Tuesday, August 19, 2008

Kenyataan Gus Dur adalah suara terdesak Anwar?

Segera setelah Saiful membuat laporan sodomi ke atas Dato Seri Anwar Ibrahim, kita disajikan dengan sandiwara Anwar melarikan diri ke rumah Duta Turki.

Tidak lama kemudian kedengaran suara pemimpin-pemimpin Amerika Syarikat dari Setiausaha Jabatan Negara (State Department) Amerika Syarikat ke empat Senator - dua Demokrat dan dua Republikan, dan terbaru adalah Setiausaha Negara (Secretary of State), Condoleeza Rice memberi tekanan politik ke atas Abdullah, Perdana Menteri yang mudah digertak mereka.

Sandiwara Anwar dan kenyataan-kenyataan tersebut serta bantuan media-media antarabangsa telah menarik perhatian dunia terhadap Anwar. Ia memberi gambaran seolah-olah keadaan politik, keselamatan dan kehakiman Malaysia menyerupai keadaan anarki di bawah kerajaan rejim tentera sebuah negara Amerika Selatan.

Seiring dengan itu, agensi-agensi penilaian antarabangsa (rating agency), yang kebanyakannya adalah dari Amerika dan Eropah, pula mula menurunkan penilaian ekonomi Malaysia berdasarkan perkembangan politik Anwar untuk menambahkan tekanan.

Dengan persepsi Anwar menghadapi PRK Permatang Pauh sebagai favourite, amat menghairankan kenapa Anwar perlukan sokongan dari Gus Dur yang sudah tiada kuasa dan pengaruh? Adakah Gus Dur satu suara yang berpengaruh dan dihormati di Malaysia untuk memberi pendapat mengenai mubahalah dan kepentingan pengundi Permatang Pauh? Atau ia hanya suara proxy?

Kenapa tidak suara Amin Rais yang lebih diketahui sebagai kembar Anwar dalam gerakan reformasi? Amin Rais hari ini dikatakan menyesali akan akibah gerakan reformasi terhadap Indonesia.

Adakah Anwar sudah mula terdesak?

Tinjauan

Kalau dilihat dari tekanan psikologi yang bertujuan untuk melemahkan semangat dan keyakinan penyokong dan pekerja BN, ia agak menjadi. Jentera BN tidak bertenaga dan lembab seolah-olah hanya menerima Anwar tidak boleh dikalahkan.

Dari tinjuan rambang seorang YB dengan pengundi-pengundi Permatang Pauh, tiga perkara bakal menjadi penentu utama - kesedaran mengenai penghakisan hak dan bantuan untuk orang Melayu, khususnya oleh kerajaan negeri Pulau Pinang dan perhatian kepada isu kuota bukan Melayu UiTM, keengganan Anwar melakukan mubahalah dan kes liwat, dan faktor PAS.

Adakah analisa mengenai Muktamar PAS yang disiarkan semalam sudah terjemah ke akar umbi? Difahamkan sambutan kedatangan Anwar, yang kelazimannya lambat 5-10 minit untuk mendapat grand standing, ke Majlis Pembukaan Muktamar mendapat sambutan dingin. Pelancung-pelancung pilihanraya yang pulang dari Permatang Pauh rata-rata merasai ketiadaan jentera PAS.

Mungkin ada kebenaran bahawa PAS mungkin adalah faktor penentu buat Anwar. Malam tadi Anwar berkunjung ke markas PAS.

Pecahan bangsa di Permatang Pauh adalah lebih kurang 70% Melayu dan 30% bukan Melayu. Pengundi PAS yang tidak pasti lari ke mana - AKIM, PKR, UMNO atau rosak.

Walaupun ramai pengundi Permatang Pauh tidak senang dengan Anwar dan tidak mahu mengekalkan Abdullah, mereka tidak sematang pengundi di Johor berpolitik pada PRU12 baru-baru ini untuk menyampaikan mesej protes dengan undi rosak.

