Greetings

Wednesday, November 07, 2007

Mitos Keterbukaan, Ketulusan dan Kedemokrasian Pak Lah

Seorang penggiat UMNO dari Terengganu, bekas wartawan Watan, dan penulis buku politik, Zabidi Saidi, pernah menulis di laman web UMNO Reform pada Jun 21hb, 2006 memuji Pak Lah kerana keterbukaannya. Beliau berkata zaman Pak Lah sesiapa sahaja boleh mengkritiknya. Dipembukaan suratnya, dia menulis:

Sikap Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Haji Ahmad Badawi (Pak Lah) tidak melenting dengan kritikan bekas bossnya, Tun Dr. Mahathir Mohamad wajar dipuji. Bagi Pak Lah, bekas Perdana Menteri itu bebas bercakap apa sahaja termasuk melemparkan kritikan pedas terhadap beliau kerana Malaysia adalah negara demokrasi.
Penulis rasanya kenal saudara Zabidi ini. Mengikut Kod Da Vinci kami, Zabidi dan penulis adalah saudara sekawah. Kami sama-sama punya semangat ingin ambil tahu berkenaan isu semasa sosio-politik negara. Pada tahun 1984, kami bersama menyumbang menubuhkan sebuah NGO yang kini telah bercambah, besar dan dikenali ramai. Untuk membaca tulisannya sepenuh, kerlip terus ke laman UMNO Reform sini.

Banyak sekali peristiwa telah berlalu sejak tulisan beliau. Apakah pendirian beliau kini? Harapnya saudara penulis ini tidak leka dan lupa dibuai tiupan bayu di negeri ulik mayang yang panjang pantainya.

Jangan terlupa peristiwa Tun Dr Mahathir disembur racun di Kota Baru pada bulan March 2006 untuk memastikan acara syarahannya tergendala.

Jangan terlupa usaha terancang dari UMNO Ibu Pejabat dan Negeri Kedah untuk memastikan Tun Dr Mahathir tidak terpilih mewakili Bahagian Kubang Pasu sebagai perwakilan ke Perhimpunan Agung UMNO 2006.

Jika di usaha, pasti boleh terjumpa di Internet, surat Dr Mahathir bertarikh November 3hb memberitahu penggunaan pelbagai cara untuk menahan 14 acara majlis syarahan Dr Mahathir.

Adakah ini namanya keterbukaan, ketulusan dan kedemokrasian? Ah, mungkin ini cerita lama dan sudah tidak releven kepada suasana terkini.


Baiklah.

Jika cerita baru yang dimahukan, semalam seorang ahli UMNO dari Johor, Johari bin Ismail, 49 telah membuat laporan polis di Balai Dang Wangi pada pukul 4:25 petang berkaitan peristiwa di Kubang Pasu tahun lepas.

Laporan ini menyatakan Pak Lah telah membincang atur di Mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO bertarikh 28hb Ogos 2006 untuk memastikan hak Dr Mahathir untuk bertanding dan dipilih sebagai ahli delegasi Bahagian UMNO Kubang Pasu ke Perhimpunan Agung Tahunan UMNO tahun 2006 dinafikan.

Usaha yang dipersetujui oleh Presiden UMNO untuk mengalahkan Dr Mahathir melibatkan usaha satu kempen habis-habisan, menggunakan cara lembut, halus, kasar dan terang-terang, termasuk pemberian rasuah politik berupa wang RM200 dalam sampul surat perang. Akhirnya Dr Mahathir tidak terpilih. Malah, ada yang membuat andaian pengiraan undi pun ada penipuannya.

Selepas kekalahan itu, beberapa ahli UMNO telah membuat pendedahan dan membuat laporan kepada Unit Tatatertib dan Disiplin UMNO. Laporan itu tidak diambil peduli dan tiada sebarang penyiasatan susulan pun dibuat. Malah kelima-lima mereka yang melaporkan telah dibelasah oleh gangster dirumah di hadapan keluarga masing-masing. Lama selepas Perhimpunan Agung Tahunan UMNO 2006, Dato Seri Najib mengumumkan Jawatankuasa Tindakan Disiplin mendapati tiada kes yang perlu diambil tindakan pada akhir bulan Jun 2007. (Sila baca di blog ini di sini)

Peristiwa ini telah ditulis dengan panjang lebar dalam Malaysia Today dalam laporan, Watergate a la Malaysia dan dirumus oleh Biggum Dogmannsteinberg dalam tulisannya, Ahli UMNO buat laporan polis terhadap Presiden UMNO.

Laporan Polis yang dibuat oleh Johari (disiarkan sepenuhnya tanpa sebarang perubahan) adalah seperti berikut:

Pada Khamis 28 August 2006, jam 300 petang, bertempat di Bilik Mesyuarat Utama UMNO, Ibu Pejabat UMNO, Tingkat 38, Menara Dato’ Onn, Pusat Dagangan Dunia Putra, Jalan Tun Ismail, Kuala Lumpur telah diadakah sebuah mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO.

Dalam mesyuarat itu, Minit Mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO selepas telah membincangkan secara terperinci usaha menggagalkan mantan Presiden UMNO, YABhg Tun Dr. Mahathir Mohamad untuk bertanding sebagai Perwakilan UMNO Bahagian Kubang Pasu ke Mesyuarat Agung UMNO 15-17 November 2006, dalam pemilihan Perwakilan pada Mesyuarat Agung Tahunan UMNO Bahagian Kubang Pasu pada 9 September 2006 di Jitra, Kedah.

