status as the result of they cannot count in english or cannot express scientific ideas in english. The only social classes they will have in the next decade is 99% peasants and urban underclass and 1% elites.

Prof Awe Kecik

Dato' Bendahara said...

Saya suka kalau ekonomi berteraskan patrotisme....

Senang cerita macam ini, saya ada beberapa kotak mengenai Omar Ong. Kalau dia pakai Tan Sri untuk menghancurkan ekonomi, saya akan dedahkan kotak demi kotak.

Mereka-mereka yang patriotik dedahkan sahaja, Omar Ong bukan bersih.

Tun M tak happy dengan ikan bilis Omar Ong. Lamakah Omar Ong berkuasa?

My Say