Maka Anwar perlu memastikan undi 30% bukan Melayu terjamin untuknya. Tidak hairan Anwar menjanjikan konsesi hak dan kuota Melayu yang signifikan kepada bukan Melayu. Oleh kerana pertukaran kerajaan September 16hb dijangka tidak akan berlaku dan hanya sandiwara, Anwar tidak perlu bertanggungjawab dengan janji-janjinya dan mempunyai alasan tidak mengotakan janjinya.

Masaalahnya Abdullah yang dalam keadaan paranoia kehilangan jawatan yang bakal mengkabulkan janji yang dibuat Anwar. Pemimpin Melayu sama pemimpin Melayu berpolitik, Melayu juga yang rugi.

Sementara itu, jentera UMNO yang berkampung di Permatang Pauh bukan sibuk berkempen untuk menghalang perjalanan Anwar ke Parlimen, tetapi sibuk berkempen untuk pemilihan jawatan di Persidangan Agung UMNO (PAU) Disember ini.

Dua laporan berita Utusan Malaysia 19hb Ogos 2008 berikut:

---------------------------

Bukti Anwar terdesak

BUKIT MERTAJAM 18 Ogos - Datuk Seri Anwar Ibrahim kini terdesak apabila terpaksa mendapatkan bantuan rakannya dari Indonesia dan Filipina untuk menghadapi pilihan raya kecil Parlimen Permatang Pauh 26 Ogos ini.

Pensyarah Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan Universiti Sains Malaysia (USM), Dr. Sivamurugan Pandian berkata, penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu seakan tidak yakin untuk menghadapi pilihan raya ini.

Pagi tadi, Abddurrahman Wahid yang juga bekas Presiden Indonesia dan pemimpin berpengaruh bagi kumpulan Islam Nahdlatul Ulama hari ini hadir ke Ibu Pejabat PKR di Petaling Jaya, Kuala Lumpur untuk menyatakan sokongan beliau kepada Anwar.

Dr. Sivamurugan ketika dihubungi berkata, hubungan Anwar dengan beberapa pemimpin asing termasuk Amerika Syarikat (AS) telah bermula sejak tahun 1997.

Katanya, Anwar dilihat berpengaruh di kalangan pemimpin asing dan sewaktu pemecatan Anwar pada 1998 oleh Tun Dr. Mahathir Mohamad berikutan kes rasuah dan salah guna kuasa, Abddurrahman Wahid yang lebih dikenali sebagai Gus Dur adalah orang yang paling lantang membantah keputusan itu.

Menurut beliau, yang menjadi persoalan apakah Anwar dapat membezakan sama ada ia berbentuk sokongan peribadi ataupun ia mempunyai kepentingan bagi pihak luar.

''Campur tangan asing itu harus diambil kira oleh pengundi dan ini adalah satu perkara yang tidak wajar kerana ia cuma pilihan raya kecil sahaja.

"AS juga telah mula campur tangan urusan negara mengenai siasatan kes liwat Anwar. Ini memberi kesan kepada politik negara. Pengundi juga haruslah berfikir mengapa perlu ada pemimpin yang meraih simpati dari luar negara," katanya.

Katanya, mana-mana pemimpin yang mendapatkan sokongan dari luar terutamanya ketika pilihan raya sebagai pendekatan untuk mendapatkan undi rakyat, ia dikhuatiri akan mengancam kestabilan negara dan akan menimbulkan keadaan yang tidak menentu di dalam negara.

Dr. Sivamurugan juga berkata, kemenangan Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail yang juga Presiden PKR mempertahankan kerusi Parlimen itu adalah disebabkan faktor suaminya, Anwar.

Katanya, sejak Anwar memenangi pilihan raya pada 1982 ketika menjadi anggota UMNO dan kemudian pada tahun 1998 beliau dipecat dari jawatan Timbalan Perdana Menteri dan Timbalan Presiden UMNO, beliau telah menanam pengaruhnya kepada penyokongnya tidak kira generasi lama mahupun baru.