Dalam perbincangan ini, turut dirakamkan tugasan tugasan yang ditanggung jawabkan kepada beberapa ahli MKT UMNO untuk laksanakan agar Tun Dr. Mahathir Mohamad gagal dipilih sebagai Perwakilan UMNO Bahagian Kubang Pasu.

Setelah menyedari Minit Mesyuarat pada 28 Ogos itu mengandungi perbincangan secara terperinci mengenai niat jahat menghalang mantan Presiden UMNO itu dipilih sebagai Perwakilan UMNO Bahagian Kubang Pasu, maka Presiden UMNO YAB Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi telah mengarahkan Brig. Jen (B) Dato’ Hussainay Hashim, Setiausaha Kerja MKT UMNO, mewakili Sekretariat UMNO agar tiga muka surat Minit Mesyuarat tersebut dikecualikan dari Minit Mesyuarat asal.

Walaupun ditegur oleh Ahli MKT UMNO YB Dato’ Seri Utama Dr. Rais Yatim kerana perbuatan mengecualikan sebarang maklumat dari Minit Mesyuarat yang telah direkod dan sediakan itu sebagai menyalahi peraturan mesyuarat, namun begitu Presiden UMNO masih berdegil.

Maka arahan itu dilaksanakan dan Minit Mesyuarat rasmi pada MKT UMNO 28 September 2006 telah mengecualikan tiga helai muka surat asal mengenai perbincangan mengenai usaha mengagalkan pemilihan mantan Presiden UMNO sebagai Perwakilan UMNO Bahagian Kubang Pasu pada 9 September 2006.

Oleh demikian, kerana MKT UMNO telah mengesahkan satu Minit Mesyuarat pada 28 September 2006 yang telah di’ubah suai’, maka Saya minta siasatan dibuat kerana ini jelas melanggar peraturan mesyuarat dan ujud unsur konspirasi melakukan ‘jenayah politik’ kepada mantan Presiden UMNO.


Media alternatif melaporkan beliau sanggup menghadapi apa jua akibat berikutan tindakannya itu. Laporan ini mungkin pendahulu untuk membawa kepada satu tindakan mahkamah terhadap UMNO. Mengikut perlembagaan UMNO, jika ianya berlaku, keahlian Johari boleh dipecat.

Johari dilaporkan berkata, "Saya melakukan ini sebagai ahli Umno yang prihatin. Saya prihatin terhadap penghakisan di dalam Umno". Penulis yakin seorang ahli biasa seperti Johari tidak akan berani mengkorbankan diri melainkan beliau prihatin dan percaya bahaya perbuatan Presiden UMNO kepada parti.

Syabas! Ada jiwa si Bongkok masih belum hilang dalam sanubari anak Melayu untuk berani memperjuangkan kebenaran dan menahan penghakisan!

Jika seorang negarawan seperti Tun Dr Mahathir menerima layanan sedemikian, apa puila ahli biasa dan rakyat marhaen?

Ah! Tidak habis-habis yang melibatkan Dr Mahathir. Baiklah, ini cerita baru juga.

Orang-orang akhbar di PWTC menceritakan Era Baru telah dinafikan pas untuk memberi liputan kepada Perhimpunan Agong UMNO terkini. Era Baru adalah satu-satunya tabloid politik yang sudah 14 tahun memberi liputan kepada perkembangan politik UMNO.

Mengikut sumber-sumber Era Baru, mereka telah memohon pas itu hampir dua minggu dan telah di "main-main"kan hingga akhirnya diberitahu Setiausaha Kerja Majlis Tertinggi UMNO, Brig. Jen (B) Dato’ Hussainay Hashim enggan mengeluarkan pas untuk Era Baru.

Dipercayai keengganan SUK mengeluarkan berkait dengan isu mukadepan Era Baru pada bulan Julai lepas berjodol UMNO Pengecut. Era Baru telah menegur UMNO yang tidak berani mempertahankan kepentingan orang Melayu.

Ah! Ini zaman slogan Agenda Melayu, jangan percaya sangat. Inilah UMNO zaman Pak Lah yang sensitifnya jiwa hingga amalan demokrasinya "tidak boleh ditegur dan tidak boleh larang".

Kini sudah banyak perkembangan terbaru dan pelbagai peristiwa selama 16 bulan sejak saudaraku Zabidi menulis kepada UMNO Reform.

Fikirkanlah! Seseorang yang perlu menahan dan menindas seseorang yang lain dari bersuara adalah seorang yang tidak berkeyakinan diri atau takut kerana salah atau mahu lari dari kebenaran.

Fikirkanlah! Seseorang yang perlu menahan dan menindas bukanlah seorang yang mengamalkan keterbukaan, ketulusan dan kedemokrasian.

Adakah lagi Siddeq, Amanah, Tabligh dan Fatanah dalam diri pemimpin sedemikian? Layakkah ia terus memimpin? Harap baik dan betul belum dipengaruhi suasana dan keperluan.

2 comments:

Melayu Lelaki said...
This comment has been removed by a blog administrator.
A Voice said...

Melayu Lelaki post on Marina's blog not mine!

In here, I consider you spamming. Off you go!!!!

My Say