Sementara itu, Pensyarah Pusat Pengajian Sejarah, Politik dan Strategi Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Madya Dr. Ahmad Nidzammuddin Sulaiman berkata, sokongan daripada Gus Dur mahupun bekas Presiden Filifina, Joseph Estrada dilihat tidak mampu memberikan kesan kepada pengundi.

Katanya, kesemua yang memberikan sokongan terhadapnya adalah bekas Presiden yang kini tidak lagi mempunyai pengaruh besar di negara mereka sendiri.

"Pemimpin seperti ini tidak dapat mempengaruhi undi kerana kedua-dua mereka pernah tewas dan dipenjarakan. Macam Gus Dur, dia dijatuhkan. Suara-suara ini tidak dapat mempengaruhi undi dan mereka masih dipengaruhi oleh dasar dan hubungan yang dibuat oleh Anwar ketika beliau mempunyai kedudukan.

"Mereka ini tidak perlu campur tangan. Usaha mendapatkan sokongan dari luar ini bukan hanya Anwar tetapi juga biasa dilakukan oleh pemimpin tertentu," katanya di sini.

Sementara itu, di Kuala Lumpur, pakar sejarah Prof Emeritus Datuk Dr. Khoo Kay Kim berkata, kenyataan itu adalah sebagai gambaran hubungan peribadi yang rapat antara Anwar dengan beberapa pemimpin dunia.

Katanya, keadaan itu tidak sedikit pun mendatangkan kesan kepada negara kerana ia hanya hubungan peribadi dan bukannya antara negara yang langsung tiada kaitan dengan orang di Malaysia.

"Dengan siapa dia berkawan terpulang pada dia, apa yang penting pengundi kena buat perhitungan untuk negara dan diri sendiri," katanya sambil menambah hubungan peribadi tidak selalunya relevan dengan keadaan semasa.

Khoo berkata, bukan sahaja Estrada dan Gus Dur semasa menjadi Presiden mempunyai hubungan baik dengan Anwar malah Anwar juga mempunyai hubungan baik dengan beberapa individu penting di beberapa negara Barat dan Timur Tengah.

Bagaimanapun, katanya, pemimpin kedua-dua negara (Indonesia dan Filipina) itu kini sudah tidak berkuasa lagi dan ia tidak seharusnya diambil berat.

Katanya, rakyat Malaysia mampu bertanya adakah orang yang dipilih benar-benar boleh berkhidmat kepada mereka atau sebaliknya.

"Jika dirasakan antara tiga calon yang bertanding, Anwar boleh bagi perkhidmatan pada rakyat, mereka boleh undi Anwar. Yang penting, kita kena tahu yang calon dipilih jujur, ikhlas atau ada agenda peribadi.

"Orang luar tidak tahu apa yang orang tempatan (Permatang Pauh) kehendaki.

Hanya mereka yang boleh menjawab persoalan itu," katanya. - Bernama


---------------------------

Penyokong Pas penentu kemenangan Anwar

MENYUSURI laluan ke Permatang Pauh dalam tiga hari lalu, antaranya Kampung Sama Gagah, Kubang Semang dan Tanah Liat di Permatang Pasir, 'pondok-pondok panas' parti-parti bertanding terdapat di merata-rata tempat di bahu-bahu jalan.

Baik Barisan Nasional (BN) dan pembangkang, 'pondok panas' mereka sempurna dengan poster, sepanduk dan bendera parti. Cuma yang agak menghairankan, 'pondok panas' Parti Keadilan Rakyat (PKR) hanya kelihatan sepanduk dan bendera parti tersebut. Padahal jika mahu dikira, ia patut disertakan sekali dengan logo Pas, sekutu PKR dalam pakatan pembangkang.

Bukan di Permatang Pasir sahaja yang merupakan kubu kuat Pas senario itu disaksikan. Di Penanti, hal yang sama juga berlaku. Amat sukar untuk orang ramai menyaksikan sepanduk dan bendera Pas di 'pondok panas' PKR. Usahkan itu, di tiang-tiang lampu dan laluan berdekatan ibu pejabat PKR di Yayasan Aman, Bukit Mertajam, perkara sama dilihat. Langsung tiada logo Pas.

"Memanglah pilihan raya kecil Permatang Pauh ini pertarungan satu lawan satu antara PKR dan BN, tiada parti lain," kata seorang penyokong PKR ketika ditanya kenapa bendera Pas tidak dipasang sama dengan sepanduk PKR di pondok-pondok panas PKR.

Bagi seorang ahli Pas di Kampung Pelet, Permatang Pasir yang hanya mahu dikenali sebagai Razali, para pengikut Pas secara senyap-senyap sebenarnya agak cuak dengan beberapa sentimen yang diuar-uarkan oleh penyokong PKR. Yang mengecewakan mereka ialah PKR sering mencanangkan bahawa Datuk Seri Anwar Ibrahim akan diangkat menjadi Perdana Menteri dalam waktu terdekat.

"Hangpa dengarlah ceramah Anwar... asyik sebut dia nak jadi PM, nak masuk Putrajaya... (kerusi). Permatang Pauh ni macam batu loncatan pula untuk dia capai matlamatnya. Bukannya soal masalah penduduk sini hendak diselesaikan, dok sibuk nak ke Putrajaya.

"Apa! Depa (penyokong PKR) ingat (Presiden Pas) Datuk (Seri) Hadi (Awang) nak tengok cam tu saja... dia (Anwar) masuk Parlimen terus nak duduk jadi ketua (pembangkang)," katanya ketika ditemui Utusan Malaysia semalam.

Razali seperti mana penampilan stereotaip Pas yang berkopiah dan berlitup kain selempang putih percaya sekiranya para penyokong Pas mengambil berat soal moral dalam memilih calon yang bertanding pada pilihan raya kecil itu, mereka pastinya tahu dan sedar siapa calon yang layak untuk disokong.

"Pendek katalah, penyokong Pas akan menjadi penentu kemenangan dalam pilihan raya kecil Permatang Pauh, bukan sahaja untuk Anwar tetapi juga BN," katanya.

Menurut Razali, di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Permatang Pasir pada pilihan raya umum Mac lalu, sejumlah hampir 9,000 undi diperoleh oleh wakil rakyat PKR yang mewakili kawasan itu. BN pula pada pengamatannya memperoleh kira-kira 4,000 undi.

"Mungkin pada Selasa depan (hari pengundian 26 Ogos), keputusan dah tak sama macam Mac lalu," katanya.

Andaian Razali mungkin ada kebenarannya. Semasa penamaan calon di pekarangan Institut Perguruan Tuanku Bainun Sabtu lalu, hanya bendera dan sepanduk PKR banyak berkibar. Ke mana penyokong Pas?

Jika dilihat daripada tindakan agresif dan provokatif para penyokong pembangkang tempoh hari pun, ia terang-terang dilakukan oleh kumpulan lelaki yang memakai lambang PKR.

Di Pasar Awam Penanti, Seberang Perai Tengah semalam, calon BN, Datuk Arif Shah Omar Shah ditanya oleh seorang peniaga apa komennya terhadap dakwaan liwat yang dihadapi oleh Anwar.

Jawab Arif Shah: "Itu hal peribadi antara Anwar dan individu berkenaan (Mohd. Saiful Bukhari Azlan). Hari ini kita cerita keburukan orang lain, esok lusa mungkin orang akan dedah keburukan kita.

"Saya tidak menentang Anwar. Bila saya berkawan dengan seseorang, saya berkawan hingga ke akhira," katanya.

Sentimen memburuk-burukkan peribadi calon tiada dalam kamus kempen Arif Shah.

Wartawan tempatan dan agensi berita asing terutama para pemberita akhbar-akhbar Cina yang bertebaran di merata Seberang Perai bertanya apa sahaja tentang isu atau ucapan membidas Anwar.

Mereka juga bertanyakan soalan itu kepada Arif Shah. Namun isu dakwaan liwat tidak disentuh langsung secara peribadi oleh Ahli Dewan Undangan Negeri Seberang Jaya itu.

"Bila saya menemui penduduk Permatang Pauh, ramai bertanyakan pasal dakwaan liwat ini tapi saya serahkan kepada mereka untuk menilainya... itu isu peribadi," katanya.

Sehingga semalam, dari segi khalayak yang menghadiri siri ceramah pembangkang yang disertai Anwar termasuk di Bukit Jelutong, Permatang Pasir yang merupakan kubu kuat Pas, bilangannya agak ramai. Rata-rata hadirin dimuatkan dengan keinginan 'menggunung' Anwar untuk menjadi Perdana Menteri.

Ceramah itu pada awalnya menjemput Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat sebagai panelnya tetapi kelibatnya tidak kelihatan. Dalam ceramah itu, Pengerusi Perhubungan PKR Pulau Pinang, Datuk Zahrain Mohd. Hashim membayangkan kepada hadirin akan saat-saat Anwar 'memasuki' Dewan Rakyat.

"Dia akan masuk dan terus duduk di kerusi Ketua Pembangkang yang dikosongkan isterinya. Saudara-saudari, selepas duduk beberapa minit... tup tap tup tap... dengan kenyit matanya, 30 orang (Ahli Parlimen BN) dari sebelah sana terus masuk ke sini (pakatan pembangkang)," katanya.

Di sebalik keinginan membuak-buak PKR mahu merencanakan impian pemimpinnya itu, ahli-ahli Pas khususnya di Permatang Pauh pastinya tidak mahu melihat pemimpin mereka diketepikan secara hina.

Dan akhirnya soal moral menjadi penentu terakhir para penyokong Pas ketika mereka memasuki pusat-pusat mengundi Permatang Pauh pada 26 Ogos ini. Nasib Anwar sebenarnya berada pada tangan mereka.


6 comments:

Gurindam Jiwa said...

Pengaruh Gus Dur ke atas orang-orang Islam di Indonesia rasanya adalah sama dengan pengaruh Samy Vellu ke atas orang-orang India di Malaysia.

Desressurection said...

Agaknya Gus Dur pun ada share sikit kot...mana tau kot Anwar menang nanti, Anwar bagi Penang kat Gus Dur ka...

NorHaslim said...

Anwar sememangnya sudah terdesak. Beliau sedang 'mengumpulkan' segala sokongan yang boleh didapati sekarang ini, untuk menunjukkan kepada Malaysia bahawa dia berkuasa dan berpengaruh besar.Kalau tidak, kenapa perlu minta Gus Dur buat kenyataan dan publicize kan nya?
Adakah Anwar sengaja mengugut pemimpin Malaysia dengan cara lembut.. Sengaja nak pamerkan konon-konon nya dunia menyokong Anwar.
Maka dikorek lah senarai kawan-kawan lama..

Sidesak said...

Memang Anwar kelihatan sudah terdesak untuk mendapatkan jawatan perdana menteri. Beliau sanggup mendapatkan pengaruh dan sokongan daripada pihak luar. Tapi kita kena ingat bahawa ini adalah urusan politik negara, kenapa perlu membabitkan orang luar?

Anonymous said...

Salam...
Hanya mereka yang buta dan tuli sahaja terasa enak dengan telatah manusia yang bernama Anwar Ibrahim.

PleoMax said...

semangat sungguh Anwar menjaja kisah dia ke luar negara.
Tak perlu susah-susah sebenarnya, angkat je sumpah, bermubahalah, lepas tu ikut trial.Ni trial belum mula lagi tapi dah bising lebih.

My Say